Utama Bilik (001) Fiqh Asasi Pemula Thaharah: Wudhu’ dan Permasalahannya (Sambungan)

Thaharah: Wudhu’ dan Permasalahannya (Sambungan)

368
0
Iklan

Wudhu’ dan Permasalahanya (Sambungan)

23. Menyempurnakan wudhu’ ketika sulit

Mungkin ada yang rasa sulit untuk mengambil wudhu’, terutama kalau keadaan sejuk atau air tidak banyak, air kena cari jauh dan sebagainya. Keutamaan yang besar jika kita mampu menyempurnakan wudhu’ di kala sulit. Ini termasuk amalan yang dapat menghapus dosa dan meninggikan darjat.

Maka, tidak sama kalau ambil wudhu’ dalam keadaan biasa dan dalam keadaan yang susah. Pahala bertambah kalau ianya susah, tetapi kita buat juga.

✍🏻Ini berdasarkan hadith dari Abu Hurairah رضي الله عنه, Rasulullah ﷺ bersabda,

«أَلَا أَدُلُّكُمْ عَلَى مَا يَمْحُو اللهُ بِهِ الْخَطَايَا، وَيَرْفَعُ بِهِ الدَّرَجَاتِ؟» قَالُوا بَلَى يَا رَسُولَ اللهِ قَالَ: «إِسْبَاغُ الْوُضُوءِ عَلَى الْمَكَارِهِ، وَكَثْرَةُ الْخُطَا إِلَى الْمَسَاجِدِ، وَانْتِظَارُ الصَّلَاةِ بَعْدَ الصَّلَاةِ، فَذَلِكُمُ الرِّبَاطُ»

“Mahukah kalian aku tunjukkan kepada suatu amal yang dapat menghapus kesalahan (dosa) dan meninggikan derajat?” Para sahabat menjawab,”Ya, wahai Rasulullah.” Rasulullah ﷺ bersabda,”(iaitu) menyempurnakan wudhu’ dalam keadaan sulit, banyaknya langkah menuju masjid, menunggu salat setelah mendirikan salat. Itulah kebaikan (yang banyak).”
[ Muslim no. 251 ]

Syarah:
Dimaksudkan dengan menyempurnakan wudhu’ itu adalah ambil wudhu’ dengan baik dan ratakan ke seluruhan anggota wudhu’. Namun perlu diingatkan, bukanlah kita sengaja mahu menyusahkan diri kita.

Ada air suam tetapi sengaja mahu menggunakan air sejuk pula. Ini kebodohan yang dilakukan oleh golongan rahib dan tarekat yang sengaja menyusahkan diri mereka. Islam tidak suruh buat begitu. Ingatlah konsep asas dalam agama:

✍🏻Rasulullah ﷺ bersabda,

إِنَّ الدِّينَ يُسْرٌ

“Sesungguhnya agama itu mudah.”
[ Bukhari no. 39 ]

Syarah:
Janganlah kita sengaja mempersulitkan perkara yang mudah. Jangan ghuluw (berlebihan) dalam agama.

24. Tidak mengikut tertib dalam berwudhu’, tidak merosakkan wudhu’

Ulama’ khilaf sama ada tertib wudhu’ perlu diikuti dari muka kemudian tangan, atau boleh sahaja hendak membasuh kaki dahulu.

✍🏻Mazhab Hanafi dan Maliki: Ia hanya sunat sahaja.
Mazhab Syafie dan Ahmad: Ia wajib.

✍🏻Perbezaan pendapat ini adalah kerana khilaf dalam melihat dalil yang ada. Mari kita lihat [ Maidah: 6 ] (dalil utama tentang wudhu’)

{يَاأَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُوا إِذَا قُمْتُمْ إِلَى الصَّلَاةِ فَاغْسِلُوا وُجُوهَكُمْ وَأَيْدِيَكُمْ إِلَى الْمَرَافِقِ وَامْسَحُوا بِرُءُوسِكُمْ وَأَرْجُلَكُمْ إِلَى الْكَعْبَيْنِ}

“Hai orang-orang yang beriman, apabila kamu hendak mengerjakan salat, maka basuhlah mukamu dan tanganmu sampai dengan siku, dan sapulah kepalamu dan (basuh) kakimu sampai dengan kedua mata kaki”

Kalau kita lihat ayat ini, seolah-olah sudah ada tertib di situ, bukan? Maknanya muka, kemudian tangan, kemudian kepala, kemudian kaki tetapi para ulama’ yang mengatakan tertib bukan wajib, mengatakan huruf ‘و’ dalam ayat ini bukanlah bermaksud turutan.

