Utama Konvensyen UiTO Konvensyen UiTO 2019 INDUSTRI HUTANG DAN EKONOMI MODEN: PERANGKAP PERTUMBUHAN, PERSAINGAN DAN KRISIS KEWANGAN

INDUSTRI HUTANG DAN EKONOMI MODEN: PERANGKAP PERTUMBUHAN, PERSAINGAN DAN KRISIS KEWANGAN

35
0
Iklan

EKONOMI HUTANG: DI SEBALIK KEMEWAHAN, TERSEMBUNYI KRISIS

Perkembangan Industri Perbankan, Persaingan Ekstrem dan Ancaman Ketidakstabilan Ekonomi

Pertumbuhan Industri hutang

Walaupun ramai rakyat Eropah menderita semasa era pertumbuhan ekonomi ini akibat tekanan hutang, namun industri hutang terus berkembang. Pada mulanya, kadar perkembangannya tidaklah begitu cepat kerana wang yang digunakan adalah berbentuk fizikal iaitu dalam bentuk syiling emas, perak atau tembaga. Jumlah pinjaman yang dapat dipinjamkan terhad kepada jumlah wang fizikal yang wujud. Oleh itu, pertumbuhan pinjaman (dan wang) ditentukan oleh pertumbuhan jumlah emas, perak dan logam berharga lain yang digunakan sebagai wang. Tetapi pemilik-pemilik syarikat perbankan tamak untuk memperoleh keuntungan yang lebih banyak dan oleh itu, telah berusaha untuk memberikan lebih banyak pinjaman melebihi had jumlah fizikal emas dan perak.

Akhirnya mereka berjaya melakukannya apabila wang kertas digunakan untuk mewakili wang logam. Secara teori, wang kertas pada masa itu disokong oleh syiling logam berharga yakni kertas yang ditulis dengan jumlah emas, bermakna emas sebanyak itu memang wujud. Namun, sebenarnya jumlah wang logam yang menyokong wang kertas pada masa itu adalah tidak mencukupi. Ini disebabkan syarikat perbankan yang tamak kepada keuntungan telah memberikan hutang dalam bentuk wang kertas dan jumlah wang kertas ini jauh lebih besar berbanding logam atau spesies yang menyokong keluaran kertas itu. Namun, oleh kerana sebahagian daripada wang kertas disokong oleh wang logam emas, maka sistem kewangan pada masa itu masih stabil dan dikenali dengan gelaran sistem ‘Piawaian Emas’ (Gold standard).

Walau bagaimanapun, keadaan ini tidak dapat dikekalkan kerana kerajaan dan syarikat serta individu ingin meminjam dengan lebih banyak. Di pihak bank pula, mereka juga berminat untuk memperoleh keuntungan sebanyak mungkin dan oleh itu, ingin memaksimakan hutang yang diberikan. Oleh kerana wang kertas disokong dan diikat dengan emas, ini menyekat usaha bank untuk memaksimakan jumlah hutang. Tidak hairanlah akhirnya industri perbankan mula memisahkan emas daripada sistem kewangan ini. Untuk tujuan kestabilan, selepas berlakunya perang dunia kedua, banyak negara bersetuju untuk mengikat mata wang mereka ke mata wang Dolar AS sementara nilai Dolar AS diikat dengan nilai emas.

Namun, pada tahun 1970, Amerika Syarikat terdesak untuk meminjam wang yang banyak daripada sistem perbankannya untuk membiayai perangnya di Vietnam. Oleh sebab itu, Amerika telah membuat keputusan untuk meninggalkan sepenuhnya sistem ‘Gold Standard’ pada tahun 1971 dan ini juga bermakna tiada lagi kaitan antara mana-mana mata wang di dunia dengan logam emas. Ini bermaksud, rakyat di mana-mana tidak lagi berhak untuk menukar mata wang mereka kepada emas.

Walau bagaimanapun, oleh kerana hampir semua orang sudah biasa menggunakan wang kertas pada masa itu, telah tidak berlaku sebarang panik atau kekecewaan dalam kalangan orang ramai, sama ada di Amerika atau di seluruh dunia bahawa mata wang mereka tidak lagi disokong oleh emas atau sebarang logam berharga. Bank-bank komersial agak gembira dengan perkembangan itu kerana ini bermakna tidak wujud lagi had kepada jumlah pinjaman yang boleh mereka berikan kepada pelanggan dan oleh itu, peluang untuk memperoleh keuntungan yang besar semakin luas.

