Utama Bilik (123) Tafsir, Tadabbur dan Tazakkur Tafsir Surah Al-Baqarah: Tafsir Ayat Ke-214 dan Ke-215

Tafsir Surah Al-Baqarah: Tafsir Ayat Ke-214 dan Ke-215

826
0
Iklan

Tafsir Ayat Ke-214

Ayat ke-214 – ke-218 adalah tentang infaq dan jihad. Disebut kali ketiga tentang hal ini kerana ia amat penting.

Ayat ini adalah dorongan/targhib jihad yang ketujuh. Allah ‎ﷻ hendak memberitahu bahawa syurga itu tidak diberikan secara percuma. Syurga itu mahal dan kenalah berkorban untuk mendapatkannya. Mereka yang hendakkan syurga akan diuji semasa di dunia.

Oleh itu jihad hendaklah dijalankan kerana ia adalah salah satu daripada jalan untuk masuk syurga dan ia merupakan ujian yang amat besar.

أَم حَسِبتُم أَن تَدخُلُوا الجَنَّةَ وَلَمّا يَأتِكُم مَّثَلُ الَّذينَ خَلَوا مِن قَبلِكُم ۖ مَّسَّتهُمُ البَأساءُ وَالضَّرّاءُ وَزُلزِلوا حَتّىٰ يَقولَ الرَّسولُ وَالَّذينَ ءآمَنوا مَعَهُ مَتىٰ نَصرُ اللَّهِ ۗ أَلا إِنَّ نَصرَ اللَّهِ قَريبٌ

Adakah patut kamu menyangka bahawa kamu akan masuk syurga, padahal belum sampai kepada kamu (ujian dan cubaan) seperti yang telah berlaku kepada orang-orang yang terdahulu daripada kamu? Mereka telah ditimpa kepapaan (kemusnahan harta benda) dan serangan penyakit, serta digoncangkan (oleh ancaman bahaya musuh), sehingga berkatalah Rasul dan orang-orang yang beriman yang ada bersamanya: Bilakah (datangnya) pertolongan Allah?” Ketahuilah sesungguhnya pertolongan Allah itu dekat (asalkan kamu bersabar dan berpegang teguh kepada ugama Allah).

أَم حَسِبتُم أَن تَدخُلُوا الجَنَّةَ

Adakah patut kamu menyangka bahawa kamu akan masuk syurga,

Adakah kamu sangka kamu dapat masuk syurga dengan mudah? Syurga itu mahal dan ada bayaran untuk memasukinya.

وَلَمّا يَأتِكُم مَّثَلُ الَّذينَ خَلَوا مِن قَبلِكُم

padahal belum sampai kepada kamu (ujian dan cubaan) seperti yang telah berlaku kepada orang-orang yang terdahulu daripada kamu?

Ini adalah ayat yang menakutkan sekali. Allah ‎ﷻ kata untuk masuk syurga, kita mesti diuji seperti umat-umat Islam yang terdahulu juga. Umat terdahulu telah diuji dengan tiga perkara:

مَّسَّتهُمُ البَأساءُ

Mereka telah ditimpa kepapaan

Kesusahan harta benda demi menegakkan agama. Ini adalah ujian harta. Mereka dahulu miskin-miskin belaka namun mereka tetap juga memperjuangkan agama dengan apa sahaja yang mereka ada.

وَالضَّرّاءُ

dan serangan penyakit,

Iaitu jenis sakit pada tubuh. Ini ujian pada fizikal kita. Memang perjuangan memerlukan batang tubuh kita untuk hadir dalam perjuangan itu. Tidak boleh hantar wakil. Kadangkala penyakit atau gangguan fizikal akan diberikan.

وَزُلزِلوا

serta digoncangkan

Mereka digoncangkan dengan ancaman daripada musuh mereka. Ini termasuk dengan ujian-ujian lain seperti sekatan, tohmahan, serangan, cacian dan macam-macam lagi. Ini semua adalah ujian selain ujian harta dan tubuh. Mereka yang sebelum kita telah digegarkan dengan teruk sekali.