Lihat kalimah وُجُوهَكُمْ, وُجُوهَكُمْ, وَامْسَحُوا. Kalau turutan yang dikehendaki, maka huruf ’ف ’ atau ثم yang digunakan.

✍🏻Imam Bukhari رحمه الله juga memberi isyarat yang tertib tidak wajib dalam berwudhu’ kerana beliau menyusun tajuk pembasuhan kaki sebelum berkumur. Ini adalah isyarat kepada pendapat beliau.

✍🏻Dari segi hadith, banyak hadith menyebut Nabi ﷺ berwudhu’ mengikut tertib, tetapi ada juga hadith yang baginda tidak mengikut tertib:

Dibawakan kepada Rasulullah ﷺ air untuk berwudhu’, maka baginda ﷺ berwudhu’lah: membasuh kedua telapak tangannya tiga kali, kemudian membasuh wajahnya tiga kali, kemudian membasuh kedua tangannya tiga kali-tiga kali, kemudian berkumur dan istinsyaq tiga kali, dan membasuh kepala serta telinga bahagian luar dan dalamnya dan membasuh kedua kakinya tiga kali-tiga kali.
Diriwayatkan oleh Ahmad, Abu Dawud, dan Asy-Syaukani. Dia berkata: sanadnya sahih. Sanadnya dihasankan oleh Imam An-Nawawi dan Al- Hafizh Ibnu Hajar.

Syarah:
Boleh baca bagaimana Rasulullah ﷺ berkumur setelah basuh kedua tangan baginda ﷺ. Cuma bukanlah saya anjurkan mengubah tertib. Banyak lagi ulama’ mengatakan tertib adalah wajib. Maka, kita teruskan mengikut tertib. Cuma kalau tertinggal tertib, maka boleh sahaja berpatah balik dan membasuh bahagian tertinggal. Tidak perlu di ulang dari mula.

25. Larangan berlebihan dalam berwudhu’

Jangan tambah apa-apa ajaran lain dalam ibadah wudhu’ kecuali apa yang telah disampaikan oleh Nabi ﷺ. Tatacara wudhu’ telah jelas dan tidak perlu ditambah-tambah lagi. Selain itu jangan berlebih-lebihan dalam menggunakan air. Pasang air pili perlahan sahaja, tidak perlu membuak-buak buang air.

✍🏻Di dalam Musnad dan Sunan dari hadith ‘Amr bin Syu‘aib, dari bapanya, dari datuknya, dia berkata, “Datang seorang badwi kepada Nabi ﷺ, bertanya kepada baginda ﷺ tentang wudhu’, maka Nabi ﷺmenunjukkan contohnya dengan tiga kali-tiga kali, kemudian bersabda, “Inilah wudhu’, maka barang siapa menambahnya maka dia telah berbuat keliru, melampaui batas dan berbuat zalim.”
[ Diriwayatkan oleh Al-Bukhari, Abu Dawud dan An-Nasa-i رحمكم الله ]

✍🏻Rasulullah ﷺ bersabda: “Satu mudd itu cukup untuk berwudhu’, sedangkan untuk mandi itu satu shaa’, dan akan datang sebuah kaum yang menganggap sedikit (ukuran) itu, maka mereka itu menyelisihi sunnahku, sedangkan yang memegangi sunnahku akan berada di Jannah Hadziiratul Qudus, yang menjadi tempat hiburannya penghuni Jannah.”
[ Diriwayatkan oleh Al-Bukhari, Abu Dawud dan An-Nasa-i رحمكم الله ]

Syarah:
Satu mudd itu adalah takungan dua tapak tangan sahaja. Ada yang jadikan dalam bentuk matrik, jadi satu mudd adalah dalam 0.6 liter. Lebih kurang sama sahaja dengan satu botol air mineral sekarang. Bagi satu sha’ adalah 4 mudd. Jadi satu sha’ adalah dalam lingkungan 2.7 liter air.

