Utama Bilik (35) Berinteraksi dengan Hadith Bolehkah dijama’kan salat Juma’at dengan ‘Asar?

Bolehkah dijama’kan salat Juma’at dengan ‘Asar?

210
0
Iklan

Bolehkah dijama’kan salat Juma’at dengan ‘Asar?

Tidak diwajibkan salat Juma’at kepada musafir. Seandainya dia salat juga bersama orang setempat, maka dia mendapat pahala salat Zuhur secara ijma’.

Ikuti perbahasan 4 mazhab berkenaan perkara ini:

Mazhab Hambali:
Tidak diharuskan secara mutlaq.
[Rujuk Kasyful Qana’ 2/21 dan Matolib Ulin Nuha 1/755]

Mazhab Hambali beralasan sebegini:
1. Tiada langsung dalil berkenaan hal tersebut. Ini kerana asal di dalam ibadat perlu ada dalil.

2. Tidak boleh disamakan salat Zuhur dengan Juma’at kerana tidak boleh qiyas dalam hal ibadat.

3. Salat Juma’at adalah salat yang mempunyai hukum tersendiri. Zuhur dan Juma’at amat berbeza kedua-duanya.

4. Pernah di zaman Nabi ﷺ hujan turun dengan lebat pada hari Juma’at dan tiada langsung riwayat yang mengatakan bahawa Nabi ﷺ pernah menjama’ salat Jumaat bersama ‘Asar.
[Al-Bukhari]

Manakala pendapat jumhur ulama’ pula yang mengatakan harus:

Mazhab Syafi’iy:
Harus, tetapi jama’ taqdim sahaja kerana salat Zuhur boleh dijama’ bersama ‘Asar. Tidak boleh jama’ taakhir, kerana Juma’at tidak boleh diakhirkan waktunya
[Rujuk: Al-Majmu’ 4/383, Asnal Matolib 1/242]

Mazhab Maliki:
Harus muthlak! Ini kerana waktu Juma’at berterusan sehingga sebelum Maghrib [Rujuk Syarhul Kharsyi 2/72-73]

Dalil yang digunakan:

◾️ Makna jama’ ialah meletakkan satu waktu salat ke dalam waktu salat yang lain. Begitu juga Juma’at, waktu Juma’at tidak pun berubah cuma waktu ‘Asar yang berubah iaitu ia didahulukan, tiada beza pun di antara ‘Asar hari Sabtu dan Khamis dan ‘Asar hari Juma’at, iaitu boleh diletakkan ke waktu sebelumnya.

◾️ Allah ﷻ beri keringanan kepada musafir dengan digugurkan salat Juma’at, jadi musafir itu menjadi sebab yang kuat untuk digugurkan salat Juma’at, dan sah Juma’atnya jika dia salat. Jadi, mengapa disempitkan dengan tidak membolehkan untuk dijama’ keduanya?

◾️ Zuhur dan Juma’at keduanya di dalam waktu yang sama.

◾️ Hukum syara’ tidak akan memisahkan dua perkara yang serupa sepertimana tidak akan menghimpunkan dua perkara yang berbeza. Jadi apakah bezanya di antara menjama’kan salat Juma’at dengan ‘Asar dan Zuhur bersama ‘Asar jika kedua-duanya mempunyai sebab yang sama iaitu masyaqqah (kesusahan musafir) bahkan hari Juma’at terlebih lagi.

◾️ Tiada langsung riwayat berupa larangan daripada Nabi ﷺ untuk jama’ Juma’at dan ‘Asar sedangkan riwayat tentang musafir hari Juma’at itu banyak, jika ada, tentulah dilarang.

Pandangan yang rajih (kuat) pada pandangan saya yang lemah ialah:
Harus dijama’ Juma’at bersama ‘Asar secara taqdim sahaja, kerana Juma’at tidak boleh diakhirkan dari waktunya.

Manakala pendapat yang mengatakan salat Juma’at itu salat yang tersendiri maka tidak boleh diqiyaskan (disamakan) dengan Zuhur agak lemah kerana :

◾️ Qiyas sebegini adalah pada perkara rukhsah (keringanan) yang mana ia diamalkan oleh para usuliyun.
[Rujuk Al-Bahrul Muhith 4/52]

◾️ Juma’at dan Zuhur keduanya sama dalam banyak segi, antaranya keuzuran pada keduanya, Zuhur boleh dijama’kan dengan ‘Asar (8 rakaat). Walaupun tidak bermusafir jika hujan lebat dan Juma’at pula boleh jadi tidak wajib jika bermusafir.

◾️ Bahkan Anas bin Malik رضي الله عنهما pernah menggunakan qiyas Juma’at dengan Zuhur, yang mana Imam Al-Bukhari رحمه الله‎ menyatakan di dalam sahihnya satu bab:
Bab jika bersangatan panas hari Juma’at, dan Anas رضي الله عنه mengatakan: bahawa Nabi ﷺ jika datang waktu sejuk baginda akan percepatkan salat dan jika bersangatan panas baginda melambatkan salat, iaitu Juma’at.

Berkata Al-Hafiz Ibnu Hajar Al-Asqalani رحمه الله‎ bahawa:
dapatlah diketahui di sini bahawa Anas رضي الله عنه telah menjama’kan salat Juma’at yang diakhirkan dengan salat Zuhur.

Bahkan terdapat riwayat keringanan meninggalkan salat Juma’at jika hujan terlalu lebat seperti di dalam hadith Ibnu ‘Abbas رضي الله عنهما yang pernah berkata kepada muazzin pada hari hujan lebat:

Jika anda berkata : Asyhadu anna Muhammadar rasulullah maka selepas itu jangan laungkan hayya alas solah, tetapi katakan : sollu fi buyutikum (salatlah di rumah kalian), dan seolah-olah manusia ketika itu tidak bersetuju, beliau berkata:
“orang yang lebih baik daripadaku pun telah melakukan ini, sesungguhnya Juma’at itu satu kewajipan, dan aku takut untuk menyusahkan kalian yang berjalan dalam lecak dan lumpur”.
[Al-Bukhari dan Muslim]

Oleh itu, jika orang bertanya apakah boleh dijama’kan salat Juma’at dengan ‘Asar, maka jawablah :

1. Ianya khilaf 4 mazhab, tetapi jumhur (Syafi’iy dan Maliki) mengatakan harus untuk dijama’ keduanya tetapi hanya jama’ taqdim iaitu Juma’at dengan ‘Asar dalam waktu Zuhur, kerana Juma’at tidak boleh diakhirkan dari waktunya.

2. Harus juga kerana waktu Juma’at itu sahih untuk disamakan dengan salat Zuhur, sepertimana Zuhur boleh dijama’ kepada ‘Asar begitu juga Juma’at.

3. Adanya riwayat dari Anas رضي الله عنه bahawa beliau pernah menyamakan salat Juma’at dengan Zuhur sebagai menolak pandangan yang mengatakan tiada.

@ustazdaud
#berinteraksidenganhadis

Komen dan Soalan