Maka, kalau kita kena ujian daripada orang lain pada zaman sekarang, itu biasa sahaja. Jangan dirisaukan sangat tentang perkara itu.

حَتّىٰ يَقولَ الرَّسولُ وَالَّذينَ ءآمَنوا مَعَهُ مَتىٰ نَصرُ اللَّهِ

sehingga berkatalah Rasul dan orang-orang yang beriman yang ada bersamanya: Bilakah (datangnya) pertolongan Allah?”

Nabi ﷺ dan para sahabat رضي الله عنهم sampai bertanya bilakah datangnya pertolongan Allah ‎ﷻ itu kerana Allah ‎ﷻ memang telah berjanji akan memberikan bantuan tetapi tidak ditentukan waktu bila ia akan diberi. Oleh kerana sudah lama tidak sampai-sampai, maka Nabi ﷺ dan sahabat cuma bertanya kenapa lama sangat.

Bukanlah Nabi ﷺ dan para sahabat رضي الله عنهم sangsi kepada pertolongan Allah ‎ﷻ, cuma tertanya-tanya bilakah akan sampai pertolongan itu. Ini kerana mereka sudah tidak tahan lagi kerana teruk sangat ujian yang mereka kena.

Ayat ini hendak beritahu kepada kita yang baca Al-Qur’an ini, bahawa untuk dapat pertolongan Allah ‎ﷻ, kena duduk terlebih dahulu dalam kepayahan yang panjang. Dakwah kepada agama Islam ini bukan mudah dan kita kena bersedia. Kita kena ada persediaan mental untuk menghadapinya.

Kalau kita sudah tahu yang ia bukan senang, maka kalau kita menghadapi segala halangan dan dugaan ini, kuranglah sedikit rasa kesusahan itu. Ini kerana kita sudah bersedia. Kita memang sudah agak yang dakwah ini bukan kerja senang. Sebaliknya kalau kita sangka ia kerja senang, dan kemudian dikenakan ujian, tentu ia lebih sukar kepada kita. Ini kerana mental kita tidak bersedia.

Memang pendakwah agama akan menerima ujian daripada Allah ‎ﷻ. Kalau kita melakukan tugas dakwah, kita akan diuji kerana Allah ‎ﷻ telah beritahu yang Dia telah siap sediakan musuh untuk orang Mukmin dalam kalangan jin dan manusia.

Kalau kita tidak menjalankan tugas kita pula dalam dakwah, Allah ‎ﷻ akan uji kita dengan kita ditundukkan oleh agama lain supaya kita sedar kembali. Jadi, dalam dua keadaan itu, memang kita akan diuji. Maka terima sahajalah. Juga diingatkan supaya jangan berputus asa. Ingatlah bahawa balasan untuk kesabaran kita itu adalah syurga.

أَلا إِنَّ نَصرَ اللَّهِ قَريبٌ

Ketahuilah sesungguhnya pertolongan Allah itu dekat

Allah ‎ﷻ beritahu bahawa pertolongan-Nya akan pasti tiba dan tidak lama lagi. Mereka cuma perlu bersabar sedikit sahaja lagi. Kesabaran mereka menunggu pertolongan itu akan dibalas dengan pahala dan syurga yang tentunya lebih tinggi nilainya daripada susah payah dan penat jerih manusia yang berdakwah untuk menegakkan agama-Nya.

Ayat ini juga memberi isyarat yang Allah ‎ﷻ dekat dengan kita. Memang Dia telah memberitahu perkara yang sama kepada kita dalam ayat 186.

Yang paling penting adalah sabar. Ada hadith tentang sahabat yang mengadu kepada Nabi Muhammad ﷺ dan lihatlah bagaimana jawapan baginda.

