Utama Konvensyen UiTO Konvensyen UiTO 2018 Sejarah Gelap Industri Hutang: Bagaimana Riba Mengubah Ekonomi & Menindas Pekerja

Sejarah Gelap Industri Hutang: Bagaimana Riba Mengubah Ekonomi & Menindas Pekerja

13
0
Iklan

Masalah Ekonomi: Faktor Perkembangan Industri Hutang dan Penghakisan Nilai Islam

Profesor Emeritus Mohd Nazari Ismail²

Abstrak

Kesukaran dan masalah ekonomi berlaku kepada hampir semua masyarakat dunia. Ia berlaku dalam pelbagai bentuk termasuk kekurangan peluang pekerjaan, peningkatan kos sara hidup dan pendapatan yang tidak stabil. Masalah ekonomi menjadi lebih teruk apabila berlaku krisis ekonomi seperti Krisis Kewangan Asia pada tahun 1997, krisis subprima Amerika Syarikat pada tahun 2008 dan Krisis Hutang Eropah pada tahun 2009. Semua krisis ini telah menyebabkan penderitaan yang dahsyat kepada berjuta-juta orang di seluruh dunia. Ia juga secara langsung atau tidak langsung menyebabkan banyak masalah sosial seperti jenayah, perceraian, kemurungan dan bunuh diri. Kertas ini akan menerangkan bagaimana banyak masalah ekonomi sebenarnya adalah disebabkan oleh wujudnya sistem kewangan yang menjadikan industri hutang sebagai asas utamanya. Perkembangan sistem yang sangat merosakkan ini adalah disebabkan oleh berkembangnya nilai keduniaan dan materialistik. Kegagalan untuk memahami hakikat ini adalah faktor utama mengapa masalah ekonomi sekarang menjadi lebih teruk walaupun negara semakin membangun dan pendapatan semakin meningkat. Sistem pendidikan perlu digubal supaya dapat membantu pelajar agar dapat memahami dan menangani persoalan ini.

Pertumbuhan Industri Hutang

Amalan riba atau amalan pemberian pinjaman bermotifkan untung bukanlah amalan yang baru. Ahli sejarah mengatakan bahawa amalan ini bermula sejak zaman Raja Hammurabi yang memerintah di Babylon sekitar 1775 SM. Ahli-ahli sejarah juga memberitahu kita bahawa riba juga diamalkan pada zaman Empayar Rom. Di dunia Arab, riba juga diamalkan sebelum kedatangan Islam. Amalan ini berleluasa dalam kalangan orang Yahudi yang merupakan golongan yang kaya di kota Madinah. Bahkan amalan riba inilah antara penyumbang kepada penambahan kekayaan orang Yahudi Madinah.

Walau bagaimanapun, ayat-ayat dalam Al-Qur’an telah diturunkan kepada Rasulullah ﷺ yang mengutuk amalan ini dengan keras dan mengisytiharkannya haram bagi semua pihak yang terlibat sama ada sebagai peminjam atau pemberi pinjaman. Ini telah menyekat masyarakat Islam daripada dieksploitasi oleh golongan Yahudi.

Walaupun amalan ini ialah amalan yang lama, namun ia bukan dalam bentuk industri yang ditubuhkan dan diiktiraf rasmi di samping menjadi sektor terpenting dalam ekonomi serta disokong secara besar-besaran oleh institusi penting seperti bank pusat atau institusi berkaitan dan sokongan lain seperti apa yang sedang berlaku sekarang.

² Profesor Emeritus, Fakulti Perniagaan dan Perakaunan, Universiti Malaya.

