Utama Bilik (64) Syamail Muhammadiyyah Hadis 58: Bai’ah Dan Belahan Baju Rasulullah SAW

Hadis 58: Bai’ah Dan Belahan Baju Rasulullah SAW

874
0
Iklan

Panel: ADÖULINÉ Lacharouphe

58- حَدَّثَنَا أَبُو عَمَّارٍ الْحُسَيْنُ بْنُ حُرَيْثٍ، قَالَ: حَدَّثَنَا أَبُو نُعَيْمٍ، قَالَ: حَدَّثَنَا زُهَيْرٌ، عَنْ عُرْوَةَ بْنِ عَبْدِ اللَّهِ بْنِ قُشَيْرٍ، عَنْ مُعَاوِيَةَ بْنِ قُرَّةَ، عَنْ أَبِيهِ، قَالَ: أَتَيْتُ رَسُولَ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ فِي رَهْطٍ مِنْ مُزَيْنَةَ لِنُبَايِعَهُ، وَإِنَّ قَمِيصَهُ لَمُطْلَقٌ، أَوْ قَالَ: زِرُّ قَمِيصِهِ مُطْلَقٌ. قَالَ: فَأَدْخَلْتُ يَدِي فِي جَيْبِ قَمِيصِهِ فَمَسَسْتُ الْخَاتَمَ.

58- Telah bercerita kepada kami Abu `Ammar Al-Husayn bin Hurays, dia berkata: Telah bercerita kepada kami Abu Nu`aym, dia berkata: Telah bercerita kepada kami Zuhayr, daripada `Urwah bin `Abdi Llah bin Qusyayr, daripada Mu`awiyah bin Qurrah, daripada bapanya, dia berkata:

Saya telah mendatangi Rasula Llah pada sekumpulan daripada Muzaynah untuk kami membai`ahnya, dan sesungguhnya qamisnya sungguh adalah terbuka, atau dia berkata: Butang qamisnya terbuka. Dia berkata: Maka saya telah memasukkan tangan saya ke dalam bukaan dada qamisnya dan saya telah menyentuh khatam.

Syarah Adou_Fr:

Hadis ini menceritakan tentang Qurrah bin Iyas Al-Muzaniy yang datang kepada Rasulu Llah untuk membai`ahnya. Bai`ah ialah sesuatu yang penting dalam Islam. Ini kerana pemimpin sesebuah negara, dia memerlukan mandat dan sokongan daripada rakyat di bawahnya. Justeru, setiap wakil rakyat hendaklah datang dan membai`ah pemimpin negara yang dilantik.

Bai`ah ini ialah perjanjian untuk menta`ati pemimpin dalam segala hal, kecuali maksiat kepada Allah. Bai`ah ialah suatu akujanji atau sumpah setia kepada seorang pemimpin sehingga pemimpin itu mati, atau dia melepaskan jawatannya kepada orang lain. Bai`ah dilakukan dengan kata-kata – iaitu ucapan bai`ah – dan perbuatan – iaitu bersalaman –. Untuk wanita, bai`ah dilakukan hanya dengan kata-kata sahaja. Dengan berbai`ah, setiap wakil rakyat – sekali gus setiap rakyat – sebenarnya telah berjanji untuk menta`ati pemimpin yang dilantik itu, dalam segala keputusan dan tindakannya.

Apabila setiap muslim mengetahuï dengan jelas tentang bai`ah, maka mereka akan bersatu di bawah satu panji dan di bawah satu kepimpinan, seterusnya mewujudkan satu ummah yang bersatu. Pemimpin akan memimpin rakyat – dengan `adilnya atau zalimnya – dan dia akan dipatuhi dan dita`ati selagi tidak menyuruh melakukan maksiat kepada Allah. Dalam sistem ini, para `ulama’, atau mufti, atau ilmuwan akan berperanan untuk menasihati pemimpin, dan apa juga yang diputuskan dan dilakukan oleh pemimpin itu, adalah urusannya dengan Tuhan untuk dihisab di akhirat. Sebagai wakil rakyat – sekali gus semua rakyat –, mereka akan ta`at dan terus berada di bawah satu kesatuan ummah.

Umat Islam tidak boleh mengkhianati pemimpin yang dilantik. Mereka tidak boleh keluar memberontak atau memprotes pemimpin yang telah dibai`ah oleh wakil rakyat. Justeru, perbuatan keluar ke jalan-jalan untuk menurunkan atau memecat pemimpin adalah haram dan tidak menepati ajaran Islam, walaupun pemimpin itu zalim dan menyusahkan rakyat. Jika ada sesiapa yang mengajak rakyat keluar memerangi, memprotes atau memberontak terhadap pemimpin, maka ketahuïlah bahawa orang – atau pihak – itu ialah syaytan yang berhasrat meruntuhkan kesatuan ummah dan kedaulatan Islam.

