Utama Bilik (123) Tafsir, Tadabbur dan Tazakkur Tafsir Surah Al-Baqarah: Tafsir Ayat Ke-64 hingga Ke-66

Tafsir Surah Al-Baqarah: Tafsir Ayat Ke-64 hingga Ke-66

468
0
Iklan

Tafsir Surah Al-Baqarah
Tafsir Ayat Ke-64

ثُمَّ تَوَلَّيتُم مِن بَعدِ ذٰلِكَ ۖ فَلَولا فَضلُ اللهِ عَلَيكُم وَرَحمَتُهُ لَكُنتُم مِنَ الخاسِرينَ

Kemudian sesudah itu kamu membelakangkan perjanjian setia kamu itu (tidak menyempurnakannya); maka kalau tidaklah kerana limpah kurnia Allah dan belas kasihan-Nya kepada kamu (dengan membuka pintu taubat), nescaya menjadilah kamu dari golongan orang-orang yang rugi.

ثُمَّ تَوَلَّيْتُمْ مِنْ بَعْدِ ذَٰلِكَ

Kemudian kamu berpaling juga selepas perjanjian itu;

Kerana sudah diangkat Bukit Thur atas mereka, maka mereka bersetuju untuk beramal dengan kitab Taurat kerana ketakutan melihat apa yang Allah ‎ﷻ buat itu. Dan kerana mereka telah setuju, Allah ‎ﷻ tidak hempap mereka dengannya. Tetapi selepas itu mereka tetap berpaling dari mengamalkannya.

Kedua-dua golongan daripada Bani Israil berpaling dari perjanjian itu: yang sezaman dengan Nabi Musa عليه السلام dan Bani Israil pada zaman Nabi Muhammad ﷺ. Kita kena ingat, walaupun perjanjian itu tidak diambil dengan mereka yang hidup di zaman Nabi Muhammad ﷺ, tetapi mereka tahu tentang perjanjian itu. Dan mereka tertakluk juga dengan perjanjian itu.

Dan jangan lupa yang mereka kenal dengan Nabi Muhammad ﷺ sebenarnya. Mereka tahu Nabi Muhammad ﷺ adalah Rasul yang sebenarnya. Namun mereka masih lagi berpaling, bukan kerana apa tetapi hanya kerana degil sahaja.

فَلَوْلَا فَضْلُ اللهِ عَلَيْكُمْ

Kalau tidaklah kerana kurnian Allah ke atas kamu;

Kurnia yang dimaksudkan adalah melambatkan dijatuhkan azab. Apabila berbuat syirik kepada Allah ‎ﷻ dan derhaka kepada Allah ‎ﷻ, namun Allah ‎ﷻ tidak matikan terus, tidak terus berikan azab kepada mereka. Allah ‎ﷻ biarkan sahaja dahulu. Itu adalah kurnia sebab masih memberikan peluang kepada kita untuk bertaubat.

Bukanlah bermaksud yang Allah ‎ﷻ tidak terus berikan azab itu kerana Allah ‎ﷻ redha. Namun ada juga dari masyarakat kita yang berkata, Tuhan berkenan dengan perbuatan salah yang mereka buat itu, sebab itu tidak diberikan azab. Mereka menggunakan alasan – kalau Allah ‎ﷻ tidak suka, tentu Allah ‎ﷻ sudah berikan azab kepada mereka. Padahal, sebenarnya Allah ‎ﷻ tidak berikan azab terus kerana Allah ‎ﷻ masih memberi peluang kepada mereka untuk berfikir dan bertaubat.

Allah ‎ﷻ ada juga berikan azab sedikit-sedikit kepada mereka. Tetapi Allah ‎ﷻ tidak berikan azab yang sampai menghapuskan terus keturunan mereka seperti yang terjadi kepada Kaum Aad dan Tsamud.

Perkataan فَضْلُ bermaksud sesuatu pemberian yang lebih dari yang sepatutnya. Sebagai contoh, jikalau seseorang minta satu benda, tetapi kita berikannya tiga benda. Memang Allah ‎ﷻ banyak memberi kurniaan yang berlebihan kepada kita.

Kurniaan Allah ‎ﷻ kepada Yahudi adalah mereka telah diampunkan dosa-dosa mereka dan mereka juga telah diberikan Rasul dan Nabi yang banyak. Jadi Allah ‎ﷻ hendak beritahu kepada mereka, kalau tidak kerana kurniaan-Nya kepada mereka, maka mereka akan terus menjadi orang yang sesat. Maka mereka kenalah ikut Nabi Muhammad ﷺ.

