Utama Blog Halaman 169

Tafsir Surah Al-‘Adiyat – Tafsir Ayat Ke-8 dan Ke-9

0

Tafsir Surah Al-‘Adiyat

Sebelum ini, kita telah membincangkan mengenai :

1. Golongan yang sangat melampau di sisi Allah SWT

2.  Betapa buruk sifat orang yang tahu, tetapi tetap melakukan pengingkaran kepada Allah SWT

**Jangan lupa iktibar tentang Kanud.

Seterusnya, kita akan melihat kenapakah ia boleh berlaku demikian?

Allah SWT beritahu, mereka jadi begitu kerana mereka cinta kepada harta bersangatan hingga lupa kepada Tuhan.

Tafsir Ayat Ke-8:

وَإِنَّهُ لِحُبِّ الخَيرِ لَشَديدٌ

“Dan sesungguhnya dia sangat hebat cintanya kepada kesenangan”.

وَإِنَّهُ

“Sesungguhnya”

Merujuk kepada taukid, yakni betul-betul Allah SWT hendak tekankan perkara ini

حُبِّ

Suka hingga kita akan berusaha untuk mendapatkannya.

Sebab kalimah Hubb ini, selalu merujuk kepada “cinta”. Menggambarkan kesungguhan terhadap perkara yang dia suka tersebut.

الخَيرِ

bermaksud ‘kebaikan

Apakah salah cinta kepada “al-khair” / kebaikan ini?

Ya, salah apabila terlalu cintakan kesenangan dan harta benda sehingga terlupa walhal semua itu datang dari Allah SWT sehingga lupa untuk bersyukur atas nikmat Allah SWT. Oleh sebab itu Allah tidak khususkan kalimah harta ( amwal ) atau anak kerana mungkin telah lazim atau biasa dengari dalam ayat-ayat dalam juzuk “SEBELUM” ini. Maka ada sesuatu yang Allah SWT hendak didik kita pada kalimah ini, iaitu dalam menguruskan jalan ke arah ‘kebaikan’ kena berhati-hati.

1. Perlu kita sedari di mana kita sedang berada di penghujung Al-Quran.

2. Banyak peringatan yang Allah SWT berikan secara khusus tentang nikmat atau kebaikan ( contoh : amwal, aulad ) – harta / anak.

Namun, pada juzuk 30 ini, Allah SWT berikan peringatan secara umum ( kalimah al-khair = kebaikan). Bermaksud apa sahaja. Tidak semesti harta dan anak-anak.

Lafaz umum ini adalah peringatan Allah SWT, agar manusia lebih peka dengan nikmat-nikmat yang dia telah terima.

Contoh :

1. Ada orang boleh sabar dengan tidak cintakan harta, namun leka dengan anak-anaknya;

2.  Ada orang yang boleh sabar dengan nikmat anak, namun lupa manfaat kesihatannya.

شَديدٌ

Dari maksud ‘mengikat tali’ iaitu bermaksud mengikat dengan kuat terhadap sesuatu.

Dalam maksud lain: bersangatan, sungguh-sungguh.

Juga boleh difahami dengan “strict” / tegas betul.

Kemudian Allah SWT memberi teguran:

Tafsir Ayat Ke-9

أَفَلا يَعلَمُ إِذا بُعثِرَ ما فِي القُبورِ

“Maka apakah dia tidak mengetahui apabila dibangkitkan apa yang ada di dalam kubur”,

Apa yang ada dengan kita di dalam kubur?

Tiada apa-apa yang ada di sisi kita. Semuanya hilang/lenyap. Jadi itulah yang sepatutnya kita sedar bila terlalu “syadid dengan kenikmatan” tadi atau cinta sangat dengan dunia. Ia tidak dibawa masuk ke kubur pun.

بُعثِرَ

Bermaksud : perbuatan mengeluarkan sesuatu

Atau maksud lain, bongkar!

Dalam logik kita, sepatutnya “bongkar” adalah suatu kerja yang mendalam. Allah SWT gunakan perkataan ini, namun tetap tiada apa yang “ikuti” kita dalam kubur.

Satu kenyataan sinis dan perlian Allah SWT kepada manusia.

“betul-betul Aku korek, bongkar kan tetapi tidak ada apa-apa bersama kamu dalam kubur”

1. Semua yang ada pada kita akan habis/lenyap. Yang (tetap) kekal hanya (semua) yang berada di sisi Allah SWT dan Dia akan membalas kepada mereka yang sabar (ketika mereka susah dan senang) dengan balasan pahala yang lebih baik dari apa yang telah mereka kerjakan.

2.  Sesiapa yang beramal soleh, sedang ia beriman maka Allah SWT akan menghidupkan mereka dengan kehidupan yang baik dan Allah SWT akan membalas mereka dengan memberi pahala yang lebih dari apa yang telah mereka kerjakan.

Kisah dalam Al-Quran untuk difikirkan:

Rujuk Surah Abasa :

Nabi ditegur kerana bermuka masam / berkerut ketika datang seorang buta. Si buta itu inginkan kebaikan. dia “terganggu” sesi Nabi dengan pemimpin Quraisy.

Nabi berkerut, lalu Allah SWT tegur.

Tuan-puan, kita pun selalu ada gangguan semasa sedang hendak buat baik. Sedang belajar atau mengajar, anak / cucu datang ganggu.

Jangan kerut dahi, jangan tunjukkan muka masam kepada mereka. Mereka “tidak tahu” sebab masih “buta menilai keadaan”. Mungkin yang salah atau kurangnya sedia ialah kita.

Berikan perhatian juga kepada mereka juga.

Ibrah dan Kesimpulan :

1. Kecintaan kepada dunia sangat bahaya, yang boleh menyebabkan kita menjadi golongan yang melampau di sisi Allah SWT.

2. Gaya bahasa Allah SWT dalam ayat ini bersifat umum ( apa sahaja Al Khair / kebaikan ). Menunjukkan kepada kita agar berhati-hati, peka terhadap apa sahaja nikmat agar tidak terleka dengannya. Selalu kena ‘check and balance’.

3. Cara untuk tenteramkan hati dengan cinta dunia ialah, iktibar daripada kubur atau kematian kita. yang mana, kita akan sendirian. Cari dan bawa lah perkara yang kekal ( berupa amalan baik ) sebagai teman kita.

 

Allahu a’lam.

Definisi ad-Din, Solat Sampai Subuh, Al-Ashaagir

0

1. Adakah “Din-mu” maksudnya tabiat, akhlak dan agama?
Din adalah akidah, ibadah, akhlak, munakahat, politik, syariat.

2. Bolehkah kita solat malam selepas tarawih sehingga sebelum masuk waktu subuh? Adakah nama lain untuk panggilan solat tarawih sebelum disyariatkan?