Maka, jangan gunakan banyak air. Memang negara kita banyak air, tetapi janganlah membazir. Pasang air kecil sahaja bila mengambil wudhu’. Ngeri saya, apabila melihat orang membuka pili air masa mengambil wudhu’.

26. Menuangkan air wudhu’ untuk orang lain

Mengambil wudhu’ adalah satu ibadah. Persoalannya bolehkah kita membantu orang lain dalam ibadah? Bergantung, tengok pada ibadah apa. Kalau salat, tidaklah boleh tolong salat untuk orang lain pula.

✍🏻Namun, dalam wudhu’ kita boleh menolong orang lain untuk berwudhu’ seperti yang dilakukan oleh sahabat:

‎حَدَّثَنِي مُحَمَّدُ بْنُ سَلَامٍ قَالَ أَخْبَرَنَا يَزِيدُ بْنُ هَارُونَ عَنْ يَحْيَى عَنْ مُوسَى بْنِ عُقْبَةَ عَنْ كُرَيْبٍ مَوْلَى ابْنِ عَبَّاسٍ عَنْ أُسَامَةَ بْنِ زَيْدٍ
‎أَنَّ رَسُولَ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ لَمَّا أَفَاضَ مِنْ عَرَفةَ عَدَلَ إِلَى الشِّعْبِ فَقَضَى حَاجَتَهُ قَالَ أُسَامَةُ بْنُ زَيْدٍ فَجَعَلْتُ أَصُبُّ عَلَيْهِ وَيَتَوَضَّأُ فَقُلْتُ يَا رَسُولَ اللَّهِ أَتُصَلِّي فَقَالَ الْمُصَلَّى أَمَامَكَ

Telah menceritakan kepadaku Muhammad bin Salam berkata, telah mengkhabarkan kepada kami Yazid bin Harun dari Yahya dari Musa bin ‘Uqbah dari Kuraib mantan budak Ibnu ‘Abbas, dari Usamah bin Zaid, bahawa ketika Rasulullah ﷺ bertolak meninggalkan ‘Arafah beliau ﷺ menuju suatu lembah dan menunaikan hajatnya.” Usamah bin Zaid berkata, “Aku lalu menuangkan air untuknya berwudhu’. Aku lalu berkata, “Wahai Rasulullah ﷺ, apakah engkau akan salat?” Beliau ﷺ menjawab: “Tempat salat nanti akan di depanmu.”
[ Sahih Bukhari ]

27. Takhfif (meringankan) dalam wudhu’

Apakah maksud meringankan wudhu’? Mari kita lihat dalilnya dan kita bincangkan selepas itu:

