Utama Bilik (40) Asas Ilmu Hadits 01.05.09 #070315 Bilik (40) Asas Ilmu Hadits

01.05.09 #070315 Bilik (40) Asas Ilmu Hadits

96
0
Iklan
preview
 

Nota 01.05.09 Pengenalan Istilah-istilah Asas Ilmu Hadits 

 
Susunan: BroSyarief 
 
Tiga istilah asas yang terakhir mengenai siapa itu as-Sahaabi, at-Taabi’i dan Taabi’ at-Taabi’ii
 
AS-SAHABI (الصحابي) 
 
Secara bahasa ia bermaksud sahabat, kawan. 
 
Secara teknikal ia merujuk kepada mereka yang: 
 
i. Bertemu dengan Nabi sallalLaahu ‘alaihi wa sallam, 
ii. Beriman dengan Nabi sallalLaahu ‘alaihi wa sallam (yakni: Muslim), dan
iii. Mati dalam keadaan beriman, walaupun jika mereka pernah murtad. 
 
Pertemuan juga tidak mensyaratkan mesti melihat, kerana ada sahabat Nabi sallalLaahu ‘alaihi wa sallam yang buta. 
 
Contoh sahabat pasti ramai yang mengetahuinya, adapun sahabat yang pernah murtad dan kembali kepada Islam antaranya al-Asy’ats ibn Qays. 
 
Dan di kalangan mereka ada pelbagai peringkat, ada yang ‘alim, ada yang handal berperang dan ada yang biasa. 
 
Kelebihan mereka adalah mereka semua telah diiktiraf Allah: 
 
رَّضِيَ اللَّهُ عَنْهُمْ وَرَضُوا عَنْهُ
 
Allah redha akan mereka, dan mereka redha kepadaNya 
 
[at-Taubah:100]
 
Ini menjadikan kredibiliti para sahabat tidak lagi perlu kepada kritikan dalam penilaian hadits. 
 
Dikatakan sahabat yang terakhir meninggal adalah Abu at-Tufayl ‘Aamir ibn Watsilah al-Laytsi, pada tahun 102H, dan ada yang mengatakan 110H. 
 
AT-TAABI’I (التابعي) 
 
Secara bahasa bermaksud: mengikuti atau mengekori.
 
Secara teknikal: 
 
i. Bertemu dengan salah seorang atau ramai dari kalangan sahabat, 
ii. Dalam keadaan dia sebagai Muslim, dan
iii. Mati dalam keadaan Islam, walaupun jika mereka pernah murtad.
 
Di antara para Taabi’i adalah Sa’id bin al-Musayyib, ‘Urwah ibn Zubayr, al-Hasan al-Basri, dan ramai lagi. 
 
TAABI AT-TAABI’I (تابع التابعي) 
 
Secara bahasa mempunyai makna yang sama seperti at-Taabi’i. 
 
Secara teknikal: 
 
i. Bertemu dengan salah seorang atau ramai dari kalangan Taabi’i, 
ii. Dalam keadaan dia sebagai Muslim, dan
iii. Mati dalam keadaan Islam, walaupun jika mereka pernah murtad.
 
Di antara Taabi’ at-Taabi’i pula, ialah: ats-Tsauri, Malik, Rabi’ah, al-Auza’iy, Ibn Abu Layla dan ramai lagi. 
 
~~~ 
 
Apa kelebihan para Sahabat, Taabi’i dan Taabi’ at-Taabi’i? 
 
Mereka ini telah diberi pengiktirafan oleh baginda Nabi sallalLaahu ‘alaihi wa sallam sebagai generasi yang terbaik. 
 
Ibn Mas’ud meriwayatkan, bahawa Nabi sallalLaahu ‘alaihi wa sallam bersabda: 
 
خَيْرُ النَّاسِ قَرْنِي ، ثُمَّ الَّذِينَ يَلُونَهُمْ ، ثُمَّ الَّذِينَ يَلُونَهُمْ
 
‘Manusia yang terbaik itu adalah dari kurunku (bersama para sahabat), kemudian yang mengikuti mereka (yakni: Tabi’i), kemudian yang mengikuti mereka (yakni: Taabi’ at-Taabi’i), 
 
[HR alBukhari & Muslim] 
 
Dari sini lah, tiga generasi ini juga digelar sebagai as-Salaf as-Soleh, yang bermaksud mereka yang terdahulu yang soleh. 
 
WalLaahu a’lam. 
 
Ruj: Ulum Al-Hadits Asiluha wa Mu’asiruha, karangan Prof Dr Muhammad Abullayts KhairAbaadi. 
 
#BroSyariefShares
 

Komen dan Soalan