حَدَّثَنِي مُحَمَّدُ بْنُ الْمُثَنَّى حَدَّثَنَا يَحْيَى عَنْ إِسْمَاعِيلَ حَدَّثَنَا قَيْسٌ عَنْ خَبَّابِ بْنِ الْأَرَتِّ قَالَ شَكَوْنَا إِلَى رَسُولِ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ وَهُوَ مُتَوَسِّدٌ بُرْدَةً لَهُ فِي ظِلِّ الْكَعْبَةِ قُلْنَا لَهُ أَلَا تَسْتَنْصِرُ لَنَا أَلَا تَدْعُو اللَّهَ لَنَا قَالَ كَانَ الرَّجُلُ فِيمَنْ قَبْلَكُمْ يُحْفَرُ لَهُ فِي الْأَرْضِ فَيُجْعَلُ فِيهِ فَيُجَاءُ بِالْمِنْشَارِ فَيُوضَعُ عَلَى رَأْسِهِ فَيُشَقُّ بِاثْنَتَيْنِ وَمَا يَصُدُّهُ ذَلِكَ عَنْ دِينِهِ وَيُمْشَطُ بِأَمْشَاطِ الْحَدِيدِ مَا دُونَ لَحْمِهِ مِنْ عَظْمٍ أَوْ عَصَبٍ وَمَا يَصُدُّهُ ذَلِكَ عَنْ دِينِهِ وَاللَّهِ لَيُتِمَّنَّ هَذَا الْأَمْرَ حَتَّى يَسِيرَ الرَّاكِبُ مِنْ صَنْعَاءَ إِلَى حَضْرَمَوْتَ لَا يَخَافُ إِلَّا اللَّهَ أَوْ الذِّئْبَ عَلَى غَنَمِهِ وَلَكِنَّكُمْ تَسْتَعْجِلُونَ

Telah bercerita kepadaku Muhammad bin Al Mutsannaa telah bercerita kepada kami Yahya daripada Isma’il telah bercerita kepada kami Qais daripada Khabbab bin Al Arat رضي الله عنه berkata; “Kami mengadu kepada Rasulullah ﷺ ketika baginda sedang berbantalkan kain selimut baginda di bawah naungan Ka’bah; “Tidakkah baginda memohon pertolongan buat kami? Tidakkah baginda berdo’a memohon kepada Allah ‎ﷻ untuk kami?” Baginda bersabda: “Ada seorang lelaki daripada umat sebelum kalian, lantas digalikan lubang untuknya dan dia diletakkan di dalamnya, lalu diambil gergaji, kemudian diletakkan gergaji itu di kepalanya lalu dia dibelah menjadi dua bahagian namun hal itu tidak menghalangnya daripada agamanya. Tulang dan urat di bawah dagingnya disisir dengan sisir besi namun hal itu tidak menghalangnya daripada agamanya. Demi Allah ‎ﷻ, sungguh urusan (Islam) ini akan sempurna hingga ada seorang yang mengendarai kuda berjalan dari Shana’a menuju Hadlramaut tidak ada yang ditakutinya melainkan Allah ‎ﷻ atau (tidak ada) kekhuatiran kepada serigala atas kambingnya. Akan tetapi kalian sangat tergesa-gesa”. (Hadith sahih Bukhari no 3343)

Tafsir Ayat Ke-215

Tajuk baharu adalah tentang infaq. Selepas ini akan diselang-selikan dengan tajuk Jihad dan Infaq supaya umat Islam bersedia dengan kedua-dua perkara itu. Memang Islam tidak sepatutnya lari jauh daripada infaq dan jihad.

يَسأَلونَكَ ماذا يُنفِقونَ ۖ قُل ما أَنفَقتُم مِّن خَيرٍ فَلِلوٰلِدَينِ وَالأَقرَبينَ وَٱليَتَـٰمَىٰ وَٱلمَسَـٰكِينِ وَابنِ السَّبيلِ ۗ وَما تَفعَلوا مِن خَيرٍ فَإِنَّ اللَّهَ بِهِ عَليمٌ

Mereka bertanya kepadamu (wahai Muhammad): apakah yang akan mereka belanjakan (dan kepada siapakah)? Katakanlah: “Apa jua harta benda (yang halal) yang kamu belanjakan maka berikanlah kepada: Kedua ibu bapa, dan kaum kerabat, dan anak-anak yatim, dan orang-orang miskin, dan orang-orang yang terlantar dalam perjalanan. Dan (ingatlah), apa jua yang kamu buat dari jenis-jenis kebaikan, maka sesungguhnya Allah sentiasa mengetahui-Nya (dan akan membalas dengan sebaik-baiknya).