Satu lagi perkara yang perlu diberi perhatian ialah salah sangka yang meluas dalam kalangan orang ramai bahawa bank hanya boleh meminjamkan jumlah wang yang telah didepositkan ke bank oleh para pendeposit. Mereka menyangka bahawa bank bertindak hanya sebagai perantara kewangan antara pendeposit dan peminjam. Pandangan ini benar-benar salah dan buktinya ialah satu kenyataan oleh kakitangan The Bank of England yang telah menulis dalam satu jurnal untuk menjelaskan perkara itu. Di bawah ini adalah petikan dari artikel itu:

In the modern economy, most money takes the form of bank deposits. But how those bank deposits are created is often misunderstood. The principal way is through commercial banks making loans. Whenever a bank makes a loan, it simultaneously creates a matching deposit in the borrower’s bank account, thereby creating new money. The reality of how money is created today differs from the description found in some economics textbooks: Rather than banks receiving deposits when households save and then lending them out, bank lending creates deposits. ¹¹

Terjemahan:

Dalam ekonomi zaman moden, kebanyakan wang mengambil bentuk deposit bank. Tetapi bagaimana deposit bank dicipta sering disalahfahami. Cara utama deposit bank dicipta adalah melalui bank memberi pinjaman. Setiap kali ini dilakukan, secara serentak bank akan mewujudkan deposit yang sepadan dalam akaun bank peminjam, dan dengan itu sekali gus mencipta wang baru. Realiti bagaimana wang dicipta hari ini berbeza daripada keterangan yang terdapat dalam beberapa buku teks ekonomi bahawa bank yang menerima deposit apabila wang disimpan oleh pendeposit dan bank kemudian memberi pinjaman kepada mereka. Sebenarnya pinjaman banklah yang menciptakan deposit.

Hasil daripada perkembangan ini, industri perbankan telah berkembang pesat. Pertumbuhan hutang juga menjadi sangat cepat di hampir semua negara di dunia.

Industri perbankan, hiper-inflasi dan pengangguran

Dalam ekonomi pasaran bebas, persaingan adalah prinsip asas. Pengeluar akan bebas melibatkan diri dalam mana-mana aktiviti ekonomi yang produktif untuk menawarkan produk dan perkhidmatan kepada pengguna. Pengeluar yang bebas ini akan bersaing antara satu sama lain untuk menghasilkan output yang bermanfaat kepada masyarakat. Akibatnya, akan terdapat pelbagai pilihan produk dan perkhidmatan untuk pengguna. Di samping itu, pengeluar akan menggunakan sumber yang optimum kerana ejen-ejen ekonomi akan berusaha untuk menjual barangan dan perkhidmatannya pada harga yang lebih rendah berbanding pesaing mereka.

Walau bagaimanapun, dalam persekitaran perniagaan global kini, tahap persaingan adalah sangat tinggi dalam hampir semua sektor. Ini memaksa firma mengurangkan kos dengan cara meminimumkan jumlah sumber manusia atau lain-lain sumber, dan pada masa yang sama memaksimumkan penggunaan modal yang dihutang. Mereka terpaksa berbuat demikian untuk lebih berdaya saing. Apabila mempunyai beban hutang yang tinggi, firma akan menghadapi risiko kewangan yang tinggi di mana jika tersilap langkah semasa bersaing di pasaran, firma bukan sahaja akan mengalami kerugian, bahkan juga akan menghadapi masalah kewangan yang sering kali berakhir dengan kebankrapan.

Beberapa contoh adalah dalam industri penerbangan antarabangsa. Di Eropah, Swiss Air, yang terkenal dengan perkhidmatan berkualiti tinggi telah muflis pada bulan Oktober 2001 ¹². Kerajaan Swiss terpaksa menyuntik satu bilion Swiss Franc (£ 242m) untuk memastikan syarikat itu tidak ditutup. Sabena Air, syarikat penerbangan Belgium juga muflis pada bulan November 2001 dengan hutang yang banyak sekitar 2 bilion Euro (£ 1.2 bn; $ 1.8 bn). Alitalia, syarikat penerbangan Itali terpaksa membuat pelan penstrukturan semula termasuk membuang 3,500 pekerja dan menjual ibu pejabatnya ¹³. Aer Lingus, syarikat penerbangan Ireland hampir muflis pada tahun 2002. Ia terpaksa mengurangkan kos sebanyak 30% dengan menyingkirkan 2,000 pekerja dan mengurangkan operasi penerbangannya sebanyak 25% untuk kekal berdaya maju¹⁴. Salah satu sebab utama kesukaran yang dihadapi syarikat penerbangan Eropah adalah persaingan daripada pesaing kos rendah yang sangat agresif seperti Easyjet dan Ryanair.