عَنْ أَبِي هُرَيْرَةَ أَنَّ رَسُولَ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ قَالَ : ” مَنْ قَامَ رَمَضَانَ إِيمَانًا وَاحْتِسَابًا غُفِرَ لَهُ مَا تَقَدَّمَ مِنْ ذَنْبِهِ ” رواه البخاري 37 ومسلم 759

Barang siapa melakukan qiyam (al-lail) pada bulan Ramadhan, kerana iman dan mencari pahala, maka diampuni untuknya apa yang telah lalu dari dosanya.” [Bukhari & Muslim].
Solat tarawih zaman Nabi saw dikenali dengan Qaama Ramadhan atau qiyam atau mendirikan malam Ramadhan, qiyamulail.

3. Mohon status hadis ini.
Rasulullah sallallahu ‘alaihi wa sallam bersabda,

إِنَّ مِنْ أَشْرَاطِ السَّاعَةِ أَنْ يُلْتَمَسَ الْعِلْمُ عِنْدَ اْلأَصَاغِرِ

“Sesungguhnya di antara tanda-tanda Kiamat adalah dipelajarinya ilmu dari al-Ashaaghir.” [Ibnul Mubarak].
Tahqiq al-Albani,

إنَّ من أشراطِ الساعةِ أن يُلتمسَ العِلمُ عند الأصاغرِ
الراوي : أبو أمية الجمحي | المحدث : الألباني | المصدر : السلسلة الصحيحة
الصفحة أو الرقم: 695 | خلاصة حكم المحدث : إسناده جيد

Sanadnya jayyid. Hadis hasan.
Fiqh hadis:
Al-Ashaaghir ialah ahli bid’ah.

Cabang-Cabang Iman – Cabang Iman Ke-18 hingga Ke-21

0

Cabang-Cabang Iman

Cabang Iman Ke-18

Mudahkan hal Ilmu dan Pengajar Ilmu

Contohnya, amalan pembukuan Al-Quran. Pengumpulan hadis-hadis dan penyusunan kitab-kitab hadis, pembangunan madrasah dan sekolah dan amal yang sepertinya.

Tasdiqkan lah di dalam hati, bahawa Allah SWT telah memudahkan agama ini berbanding dengan agama-agama Allah SWT yang terdahulu, dan Rasulullah SAW telah menunjukkan contoh dan praktikal yang termudah, begitulah juga para salafusoleh telah berkhidmat dalam hal ilmu ini untuk memudahkan ilmu ini dipelajari dengan adanya kitab-kitab, madrasah dan yang seumpamanya.

Sampaikanlah dan ulang-ulangkan percakapan bahawa Islam dan ilmu Islam ini telah banyak sangat kemudahannya.

Sampaikanlah dengan cara yang paling mudah untuk di fahami.

Amalkanlah dengan memudahkan ahli keluarga kita, jiran-jiran dan komuniti terdekat kita untuk mendapatkan ilmu. Bagi pihak para pengajar agama kita bantulah dalam perkara yang boleh memudahkan tugasan mereka secara langsung atau secara tidak langsung dengan membantu urusan keperluan harian bagi pengajar yang memerlukan bantuan.

 

Cabang Iman Ke-19

Mengagungkan Al-Quran

Secara literalnya Al-Quran adalah kitab yang berupa risalah/mesej Allah SWT kepada manusia.

Sebaik sahaja wahyu pertama diturunkan, Nabi Muhammad SAW memulakan tugasannya menyebar Risalah dengan jawatan yang diberi nama Rasul Allah SWT.

Al-Quran disampaikan kepada manusia dengan lisan atau bahasa percakapan Rasulullah SAW.

Isi kandungan Al-Quran yang sangat jelas dan tersimpan di dalamnya khazanah ilmu dari Allah SWT yang MAHA MENGETAHUİ. Terlalu banyak keajaiban Al-Quran dan ianya mukjizat yang akan kekal hingga kiamat.

Tasdiqkanlah Al-Quran adalah Kitabullah. Tiada keraguan tentangnya, isu kandungannya dan maksud-maksudnya.

Tablighkanlah akan kelebihan-kelebihan belajar dan membaca Al-Quran dari hadis sahih.

Amallah dengan memuliakan Al-Quran dengan adab-adab terhadap mushafnya, bacaannya, ahlinya dan majlisnya.

Cabang Iman Ke-20

Bersuci.

Bersuci dari hadas dan najis. Mafhum dari hadis bersuci adalah sebahagian dari İman.

Berwudhu, istinjak dan mandi adalah amalan bersuci.

Tasdiqkanlah bersuci ini adalah amalan yang sangat murni, kerana membebaskan fizikal dan rohani dari “kekotoran”.

Taqrir dan sampaikanlah akan kelebihan bersuci.

Amallah dalam setiap saat hidup kita sentiasa bersuci dan cari jalan/ kaedah bersuci baik suci luaran atau dalaman. Sentiasa dalam wudhu adalah sunnah.

 

Cabang Iman yang Ke-21

Solat

Solat adalah tiang agama, solat adalah mikraj (komunikasi langsung) mukmin dengan Allah SWT dalam keadaan yang paling disukai oleh Allah SWT.

Tasdiqkanlah di dalam hati bahawa solat adalah satu perintah yang agung dan amalan yang ulung, semua nabi-nabi meminta bantuan dengan jalan solat.

Tablighkanlah kelebihan solat fardhu dan sunat..

Amallah solat dengan sempurna, seperti yang ditunjukkan oleh Rasulullah SAW.

Allahu a’lam.

LAUNGAN AZAN DI MANA-MANA

0

UiTO Channel: Tazkirah Harian:

LAUNGAN AZAN DI MANA-MANA

المؤذن يؤذن ! 🕐

Tok Bilal melaungkan azan!

الجوال يؤذن ! 🕖

Telefon bimbit melaungkan azan!

الراديو يؤذن ! . 🕘

Radio melaungkan azan!

التلفاز يؤذن ! 🕝

TV melaungkan azan!

الكمبيوتر يؤذن ! 🕓

Komputer melaungkan azan!

ساعة الحائط تؤذن ! 🕟

Jam dinding melaungkan azan!

ومع ذلك نتأخر عن الصلاة …!!

Walaupun semua ini melaungkan azan, kita masih lewat mengerjakan solat….!!

سُئل أحدهم : ماهو أفضل البرامج لمواقيت الصلاة ؟

Ditanya kepada seseorang “apakah apps yang paling bagus untuk mengetahui waktu solat?”

فأجاب : ﴿القلب﴾ ❤️

Jawab beliau: {HATI}

لأنه إذا كان حاضراً
تنبّه من دون منبهات !!!

Kerana jika HATI itu ADA ia akan SEDAR tanpa sebarang PENGGERA.