يَسأَلونَكَ ماذا يُنفِقونَ

Mereka bertanya kepadamu (wahai Muhammad): apakah yang akan mereka belanjakan

Dalam ayat ini umat Islam zaman Nabi ﷺ telah bertanya kepada baginda apakah yang mereka perlu infaqkan. Beginilah sifat para sahabat yang prihatin kepada agama. Selepas diberitahu kelebihan infaq, mereka ingin tahu apakah yang perlu mereka infaqkan.

قُل ما أَنفَقتُم مِّن خَيرٍ

Katakanlah: apa jua harta benda yang baik yang kamu infaqkan

Allah ‎ﷻ jawab mereka boleh infaqkan apa sahaja asalkan ia mempunyai harga. خَيرٍ bermaksud apa sahaja yang bernilai. Ia boleh jadi apa-apa sahaja. Seeloknya benda yang kita pun suka, kita pun mahu lagi. Janganlah beri benda yang orang lain tidak selera hendak pakai.

Sebagai contoh, selalunya bila kita kemaskan almari baju kita, kita jumpa baju-baju lama yang kita pun tidak ingin hendak pakai lagi. Maka selalunya kita beri baju yang buruk-buruk itu kepada orang lain. Ini tidak patut. Kalau hendak beri pun, kenalah yang masih elok lagi.

فَلِلوٰلِدَينِ

maka berikanlah kepada: kedua ibu bapa,

Yang lebih penting daripada ‘apa’ yang perlu diinfaqkan adalah kepada ‘siapa’kah infaq itu perlu diberikan. Itu yang mereka lebih patut tanya. Kita manusia memang selalu mengeluarkan duit kita tetapi persoalannya adalah ke manakah sepatutnya kita keluarkan duit kita itu?

Jadi pertama yang kita perlu infaqkan harta kita yang berharga itu ialah kepada ibu bapa kita yang susah.

Kenalah kita tolong ibu bapa kita yang telah banyak berjasa kepada kita. Jangan kita banyak tolong orang lain, tetapi ibu bapa kita sendiri tidak pula kita kisahkan susah senang mereka. Kadang kala ada ibu bapa yang susah di kampung tetapi anak tidak tolong sedikit pun. Ada yang senang di ibukota tetapi emak di kampung merempat.

Ada pendapat yang mengatakan bahawa yang perlu ditolong adalah ibu bapa yang susah. Namun ada juga yang berpendapat tidak perlu dikhususkan kepada ibu bapa yang susah sahaja kerana walaupun mereka senang, apabila kita beri sumbangan kepada mereka, mereka amat suka.

Kita juga jangan lupa bahawa infaq bukan sahaja dalam bentuk harta benda sahaja tetapi dalam bentuk pertolongan dan lain-lain. Maka tolonglah menyenangkan hidup ibubbapa kita dalam apa-apa cara. Kalau mereka sakit, kitalah yang bawa mereka ke klinik dan hospital.

وَالأَقرَبينَ

dan kaum kerabat,

Selepas bantu ibu bapa, kita kena tengok pula kepada kaum kerabat yang susah. Kenalah kita tolong mereka yang berdekatan dengan kita dahulu kerana tentu mereka akan terasa hati kalau kita tolong orang lain tetapi tidak menolong mereka sedangkan mereka saudara mara kita.

Ini selalunya ada masalah. Masyarakat kita ada sahaja masalah dengan saudara mara mereka. Ada adik beradik yang terasa dengan adik beradik sendiri dan sudah bermasam muka. Anak-anak mereka pun menyambung ‘permusuhan’ ibu bapa mereka dan berterusanlah perkelahian ini.

