Utama Bilik (40) Asas Ilmu Hadits 01.05.08 #060315 Bilik (40) Asas Ilmu Hadits

01.05.08 #060315 Bilik (40) Asas Ilmu Hadits

166
0
Iklan
preview
 
Nota 01.05.08 Pengenalan Istilah-istilah Asas Ilmu Hadits 
 
Susunan: BroSyarief
 
Kali ini, kita akan mengenal istilah-istilah gelaran kepada mereka yang terlibat dengan periwayatan hadits berdasarkan peringkat-peringkatnya dan kriteria setiap peringkat gelaran. 
 
1. AL-MUSNID (المُسْنِد) 
 
Ini adalah seolah-olah pangkat yang paling rendah sekali dalam penggelaran mereka yang terlibat dalam periwayatan hadits. 
 
Al-Musnid adalah gelaran yang diberikan kepada sesiapa sahaja meriwayatkan hadits dengan sanadnya, sama ada dia memahami hadits tersebut dari sudut ilmunya atau tidak. 
 
2. AL-MUHADDITS (المحدث) 
 
Ini adalah gelaran yang pastinya jauh lebih tinggi peringkatnya berbanding Al-Musnid. Dan gelaran ini diberikan kepada mereka yang benar-benar menyibukkan diri dalam kajian hadits, lebih dari sekadar meriwayatkannya. Adapun, definisinya secara butiran lanjut, terdapat perbezaan pendapat di kalangan ulama padanya. 
 
Kata as-Subki (w.771H): Al-Muhaddits adalah seseorang yang mengetahui sanad-sanad, dan ‘ilal, dan nama-nama periwayat; mengenal juga Sanad ‘Ali & Sanad Naazil; dan menghafal jumlah yang banyak dari mutun (plural bagi matan); dan telah mendengarkan bacaan hadits Kutub Sittah beserta Musnad Ahmad, Sunan al-Bayhaqi, dan Mu’jam at-Tobrani.. [at-Tadrib ar-Raawi] 
 
3. AL-HAFIZ (الحافظ) 
 
Al-Hafiz dikatakan lebih tinggi dari Al-Muhaddits. Ia mempunyai pengetahuan seperti yang digambarkan untuk al-Muhaddits, dengan tambahan-tambahan yang lebih rumit dan kompleks. 
 
Al-Mizzi (w.742H) menyebutkan: Dia adalah orang yang mengetahui periwayat-periwayat dengan lebih detail. Dia mengetahui latar belakang mereka, hal-ehwal mereka, tempat-tempat mereka, dan banyak lagi. [at-Tadrib ar-Raawi] 
 
4. AL-HUJJAH (الحجة) 
 
Gelaran ini lebih tinggi dari Al-Hafiz di mana orang yang digelar dengan gelaran ini sangat menghafal, dan menekuni, dan mendalami pada apa yang telah dihafal, dari sanad dan matan, sehingga dia menjadi Hujjah di kalangan manusia, secara umum dan khusus. 
 
Antara yang digelar dengan Al-Hujjah ialah Sufyan atsTsauri (w.198H), Sa’id ibn Mansur (w.227H), ad-Daarimi (w.280H), dan selain mereka. 
 
5. AL-HAKIM (الحاكم) 
 
Pastinya peringkat ini lebih tinggi dari Al-Hujjah dan selainnya. Di mana orang yang digelar dengan Al-Hakim, mereka meluas ilmunya tentang kebanyakan hadits-hadits, sanad dan matan; Jarh Ta’dilnya; Sejarah dan kecatatannya; Gharib dan Mukhtalafnya; Nasikh Mansukhnya; Tawfiq untuk yang bertentangan zahirnya; Syarh bagi yang zahirnya mengelirukan, dan tidak terhilang darinya semua ini kecuali sedikit. 
 
Antara yang digelar Al-Hakim ialah Abu ‘Abdillah Muhammad bin Abdullah Al-Hakim (w.405H), penulis ‘Al-Mustadrak ‘ala Sahihayn’, dan selainnya. 
 
6. AMIRUL MUKMININ (أمير المؤمنين) 
 
Gelaran peringkat tertinggi, di mana terkumpul padanya semua ilmu berkaitan hadits dengan mendalam, dan tak terbayangkan. 
 
Antara yang digelar dengan gelaran ini ialah Syu’bah ibn al-Hajjaj (w.160H), al-Bukhari (w.265H), Muslim (w.261H) dan lain-lain lagi. 
 
INGAT! Gelaran-gelaran ini semuanya tidak diletak sendiri oleh orangnya, tetapi semuanya DIBERIKAN oleh sama ada ulama yang sezaman dengannya ataupun yang kemudian. Mereka kebiasaannya tak suka menerima sebarang gelaran kerana tawadhu dan rendah diri di hadapan ilmu. 
 
Dan susunan peringkat ini juga hanya bersifat umum tanpa kesepakatan yang pasti di kalangan para ulama hadits. 
 
WalLaahu a’lam. 
 
Ruj: Ulum Al-Hadits Asiluha wa Mu’asiruha, karangan Prof Dr Muhammad Abullayts KhairAbaadi. 
 
#BroSyariefShares
 
 

Komen dan Soalan