وَرَحْمَتُهُ

dan suatu rahmat dariNya,

Rahmat itu maksudnya dikekalkan kitab Taurat dengan mereka. Allah ‎ﷻ tidak tarik nikmat Kitab itu daripada mereka walaupun mereka telah tidak beramal dengannya. Macam kita sekarang, walaupun ramai tidak tahu apakah yang al-Qur’an sampaikan dan tidak beramal dengannya, tidaklah Allah ‎ﷻ tarik al-Qur’an ini dari kita lagi.

لَكُنْتُمْ مِنَ الْخَاسِرِينَ

nescaya kamu pasti akan jadi dari golongan yang paling rugi

Kalau tidak kerana rahmat Allah ‎ﷻ ke atas mereka, tentulah mereka akan rugi apabila mereka mati nanti; selagi tidak mati, maka tidak rugi lagi. Tunggulah azab di neraka kelak.

Tafsir Ayat Ke-65

Keburukan kedua mereka adalah helah mereka dalam syariat.

وَلَقَد عَلِمتُمُ الَّذينَ اعتَدَوا مِنكُم فِي السَّبتِ فَقُلنا لَهُم كونوا قِرَدَةً خاسِئينَ

Dan sesungguhnya kamu telah mengetahui (bagaimana buruknya akibat) orang-orang di antara kamu yang melanggar (larangan) pada hari Sabtu, lalu Kami berfirman kepada mereka: “Jadilah kamu kera yang hina”.

وَلَقَدْ عَلِمْتُمُ الَّذِينَ اعْتَدَوْا مِنْكُمْ

Dan sesungguhnya kamu tahu orang-orang yang melampaui batas antara kamu;

Allah ‎ﷻ mengingatkan kesalahan yang pernah dilakukan oleh tok nenek mereka dahulu. Memang mereka tahu sejarah apa yang terjadi zaman dahulu jadi Allah ‎ﷻ hanya mengingatkan mereka sahaja. Mereka memang belajar sejarah bangsa mereka dengan bersungguh-sungguh. Allah ‎ﷻ hendak mengingatkan mereka tentang apakah yang terjadi kepada mereka yang melanggar perjanjian.

فِي السَّبْتِ

pada hari Sabtu;

Ini adalah cerita tentang Yahudi selepas zaman Nabi Musa عليه السلام. Ia berlaku di zaman Nabi Daud عليه السلام. Ia tentang satu golongan nelayan yang telah menangkap ikan pada hari Sabtu. Kisah ini ada dalam [ A’raf:163 ]. Mereka telah diperintahkan oleh Tuhan untuk tidak berbuat apa-apa kerja pada hari Sabtu kerana hari itu adalah hari untuk mereka beribadat.

Larangan itu sampai memasak pun tidak boleh. Kerana itu adalah hari besar mereka dan mereka kena tumpukan perhatian kepada ibadah sahaja. Alhamdulillah kita tidak dikenakan syariat seperti itu, walaupun hari besar kita adalah hari Jumaat, tetapi kita masih lagi boleh membuat kerja. Cuma kena pergi solat Jumaat selama dua jam sahaja.

Jadi, mereka memang tidak boleh membuat kerja pada hari Sabtu langsung. Tetapi ikan-ikan telah timbul dengan banyak di lautan pada hari Sabtu. Mereka nampak ikan-ikan itu sampai tidak sabar kerana mereka nampak itu peluang untuk mendapat duit yang banyak.

Jadi, mereka telah membuat jerat pada hari Jumaat supaya ikan-ikan masuk dalam jerat pada hari Sabtu. Dan mereka angkat ikan-ikan itu pada hari Ahad. Mereka menggunakan alasan bahawa mereka tidak bekerja pada hari Sabtu itu. Apabila mereka buat begitu, sebenarnya mereka hendak membuat helah dan menipu Allah ‎ﷻ.

Sama juga macam kita yang cuba hendak menipu Allah ‎ﷻ. Contohnya, kita tidak boleh pergi ke kenduri kahwin yang ada persandinga kerana ia adalah perbuatan syirik – menyerupai amalan penganut Hindu menyembah dewa mereka. Namun ada juga yang pergi ke majlis sebegitu dengan mengatakan mereka tidak tengok majlis sanding itu, mereka hanya makan sahaja. Itu pun boleh dikira menipu Allah ‎ﷻ juga.

Sama juga alasan bagi mereka yang berkata: “Kami tak pergi Majlis Tahlil… kami pergi makan sahaja.” Sama sahaja dengan alasan yang diberikan oleh golongan Yahudi terdahulu.