وإذا كان لاهياً …
فلن تنفعه جميع المنبهات🔔 !!!

Tetapi jika HATI itu LALAI dan LEKA. Tiada PENGGERA yang boleh MENYEDARKANNYA!!!!

Terjemahan: UARS

____
Sertai Channel @BroSyariefShares << Telegram

Tafsir Surah Ghafir – Tafsir Ayat Ke-56 dan Ke-57

0

Tafsir Surah Ghafir

Tafsir Ayat Ke-56

Ini adalah ayat Zajrun

إِنَّ الَّذينَ يُجادِلونَ في آياتِ اللَّهِ بِغَيرِ سُلطانٍ أَتاهُم ۙ إِن في صُدورِهِم إِلّا كِبرٌ ما هُم بِبالِغيهِ ۚ فَاستَعِذ بِاللَّهِ ۖ إِنَّهُ هُوَ السَّميعُ البَصيرُ

“Sesungguhnya orang-orang yang membantah mengenai maksud ayat-ayat Tuhanmu dengan tidak berdasarkan sebarang bukti yang sampai kepada mereka (dari pihak yang diakui benarnya), tidak ada dalam dada mereka melainkan perasaan mahukan kebesaran, kemahuan yang mereka tidak sekali-kali akan dapat mencapainya. Oleh itu mintalah perlindungan kepada Allah SWT (dari angkara mereka); sesungguhnya Dia lah jua Yang Maha Mendengar, lagi Maha Melihat”.

إِنَّ الَّذِينَ يُجَادِلُونَ فِي آيَاتِ اللَّهِ

Sesungguhnya orang-orang yang membantah ayat-ayat Allah SWT,

Musyrikin Mekah tidak senang dengan ajaran Al-Al-Quran dan mereka menentang apa sahaja yang mereka dengar dari Al-Quran.

Tetapi zaman sekarang di kalangan masyarakat kita pun, ada juga iaitu mereka yang tidak senang dengan ayat Al-Quran ini, sentiasa membantah pengajaran dari tafsir Al-Quran.

Memang mereka tidak tolak Al-Quran, tetapi apabila kita beritahu makna sesuatu ayat berdasarkan pengajaran tafsir, mereka akan bantah kalau berlawanan dengan fahaman mereka yang salah, dan kerana berlawanan dengan kehendak nafsu mereka.

بِغَيْرِ سُلْطَانٍ أَتَاهُمْ

tanpa dalil bukti yang datang pada mereka.

Dan mereka bantah bukan pakai dalil pun. Mereka hanya menggunakan akal sebagai dalil mereka. Mereka kata “takkan salah amalan-amalan yang tok nenek kita buat kot…”.

Kalau mereka bantah dengan beri dalil dan bukti sahih, tidaklah mengapa. Tetapi mereka bantah dengan bantahan kosong sahaja. Ini memang tidak patut. Kita bukan larang orang tidak setuju dengan kita dan kadang-kadang mungkin kita ada kesalahan. Ini biasa sahaja kerana kita bukannya Nabi.

Tetapi kenalah ada perbandingan ilmu dan perbincangan yang berlandaskan ilmu. Kalau bantah kosong sahaja, pakai akal sahaja, semua orang boleh. Akhirnya semua ada fahaman masing-masing dan ini tidak patut kerana yang kita mahu adalah kebenaran. Dan kebenaran yang berasaskan dalil Al-Quran dan sunnah dari Nabi SAW. Kalau bawa kata-kata manusia, belum tentu benar lagi.

Tetapi begitulah manusia ramai yang tidak tahu apakah maksud ‘dalil’. Pada mereka kalau orang dulu buat, ada dalam kitab itu dan ini, ada ulama kata boleh buat amalan itu dan ini, mereka dah kata itu adalah ‘dalil’. Tetapi sebenarnya tidak.

إِنْ فِي صُدُورِهِمْ إِلَّا كِبْرٌ

Dalam hati mereka itu tidak ada lain melainkan kesombongan.

Allah SWT beritahu kenapa mereka menolak dan menentang. Ada masalah dalam hati mereka sebenarnya. Mereka sombong untuk terima kebenaran.

Mereka tidak terima itu bukan kerana ‘tidak tahu’, tetapi kerana ‘degil’ sahaja. Walaupun kebenaran telah datang di hadapan mereka, tetapi mereka sombong tidak mahu terima. Mereka hendak berada di tempat yang tinggi, sampai tidak mahu terima pendapat orang lain.

Walaupun ajaran yang Nabi sampaikan itu adalah dari Allah SWT, tetapi ramai yang sombong untuk terima.

Kalau zaman sekarang ini, ada golongan agamawan yang telah dipandang tinggi oleh masyarakat. Jadi apabila diberitahu ajaran yang berlainan dari apa yang mereka ajar sebelum ini, maka mereka risaulah sebab kedudukan mereka terancam. Maka mereka lawan ajaran sunnah. Mereka hendak mereka tetap di atas dipandang tinggi oleh masyarakat.

مَا هُمْ بِبَالِغِيهِ

sedangkan mereka tidak akan boleh mencapainya

Sedangkan mereka tidak akan dapat mencapai kedudukan yang mereka hendak itu. Mereka hanya perasan sahaja yang mereka berada di kedudukan yang tinggi. Tidak akan sesiapa mencapai darjat yang tinggi melainkan jika Allah SWT kehendaki.

Dan Allah SWT tidak suka orang yang membesarkan diri, orang yang sombong. Kerana sombong itu adalah sifat Allah SWT – al-Mutakabbir. Allah SWT tidak suka kalau ada orang lain yang juga ada perasaan sebegitu, kerana itu adalah haq-Nya.

فَاسْتَعِذْ بِاللَّهِ

Hendaklah kamu minta perlindungan kepada Allah SWT.

Kalau ada orang yang sebegini berhadapan dengan kita, maka mintalah perlindungan kepada Allah SWT dari kesan buruk dari mereka. Kerana mereka mungkin ada kekuatan dan kuasa hendak sakiti kita atau penjara kita.

Serahkan kepada Allah SWT sahaja. Kerana Allah SWT akan menjaga hamba-Nya yang mukmin dan beri kemenangan kepada orang mukmin. Mintalah kepada Allah SWT untuk apa sahaja yang kesulitan yang kita hadapi.

إِنَّهُ هُوَ السَّمِيعُ

Sesungguhnya Dia Maha Mendengar.

Dia Maha Mendengar doa kita kepada-Nya. Tidak ada sembahan lain yang boleh mendengar doa kita.

Dia juga mendengar apa sahaja kata-kata orang kepada kita. Jadi jangan risaulah, bukan Allah SWT tidak tahu.

Dan Allah SWT mendengar apa kata hati kita kepada orang lain.

