Utama Bilik (22) Hadith Al-Sakandary Kelas #5 | Bilik Hadith al-Sakandary

Kelas #5 | Bilik Hadith al-Sakandary

154
0
Iklan

26 Mac 2015 @ 5 Jumada Thani 1436

Bismillah, alhamdulillah, wa ba’d.

Baik, insyaAllah kita akan menyambung kelas ulum hadith kita pada malam ini. Pada minggu lepas, kita telah melihat beberapa kepentingan mempelajari ulum hadith, dan kita telah melihat apakah itu definisi ulum hadith. Dan juga kita telah bincangkan bahawa cabang ulum hadith yang teramat banyak, apabila dikumpul dan dihimpunkan, dapatlah ia dibahagi menjadi 2 bahagian sahaja, iaitu Ilmu Riwayah serta Ilmu Dirayah.

 

• Ilmu Riwayah.

Ilmu Riwayah adalah cabang dalam ulum hadith yang membicarakan berkenaan pemeliharaan hadith dengan hafazan terutamanya, serta pembukuannya, serta periwayatannya, seperti menghafaz hadith di dada (di minda), serta mengenal fiqh bagi matan hadith itu, serta makna-makna lafaz-lafaznya, serta semakan riwayat itu dari kesilapan tahrif serta semisal.

Misalnya majlis-majlis sama’ dan periwayatan hadith dengan ijazah sanad termasuk dalam cabang ilmu riwayah, ia berkekalan dari zaman Salaf hingga kiamat. Dalam majlis sama’ ini juga, ia dihadiri oleh para huffaz hadith, iaitu para ahli ilmu yang menghafaz hadith dalam dada mereka, bahkan ada dalam kalangan mereka yang menghafaz dari manuskripmanuskrip. Maka biasanya dalam majlis sama’, jika terdapat kesilapan dalam buku yang dicetak, maka ia akan dibetulkan oleh syaikh dalam majlis sama’.

Juga bab mengenal maksud beberapa lafaz dalam matan hadith, yang sukar difahami atau baginya banyak maksud, atau dengan mudah mengkaji makna matan hadith, ini juga termasuk Ilmu Riwayah. Baik, itu secara ringkas berkenaan Ilmu Riwayah. Apakah maksud Ilmu Dirayah pula?

 

• Ilmu Dirayah

Ilmu Dirayah pula ialah cabang ulum hadith bagi mengenal serta menyemak perihal sanad dan matan hadith dari segi penerimaan (qabul) dan penolakan (radd). Misalnya ilmu al-Jarh wa al-Ta’dil, ilmu al-‘Ilal, qawaid-qawaid, mustolah, serta manhaj para huffaz. Ini termasuk bahagian ilmu dirayah. Baik. Baik, istilah seterusnya ialah al-Sunnah? Apakah al-Sunnah?

 

• al-Sunnah

Al-Sunnah atau Sunnah di sisi istilah ahli hadith bermaksud hadith. Ini berbeza dengan istilah ahli fiqh dan usul, bagi ahli fiqh dan usul fiqh perkataan Sunnah bermaksud Mustahab. Manakala al-Sunnah di sisi ahli aqidah pula bermaksud tauhid, atau apa yang berlawanan dengan bid’ah, bid’ah di sini ialah bid’ah aqidah semisal Muktazilah, Syi’ah, Murjiah dan lainnya. Istilah seterusnya pula ialah al-Hadith.

 

• al-Hadith

Al-Hadith atau hadith dari segi istilah ahli hadith ialah segala apa yang dinisbahkan kepada Nabi, ataupun segala apa yang disandarkan kepada Nabi SAW, baik percakapan Baginda SAW, atau perbuatan, atau taqrir (persetujuan, tacit approval), atau sifat, atau sirah. Baik, selain istilah al-Hadith, kita juga akan mendengar istilah seperti al-Athar atau al-Khabar. Apakah al-Athar? Serta apakah al-Khabar? Adakah ia berbeza dengan al-Hadith? Atau sama?

Jawabnya, di sisi para huffaz hadith salaf mutaqaddimin tiada beza. Para huffaz mutaqaddimin tidak membezakan antara istilah al-Hadith serta al-Athar serta al-Khabar. Mereka biasa menggunakan Hadith dengan maksud Khabar atau Athar, atau menggunakan istilah Athar atau Khabar dengan maksud hadith. Semuanya ini adalah luas dan mudah bagi mereka. Kerana itu jika kita melihat kitab-kitab hadith mutaqaddimin, mereka menyebut “telah berkata Nabi dalam athar..”, atau “berkata Nabi dalam khabar…”. Manakala di sisi mutaakhkhirin, mereka membezakannya.

Iaitu al-Hadith ialah apa saja yang di disandar dan dinisbahkan kepada Nabi, manakala al-Athar pula ialah apa sahaja yang dinisbahkan kepada selain Nabi misalnya para Sahabat atau para Tabi’in. Manakala al-Khabar pula bagi mereka adalah umum mencakupi al-Hadith dan al-Athar.

Baik, setakat ini boleh faham ya? Al-Hadith, al-Athar serta al-Khabar. Serta beza pemahaman istilahistilah ini antara Mutaqaddimin serta Mutaakhkhririn.

Iaitu Mutaqaddimin tidak membezakan, manakala Mutaakhkhirin membezakan. Selepas ini jika kita jumpa para huffaz mutaqaddimin misalnya Ibn Khuzaimah misalnya berkata “dalam athar Nabi disebutkan bahawa…”, atau mereka berkata “dalam athar ini, Nabi menjelaskan..”, jangan pula kita berlagak pandai dengan berkata “apa ini al-Imam Ibn Khuzaimah, silap ini, ini hadith bukan athar”. Kerana apa? Kerana kita yang sebenarnya salah, kita tak faham manhaj huffaz mutaqaddimin. Baik, baik.

Istilah seterusnya ialah al-Sanad. Hadith terbahagi kepada dua bahagian, iaitu al-Sanad serta al-Matan. Apakah al-Sanad?

 

• al-Sanad

Al-Sanad atau Sanad adalah silsilah ataupun rantaian yang menyambungkan matan, ia terdiri daripada rantaian para perawi. Ia juga disebut sebagai al-Isnad. Apakah pula al-Matan?

 

• al-Matan

Al-Matan atau matan pula ialah teks bagi hadith itu. Cukup saya rasa setakat ini, kita telah lihat berapa istilah malam ini? ilmu riwayah, ilmu dirayah, alhadith, al-athar, al-khabar, al-sanad serta al-matan, tujuh istilah semuanya.

 

Komen dan Soalan