Ini amat memalukan. Bayangkan, seteruk-teruk Arab Jahiliyah itu, mereka amat menjaga hubungan sesama kabilah mereka, tetapi kita pula berkelahi sesama ahli keluarga kita?

وَٱليَتَـٰمَىٰ

dan anak-anak yatim

Kemudian anak yatim yang susah. Mereka ini adalah golongan yang selalu diabaikan kerana mereka sudah tidak ada ibu bapa. Maka kita kena cari mereka untuk tolong mereka.

Jangan kita sangka kita hanya boleh tolong mereka dengan wang sahaja kerana kita bukan semua ada wang. Tetapi kita boleh bantu mereka cara yang lain. Kalau kita pandai memasak, kita boleh masak untuk mereka. Kalau kita pandai akademik, kita boleh beri tuisyen kepada mereka.

Atau apa-apa sahaja. Kena kreatif sedikit bagaimana hendak tolong mereka. Jangan hadkan kepada bantuan kepada bantuan berbentuk kewangan sahaja.

وَٱلمَسَـٰكِينِ

dan orang-orang miskin,

Keutamaan infaq diberikan kepada mereka yang susah kerana mereka yang memerlukan pertolongan itu. Kalau ibu bapa kita kaya-raya atau saudara mara kita memang sudah kaya atau pun anak yatim lebih banyak duit daripada kita, maka tidaklah perlu kita berikan kepada mereka. Maka apabila hendak infaqkan kita perlu melihat kepada keadaan.

Walaupun begitu, ada juga yang kata bahawa untuk ibu bapa, tidak perlu tunggu mereka susah. Kena sentiasa tolong mereka.

وَابنِ السَّبيلِ

dan anak perjalanan

Maksudnya orang musafir yang putus bekalan dalam perjalanan. Ini kerana ada musafir yang cukup bekalan mereka dan tidak memerlukan pertolongan.

Berinfaq kepada musafir ini lebih-lebih lagi perlu diberikan kepada mereka yang bermusafir kerana hendak menegakkan agama Allah ‎ﷻ. Mereka memerlukan pertolongan kerana mereka berada di tempat yang baru dan susah untuk mereka mendapatkan pertolongan kerana mereka tidak kenal orang lain.

Kalau kita tolong mereka, pahala mereka membawa orang ke jalan yang benar akan sampai juga kepada kita.

وَما تَفعَلوا مِن خَيرٍ فَإِنَّ اللَّهَ بِهِ عَليمٌ

Dan apa jua yang kamu buat daripada jenis-jenis kebaikan, maka sesungguhnya Allah sentiasa mengetahui-Nya

Allah ‎ﷻ tahu apa sahaja yang kita infaqkan, tidak perlu beritahu orang lain. Tidak payah hendak masukkan ke dalam Facebook atau Instagram segala infaq yang kita lakukan.

Allah ‎ﷻ juga mengingatkan yang penting adalah ikhlas dalam hati semasa infaq. Allah ‎ﷻ tahu isi hati kita dan sama ada kita ikhlas atau tidak semasa memberinya. Kalau tidak ikhlas maka tidaklah dapat pahala.

Untuk jaga ikhlas, jangan beritahu kepada orang lain segala kebaikan atau infaq yang kita lakukan. Ini kerana takut-takut kalau orang lain tahu, maka akan timbul rasa bangga dan riak di dalam diri kita. Maka jangan beri alasan macam-macam untuk kita war-warkan dalam media. Sebagai contoh, ada yang beri alasan dengan mereka buat begitu, mereka ajak dan menggalakkan orang lain juga.

Masalah dengan hal ini adalah, takut hati kita tidak cukup kuat untuk menolak riak yang syaitan akan timbulkan dalam diri kita. Kalau belajar Talbis Iblis, ini memang salah satu cara syaitan hendak menipu kita.

Allahu a’lam.

Komen dan Soalan