الْبَصِيرُ

Maha melihat.

Maha melihat tindak tanduk orang kepada kita dan tindak tanduk kita kepada orang.

Jadi, hendaklah kita berhati-hati dengan kelakuan kita kepada orang lain. Kalau orang lain buat jahat, jangan kita pun hendak buat jahat sekali sama macam mereka.

Tafsir Ayat Ke-57

Dalam dunia ini, kita tahu bahawa benda-benda besar macam langit, bulan, matahari dan lain-lain adalah ciptaan Allah SWT. Maka dari itu, kita boleh ambil dalil bahawa benda-benda kecil pun Tuhan boleh buat. Dalil sebegini dipanggil ‘dalil Inni’.

Ayat ini adalah dalil Aqli tentang adanya Hari Kiamat. Orang musyrikin Mekah tidak percaya adanya kehidupan selepas kematian. Kerana mereka tidak boleh terima yang Allah SWT boleh hidupkan semula makhluk yang telah lama mati. Maka, Allah SWT berikan dalil kepada mereka dalam ayat ini.

Ayatnya:

لَخَلقُ السَّماواتِ وَالأَرضِ أَكبَرُ مِن خَلقِ النّاسِ وَلٰكِنَّ أَكثَرَ النّاسِ لا يَعلَمونَ

“Demi sesungguhnya, menciptakan langit dan bumi lebih besar (dan lebih menakjubkan) daripada menciptakan manusia; akan tetapi kebanyakan manusia tidak mengetahui”.

لَخَلْقُ السَّمَاوَاتِ وَالْأَرْضِ

“Sesungguhnya, penciptaan langit dan bumi”

Allah SWT menyuruh kita melihat kepada dua makhluk yang paling besar yang kita boleh nampak – langit dan bumi. Tentu ada lagi makhluk lain yang lebih besar, seperti Arasy, tetapi kita tidak boleh nampak. Maka, Allah SWT suruh kita lihat kepada langit dan bumi yang besar ini kerana kita boleh lihat dengan senang. Maka ianya dijadikan sebagai dalil.

أَكْبَرُ مِنْ خَلْقِ النَّاسِ

“lebih besar dari penciptaan manusia”.

Tentulah kita pun tahu, langit dan bumi ini lebih besar dari manusia. Kalau kita lihat secara zahir, kita tentu sangka untuk cipta langit dan bumi lagi payah dari cipta manusia. Tetapi bagi Allah SWT, serupa sahaja dua-dua penciptaan ini – mudah sahaja bagi Allah SWT.

Dan sangatlah hebatnya alam ini. Semua bintang yang kita boleh lihat dengan teropong dan segala bintang yang sama ada kita boleh nampak atau tidak di cakerawala itu adalah semuanya sekali di bawah langit pertama. Ada 4 billion matahari. Tidak terkira banyaknya bintang-bintang itu. Dan semuanya duduk di bawah langit pertama.

Kembali kepada dalil yang hendak disampaikan oleh Allah SWT – Allah SWT suruh kita tengok langit dan bumi ini. Keduanya adalah makhluk yang besar yang Allah SWT mampu buat. Bandingkan dengan diri manusia yang lebih kerdil dari keduanya itu. Kalau langit dan bumi yang begitu besar pun Allah SWT pun mampu buat, apatah lagi untuk menghidupkan kembali manusia selepas Hari Kiamat kelak? Tentulah Allah SWT mampu.

وَلَٰكِنَّ أَكْثَرَ النَّاسِ لَا يَعْلَمُونَ

“Tetapi kebanyakan manusia itu tidak mengetahui”.

Musyrikin Mekah tidak dapat terima akhirat itu akan terjadi kerana mereka ikut akal mereka yang lemah. Mereka kata tidak akan terjadi penghidupan semula.

Di akhirat nanti, semua manusia akan bangkit serentak apabila ditiupkan sangkakala. Padahal, masa nak jadikan makhluk-Nya dulu, ikut proses – dari mani, disimpan dalam rahim ibu, dan kemudian melalui proses sakit bersalin.

Proses-proses ini adalah kerana Allah SWT hendak tunjukkan kehebatan Dia sahaja. Padahal, sepertimana Dia boleh membangkitkan semua makhluk sekali gus pada hari akhirat nanti, Dia boleh sahaja menjadikan manusia yang pertama kali itu dengan terus sahaja tanpa melalui proses-proses di atas tadi.

Kerana itu Allah SWT suruh lihat langit dan bumi – kalau langit dan bumi yang besar dan hebat itu pun Allah SWT boleh jadikan, apatah lagi kalau hendak jadikan semula manusia dari mati kepada hidup. Senang sahaja bagi Allah SWT.

Mereka yang tidak dapat terima itu adalah kerana mereka tidak mahu berfikir. Mereka hendak ikut juga hawa nafsu mereka dan kerana itu mereka tidak mahu menerima ada kehidupan selepas kematian. Kerana kalau mereka terima adanya kehidupan selepas kematian, mereka tidaklah boleh sesuka hati selama mereka hidup ini. Sekarang mereka boleh buat apa sahaja yang mereka hendak buat, kerana mereka yakin yang mereka tidak akan dipertanggungjawabkan selepas itu.

Inilah Tauhid Rububiyyah. Mereka kenal Allah SWT dan mereka tahu yang Allah SWT itu Tuhan. Mereka tahu yang alam ini Allah SWT yang cipta dan jaga. Cuma mereka jadi syirik sahaja kerana mereka beriktikad ada ilah lain.

Kalau ada keinginan hati manusia kepada kebenaran, doa minta Allah SWT tunjukkan kebenaran, Allah SWT akan pandu orang itu kepada kebenaran.

Allahu a’lam.

Berbuka Bermusafir Ramadhan, Berbuat Haram Bersendirian, Menyempurnakan Akhlak.

0

1. Sekiranya suami-isteri bermusafir sebab untuk berjimak pada masa Ramadhan, bukan itu dikira helah?
Jika dia musafir dan berbuka kerana musafir, maka halallah dia makan dan jimak.

Dalil:

فَمَنْ كَانَ مِنْكُمْ مَرِيضاً أَوْ عَلَى سَفَرٍ فَعِدَّةٌ مِنْ أَيَّامٍ أُخَرَ

“Barangsiapa yang sakit atau sedang dalam perjalanan maka hendaknya mengganti pada hari yang lain” [Al Baqarah: 184].