Agama adalah faktor utama yang menyekat pertumbuhan industri ini sebelum ini. Ini kerana semua agama yang utama seperti Islam, Kristian, Hindu dan Yahudi mengutuk amalan ini.³

Dalam agama Kristian, seperti juga dalam agama Islam, amalan memberi pinjaman untuk mendapat keuntungan telah dilarang oleh kitab suci mereka iaitu Injil. Dalam erti kata lain, pandangan Kristian dan pandangan Islam terhadap riba tidak begitu berbeza pada abad ke-15 dan ke-16. Namun, bermula pada abad ke-15, beberapa penulis dan pemikir Eropah seperti John Eck dan John Calvin mencadangkan pendapat yang berbeza tentang definisi riba. Bagi mereka riba hanya merujuk kepada situasi di mana wujud unsur penindasan yang jelas terhadap penghutang. Sekiranya pihak yang memberi pinjaman tidak menindas penghutang tetapi membantu peminjam dengan hutang yang diberikan (seperti untuk tujuan perniagaan), maka kontrak tersebut tidak boleh dipanggil kontrak riba.

Pendapat ini menjadi sangat popular dalam kalangan komuniti perniagaan kerana ia akan membolehkan mereka mengembangkan perniagaan mereka dengan menggunakan wang yang dipinjam. Walaupun demikian, pendapat John Eck tidak diterima oleh ramai penganut Kristian lain, termasuk Martin Luther, yang masih melihat amalan pemberian pinjaman untuk keuntungan sebagai tindakan yang merosakkan masyarakat.

Namun begitu, menjelang abad ke-17, berlaku pertambahan penganut Kristian di Eropah yang bersetuju dengan John Eck dan John Calvin iaitu amalan pemberian pinjaman bermotifkan keuntungan bukan sesuatu yang secara asasnya berdosa. Susulan daripada itu, lebih ramai pemikir dan penulis Eropah menyokong pendapat bahawa faedah boleh dikenakan ke atas pinjaman. Malah, ada penulis seperti John Locke, yang berpendapat bahawa perbuatan mengenakan faedah ke atas pinjaman tidaklah berbeza dengan mengenakan sewa tanah pertanian⁴. Menjelang abad ke-18, ramai pemikir Protestan tidak lagi mempunyai sikap negatif terhadap amalan menuntut faedah atas hutang.

Dalam kalangan penganut Katolik, sikap mereka juga berubah dan menyamai golongan protestan selepas tahun 1744 apabila seorang pemikir Katolik bernama Scipio Maffei menyatakan bahawa beban bunga terhadap hutang pada kadar yang sederhana adalah sesuatu yang tidak semestinya salah dari perspektif keagamaan. Amalan mengutip faedah ke atas pinjaman semakin diiktiraf apabila para pemikir liberal dan sekular berpendapat bahawa langkah untuk mengawal kadar faedah adalah salah. Mereka berpendapat bahawa bukan sahaja amalan mengutip faedah adalah sah dari segi undang-undang, malah kadar faedah juga harus bebas ditentukan oleh pasaran dan tidak patut dikawal oleh kerajaan. Yang paling menonjol dalam kalangan mereka ialah Jeremy Bentham, yang menulis buku pada tahun 1787 bertajuk ‘In Defense of Usury’.

Dalam buku tersebut, beliau mencadangkan agar kadar faedah ditentukan oleh mekanisme pasaran secara bebas. Pada masa itu liberalisme sebagai ideologi yang menekankan konsep kebebasan untuk individu sangat popular. Oleh itu, sentimen yang wujud adalah masyarakat harus diberikan kebebasan untuk berhutang berdasarkan kadar faedah yang ditetapkan oleh pasaran juga secara bebas. Pendirian itu sukar dibantah kerana ia seiring dengan ideologi liberal, dan oleh itu, diterima oleh Parlimen England yang akhirnya memansuhkan undang-undang yang menghadkan kadar faedah⁵.

³ Namun agama Yahudi membenarkan bunga dikenakan jika peminjam adalah bukan orang Yahudi.