فَقُلْنَا لَهُمْ

Maka Kami titah kepada mereka:

Ini adalah titah dalam bentuk azab kepada mereka. Ini adalah kerana kedegilan mereka dan sangkaan mereka yang mereka boleh membuat helah dengan Allah ‎ﷻ.

كُونُوا قِرَدَةً خَاسِئِينَ

Jadilah kamu kera yang hina dina;

Oleh kerana kesalahan mereka itu, mereka telah ditukar menjadi kera selama tiga hari. Memang mereka menjadi kera betul, bukan perangai mereka sahaja macam kera. Selepas tiga hari, mereka mati.

Tetapi, ada pula yang mengambil dari cerita ini untuk mengatakan yang manusia dijadikan dari kera pula. Ini tidak masuk akal kerana semua mereka yang menjadi kera itu telah mati selepas tiga hari. Badan mereka sahaja yang bertukar menjadi kera, tetapi akal mereka masih akal manusia.

Namun kisah ini tidak boleh dipakai kerana ia adalah kisah Israiliyat. Sedangkan ada hadith Nabi ﷺ memberitahu yang mana-mana manusia yang ditukar menjadi makhluk lain, mereka hanya hidup selama tiga hari sahaja. Jadi mereka itu tidak ada baka sebenarnya. Allah ‎ﷻ jadikan sebegini supaya ia menjadi pengajaran kepada Yahudi yang lain.

Ada yang membuat kesalahan ini dan ada yang tengok sahaja. Ada juga yang menegur perbuatan mereka itu. Kerana selalu tegur, golongan yang melihat sahaja pun marah kepada golongan yang menegur itu. Yang pasti, mereka yang membuat salah itu telah menjadi kera. Tetapi khilaf di kalangan ulama’, sama ada mereka yang tengok tidak menegur itu bertukar menjadi kera juga ataupun tidak. Yang pasti, mereka yang menegur itu selamat dari ditukar menjadi kera.

Walaupun begitu, ada juga pendapat yang mengatakan mereka berperangai seperti kera dan bukanlah ditukar sampai menjadi kera. Mereka dikatakan menjadi kera kerana isyarat kepada kera yang sejenis binatang yang tidak kisah tentang halal haram. Seperti mereka juga.

Tafsir ayat Ke-66

فَجَعَلناها نَكالًا لِما بَينَ يَدَيها وَما خَلفَها وَمَوعِظَةً لِلمُتَّقينَ

Maka Kami jadikan apa yang berlaku itu sebagai suatu hukuman pencegah bagi orang-orang yang ada pada masa itu dan orang-orang yang datang kemudian, dan suatu pengajaran bagi orang-orang yang (hendak) bertaqwa.

فَجَعَلْنَاهَا نَكَالًا

Maka Kami jadikan seksaan kepada mereka itu sebagai satu peringatan

Kalimah نكل bermaksud sesuatu yang melarikan, menjauhkan. Maka penukaran kepada kera itu menjadi satu teladan supaya manusia selepas itu akan menjauhkan diri dari melakukan kesalahan yang sama supaya kita takut untuk berbuat dosa yang sama.

لِمَا بَيْنَ يَدَيْهَا

bagi orang yang ada pada masa itu;

Mereka yang melakukan kesalahan dan telah ditukar kepada kera itu tinggal berdekatan dengan laut – kerana kesalahan mereka itu menangkap ikan. Bermakna, kerja mereka adalah sebagai nelayan. Jadi, manusia selalunya akan lalu berdekatan dengan laluan air, maka ramailah yang boleh melihat takdir Allah ‎ﷻ kepada mereka itu.

وَمَا خَلْفَهَا

dan orang-orang yang akan datang kemudian

Bukan mereka yang hidup sezaman dengan mereka yang ditukar sahaja yang boleh mengambil pengajaran, tetapi mereka-mereka yang selepas itu juga. Kita termasuk dalam yang disebut kerana kita sekarang sedang membaca kisah mereka sebagai teladan bagi kita.

وَمَوْعِظَةً لِلْمُتَّقِينَ

dan sebagai satu nasihat yang amat berguna kepada-orang orang yang bertaqwa.

Kalau kita bertaqwa, kita juga akan mengambil pengajaran ini sebagai nasihat yang penting untuk kita. Janganlah kita menggunakan helah dalam agama. Ia adalah satu perbuatan yang amat buruk sekali.

Allahu a’lam.

Komen dan Soalan