2. Apakah status hadis di bawah ini dan bolehkah kita kaitkan perbuatan haram ketika bersendirian dengan hadis ini?
Sayidina Tsauban ra menceritakan bahawa Nabi saw bersabda:

عَنْ ثَوْبَانَ عَنْ النَّبِيِّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ أَنَّهُ قَالَ لَأَعْلَمَنَّ أَقْوَامًا مِنْ أُمَّتِي يَأْتُونَ يَوْمَ الْقِيَامَةِ بِحَسَنَاتٍ أَمْثَالِ جِبَالِ تِهَامَةَ بِيضًا فَيَجْعَلُهَا اللَّهُ عَزَّ وَجَلَّ هَبَاءً مَنْثُورًا قَالَ ثَوْبَانُ يَا رَسُولَ اللَّهِ صِفْهُمْ لَنَا جَلِّهِمْ لَنَا أَنْ لَا نَكُونَ مِنْهُمْ وَنَحْنُ لَا نَعْلَمُ قَالَ : أَمَا إِنَّهُمْ إِخْوَانُكُمْ وَمِنْ جِلْدَتِكُمْ وَيَأْخُذُونَ مِنْ اللَّيْلِ كَمَا تَأْخُذُونَ وَلَكِنَّهُمْ أَقْوَامٌ إِذَا خَلَوْا بِمَحَارِمِ اللَّهِ انْتَهَكُوهَا

“Aku benar-benar mengetahui beberapa kaum dari umatku, mereka akan datang pada hari Kiamat dengan membawa kebaikan-kebaikan sebesar gunung Tihamah yang berwarna putih, akan tetapi Allah SWT akan menjadikannya sebagai debu yang berhamburan”. Tsauban ra berkata: “Wahai Rasulullah! Terangkan sifat mereka kepada kami! Terangkan keadaan mereka kepada kami, agar kami tidak termasuk golongan mereka padahal kami tidak mengetahui!” Baginda saw bersabda: “Sesungguhnya mereka itu adalah saudara-saudara kamu, dari kulit kamu, mereka mengisi sebahagian malam sebagaimana kamu mengisinya (dengan ibadah), namun mereka adalah kaum yang jika menyendiri (bersendirian), mereka melanggar perkara-perkara yang diharamkan oleh Allah SWT” [HR Ibnu Majah. Sahih]
Status hadis:
Hadis ini daif di sisi al Uqaili dan Ibn Adi kerana perawi Uqbah bin alqamah tetapi sahih di sisi al-Albani.
Maksud hadis ini kata Ibn Hajar, ialah aktiviti puak Munafiqin.

3. Adakah hadis, “Nabi saw diutus untuk menyempurnakan akhlak” dari Muslim? Bolehkah terangkan maksud hadis ini? Kenapa tidak disebutkan berdakwah untuk mentauhidkan Allah?
Takhrij:

إِنَّمَا بُعِثْتُ ِلأُتَمِّمَ صَالِحَ اْلأَخْلاَقِ

“Sesungguhnya aku diutus untuk menyempurnakan akhlak yang baik.” [Bukhari dalam Adabul Mufrad, sahih, al-Albani, Sahih Adabul Mufrad: 207].
Fiqh hadis:
Ia menjelaskan maksud ayat al-quran:

الْيَوْمَ أَكْمَلْتُ لَكُمْ دِينَكُمْ

“Pada hari ini telah Aku sempurnakan bagi kamu Din-mu” [Al-Maa’idah: 3]
Sempurnanya Islam ini maksudnya Nabi saw telah berjaya menyempurnakan semua objektif agama, baik akidah, ibadah, muamalat, politik, munakahat dan akhlak. Akhlak ini salah satu komponen ajaran Islam yang Nabi saw telah halal,menyempurnakannya. Akhlak adalah tanda iman, buah dari tauhid. Akidah yang benar, maka akhlaknya kena baik. Jika akhlak jahat atau buruk, maka akidah tidak betul.
Maka Islam = akidah, akhlak (tasauf), ibadat, munakahat, muamalat, siasah, dan syariat atau hudud.

Hukum Pembahagian Daging Korban kepada Non-Muslim

0

Bagaimana hukum pembahagian daging korban kepada non-muslim? Semasa Aidil Adha di Singapura baru-baru ini ramai yang beratur mengambil daging korban tersebut dan di antaranya ada yang berbangsa India.

Pembahagian daging korban mengikut pendapat Mazhab:

1.  Mazhab Syafie berpendapat haram memberi makan daging korban kepada orang bukan Islam, sama ada daging korban sunat atau wajib (nazar) kepada orang bukan Islam.

2.  Mazhab Maliki berpendapat makruh memberi makan daging korban sunat kepada orang bukan Islam dan tidak harus (haram) memberi mereka makan daging korban wajib, seperti korban yang dinazarkan, sama seperti hukum zakat.

3.  Mazhab Hambali berpendapat harus menghadiahkan daging korban sunat kepada orang bukan Islam dan haram menghadiahkan kepada mereka daging korban wajib.

Allahu a’lam.

Keliru Hidayah dan Taufiq?

0

Beza Hidayah dan Taufiq

Hidayah

Hidayah adalah Petunjuk Allah SWT yang didapati dari proses belajar. Petunjuk Allah SWT yang dimaksudkan tersebut adalah Al-Quran dan Sunnah. Hidayah ini memang telah sampai kepada kita.

Taufiq

Kekuatan yang Allah SWT tanamkan terhadap seseorang, sehingga orang tersebut merasa mudah untuk mengamalkan ajaran-ajaran Islam yang sudah dipelajarinya. Juga dia sanggup untuk mengamalkannya.

KESIMPULAN

Hidayah bukan untuk dinanti tetapi harus dicari oleh kita sendiri dengan cara mempelajari Al-Quran dan Sunnah.

Berbeza dengan taufiq yang hanya boleh didapati atas kehendak Allah SWT. AKAN TETAPI, bukan bererti kita serta merta menunggu taufiq itu datang. Itu sebab kita mohon doa kepada Allah SWT supaya beri taufiq dan hidayah kepada kita.

Berdasarkan definisi di atas, taufiq diberikan untuk mempermudah seseorang mengamalkan ajaran-ajaran Islam yang sudah dipelajarinya. Kata kuncinya adalah “ajaran-ajaran Islam yang ‘sudah’ dipelajarinya”.

Ini bermaksud untuk mendapatkan taufiq kita harus mempelajari terlebih dahulu hidayah Allah SWT.

Allahu a’lam.

 

Tafsir Surah Ghafir – Tafsir Ayat Ke-55

0

Tafsir Surah Ghafir

Tafsir Ayat Ke-55

Ini adalah ayat Tasliah untuk memujuk hati hamba-Nya yang berjuang untuk menegakkan agama Allah SWT dengan menyampaikan dakwah.