⁴ eh.net/encyclopedia/usury/

⁵ eh.net/encyclopedia/usury/

Apa yang boleh disimpulkan ialah dari abad ke-15, perubahan sikap dalam kalangan kumpulan agama dan pemikir masyarakat Eropah adalah faktor utama kepada perubahan persepsi terhadap amalan riba. Situasi itu amat berbeza dengan keadaan sebelum itu di mana amalan mencari untung atas pinjaman adalah dikutuk sebagai jenayah yang sama dengan jenayah pencurian dan pembunuhan. Tetapi akibat perubahan sikap gereja dan pemikir Barat, akhirnya amalan itu dapat diterima dan dilihat normal oleh masyarakat Barat.

Revolusi Perindustrian

Sebelum abad ke-18, ekonomi Eropah banyak bergantung kepada sektor pertanian. Kebanyakan orang Eropah adalah petani dan cenderung tinggal di kawasan luar bandar. Pendapatan mereka agak rendah dan kehidupan mereka tidaklah canggih atau moden. Sektor pembuatan wujud pada skala yang sangat kecil di rumah sendiri dengan menggunakan peralatan asas sahaja. Istilah Inggeris yang sering digunakan untuk jenis usaha ini adalah ‘cottage industry’ yang tidak banyak berbeza dari ‘industri kampung’ yang wujud di Tanah Melayu.

Tetapi dari penghujung abad ke-18, aktiviti pengilangan di Eropah telah mengalami perubahan apabila Eropah melalui fasa ‘Revolusi Perindustrian’. Peralatan asas yang tidak canggih digantikan dengan peralatan khusus dan canggih. Malahan aktiviti-aktiviti pembuatan ini tidak lagi dijalankan di rumah-rumah dan kedai-kedai tetapi di kilang-kilang dan selalunya secara besar-besaran. Kebanyakan mesin menggunakan enjin wap (steam engine).

Industri yang paling pesat berkembang ialah industri keluli dan tekstil. Pemodenan yang berlaku dalam sektor-sektor keluli menyumbang kepada pembangunan sektor-sektor lain yang menggunakan keluli. Keluaran secara skala besar (large-scale output) menjadi lebih lumrah. Britain adalah negara di mana Revolusi Perindustrian bermula. Terdapat beberapa faktor yang menyumbang kepada ini termasuk kewujudan bekalan yang banyak dari sektor batubara (arang batu) dan besi. Tetapi faktor yang paling penting yang menjadi asas kepada semua perubahan ini ialah wujudnya sumber kewangan dari sektor perbankan yang membiayai aktiviti perindustrian secara besar-besaran. Di samping itu, dana juga disediakan untuk merekrut dan membayar pekerja dan juga untuk melaksanakan langkah penambahbaikan kepada produk dan proses perindustrian.

Selain itu, Eropah juga telah memperkenalkan konsep ‘Syarikat yang diperbadankan’ (Joint stock corporation) dalam dunia perniagaan yang akhirnya menjadi lebih popular berbanding dengan perniagaan berbentuk ‘kepunyaan tunggal’ (sole proprietorship). Inovasi ini adalah hasil daripada kewujudan industri perbankan yang mahu mengurangkan risiko memberi hutang kepada individu berbanding dengan memberi hutang kepada syarikat. Oleh kerana hayat syarikat yang diperbadankan adalah lebih lama berbanding individu, maka jumlah hutang serta tempoh hutang juga boleh dipertingkatkan dan ini akan memaksimakan keuntungan kepada industri hutang.

Justeru, industri perbankan mula menggalakkan peminjam untuk menubuhkan syarikat yang diperbadankan jika mereka ingin meminjam dana yang banyak. Syarikat yang lebih besar dari segi jumlah saham atau pemegang saham sudah tentu akan dapat berhutang dengan jumlah yang lebih besar.

Penindasan pekerja semasa Revolusi Perindustrian

Huraian tentang keadaan kehidupan golongan pekerja Eropah semasa era Revolusi Perindustrian berbeza-beza mengikut perspektif yang diambil oleh ahli sejarah. Dari kalangan yang menekankan pentingnya meningkatkan pendapatan, sudah tentu fakta yang ditekankan semasa era ini ialah penambahan peluang pekerjaan serta peningkatan pendapatan dalam kalangan pekerja kilang⁶. Namun, ramai ahli sejarah lain yang memberikan gambaran yang sangat negatif berkenaan suasana kerja di kilang-kilang pada waktu ini.