Di Asia, Japan Airlines (JAL), hampir jatuh muflis pada Januari 2010 selepas kerugian sebanyak $ 1.99 bilion dalam tempoh sembilan bulan sebelum itu dan menanggung beban hutang sebanyak $ 16.5 bilion. Syarikat itu juga merancang untuk membuang 15,600 pekerjaan atau satu pertiga daripada tenaga kerjanya, serta mengurangkan jumlah penerbangan serta jumlah pesawat dalam usaha untuk mengurangkan kos.

Pada bulan Februari 2014, Qantas, syarikat penerbangan kebangsaan Australia mengumumkan kehilangan $ 252 juta. Qantas juga bercadang membuang 5,000 pekerja¹⁵ serta mengurangkan jumlah penerbangan dan menjual pesawat dan juga menangguhkan pembelian lebih daripada 50 pesawat baru¹⁶.

Malaysian Airlines juga menuju kebankrapan pada tahun 2003 dengan hutang belum dibayar sebanyak RM 9 bilion. Salah satu faktor kepada masalah yang dihadapi ialah persaingan daripada pesaing murah seperti Air Asia dan Malindo Air, serta persaingan antarabangsa. MAS terpaksa diselamatkan melalui penyusunan semula kewangannya secara radikal yang melibatkan penjualan banyak aset sehingga ia hampir tidak mempunyai sebarang aset. Namun MAS masih mengalami kerugian besar pada tahun 2004 dan pada tahun 2014. Malah kerugian keseluruhan MAS ialah RM8.4 bilion sejak 2001. Ini memaksa Khazanah, pemegang saham utamanya, untuk membeli semua saham syarikat dari pasaran terbuka, memberhentikan operasinya dan kemudian memulakan syarikat penerbangan lain dengan suntikan baru dana berjumlah RM 6 bilion¹⁷. Hasil daripada langkah-langkah pemotongan [kos] yang terpaksa dilaksanakan, kira-kira 6,000 pekerja terpaksa dibuang¹⁸.

Kewujudan suasana persaingan antarabangsa yang sengit [ini turut] dibuktikan oleh apa yang terjadi kepada Singapore Airlines. [Ia merupakan] s[yarikat] penerbangan yang sangat disegani kerana sentiasa berprestasi tinggi. Namun ia juga mengalami kerugian dalam beberapa tahun kebelakangan ini. Pada bulan Mei 2017, ia melaporkan kerugian bersih sebanyak S$ 138 juta dalam suku keempatnya dari Januari hingga Mac. Pendapatannya merosot sebanyak $ 17 juta meskipun jumlah penumpang meningkat sebanyak 5.5 peratus. Dalam satu kenyataan syarikat itu menyatakan bahawa “… persaingan yang sengit terus memberi tekanan pada hasil dalam suasana tekanan kos yang berterusan¹⁹.” Pada bulan Ogos 2017, syarikat itu mengumumkan bahawa ia menawarkan pakej cuti tanpa gaji kepada anak-anak kapalnya untuk mengurangkan kos²⁰.

Persaingan yang hiper ini juga terdapat di dalam industri kereta. Industri ini telah melalui perubahan akibat daripada suasana persaingannya yang amat sengit. Pencerobohan firma kereta Jepun terhadap pasaran Eropah dan Amerika pada tahun 60-an dan 70-an mengakibatkan tahap persaingan yang memaksa banyak perubahan dalam industri. Banyak pengeluar kereta British telah tewas dan akhirnya bergabung di bawah naungan sebuah syarikat besar yang bernama British Leyland. Di Perancis, Citroën ditelan oleh Peugeot, walaupun jenama itu masih hidup.

Di Amerika terdapat penggabungan yang akhirnya menyebabkan syarikat-syarikat seperti Studebaker and American Motors ditutup, sementara yang lain diambil alih oleh tiga syarikat Amerika terkuat – GM, Ford dan Chrysler. Persaingan dalam industri terus bertambah dengan syarikat-syarikat baru dari Korea menyertai pertarungan. Tetapi, beberapa syarikat Korea seperti Daewoo dan Kia telah mengalami kesulitan kewangan yang serius pada akhir 1990-an. Hasilnya Daewoo akhirnya diambil alih oleh GM.