فَاصبِر إِنَّ وَعدَ اللهِ حَقٌّ وَاستَغفِر لِذَنبِكَ وَسَبِّح بِحَمدِ رَبِّكَ بِالعَشِيِّ وَالإِبكارِ

“(Setelah engkau mengetahui perihal Nabi SAW Musa dan umatnya) maka bersabarlah (wahai Muhammad, dalam perjuangan menegakkan Islam); sesungguhnya janji Allah SWT (untuk menjayakanmu) adalah benar. Dan pohonlah ampun bagi salah silapmu, serta bertasbihlah dengan memuji Tuhanmu pada waktu pagi dan petang”.

فَاصْبِرْ

Bersabarlah kamu.

Allah SWT menyuruh Nabi SAW dan kita semua untuk bersabar. Ingatlah bahawa dengan sabar juga, kita akan dapat pahala. Allah SWT berikan dugaan untuk kita, supaya kita dapat pahala tambahan dengan sabar itu.

Terdapat satu hadis berkenaan dengan hal sabar ini. Satu hari, apabila Nabi SAW sudah solat, baginda mendengar seorang sahabat yang sedang berdoa. Sahabat itu sedang berdoa: “Berilah pada aku, sabar”. Maka Nabi SAW berkata kepadanya: “adakah kamu hendak meminta bala?”

Sabar tidak akan datang, melainkan bala datang dahulu kerana bala dan sabar adalah serangkai. Ini bermakna, sesiapa minta untuk jadi seorang yang sabar, bermakna dia minta bala sebenarnya. Mungkin ramai yang tidak tahu perkara ini dan bila saya sebut ramai yang terkejut, bukan?

Kita sebenarnya disuruh untuk sabar apabila sudah datang bala kepada kita. Apa yang boleh kita berdoa adalah supaya kita tidak ditimpakan dugaan yang kita tidak boleh hadapi. Doa ini ada di dalam surah [Baqarah: 286] iaitu surah terakhir dalam surah Baqarah. Gunakan doa dalam ayat yang telah Allah SWT berikan dalam ayat ini dan jangan kita reka doa-doa yang lain. Ingat, jangan minta dijadikan sebagai orang yang sabar!!

لَا يُكَلِّفُ اللَّهُ نَفْسًا إِلَّا وُسْعَهَا ۚ لَهَا مَا كَسَبَتْ وَعَلَيْهَا مَا اكْتَسَبَتْ ۗ رَبَّنَا لَا تُؤَاخِذْنَا إِنْ نَسِينَا أَوْ أَخْطَأْنَا ۚ رَبَّنَا وَلَا تَحْمِلْ عَلَيْنَا إِصْرًا كَمَا حَمَلْتَهُ عَلَى الَّذِينَ مِنْ قَبْلِنَا ۚ رَبَّنَا وَلَا تُحَمِّلْنَا مَا لَا طَاقَةَ لَنَا بِهِ ۖ وَاعْفُ عَنَّا وَاغْفِرْ لَنَا وَارْحَمْنَا ۚ أَنْتَ مَوْلَانَا فَانْصُرْنَا عَلَى الْقَوْمِ الْكَافِرِينَ

Allah SWT tidak memberati seseorang melainkan apa yang terdaya olehnya. Ia mendapat pahala kebaikan yang diusahakannya, dan ia juga menanggung dosa kejahatan yang diusahakannya. (Mereka berdoa dengan berkata): “Wahai Tuhan kami! Janganlah Engkau mengirakan kami salah jika kami lupa atau kami tersalah. Wahai Tuhan kami ! Janganlah Engkau bebankan kepada kami bebanan yang berat sebagaimana yang telah Engkau bebankan kepada orang-orang yang terdahulu daripada kami. Wahai Tuhan kami! Janganlah Engkau pikulkan kepada kami apa yang kami tidak terdaya memikulnya. Dan maafkanlah kesalahan kami, serta ampunkanlah dosa kami, dan berilah rahmat kepada kami. Engkaulah Penolong kami; oleh itu, tolonglah kami untuk mencapai kemenangan terhadap kaum-kaum yang kafir”. [Al-Baqarah: 286]

 Baik, kembali kepada ayat hari ini. Ada banyak perkara yang kita kena sabar dalam hal agama ini. Maka bersabarlah dalam usaha untuk melaksanakan syariat yang telah Allah SWT berikan kepada kita. Terdapat dugaan di dalam menjalankan perintah Allah SWT.

Syariat agama kita bukannya susah sangat sebenarnya, tetapi kita maklum yang kadang-kadang susah hendak amalkan agama ini. Seperti Allah SWT menguji manusia kadang-kadang puasa dalam musim sejuk, dan kadang-kadang dalam musim panas; kadang hendak solat tetapi sedang sibuk dengan kerja, atau terkandas dalam perjalanan balik ke rumah; atau kita sedang sakit dan sebagainya. Semua ini memerlukan kesabaran.

Dan satu lagi, bersabarlah untuk memegang sunnah Nabi SAW. Ini adalah satu perkara yang payah sekali untuk kita lakukan. Banyak perbuatan manusia yang kita lihat adalah bercanggah dengan syariat. Contohnya, menyambut perayaan Maulidur Rasul, Majlis Tahlil, Marhaban dan macam-macam lagi.

Menyambut Maulid Nabi SAW adalah contoh perbuatan bid’ah dan amat ramai sekali umat Islam di dunia meraikannya, padahal ia adalah satu perbuatan yang salah dan sia-sia. (Malah ada yang buat sambutan maulid bulan dan mingguan pun ada). Ia menjadi masalah kepada kita untuk tidak menyambutnya kerana ia disambut oleh majoriti umat Islam. Orang akan memandang serong kepada kita kalau kita tidak menyambutnya. Mereka akan kata kita tidak sayangkan Nabi Muhammad SAW pula. Jadi, kena bersabar dalam menghadapi tohmahan dari orang-orang yang sebegini.

إِنَّ وَعْدَ اللَّهِ حَقٌّ

Sesungguhnya janji Allah SWT itu benar.

Bersabarlah kerana janji Allah SWT itu benar. Iaitu janji Allah SWT untuk memberi syurga kepada manusia adalah benar.

Dan bersabarlah kerana janji Allah SWT untuk memberi balasan baik kepada mereka yang bersabar adalah benar. Ia pasti datang, cuma lambat atau cepat sahaja.

Bersabarlah kerana Allah SWT telah berjanji untuk beri kejayaan kepada kita.

Jadi inilah pelembut hati untuk kita – semasa kita kena dugaan itu, kenanglah yang Allah SWT akan beri balasan baik kepada mereka yang sabar. Tetapi kena sabarlah dan jangan merungut, kerana kalau merungut, itu sudah tidak termasuk dalam golongan yang sabar. Redha sahaja dengan apa yang terjadi.

وَاسْتَغْفِرْ لِذَنْبِكَ

Hendaklah kamu minta ampun dosa-dosamu.