✍🏻Diriwayatkan dari Ibnu Abbas bahawasanya Nabi ﷺ tidur hingga berdengkur, kemudian beliau ﷺ salat dan barangkali ia mengatakan, “Baginda ﷺ berbaring hingga berdengkur kemudian bangun lalu salat” (Ali bin Abdullah berkata), “Setelah itu Sufyan menceritakan kejadian ini kepada kami berkali-kali. Cerita itu beliau riwayatkan dari Amru dari Kuraib dari Ibnu Abbas, bahawasanya beliau berkata, ‘Pada suatu malam aku pernah menginap di rumah bibiku yang bernama Maimunah, Nabi ﷺ berdiri (bangun) di malam itu, maka ketika pada sebahagian malam Nabi ﷺberdiri (bangun) lalu berwudhu’ dari suatu bejana yang tergantung dengan wudhu’ yang ringan -Amru menggambarkan betapa ringan dan sedikitnya wudhu’ tersebut- setelah itu baginda ﷺ berdiri untuk salat. Aku pun berwudhu’ sebagaimana wudhu’ baginda ﷺ , kemudian aku menghampirinya dan berdiri di sebelah kirinya. Lalu Nabi ﷺ memindahkanku dan menempatkanku di sebelah kanannya. Nabi ﷺ salat sebagaimana yang dikehendaki Allah ﷻ, setelah itu baginda ﷺ tidur hingga berdengkur. Akhirnya datanglah kepadanya juru azan untuk memberitahu kepadanya (waktu) salat (telah masuk). Maka Nabi ﷺ pergi bersama orang itu lalu salat tanpa berwudhu’ lagi.’ Kami bertanya kepada Amru, ‘Sesungguhnya manusia mengatakan bahawa Rasulullah ﷺ tidur matanya tetapi tidak tidur hatinya.’ Amru berkata, ‘Aku mendengar Ubaid bin Umair berkata, bahawa mimpi para Nabi adalah wahyu.’ Kemudian beliau membaca, ‘Sesungguhnya aku melihat dalam mimpi bahawa aku menyembelihmu [ As-Saffat: 102 ] [HR Bukhari]

Syarah:
Apakah maksud ‘meringankan wudhu’ dalam hadith ini? Ada beberapa pendapat yang diberikan:

1. Tidak banyak menggosok anggota wudhu’. Gosok juga tetapi gosok sedikit sahaja atau
2. Tidak basuh lebih dari sekali.

📍Dalam hadith ini, Rasulullah ﷺ meringankan wudhu’ baginda ﷺ kerana sebenarnya baginda ﷺ tidak berhadas. Jadi baginda ﷺ hanya memperbaharui wudhu’ sahaja walaupun tidak perlu. Ini kerana walaupun baginda ﷺ tidur, tetapi ‘tidur para Nabi’ tidaklah membatalkan wudhu’ kerana hati mereka tidak tidur.

Tidak sama dengan kita. Kalau kita tidur sahaja, maka perlu berwudhu’. Maka, sekiranya kita masih lagi ada wudhu’ tetapi kerana hendak salat, mungkin kita memperbaharui wudhu’ kita. Maka dalam keadaan begitu, kita boleh sahaja mengambil wudhu’ dengan cara yang ‘ringan’.

28. Menggunakan sisa wudhu’ orang lain

Perbincangan ini ada berkenaan air musta’mal yang kita telah pernah bincangkan sebelum ini. Kita telah nyatakan yang air musta’mal adalah suci lagi menyucikan.

Maka, sekiranya ada orang telah menggunakan air di dalam baldi untuk wudhu’ dan ada lebihan air, kita yang datang kemudian boleh juga menggunakan air itu untuk mengambil wudhu’. Air bukanlah hanya boleh digunakan sekali sahaja.

✍🏻Dalam Al-Quran, Allah ﷻmengatakan bahawa Dia telah menurunkan ‘air yang suci

وَهُوَ الَّذِي أَرْسَلَ الرِّيَاحَ بُشْرًا بَيْنَ يَدَيْ رَحْمَتِهِ وَأَنزَلْنَا مِنَ السَّمَاءِ مَاءً طَهُورًا

[ Al-Furqan: 48 ]

Dan Dia lah yang menghantarkan angin sebagai berita gembira sebelum kedatangan rahmat-Nya, dan Kami menurunkan dari langit: air yang bersih suci,

Perkataan طَهُورًا air yang bersih suci itu adalah air yang boleh menyucikan ‘berkali-kali’ dari segi lafaz bahasanya. Bukan hanya sekali guna sahaja. Maka, dari ayat ini, kita boleh guna air yang sama untuk digunakan berkali-kali. Bukan sekali sahaja.

