Utama Bilik (64) Syamail Muhammadiyyah Hadis 10: Rasulullah Memakai Sepasang Merah Dan Lebih ‘Indah’ Dari Bulan

Hadis 10: Rasulullah Memakai Sepasang Merah Dan Lebih ‘Indah’ Dari Bulan

1421
0
Iklan

شرح الديارية

لأحاديث الشمائل المحمدية

للإمام أبي عيسى محمد بن عيسى بن سورة

(المتوفي سنة 279 هجرية)

Syarhu d-Diyariyyah

Li’ahadis Asy-Syama’il Al-MuhammJadiyyah

Lil-Imam Abi `Isa Muhammad bin `Isa bin Sawrah

Hadis 10

 

10- حَدَّثَنَا هَنَّادُ بْنُ السَّرِيِّ، قَالَ: حَدَّثَنَا عَبْثَرُ بْنُ الْقَاسِمِ، عَنْ أَشْعَثَ، يَعْنِي ابْنَ سَوَّارٍ، عَنْ أَبِي إِسْحَاقَ، عَنْ جَابِرِ بْنِ سَمُرَةَ، قَالَ: رَأَيْتُ رَسُولَ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ فِي لَيْلَةٍ إِضْحِيَانٍ، وَعَلَيْهِ حُلَّةٌ حَمْرَاءُ، فَجَعَلْتُ أَنْظُرُ إِلَيْهِ وَإِلَى الْقَمَرِ، فَلَهُوَ عِنْدِي أَحْسَنُ مِنَ الْقَمَرِ.

10- Telah bercerita kepada kami Hannad bin As-Sariy, dia berkata: Telah bercerita kepada kami `Absar bin Al-Qasim, daripada Asy`as iaitu Ibna Sawwar, daripada Abi Ishaq, daripada Jabir bin Samurah, dia berkata: Saya telah melihat Rasula Llah pada malam yang cerah, dan dia memakai sepasang merah. Maka saya telah melihat kepadanya dan kepada bulan, maka sungguh dia – di sisi saya – lebih elok daripada bulan.

 

Syarah Adou_Fr:

 

Hadis ini ialah riwayat Jabir, sama seperti hadis sebelumnya. Namun, rawi yang meriwayatkan daripada Jabir adalah berbeza. Dalam hadis sebelum ini, Simak bin Harb meriwayatkan daripada Jabir, manakala dalam hadis ini, Abu Ishaq meriwayatkan daripada Jabir. Dalam hadis ketiga dan keempat sebelum ini, Abu Ishaq telah meriwayatkan daripada Al-Bara’ bin `Azib. Justeru, kita boleh menghasilkan satu rajah perkaitan yang berkaitan seperti berikut:

 

Jabir  Simak

Jabir  Abu Ishaq

 

Al-Bara’  Abu Ishaq

 

Maka, Abu Ishaq ialah murid Jabir dan murid Al-Bara’.

Maka, Jabir ialah guru bagi Simak dan Abi Ishaq.

 

Rajah perkaitan ini adalah penting dalam mengkaji sanad hadis, untuk mengetahuï siapa guru dan siapa murid. Setiap rawi hadis, akan dikaji turjumah (biodata) masing-masing sehinggalah terhasil kitab-kitab yang menghimpunkan para rawi seperti At-Tabaqat Al-Kubra oleh Ibnu Sa`d dan At-Tarikh Al-Kabir oleh Al-Bukhariy.

 

Dalam hadis ini, Jabir menggunakan perkataan (رَأَيْتُ) saya telah melihat. Para sahabat, mereka itu dimuliakan kerana telah melihat Nabi, dan mereka sangat berbangga kerana dapat melihat Nabi. Justeru, dalam hadis ini, ditekankan perkataan (رَأَيْتُ) saya telah melihat. Melihat Nabi yang mulia, itu ialah satu penghormatan. Dalam Al-Qur’an disebut bahawa (وَلاَ يُكَلِّمُهُمُ اللَّهُ وَلاَ يَنظُرُ إِلَيْهِمْ) «dan Allah tidak berkata-kata kepada mereka dan Dia tidak melihat kepada mereka» [Ali `Imran: 77] iaitu golongan yang membeli dengan janji Allah dan perjanjian mereka dengan harga yang sedikit. Tidak berkata-kata dan tidak melihat adalah satu bentuk `azab di akhirat. Justeru, melihat dan berkata-kata adalah satu bentuk ni`mat. Maka melihat Nabi adalah satu ni`mat, dapat berkata-kata dengan Nabi adalah satu ni`mat.

 

Bagi kita yang tidak sempat bertemu dengan Nabi, maka dapat bertemu dengan Nabi di dalam mimpi adalah satu ni`mat yang sangat besar – iaitu ia adalah kurniaan daripada Allah ke atas hamba-hamba-Nya yang terpilih –. Justeru, terbatallah dakwaan sesetengah penipu yang menyuruh melakukan itu dan ini – walaupun ia adalah zikir – demi mendapat mimpi bertemu Nabi. Ia adalah ni`mat, maka mohonlah kepada Dia yang memberikan ni`mat, iaitu Allah yang maha Kaya. Jika pun tidak dapat bermimpi bertemu Nabi, hari akhirat adalah hari yang akan menggembirakan orang-orang yang beriman, kerana mereka akan bersama dengan orang yang mereka cintaï – iaitu Muhammad – tetapi bukan cinta yang diungkap dengan penipuan lidah, tetapi dengan kebenaran yang tulus melaluï banyaknya salawat, mematuhi ajarannya, tidak berbohong di atas namanya dan menjauhi apa yang dibenci olehnya.

 

Dalam hadis ini, Jabir melihat Nabi pada malam yang cerah, iaitu ketika bulan bersinar tanpa ditutupi oleh awan. Ketika itu, Nabi sedang memakai pakaian yang berwarna merah. Sila rujuk syarah hadis ketiga sebelum ini tentang maksud sepasang dan maksud merah (https://www.uito.org/2015/06/16/hadis-3-syamail-muhammadiyyah-pakaian-dan-rambut/) . Dan ketika itu, Jabir cuba membuat perbandingan antara keindahan bulan dengan keelokan perwatakan Nabi, dan dia menekankan bahawa Nabi itu lebih elok daripada bulan. Hal yang sama turut dinyatakan oleh Al-Bara’ dalam hadis ketiga sebelum ini.

 

Perbandingan dengan bulan menunjukkan bahawa bulan adalah satu simbol kecantikan, dan perumpamaan ini disebut dalam bahasa Melayu sebagai “seindah bulan purnama”. Bagi umat Melayu, perumpaan ini menggambarkan keindahan yang sempurna dan merupakan tahap tertinggi keindahan, sama seperti budaya `Arab. Namun, menurut dua sahabiy di atas, Nabi lebih indah dan lebih elok daripada itu.

 

ترجمة وشرح باللغة الماليزية 

Terjemahan dan Syarah oleh

محمد عدلن بن محمد شريف الدين بن أحمد بن جعفر الدياري

ADÖULINÉ Lacharouphe

Mohd `Adlan Bin Mohd Shariffuddin

Komen dan Soalan