Utama Bilik (66) Kesalahan Dalam Solat Bidaah dan Kesalahan berada di Masjid

Bidaah dan Kesalahan berada di Masjid

260
0
Iklan

Bidaah dan Kesalahan berada  di Masjid

1.  Meninggalkan solat tahiyatul masjid

Abu Qatadah As-Salami meriwayatkan bahawasanya Rasulullah saw bersabda:

“Apabila salah seorang dari kamu semua masuk ke dalam masjid, hendaklah dia menunaikan solat dua rakaat sebelum duduk.” (HR al-Bukhari (444)

Ibnu Hibban menerangkan bahawa solat Tahiyatul Masjid tidak boleh dilakukan setelah duduk.

2.   Tidak membaca doa sewaktu masuk dan keluar masjid

Sesiapa yang hendak masuk ke dalam masjid, disunatkan baginya supaya mendahulukan kaki kanannya dan keluar dengan kaki kirinya.

Dari Anas r.a. bahawa Rasulullah saw apabila hendak masuk masjid, beliau membaca:

“Dengan nama Allah, ya Allah limpahkanlah selawat kepada Muhammad”

Apabila keluar, Rasulullah saw membaca:

“Dengan nama Allah, ya Allah limpahkanlah selawat kepada Muhammad”

(Ibnu Sina dalam Amal Al-Yaumi wal Lailati, dihasankan  oleh Al-Albani, KalamAth-Thayyib (63)

Dari Abdullah bin Amr, dari Nabi saw bahawa apabila beliau masuk masjid, Rasulullah membaca:

“Aku berlindung kepada Allah Yang Maha Agung, dengan wajahNya Yang Mulia dan kekuasaanNya yang abadi dari syaitan yang terkutuk.”

3.  Masuk Masjid dengan Pakaian Buruk

Allah menyuruh pada hambaNya supaya berhias ketika hendak pergi ke masjid. Allah swt berfirman,

“Wahai anak-anak Adam! Pakailah pakaian kamu yang indah berhias pada tiap-tiap kali kamu ke tempat beribadat (atau mengerjakan sembahyang) dan makanlah serta minumlah, dan jangan pula kamu melampau-lampau; sesungguhnya Allah tidak suka orang-orang yang melampaui batas.” (Surah Al-Araf:31)

Nabi saw bersabda:

“Apabila salah seorang dari kamu semua solat, hendaklah ia memakai pakaiannya.  Kerana Allah Ta’ala lebih berhak seseorang yang berhias untukNya.”

(At-Tabrani dari Ibnu Umar, Sahih Al-Jami’ (652)

4.  Keluar dari masjid setelah azan

Dari Abu sya’tsa’, dia berkata, “Kami pernah duduk di dalam masjid bersama Abu Hurairah.  Tidak lama kemudian, muazzin mengumandangkan azan.  Selesai azan, tiba-tiba ada seorang lelaki berdiri dalam masjid dan berjalan.  Seketika itu juga Abu Hurairah terus memerhatikannya sehingga lelaki tersebut keluar dari masjid.  Abu Hurairah pun lantas berkata, “Orang itu telah menentang Abu Qasim r.a.(HR Muslim dari Abu Hurairah (5/219)(hadis no: 258 Al-Masajid)

5.   Meludah di dalam masjid

Nabi saw bersabda,

“Apabila salah seorang dari kamu semua menunaikan solat,sesungguhnya dia sedang berbisik-bisik dengan Rabbnya.  Maka, hendaklah dia tidak meludah di hadapanNya, tidak pula disebelah kanannya.  Akan tetapi,hendaklah ia meludah di sebelah kirinya, yakni di bawah kedua telapak kakinya.”

(Anas (5/55)(hadis no: 54 Al-Masajid)

Rasulullah saw juga bersabda,

“Meludah di masjid itu adalah suatu kesalahan.  Sedangkan kafaratnya adalah memendamkannya.”

(Anas(5/56)(hadis no: 55 Al-Masajid)

6.  Berhadas di masjid

Nabi saw memberitahu, “Malaikat mendoakan orang yang pergi ke masjid menunaikan solat. Malaikat berkata, “Ya Allah, limpahkanlah selawat kepadanya.  Ya Allah, kasihanilah dia selagi dia tidak menganggu serta tidak membuang hadas di dalamnya.” Para sahabat bertanya, “Apa yang dimaksudkan dengan buang hadas itu?” Rasulullah menjawab, “Kentut” 

(HR Muslim (661) dan Nasa’I (2/55)

7.  Mengumumkan kematian dengan pembesar suara

Antara bidaah yang hukumnya antara makruh dan haram adalah perbuatan yang disebut dengan tabrir, iaitu muazzin membaca ayat dalam surah Al-Insan di atas menara dengan suara kuat ketika berlaku kematian seorang alim.

“Sesungguhnya orang-orang yang berbakti (dengan taat dan kebajikan), akan meminum dari piala: sejenis minuman yang bercampur dengan “kafur” (Surah Al-Insan:5)

Dalam kitab As-Salam disebutkan, “Diantara bentuk mengumumkan kematian yang dilarang adalah mengumumkan kematian di atas menara pada zaman ini ketika berlaku kematian ulama.”

8.  Membaca surah Al-Kahfi secara beramai-ramai pada hari Jumaat

Membaca dengan suara kuat dan mengulang-ulang seperti nyanyian kerana boleh menganggu orang yang sedang rukuk, sujud, berzikir,membaca Al-Quran dan bertafakur.  Meninggikan suara dengan menganggap baik gaya bacaan qari tanpa mempedulikan kemuliaan masjid dan kesucian Al-Quran. Ini adalah perbuatan tercela yang tidak diperbolehkan.

9.  Berbual pada waktu malam (berjaga) tentang urusan dunia

Hukumnya makruh untuk membincangkan urusan dunia yang ada, meninggikan suara, ketawa dengan kuat, bertepuk tangan serta bersiul-siul sehingga menganggu orang lain.

Samak bin Harb, berkata,”Aku pernah bertanya kepada Jabir bin Samrah, “Adakah kamu pernah duduk-duduk bersama Rasulullah saw?” Dia menjawab, “Benar,seringkali beliau tidak bangkit dari tempat solat beliau yang biasa digunakan untuk menunaikan solat subuh atau dhuha sehingga matahari terbit.  Apabila matahari telah terbit, baru beliau bangkit, sedangkan orang disekelilingnya saling berbincang-bincang tentang urusan jahiliah. Mereka juga saling ketawa, sedangkan beliau hanya tersenyum.”

(HR Muslim (670)

10.  Menguatkan suara di dalam masjid

Abu Sa’id Al-Khudri mengatakan bahawa suatu ketika Rasulullah saw sedang beriktikaf di masjid. Beliau mendengar orang menguatkan suara bacaan mereka. Baginda lantas membuka satr (tirai) sambil berkata:”Bukankah kamu semua sedang bermunajat kepada Rabbnya,maka janganlah kamu semua menganggu antara yang lain serta janganlah sebahagian di kalangan kamu meninggikan suara dalam bacaan.”

(Abu Dawud (1203) dan Ahmad (3/94).

Komen dan Soalan