Sesetengah syarikat Jepun juga mengalami kesulitan kewangan berikutan keadaan kompetitif yang teruk dan berakhir dengan mereka dibeli oleh firma Amerika. Itulah cara bagaimana GM akhirnya memiliki kepentingan utama dalam Isuzu, Subaru dan Suzuki sementara Ford mempunyai kepentingan utama dalam Mazda. Kemudian Nissan juga mengalami kesulitan kewangan dan memerlukan suntikan modal daripada Renault. Sementara itu, Ford, firma kedua terbesar Amerika itu membeli syarikat yang mengalami kerugian seperti Jaguar, Aston Martin, Land Rover dan Volvo. Penggabungan dan pengambilalihan lain yang berlaku akibat situasi kompetitif ialah Daimler-Chrysler dan BMW-Rover.

Walau bagaimanapun, tiga syarikat automotif utama Amerika iaitu GM, Chrysler dan Ford mengalami kesukaran untuk bersaing. Bukan sahaja margin keuntungan mereka rendah, mereka juga menanggung beban hutang yang besar. Pada tahun 2008, akibat krisis subprima AS, hasil jualan jatuh mendadak yang mengakibatkan mereka mengalami krisis yang serius. General Motors mencatatkan kerugian suku kedua sebanyak $ 15.5 bilion pada bulan Ogos 2008²¹.

Keadaan perubahan dalam industri akibat persaingan terus berlaku dengan tekanan baru yang datang dalam bentuk pembuat kereta dari China seperti Geely dan Chery. Kira-kira 10 tahun yang lalu, mereka tidak dianggap ancaman serius kepada pemain sedia ada kerana kualiti dan penampilan yang tidak menarik. Tetapi sejak itu, mereka telah bertambah baik dan telah bertambah besar. Geely kini memiliki Volvo dan telah mula membina dan mengeksport salah sebuah sedan jenama dari China. Pada 2017, ia membeli kepentingan besar dalam Proton dan kemungkinan akan meningkatkan pengeluaran di kilang canggih Proton di Tanjung Malim dan mengembangkan bahagian pasarannya di rantau ini²².

Untuk terus berdaya saing, pengeluar kereta terpaksa meneruskan strategi pembangunan produk yang agresif. Akibatnya banyak pengeluar mempunyai penawaran produk di hampir setiap segmen pasaran. Pembeli kereta kini menghadapi pelbagai pilihan, walaupun dalam segmen khusus seperti kategori kereta lumba. Selain itu, model baru sentiasa diperkenalkan dengan pantas untuk memastikan minat pengguna sentiasa segar. Ini menyebabkan pasaran dipecahkan dan dengan itu mengurangkan keuntungan industri. Analisa prestasi kewangan semua syarikat kereta terkemuka mendapati bahawa daripada 17 syarikat kereta teratas di dunia, hanya separuh sahaja yang memperolehi pendapatan yang lebih daripada kos modal mereka²³.

Dalam industri elektronik, tahap persaingan juga sangat sengit. Gergasi yang dahulunya kuat dalam industri ini pada tahun 1980-an seperti Matsushita dan Sony sudah kalah kepada pesaing lain. Matsushita mengalami kerugian besar pada 2004 dan telah membuat beberapa langkah penyusunan semula seperti menutup kilang-kilang di Jepun dan lain-lain lokasi kos tinggi seperti di Singapura dan memindahkan aktiviti ke China. Sony telah melihat keuntungannya menurun secara beransur-ansur. Apple iPod mencabar kedudukan Sony dalam pasaran muzik mudah alih, sementara pesaing Jepun Sharp dan Matsushita Electronic, pembuat jenama Panasonic, telah mengatasi Sony dalam jualan skrin TV panel rata dan alat pemain DVD. Di samping Apple dan Matsushita, Sony menghadapi persaingan baru dari Korea (seperti Samsung Electronics dan LG) dan juga dari China. Samsung khususnya telah sangat agresif dan telah dapat mengatasi Sony dalam segmen tertentu industri elektronik pengguna seperti dalam sektor telefon bimbit dan cip memori. Pada bulan September 2005, Sony mengumumkan satu lagi langkah dalam usaha terdesak untuk terus berdaya saing. Ia membuang 10,000 pekerja di seluruh dunia dan menjual aset bernilai $ 1 bilion.