✍🏻Imam Bukhari رحمه الله‎ memberikan dalil bahawa air sisa lebihan boleh digunakan:

حَدَّثَنَا آدَمُ قَالَ حَدَّثَنَا شُعْبَةُ قَالَ حَدَّثَنَا الْحَكَمُ قَالَ سَمِعْتُ أَبَا جُحَيْفَةَ يَقُولُ خَرَجَ عَلَيْنَا رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ بِالْهَاجِرَةِ فَأُتِيَ بِوَضُوءٍ فَتَوَضَّأَ فَجَعَلَ النَّاسُ يَأْخُذُونَ مِنْ فَضْلِ وَضُوئِهِ فَيَتَمَسَّحُونَ بِهِ فَصَلَّى النَّبِيُّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ الظُّهْرَ رَكْعَتَيْنِ وَالْعَصْرَ رَكْعَتَيْنِ وَبَيْنَ يَدَيْهِ عَنَزَةٌ
وَقَالَ أَبُو مُوسَى دَعَا النَّبِيُّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ بِقَدَحٍ فِيهِ مَاءٌ فَغَسَلَ يَدَيْهِ وَوَجْهَهُ فِيهِ وَمَجَّ فِيهِ ثُمَّ قَالَ لَهُمَا اشْرَبَا مِنْهُ وَأَفْرِغَا عَلَى وُجُوهِكُمَا وَنُحُورِكُمَا

Telah menceritakan kepada kami Adam berkata, telah menceritakan kepada kami Syu’bah berkata, telah menceritakan kepada kami Al-Hakam berkata, aku pernah mendengar Abu Juhaifah berkata, “Rasulullah ﷺ pernah keluar mendatangi kami di waktu tengah hari yang panas. Baginda ﷺ lalu diberi air wudhu’ hingga baginda ﷺ pun berwudhu’, selepas itu sahabat-sahabat mula mengambil sisa air wudhu’ baginda ﷺ seraya menyapukan ke tubuh mereka. Kemudian Nabi ﷺ salat zuhur dua rakaat dan ‘Asar dua rakaat sedang di hadapannya diletakkan tombak kecil.” Abu Musa berkata, “Nabi ﷺ meminta satu mangkuk berisi air, baginda ﷺ lalu membasuh kedua tangan dan mukanya di dalam mangkuk itu, lalu menyembur air ke dalam mangkuk tersebut seraya bersabda kepada keduanya (Abu Musa dan Bilal): “Minumlah darinya dan tuangkan pada wajah dan leher kalian berdua.”

Syarah:
Sekiranya air itu tidak suci, tentu Nabi ﷺ tidak gunakan untuk memberi orang minum, berubat dan sebagainya. Kalau ada yang kata hadith di atas adalah kisah para sahabat mengambil berkat sahaja, tentulah mengambil berkat dengan air yang suci lagi menyucikan juga.

Jika ada yang berkata ini hanya khusus untuk Nabi ﷺ sahaja juga tidak boleh. Ini kerana jika Nabi ﷺ buat, tentunya kita boleh buat kecualilah, jika Nabi ﷺ mengatakan khusus untuk dia sahaja. Namun, tidak pula dikatakan begitu.

29. Beberapa keterangan bagi seorang yang berwudhu’

a. Berkata-kata ketika mengambil wudhu’ dibolehkan kerana tidak ada larangan.

b. Doa-doa yang diajar semasa membasuh anggota wudhu’ adalah batil kerana tidak ada dalilnya.

c. Jika ragu dengan jumlah basuhan, maka ambil bilangan yang dia yakini.

d. Apa-apa sahaja bahan yang menghalang air kena pada anggota wudhu’, maka itu membatalkan wudhu’. Maka, kerana itu kena gosok supaya boleh rasa apa-apa bahan yang menghalang air. Tetapi kalau setakat warna sahaja seperti warna inai, dakwat, itu tidaklah menghalang air.

e. Sekiranya keluar darah istihadhah, orang yang kencing tidak lawas, atau yang sentiasa kentut, maka mereka berwudhu’ setiap kali hendak salat.

f. Boleh meminta bantuan orang lain untuk tolong dalam berwudhu’. Tukang tuang air atau tukang “spray”.

g. Boleh mengeringkan anggota wudhu’ selepas mengambil wudhu’.