Dalam masa bersabar itu, sibukkan diri dengan amalan kebaikan. Salah satunya istighfar atas dosa kita. Ayat ini asal khitabnya kepada Nabi Muhammad SAW, tetapi bukanlah bermaksud Nabi Muhammad SAW ada dosa. Nabi Muhammad SAW tidak berdosa kerana iktikad ahli sunnah kita, semua Nabi SAW adalah maksum – tidak berdosa. Jadi maksud ayat ini adalah untuk mengajar umat, untuk selalu istighfar. Malah baginda sendiri istighfar, bukan?

Pengajaran untuk kita: mintalah ampun untuk dosa kita SEMUA sekali. Jangan malu hendak minta Allah SWT ampunkan dosa kita. Tidak kira banyak mana pun dosa kita, mintalah ampun. Kadang-kadang ada yang malu hendak minta Allah SWT ampunkan semua dosa kita, takut kita minta lebih pula. Padahal, Allah SWT boleh sahaja beri ampun semua sekali dosa kita.

Satu lagi, apabila orang tolak kita dan lawan kita, syaitan akan tunjukkan keburukan orang yang tolak kita itu. Ada kemungkinan kita boleh ambil kesempatan itu untuk serang dia balik. Jika kita lakukan begitu, kita pula yang akan berdosa kerana serang dia balik. Maka Allah SWT ajar kita untuk fikirkan dosa kita, bukan untuk fikirkan dosa orang lain. Biarkanlah mereka mahu meroyan, jangan kita ikut meroyan macam mereka pula.

وَسَبِّح بِحَمدِ رَبِّكَ بِالعَشِيِّ وَالإِبكارِ

“serta bertasbihlah dengan memuji Tuhanmu pada waktu pagi dan petang”.

Selain dari istighfar, hendaklah kamu sentiasa menyucikan sifat-sifat syirik yang ada dalam hati. Itulah maksud ‘tasbih’. Ada ramai orang yang sebut ‘subhanAllah’, tetapi mereka tidak faham apakah maksud tasbih itu sendiri.

Tasbih adalah membersihkan Allah SWT dari sifat yang tidak layak bagi Allah SWT. Amat malang kalau ada yang selalu bertasbih, tetapi dalam masa yang sama mereka melakukan syirik. Mulut mereka menyucikan Allah SWT dari sifat syirik, tetapi mereka pula yang buat syirik. Tidak kena apa yang disebut dengan mulut dan perbuatan mereka. Ini adalah kerana tidak belajar.

Ayat ini juga bermaksud yang kita kena sentiasa memuji Tuhan. Iaitu dengan baca tahmid (alhamdulillah, alhamdulillah, alhamdulillah). Oleh itu, ada zikir yang berbentuk tasbih (menyucikan) dan ada zikir dalam bentuk puji. Ini dipanggil ‘nafi’ dan ‘ithbat’. Begitulah dalam syahadah kita la ilaha illAllah, ada nafi dan ada ithbat, di mana kita menafikan sifat-sifat yang tidak patut dengan Allah SWT dan kemudian kita menetapkan sifat-sifat yang sesuai dengan Allah SWT.

Senangnya, kita buat semua sekali, iaitu dengan berzikir astaghfirullah, SubhanAllah, walhamdulillah, walailaha illAllah, wAllahu akbar. Dan lain-lain zikir yang sunnah dari Nabi SAW.

Jangan pula ambil amalan zikir dari sumber yang tidak dapat dikenal pasti. Banyak berlegar dalam masyarakat kita, amalan-amalan yang salah. Kalau tidak belajar, boleh tertipu. Antaranya yang diambil dari kitab-kitab yang tidak merujuk kepada sunnah. Sebab itu kita selalu pesan, kena belajar tafsir dan hadis Nabi SAW sebelum merujuk kepada kitab-kitab yang ada di pasaran.

Apabila dikatakan waktu ‘pagi dan petang’, maknanya ‘sepanjang masa’. Dalam masa yang sama, ada zikir-zikir masnoon yang Nabi SAW ajar yang diamalkan mengikut waktu-waktu tertentu. Ada yang dibaca pagi, ada yang dibaca petang. Boleh rujuk kepada kitab-kitab Sunnah seperti Hisnul Muslim untuk mendapatkan amalan-amalan ini. Zikir-zikir yang ada dalam kitab ini dinamakan Zikir-zikir Masnoon, iaitu amalan zikir harian yang ada sumber dari Nabi Muhammad SAW, melalui sanad-sanad yang sahih.

Allah SWT ajar kita untuk sibukkan diri dengan amal ibadat. Bila sibuk dengan amal ibadat, kuranglah teringat tentang perkara lain, bukan?

Lafaz ‘tasbih’ itu juga boleh bermaksud ‘solat sunat’. Selalulah buat solat sunat.

Jangan kita fikir tentang rancangan jahat manusia dan apa-apa yang mereka kata tentang kita dan kepada kita. Kalau kita buat sesuatu yang baik, kita akan terlupa dengan perkara-perkara yang tidak perlu kita fikirkan. Kerana kita bukan boleh ubah pun apa yang mereka katakan itu. Kalau mereka ada perancangan jahat, kita pun tidak boleh buat apa-apa pun. Jadi buang masa kalau kita cuba nak lawan perancangan mereka, atau kita cuba hendak jawab dakwaan-dakwaan mereka itu. Lebih baik kita buat amal sahaja, dan serahkan perkara mereka kepada Allah SWT untuk diuruskan. Allah SWT lebih tahu apa hendak buat dengan mereka.

Semoga dengan mengamalkan zikir-zikir itu, dapat menghilangkan kesedihan hati. Sebab selalunya hati kita tidak tahan dengan dugaan. Dan dengan mengingati Allah SWT, hati akan menjadi tenang. Seperti Allah SWT sebut dalam ayat yang lain:

أَلاَ بِذِكْرِ اللهِ تَطْمَئِنُّ الْقُلُوبُ

Ingatlah, dengan mengingati Allah SWT-lah hati menjadi tenteram. [Ra’d: 28]

Kalau kena kutuk, kena hina tu, rasa macam hendak lawan balik pun ada, bukan? Tetapi itulah bahayanya kalau kita lawan balik kerana takut sampai kita buat dosa pula dengan melawan mereka dengan menggunakan kata-kata hodoh yang tidak patut.

رواه الترمذي 3527 من طريق أَبِي الْوَرْدِ عَنْ اللَّجْلَاجِ عَنْ مُعَاذِ بْنِ جَبَلٍ قَالَ : ” سَمِعَ النَّبِيُّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ رَجُلًا وَهُوَ يَقُولُ : اللَّهُمَّ إِنِّي أَسْأَلُكَ الصَّبْرَ ، فَقَالَ : سَأَلْتَ اللَّهَ الْبَلَاءَ فَسَلْهُ الْعَافِيَةَ

Nabi SAW mendengar seorang lelaki berdoa: Ya Allah SWT aku memohon kepada-Mu sabar.

