Utama Bilik (40) Asas Ilmu Hadits Asas Ilmu Hadis : Sebab Pemalsuan Hadis yang Tidak Disengajakan (Bahagian 1)

Asas Ilmu Hadis : Sebab Pemalsuan Hadis yang Tidak Disengajakan (Bahagian 1)

638
0
Iklan

Hadits al-Mardud (المردود) Kategori Kritikan pada Periwayat (الطعن في الراوي) – Persoalan Hadits Palsu

Sebab Pemalsuan Hadis yang Tidak Disengajakan (Bahagian 1)

Susunan: BroSyarief

AsSalaamu ‘alaikum, nota akan diteruskan menyambung bab persoalan hadits palsu.

Setelah selesai membincangkan sebab-sebab yang disengajakan untuk penciptaan hadits palsu. Kini kita bincangkan pula sebab-sebab yang yang tidak disengajakan yang menyumbang kepada pemalsuan hadits secara tidak langsung. Sekali lagi dimaklumkan bahawa segala yang dikongsikan ada merujuk kepada kitab Ulum al-Hadits karangan Prof Dr Abullays Khayrabadi.

Tiadanya Penulisan Khusus Sunnah Pada Dua Kurun Yang Pertama

Nabi sallalLaahu ‘alaihi wa sallam dahulu meletakkan keutamaan khusus pada pemeliharaan al-Quran al-Karim, lalu baginda sallalLaahu ‘alaihi wa sallam mengarahkan agar al-Quran dihafal dalam ingatan dan ditulis pada bahan-bahan yang pelbagai. Sebilangan sahabat radhiyalLaahu ‘anhum ajma’in bertugas menulis wahyu di hadapan Nabi sallalLaahu ‘alaihi wa sallam sebaik sahaja wahyu turun.

Oleh kerana itu, al-Quran menjadi benar-benar terpelihara, jauh dari kesia-siaan mereka yang membuat kerosakan terhadap al-Quran sama ada mengubahkan, atau mengurangkan, atau menambahkan apa-apa dari ayat al-Quran. Lalu, tiada sebarang arahan pada penulisan hadits, malah pada peringkat awal baginda sallalLaahu ‘alaihi wa sallam melarangnya kerana bimbang bercampurnya al-Quran dengan hadits-hadits Nabi sallalLaahu ‘alaihi wa sallam. (Rujuk Nota 01.08.02)

 

Mengelakkan kitab lain menyaingi al-quran

Malah, ia juga bertujuan untuk mengelakkan adanya kitab lain yang menyaingi al-Quran sebelum lengkap penurunan wahyu sebagai sebuah kitab. Maka, para sahabatpun bertindak menahan diri dari menulis hadits semasa hayat baginda sallalLaahu ‘alaihi wa sallam dan malah walaupun setelah baginda sallalLaahu ‘alaihi wa sallam wafat.

Ia bertujuan agar semua orang tak tersibukkan dengan penulisan hadits berbanding al-Quran. Begitu juga para tabi’in mengikuti manhaj mereka, lalu mereka bertalaqqi dari mulut (yang membacakan) ke mulut (yang mengulang), sehingga dihafal di dalam dada. Berterusanlah keadaan tanpa ada arahan penulisan dan pengembangannya secara rasmi, sehinggalah mula timbul rasa bimbang akan hilangnya hadits dengan wafatnya para sahabat yang menghafal hadits-hadits Nabi sallalLaahu ‘alaihi wa sallam, dan juga kebimbangan terhadap bermulanya pembohongan terhadap hadits oleh mereka yang mengikuti hawa nafsu dan berkepentingan.

 

Pasti tiada yang berani memalsukan hadis

Seandainya hadits ditulis dan dibukukan sebagaimana al-Quran turut terpelihara dari kehilangan dan terlupakan dari satu sudut, dan dari pemalsuan dan rekaan dari sudut yang lain; pastinya tiada yang berani memalsukan hadits kerana bimbang pembohongannya terbongkar, pastinya tidak bercampur antara yang sahih dengan yang dipalsukan, pastinya tiada dituduh dengan pembohongan kepada mereka yang kini telahpun dituduh, dan pastinya tidak timbulnya golongan orientalis dan pendokong mereka yang berusaha menimbulkan kekeliruan berkaitan sunnah.

Malah pada masa yang sama, terdapat indikasi yang menunjukkan bahawa penyebaran hadits palsu juga adalah antara faktor kepada bermulanya pembukuan sunnah.

Imam az-Zuhri (w.125H) menyebutkan:

لو لا أحاديث تأتينا من قبل المشرق ننكرها لا نعرفها، ما كتبت حديثا، ولا أذنت في كتابته

“Kalau bukan kerana ada hadits-hadits yang datang kepada kami dari arah timur yang kami ingkari, kami tak kenali (yakni: wujudnya hadits-hadits palsu); pastinya aku tidak akan menulis hadits, dan aku tidak izinkan (orang lain) menulisnya. [al-Ma’rifah wat-Taarikh]

Imam az-Zuhri merupakan salah seorang dari mereka yang diminta oleh ‘Umar ibn Abd al-‘Aziz rahimahulLah untuk membukukan asSunnah.

Lalu dikumpulkan hadits-hadits di Madinah dan ditunjukkan kepada ‘Umar ibn Abd al-‘Aziz. Kemudian, ‘Umar pun mengutuskan ke setiap daerah yang ada pemimpinnya, dengan satu salinan dari salinan-salinan bukunya itu.

WalLaahu a’lam

Ruj: Ulum Al-Hadits Asiluha wa Mu’asiruha, karangan Prof Dr Abullayts KhairAbaadi.

 

 

Komen dan Soalan