30. Ringkasan praktis wudhu’

a. Niat.

b. Siwak atau gosok gigi

c. Cuci tangan dan sela-sela pada jari. Pastikan semua bahagian kena air.

d. Berkumur dan masukkan air ke dalam hidung. Bersungguh dalam melakukannya.

e. Basuh wajah.

f. Menyela-nyela janggut.

g. Membasuh tangan hingga ke siku.

h. Mengusap kepala dari depan ke belakang.

i. Mengusap telinga dalam dan luar.

j. Mencuci kaki sampai ke mata kaki sambil menyela-nyela jari kaki.

31. Doa setelah wudhu’

✍🏻Dari Umar bin Khaththab رضي الله عنه, Rasulullah ﷺ bersabda,

مَا مِنْكُمْ مِنْ أَحَدٍ يَتَوَضَّأُ فَيُسْبِغُ الْوَضُوءَ ثُمَّ يَقُولُ: أَشْهَدُ أَنْ لَا إِلَهَ إِلَّا اللهُ وَحْدَهُ لَا شَرِيكَ لَهُ وَأَنَّ مُحَمَّدًا عَبْدُ اللهِ وَرَسُولُهُ إِلَّا فُتِحَتْ لَهُ أَبْوَابُ الْجَنَّةِ الثَّمَانِيَةُ يَدْخُلُ مِنْ أَيِّهَا

“Tidaklah salah seorang di antara kalian berwudhu’ dan menyempurnakan wudhu’nya, kemudian mengucapkan, ‘Asyhadu an laa ilaaha illallah wahdahu laa syariika lahu, wa asyhadu anna Muhammadan ‘abduhu wa rasuluhu’ (Aku bersaksi bahawa tidak ada sesembahan yang berhak disembah selain Allah semata, tidak ada sekutu bagi-Nya. Dan aku bersaksi bahawa Muhammad adalah hamba dan utusan Allah) kecuali Allah akan bukakan untuknya lapan pintu langit yang boleh dia masuki dari pintu mana sahaja.”
[ HR. Muslim no. 234; Abu Dawud no. 169; At-Tirmizi no. 55; An-Nasa’i 1/95 dan Ibnu Majah no. 470 ]

✍🏻Di dalam riwayat At-Tirmizi ada tambahan doa,

اللَّهُمَّ اجْعَلْنِي مِنَ التَّوَّابِينَ، وَاجْعَلْنِي مِنَ المُتَطَهِّرِينَ

“Allahummaj ‘alni minat tawwabiina waj’alnii minal mutathohhiriin (Ya Allah jadikanlah aku termasuk hamba-hambaMu yang rajin bertaubat dan menyucikan diri).”
[ Dinilai sahih oleh Syaikh Al-Albani رحمه الله‎dalam Shahihul Jami’ hadith no. 6046 ]

✍🏻Ada pun tambahan doa,
واجعلني من عبادك الصالحين من الذين لا خوف عليهم ولا هم يحزنون

“Waj’alni min ‘ibaadika ash-shalihin minalladziina laa khoufun ‘alaihim walaa hum yahzanuun (Jadikanlah aku termasuk hamba-Mu yang soleh, (iaitu) hamba-hamba-Mu yang tidak ada rasa takut dalam diri mereka dan tidak pula bersedih hati)”

📍Maka, tambahan doa dengan lafaz seperti ini tidak ada asalnya dari Nabi ﷺ, sehingga tidak boleh diamalkan.

✍🏻Syaikh Abu Usamah Salim bin ‘Ied Al-Hilali حفظه الله mengatakan,”Sebahagian orang menambahkan, ‘Waj’alni min ‘ibaadika ash-shalihin‘. Tambahan ini tidak ada asalnya sebagaimana yang aku jelaskan di dalam kitabku, ‘Silsilah Al-Ahaadits Allati Laa Ashla Laha’.” سلسلة الأحاديث اللتي لا أصل لها (Rangkaian hadith-hadith yang tidak ada asalnya).

https://fiqhpraktis.wordpress.com/2018/08/19/air-suci-lagi-menyucikan/CelikTafsir

Komen dan Soalan