Laporan ringkas daripada beberapa industri terpilih yang diterangkan di atas adalah bukti bahawa suasana persaingan perniagaan hari ini sangat hiper atau ekstrim. Contoh-contoh di atas juga menyerlahkan beberapa bentuk tindakan persaingan. Salah satu bentuk persaingan adalah inovasi produk di mana kitaran hayat bagi banyak produk dipendekkan secara drastik. Ini jelas dilihat dalam kes industri elektronik pengguna dan industri telefon bimbit. Sebagai contoh, telefon bimbit seolah-olah menjadi usang dalam masa beberapa bulan sahaja. Begitu juga dalam kes kamera digital di mana bilangan megapixel – ciri yang paling penting d[alam] produk, seolah-olah meningkat secara drastik sementara pada masa [yang sama] k[amera] telah menjadi semakin kecil dan lebih nipis.

Di samping itu, keupayaan penyimpanan data juga meningkat secara drastik y[ang] membolehkan kamera digunakan untuk merakam filem. Menariknya, walaupun dengan peningkatan yang pesat dari aspek inovasi teknikal, kamera digital masih menghadapi persaingan sengit daripada produk elektronik lain iaitu telefon bimbit. Ini kerana inovasi teknikal dalam telefon bimbit telah membolehkan mereka menggabungkan kamera digital kecil di dalamnya dengan kualiti imej yang mengkagumkan. Sementara itu, harga produk sedang menurun. Itulah ciri kedua persekitaran yang kompetitif pada masa kini. Pengeluar kini perlu mengembangkan produk yang semakin canggih semasa mengekalkan atau dalam beberapa kes mengurangkan kos unit. Inilah sebabnya mengapa produk seperti telefon bimbit dan kamera digital sentiasa ada di mana-mana. Sebagai contoh, tidak seperti pada masa lalu, banyak alat elektronik yang sangat canggih seperti telefon bimbit, kamera digital, TV skrin rata, dan komputer kini dijual pada harga yang boleh dicapai oleh banyak keluarga atau individu berpendapatan rendah. Terdapat beberapa faktor yang menyumbang kepada keadaan ini:

 

⁶ www.bloomberg.com/view/articles/2013-03-19/why-workers-welcomed-long-hours-of-industrial-revolution

⁷ www.history.com/topics/industrial-revolution

⁸ Ibid

⁹ firstindustrialrevolution.weebly.com/working-and-living-conditions.html

¹⁰ firstindustrialrevolution.weebly.com/working-and-living-conditions.html

 

¹¹ www.bankofengland.co.uk/publications/Documents/quarterlybulletin/2014/qb14q1prereleasemoneycreation.pdf

¹² news.bbc.co.uk/1/hi/business/1624688.stm

¹³ news.bbc.co.uk/1/hi/business/1671390.stm

 

¹⁴ travel.guardian.co.uk/news/story/0,7445,1584417,00.html

¹⁵ smh.com.au/business/aviation/qantas-cuts-5000-jobs-posts-252-million-first-half-loss-20140226-33i4c.html

¹⁶ theguardian.com

¹⁷ businesstimes.com.sg/top-stories/khazanah-throws-mas-rm6b-lifeline

¹⁸ theguardian.com

¹⁹ channelnewsasia.com

²⁰ Baca seterusnya di sini: thestar.com.my/business/business-news/2017/08/04/struggling-singapore-airlines-offers-crew-unpaid-leave/#Jqs6FLp2xXijRK1u.99

²¹ go.com

²² wsj.com

²³ “Driving Change”, The Economist, Sept 2ⁿᵈ, 2004.

 

Bersambung InshaAllah 


RINGKASAN NOTA

INDUSTRI HUTANG DAN EKONOMI MODEN

Perkembangan Sistem Perbankan, Persaingan Ekstrem dan Krisis Kewangan

Oleh: Profesor Emeritus Mohd Nazari Ismail

1. Perkembangan Industri Hutang

Industri hutang berkembang seiring perubahan sistem kewangan dunia. Pada peringkat awal, aktiviti pinjaman bergantung kepada wang fizikal seperti emas dan perak. Keadaan ini mengehadkan jumlah pinjaman berdasarkan simpanan logam berharga yang tersedia.

Namun, penggunaan wang kertas telah membuka ruang kepada bank untuk memberikan pinjaman melebihi jumlah wang logam yang menyokongnya. Perkembangan ini memperluas kegiatan perbankan dan meningkatkan keupayaan sistem kewangan mencipta hutang.