Menurut mereka, ramai pekerja bekerja dalam keadaan yang sangat teruk. Kebanyakan pekerja adalah dari kelas bawahan masyarakat dan keadaan kehidupan mereka sangat malang dan miskin, dan mereka sering ditindas oleh pemilik syarikat. Satu punca utama kepada keadaan ini ialah syarikat-syarikat yang memiliki kilang-kilang mempunyai beban hutang yang berat dan oleh itu mengalami tekanan kewangan yang tinggi. Pengurusan kilang-kilang ini terpaksa mengurangkan kos untuk memperoleh keuntungan yang mencukupi untuk membayar dividen kepada pemilik serta membayar faedah kepada pemiutang. Ini adalah punca utama mengapa gaji atau upah yang dibayar kepada pekerja adalah rendah dan persekitaran kerja sangat teruk, berbahaya dan juga membosankan⁷.

Pekerja yang tidak mahir dengan senang boleh dibuang oleh s[yarikat jika kedudukan] kewangan mereka buruk. Terdapat juga kes di mana kanak-kanak [diambil bekerja] di kilang dan dipaksa melakukan tugas-tugas yang sukar dan berbahaya. Banyak [kilang] cenderung untuk mengambil kanak-kanak sebagai pekerja kerana upah untuk mereka adalah yang paling rendah⁸. Satu laporan menunjukkan bahawa pada tahun 1860-an, 20% pekerja dalam industri tekstil di Britain adalah kanak-kanak di bawah umur 15 tahun⁹. Menurut satu lagi laporan, ramai pekerja sebenarnya telah dibayar upah yang sangat rendah¹⁰. Ini kerana bekalan tenaga kerja melebihi permintaan. Ada pekerja yang dilaporkan bekerja 14 hingga 16 jam sehari selama 6 hari seminggu. Wanita dibayar kurang daripada lelaki dan mendapat 2/3 daripada jumlah yang dibayar kepada pekerja lelaki.

Suasana kerja di kilang adalah sangat teruk, gelap dan berbahaya yang mengakibatkan sering berlaku kemalangan dan kecederaan. Sistem pengudaraan terhad dan merimaskan dan menyebabkan pekerja menjadi sangat kotor seharian bekerja. Pekerja hanya akan diberi masa berehat untuk makan tengah hari dan makan malam sahaja. Akibat daripada persekitaran kerja yang teruk ini ramai pekerja jatuh sakit dan ada yang menjadi kurang upaya. Sementara itu, golongan atasan terutama yang memiliki modal yang dilaburkan di dalam syarikat kewangan menjadi bertambah kaya. Jurang pendapatan antara golongan atasan dan bawahan semakin besar. Kos sara hidup juga meningkat dengan lebih cepat berbanding pendapatan terutama dalam kalangan golongan bawahan dan ini mengakibatkan mereka tidak mampu memenuhi keperluan.

Pertumbuhan Industri hutang

Walaupun ramai rakyat Eropah menderita semasa era pertumbuhan ekonomi ini akibat tekanan hutang, namun industri hutang terus berkembang. Pada mulanya, kadar perkembangannya tidaklah begitu cepat kerana wang yang digunakan adalah berbentuk fizikal iaitu dalam bentuk syiling emas, perak atau tembaga. Jumlah pinjaman yang dapat dipinjamkan…. 