Baginda bersabda: kamu meminta bala. Maka mintalah afiah. [Hadis Riwayat At-Tirmidzi].

 

Allahu a’lam.

 

Amalan Peminum Arak, Syaitan Ikut Syaitan, Kalimah Kenabian Pertama

0

1. Adakah amalan seorang peminum arak ditolak? Contohnya, ibadah seperti solat dan sebagainya?
Dalil hadis solat tidak diterima jika meminum arak.

وفي حديث عبد الله بن عمرو رضي الله عنهما قال : سمعت رسول الله صلى الله عليه وسلم يقول : لا يشرب الخمر رجل من أمتي
فيقبل الله منه صلاة أربعين يوما . رواه الإمام أحمد والنسائي وابن ماجه . وصححه الألباني ، وقال الأرنؤوط : صحيح .

disahihkan oleh al-Albani dan al-Arnaouth, sahih at-Tirmidzi. Dalil:

لاَ يَدْخُلُ الجَنَّةَ مُدْمِنُ خَمْرٍ

“Penagih khamar tidak akan masuk Syurga.” [Ibnu Majah: 3376. Al-Albani, sahih]

مُدْمِنُ الْخَمْرِ كَعَابِدِ وَثَنٍ

“Penagih khamar seperti penyembah berhala.” [Ibnu Majah: 3375. al-Albani, hasan]

الخَمْرُ أُمُّ الخَبَائِثِ، فَمَنْ شَرِبَهَا لَمْ تُقْبَلْ صَلاَتُهُ أَرْبَعِيْنَ يَوْمًا، فَإِنْ مَاتَ وَهِيَ فِي بَطْنِهِ مَاتَ مِيْتَةً جَاهِلِيَّةً

“Khamar adalah induk berbagai macam kerosakan. Siapa yang meminumnya, solatnya selama 40 hari tidaklah diterima. Jika ia mati dalam keadaan khamar masih di perutnya, bererti ia mati seperti matinya orang Jahiliyah.” [Ath-Thabrani. Syaikh Al-Albani dalam Silsilah Al-Ahadis Ash-Sahihah: 1854, hadis hasan]

2. Bolehkah berikan syarahan ringkas mengenai hadis di bawah ini?

حَدَّثَنَا هِشَامُ بْنُ عَمَّارٍ، حَدَّثَنَا يَحْيَى بْنُ سُلَيْمٍ الطَّائِفِيُّ، حَدَّثَنَا ابْنُ جُرَيْجٍ، عَنِ الْحَسَنِ بْنِ أَبِي الْحَسَنِ، عَنْ عُثْمَانَ بْنِ عَفَّانَ، أَنَّ رَسُولَ اللَّهِ ـ صلى الله عليه وسلم ـ رَأَى رَجُلاً وَرَاءَ حَمَامَةٍ فَقَالَ ‏ شَيْطَانٌ يَتْبَعُ شَيْطَانَةً ‏”

It was narrated from Uthman bin Affan that the Messenger of Allah saw a man following a pigeon and said: “A male devil is chasing a female devil.”
Sunan Ibn Majah 3766
In-book : Book 33, Hadis 111
English translation : Vol. 5, Book 33, Hadis 3766

Dari jalan Hammad bin Salamah dari Muhammad bin ‘Amr dari Abu Salamah dari Abu Hurairah ra:

أَنَّ النَّبِيَّ صلى الله عليه وسلم، رَأَى رَجُلاً يَتْبَعُ حَمَامَةً، فَقَالَ: شَيْطَانٌ يَتْبَعُ شَيْطَانَةً.

Bahawa Nabi SAW melihat seorang mengikuti burung dara (hamaamah) bermain-main dengannya, maka beliau berkata: “Ini syaitan mengikuti syaitan.” [Abu Dawud: 4940, Ibnu Majah 3765, Ibnu Hibban 5874, serta al-Baihaqi dalam as-Sunan al-Kubra 1/190 serta dalam Syu’ab al-Iman 6535, al-Albani, hasan].
Fiqh Hadis:
Makruh hukumnya seseorang mukmin membela burung dara dan melatihnya lalu dipertandingkan atau terlalu asyik dengan burung hingga lupa kepada solat berjamaah, jihad, menuntut ilmu. (Syaikhul Islam Ibn Taimiyah, Majmu’ fatawa jld 32)

3. Apakah yang dimaksudkan dengan “perkataan yang diwarisi dari nabi-nabi terdahulu”. Adakah ia bermaksud tutur kata, perbuatan atau tingkah laku?
Dari Abu Mas’ud Uqbah bin Amr Al-Anshary Al-Badry radhiallahu ’anhu, dia berkata:

قَالَ رَسُوْلُ اللهِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ : إِنَّ مِمَّا أَدْرَكَ النَّاسُ مِنْ كَلاَمِ النُّبُوَّةِ الأُوْلَى، إِذَا لَمْ تَسْتَحِ فَاصْنَعْ مَا شِئْتَ

Rasulullah sallallahu ‘alaihi wa sallam bersabda, “Sesungguhnya perkataan yang diwarisi oleh orang-orang dari perkataan nabi-nabi terdahulu adalah: ‘Jika engkau tidak malu, perbuatlah sesukamu’.” [Bukhari: 3483]
Cuba baca sekali lagi matan asal:

الحديث العشرون
عن أبي مسعود عقبة بن عمرو الأنصاري البدري – رضي الله عنه قال : قال رسول الله صلى الله عليه وسلم ” إن ما أدرك الناس من كلام النبوة الأولى , إذا لم تستح فاصنع ما شئت ” رواه البخاري

Terjemahan: Hadis no. 20
Dari Abu Mas’ud, ‘Uqbah bin ‘Amr Al Anshari Al Badri ra, ia berkata: Rasulullah saw telah berkata: “Sesungguhnya diantara yang didapati manusia dari kalimah kenabian yang pertama ialah: Jika engkau tidak malu, berbuatlah sekehendakmu.” [Bukhari: 3483]
Maksudnya, syariat nabi-nabi yang terdahulu menjadikan malu itu sebahgian dari syariat, yakni, asas kepada fiqh akhlak. Bab akhlak, asasnya ialah malu dan ia menjadi syariat semua nabi-nabi yang terdahulu, dengan kata lain, malu tidak pernah dihapuskan dari akhlak.
Kenapa Nabi berkata demikian? Ini adalah disebabkan di akhir zaman sememangnya terbukti bahawa malu telah dihapuskan dari kehidupan. Oleh sebab itu, kita ada dunia artis, lakonan, nyanyian, program realiti, akademi fantasia. Manusia telah menghapuskan malu dari syariat.

Popular

Iklan

Iklan