2. Peralihan daripada Piawaian Emas

Sistem Piawaian Emas (Gold Standard) menghubungkan nilai mata wang dengan emas. Walau bagaimanapun, sistem ini akhirnya ditinggalkan apabila Amerika Syarikat menghentikan penukaran dolar kepada emas pada tahun 1971.

Perubahan tersebut menandakan berakhirnya hubungan langsung antara mata wang dunia dengan emas. Bank-bank komersial kemudiannya mempunyai ruang lebih luas untuk mengembangkan aktiviti pemberian pinjaman.

3. Bagaimana Bank Mencipta Wang Melalui Pinjaman?

Satu perkara penting yang sering disalahfahami ialah tanggapan bahawa bank hanya meminjamkan wang yang telah disimpan oleh pendeposit.

Menurut penerangan Bank of England yang dipetik dalam nota, apabila bank memberikan pinjaman, bank secara serentak mewujudkan deposit baharu dalam akaun peminjam.

Maksudnya: Pemberian pinjaman oleh bank turut menghasilkan wang baharu dalam bentuk deposit perbankan.

Perkembangan mekanisme ini menjadi antara faktor penting kepada pertumbuhan industri perbankan dan hutang di seluruh dunia.

4. Persaingan Ekstrem dan Beban Hutang Korporat

Persaingan dalam ekonomi global semakin sengit. Bagi mengekalkan daya saing, syarikat terpaksa:

  • Mengurangkan kos operasi dan tenaga kerja.
  • Memaksimumkan penggunaan modal yang diperoleh melalui hutang.
  • Mempercepat inovasi dan pembangunan produk.
  • Menyesuaikan strategi perniagaan dengan perubahan pasaran.

Namun, pergantungan yang tinggi kepada hutang meningkatkan risiko kewangan. Apabila syarikat mengalami kerugian atau gagal bersaing, beban hutang boleh membawa kepada penstrukturan semula, pemberhentian pekerja dan kebankrapan.

5. Contoh Krisis dalam Industri Antarabangsa

Nota ini mengetengahkan beberapa contoh syarikat yang mengalami tekanan kewangan akibat persaingan dan beban hutang, antaranya:

  • Industri penerbangan: Swissair, Sabena, Japan Airlines, Qantas dan Malaysia Airlines.
  • Industri automotif: General Motors, Chrysler, Ford, Daewoo dan beberapa pengeluar kereta Jepun.
  • Industri elektronik: Sony dan Matsushita yang berhadapan tekanan persaingan daripada pengeluar baharu.

Contoh-contoh tersebut menggambarkan bagaimana persaingan pasaran, kos operasi dan tekanan kewangan boleh menjejaskan kelangsungan sesebuah organisasi.

6. Kesan Persaingan terhadap Industri dan Pengguna

Persaingan yang semakin ekstrem turut membawa perubahan besar kepada struktur industri:

  1. Kitaran hayat produk semakin pendek – Produk baharu diperkenalkan dengan lebih pantas.
  2. Inovasi teknologi semakin agresif – Pengeluar berlumba-lumba menghasilkan produk yang lebih canggih.
  3. Tekanan penurunan harga – Syarikat perlu menawarkan produk pada harga yang kompetitif.
  4. Margin keuntungan semakin tertekan – Kos pembangunan dan persaingan mengurangkan ruang keuntungan.
  5. Risiko pengurangan pekerja – Syarikat mengambil langkah penjimatan bagi mengurangkan kos operasi.

KESIMPULAN

Perkembangan industri hutang bukan sekadar perubahan dalam sistem perbankan, tetapi turut mempengaruhi struktur dan hala tuju ekonomi moden.

Peralihan daripada sistem kewangan berasaskan emas, penciptaan wang melalui pinjaman bank dan persaingan perniagaan yang semakin ekstrem memperlihatkan hubungan kompleks antara hutang, keuntungan dan kestabilan ekonomi.

Persoalan penting untuk direnungkan:

Adakah pertumbuhan ekonomi yang didorong oleh pengembangan hutang benar-benar menjamin kesejahteraan masyarakat, atau sebaliknya meningkatkan risiko ketidakstabilan kewangan dan tekanan sosial?

Bersambung, insya-Allah.

Rujukan: Prosiding Konvensyen UiTO Ke-4, The Orient Star Resort Lumut, Perak, 8–9 Disember 2018.

 

Komen dan Soalan