Bersambung InshaAllah 

⁶ www.bloomberg.com/view/articles/2013-03-19/why-workers-welcomed-long-hours-of-industrial-revolution

⁷ www.history.com/topics/industrial-revolution

⁸ Ibid

⁹ firstindustrialrevolution.weebly.com/working-and-living-conditions.html

¹⁰ firstindustrialrevolution.weebly.com/working-and-living-conditions.html

 

Rujukan:

Prosiding Konvensyen UiTO ke-4 2018, The Orient Star Resort Lumut, 

Perak, 8-9 Disember 2018

Poin Utama

  1. Asal Usul & Pengharaman Riba
  • Amalan Purba: Riba wujud sejak zaman Babylon (1775 SM), Empayar Rom, dan masyarakat Arab Jahiliah (terutamanya golongan kaya Yahudi di Madinah).
  • Penolakan Agama: Semua agama utama (Islam, Kristian, Hindu, Yahudi) pada asalnya mengutuk dan mengharamkan riba kerana bersifat menindas. Islam mengharamkannya secara mutlak melalui Al-Quran.
  1. Perubahan Persepsi di Eropah (Abad ke-15 hingga ke-18)
  • Tafsiran Baharu Kristian: Pemikir seperti John Eck dan John Calvin (abad ke-15) mula membezakan antara “riba yang menindas” dengan “faedah perniagaan” yang dianggap membantu.
  • Sokongan Golongan Liberal & Sekular: Tokoh seperti John Locke menyamakan faedah pinjaman dengan sewa tanah, manakala Jeremy Bentham (In Defense of Usury, 1787) mencadangkan kadar faedah ditentukan bebas oleh pasaran.
  • Pemansuhan Undang-Undang: Parlimen England akhirnya memansuhkan had kadar faedah, menjadikan pinjaman bermotifkan untung sah dan normal.
  1. Pembiayaan Revolusi Perindustrian
  • Peralihan Ekonomi: Ekonomi Eropah berubah daripada pertanian dan industri kampung (cottage industry) kepada perkilangan berskala besar menggunakan enjin wap (industri keluli dan tekstil).
  • Peranan Bank: Bank menyuntik dana besar untuk membina kilang, membeli mesin, dan membayar gaji pekerja.
  • Syarikat Diperbadankan (Joint Stock Corporation): Bank menggalakkan penubuhan syarikat berbanding perniagaan tunggal kerana hayat syarikat lebih panjang, sekali gus membolehkan pinjaman lebih besar dan tempoh bayaran lebih lama.
  1. Kesan Penindasan Terhadap Pekerja
  • Tekanan Hutang Majikan: Pemilik kilang menanggung beban hutang dan faedah bank yang tinggi, lalu memaksa mereka menekan kos operasi dengan membayar upah yang sangat rendah.
  • Eksploitasi Buruh: Pekerja terpaksa bekerja 14–16 jam sehari (6 hari seminggu) dalam persekitaran gelap, kotor, dan berbahaya tanpa keselamatan terjamin.
  • Buruh Kanak-kanak & Wanita: Wanita dibayar 2/3 daripada gaji lelaki, manakala kanak-kanak bawah 15 tahun membentuk 20% tenaga kerja tekstil Britain (1860-an) kerana upah mereka paling murah.
  • Jurang Kekayaan: Pemilik modal dan syarikat kewangan menjadi semakin kaya, manakala golongan pekerja terus miskin akibat kos sara hidup yang meningkat lebih pantas berbanding gaji.

Ringkasan Keseluruhan

Amalan riba atau pinjaman berasaskan faedah pada asalnya diharamkan oleh agama-agama utama dunia, namun mula diterima di Eropah bermula abad ke-15 hasil perubahan tafsiran pemikir Barat dan fahaman liberalisme. Penerimaan ini membolehkan sektor perbankan berkembang pesat dan membiayai Revolusi Perindustrian melalui konsep syarikat diperbadankan. Walau bagaimanapun, beban hutang dan faedah yang ditanggung oleh pemilik kilang telah menyebabkan berlakunya penindasan teruk terhadap golongan pekerja—termasuk gaji rendah, jam kerja melampau, dan eksploitasi buruh kanak-kanak—yang akhirnya melebarkan jurang kekayaan antara golongan pemodal dan rakyat bawahan.

 

Komen dan Soalan