Rakyat hendaklah bersabar, dan menyampaikan permasalahan mereka kepada wakil rakyat atau para `ulama’, yang akan menegur dan memandu pemimpin yang dibai`ah.

Dalam hadis ini, Qurrah bin Iyas Al-Muzaniy menyebut bahawa qamis Nabi adalah terbuka, iaitu di bahagian lehernya. Disebut dalam ayat berikutnya, (atau butang qamisnya terbuka), dan ini menunjukkan bahawa qamis Nabi mempunyaï belahan di bahagian lehernya, seperti baju Melayu. Belahan di leher ini adalah bahagian untuk memasukkan kepala dan mengeluarkannya. Pada bahagian itu terdapat belahan sehingga ke dada.

Disebut dalam hadis ini bahawa Nabi tidak membutang atau mengancing butang lehernya, justeru, belahan dadanya adalah terbuka. Ini menunjukkan bahawa perbuatan sesetengah orang yang tidak mengancing butang lehernya sehingga ke atas – dan kita menyangka bahawa mereka ialah orang yang bermasalah dan tidak berdisiplin dalam berpakaian – adalah lebih menepati sunnah, daripada mereka yang membutang lehernya sehingga ke atas.

Bukaan di dada qamis itu adalah cukup luas sehingga Qurrah bin Iyas Al-Muzaniy boleh memasukkan tangannya ke dalam baju Nabi dan menyentuh bahagian belakang dada Nabi, iaitu di bahagian khatam atau mohor kenabian yang terletak di antara dua bahunya.

Hadis ini juga mengisyaratkan bahawa sebelum membai`ah Nabi, Qurrah bin Iyas Al-Muzaniy telah mengetahuï tentang kewujudan mohor kenabian tersebut, dan ketika dia membai`ah, dia mengambil kesempatan untuk menyentuh – tanpa melihat – mohor tersebut. Justeru, wakil rakyat yang ingin membai`ah seseorang pemimpin, mereka hendaklah tahu dan mengenali pemimpin yang akan dibai`ah, bukanlah mereka membai`ah orang yang tidak dikenali. Walaupun sedikit, mereka hendaklah tahu tentang pemimpin tersebut, sekurang-kurangnya secara umum.

Sebagai pemimpin pula, kadangkala, untuk seseorang membai`ah mereka memerlukan sesuatu sebagai bukti, atau untuk meyakinkan diri mereka. Justeru, ketika itu, pemimpin bolehlah menunjukkan atau membuktikan diri mereka, contohnya jika wakil rakyat itu ingin melihat sijilnya – untuk membuktikan tahap pendidikannya – maka dia hendaklah menunjukkannya. Atau jika wakil rakyat itu ingin melihat kepalanya tanpa perhiasan kepala – untuk membuktikan kemudaan tanpa ubannya – maka hendaklah pemimpin itu membuka dan menanggalkan kopiahnya atau songkoknya atau serbannya atau apa-apa perhiasan kepalanya. Ketika itu, pemimpin tidak harus berasa malu, atau dipermainkan, atau dihina, kerana ini ialah haq seorang wakil rakyat sebelum membai`ah, selagi mereka tidak meminta apa yang tidak dibenarkan oleh syara`.

Disebut dalam Musnad Ahmad, sebagai sambungan kepada hadis ini:

قَالَ عُرْوَةُ: فَمَا رَأَيْتُ مُعَاوِيَةَ وَلَا ابْنَهُ، شِتَاءً وَلَا حَرًّا، إِلَّا مُطْلِقَيْ أَزْرَارِهِمَا، لَا يَزُرَّانِ أَبَدًا

Berkata `Urwah: Maka saya tidak melihat Mu`awiyah dan tidak anaknya, ketika musim sejuk dan tidak ketika panas, melainkan kedua-duanya terbuka butang-butang mereka berdua, mereka berdua tidak mengancing selama-lamanya.

Ini menunjukkan bagaimana perkara sekecil tidak mengancing butang leher telah diambil dan dijadikan sebagai amalan oleh Mu`awiyah bin Qurrah dan anaknya, sebagai tanda cinta mereka kepada Nabi dan sunnah Nabi. Justeru, marilah kita bersama-sama membaca tentang Nabi dan menghayati riwayat tentang kehidupannya, agar kita dapat mengikut dan menuruti apa yang dilakukan oleh Nabi sebagai sunnahnya, dan meninggalkan apa yang tidak dilakukan oleh Nabi. Semoga kita lebih dekat dengan sunnah Nabi dan akan terhindar daripada bid`ah atau rekaan yang tidak berasal daripada Nabi.

*******
*******
*******

.

Komen dan Soalan