Utama Bilik (64) Syamail Muhammadiyyah Hadis 73: Bab 10: Apa Yang Datang Berkenaan Kasut Rasuli Llah

Hadis 73: Bab 10: Apa Yang Datang Berkenaan Kasut Rasuli Llah

267
0
Iklan

https://telegra.ph/Syarah-Hadis-Asy-Syamail-Al-Muhammadiyyah—Hadis-73-12-14

Syarah Hadis Asy-Syama’il Al-Muhammadiyyah – Hadis 73

Mohd ‘Adlan Bin Mohd ShariffuddinDecember 15, 2018

بَابُ مَا جَاءَ فِي خُفِّ رَسُولِ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ

Bab 10: Apa Yang Datang Berkenaan Kasut Rasuli Llah

73 – حَدَّثَنَا هَنَّادُ بْنُ السَّرِيِّ، قَالَ: حَدَّثَنَا وَكِيعٌ، عَنْ دَلْهَمِ بْنِ صَالِحٍ، عَنْ حُجَيْرِ بْنِ عَبْدِ اللَّهِ، عَنِ ابْنِ بُرَيْدَةَ، عَنْ أَبِيهِ، أَنَّ النَّجَاشِيَّ أَهْدَى لِلنَّبِيِّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ خُفَّيْنِ أَسْوَدَيْنِ سَاذَجَيْنِ، فَلَبِسَهُمَا ثُمَّ تَوَضَّأَ وَمَسَحَ عَلَيْهِمَا.

73- Telah bercerita kepada kami Hannad bin As-Sariy, dia berkata: Telah bercerita kepada kami Waki`, daripada Dalham bin Salih, daripada Hujayr bin `Abdi Llah, daripada Ibni Buraydah, daripada bapanya, bahawa An-Najasyiy telah menghadiahkan kepada Nabi sepasang kasut hitam kosong, dan dia telah memakai kedua-duanya, kemudian dia berwudhu’ dan dia menyapu di atas kedua-duanya.

Syarah Adou_Fr:

Hadis ini berkenaan dengan kasut Nabi, yang diterima sebagai hadiah daripada An-Najashiy. An-Najasyiy atau Nagasi ialah gelaran bagi raja-raja Habsyah yang terletak di Ethiopia sekarang. Nama sebenar An-Najasyiy ialah (أَصْحَمَةُ بْنُ أَبْجَر) Ashamah Bin Abjar yang merupakan raja kerajaan Aksum iaitu sebuah kerajaan Kristian. Beliau meninggal pada bulan Rajab tahun sembilan Hijrah. Ketika beliau meninggal dunia, Nabi berkata kepada para sahabat:

مَاتَ اليَوْمَ رَجُلٌ صَالِحٌ، فَقُومُوا فَصَلُّوا عَلَى أَخِيكُمْ أَصْحَمَةَ

Telah mati pada hari ini seorang lelaki salih. Maka bangunlah dan bersalatlah ke atas saudara kamu Ashamah.

Dalam hadis ini, An-Najasyiy telah menghadiahkan sepasang kasut kepada Nabi. Kasut itu berwarna hitam yang tidak bercampur dengan sebarang warna lain. Nabi menerima hadiah tersebut dan Nabi memakai kasut itu. Hal ini ialah satu contoh kepada kita agar kita menghargaï hadiah yang diberi oleh orang lain. Apabila kita menerima hadiah, maka kita hendaklah menggunakan hadiah itu dengan sebaik-baiknya agar ia memberi faedah kepada diri kita, sekali gus dapat menggandakan ganjaran kebaikan terhadap orang yang memberikan hadiah, selagi hadiahnya itu dimanfa`atkan.

Ia juga sebagai peringatan bagi sesiapa yang ingin memberikan hadiah, iaitu agar hadiah yang diberikan itu boleh dipakai, atau dimakan, atau digunakan, atau diambil faedah daripadanya. Hadiah tidaklah perlu sesuatu yang besar, atau mahal, tetapi cukuplah ia berguna dalam kehidupan seseorang. Dalam hadis ini, seorang raja memberikan hadiah berupa sepasang kasut, dan kasut itu berguna dalam kehidupan Nabi.

Hadis ini juga menyentuh tentang hukum taharah, iaitu berwudhu’ dalam keadaan memakai kasut. Umat Melayu telah kehilangan ilmu dan amal dalam hal ini, kerana kita tidak nampak di hadapan mata kita bagaimana berwudhu’ atau bersalat dengan memakai kasut. Hendaklah diketahuï bahawa melaluï hadis ini, Nabi telah berwudhu’ dan ketika dia berwudhu’ itu, dia memakai kasut tanpa menanggalkannya. Hal ini ialah apa yang dilakukan oleh Nabi, dan ia menjadi satu hukum agama iaitu boleh memakai kasut ketika berwudhu’ tanpa menanggalkannya.

Kasut dalam hadis ini ialah kasut yang menutup buku lali, seperti kasut but yang dipakai oleh askar dan polis, begitu juga bomba dan anggota keselamatan yang lain. Untuk memakai kasut but ini, seseorang hendaklah berada dalam keadaan berwudhu’, iaitu dia masih berwudhu’ ketika dia memakai kasut but. Setelah itu, dia memakai kasut but dan apabila wudhu’nya batal, dia tidak perlu menanggalkan kasutnya seharian jika dia bermukim, atau selama tiga hari jika dia bersafar. Selama masa itu, dia hanya perlu mengikut sunnah Nabi seperti yang disebut dalam hadis ini, iaitu menyapu di atas kasut.

Secara am, yang disapu ialah bahagian atas kasut, iaitu di bahagian kasut yang menutupi atas jari-jari (phalange) dan tulang metatarsal. Seseorang yang memakai kasut but, cukup baginya untuk membasahkan tangan dan menyapu atau mengelap bahagian atas kasut ini sebagai ganti membasuh kaki. Wudhu’nya sah dan sempurna tanpa ragu-ragu.

Walaupun tidak disebut di dalam hadis, tetapi, kita dapat faham bahawa jika ketika berwudhu’ itu Nabi tidak membuka kasut, ia bermakna bahawa Nabi juga tidak membuka kasut ketika bersalat, iaitu Nabi bersalat dengan memakai kasut. Dan dengan itu, kita dapat tahu bahawa memakai kasut ketika bersalat adalah satu sunnah Nabi.

Seorang polis yang bertugas, apabila dia sudah menyarungkan kasut butnya, dia boleh mengambil pedoman hadis ini dengan berwudhu’ tanpa membuka kasut, iaitu dengan menyapu di atas kasut sahaja. Setelah itu, dia juga bersalat dengan memakai kasut tersebut. Sudah tentu, dia tidak boleh bersalat di atas sejadah, atau karpet masjid, atau permaidani bulu, kerana itu akan merosakkan dan mengotorkan sejadah, karpet dan permaidani. Justeru, jika dia mahu, dia boleh bersalat di atas pasir, atau tanah, atau simen, atau di tempat-tempat yang sesuai. Seorang askar contohnya, dia boleh bersalat terus di lantai hutan, walaupun tanpa beralaskan apa-apa. Jika di tempat berpasir, dia boleh terus bersalat di atas pasir itu. Salatnya adalah sah dan sempurna tanpa ragu-ragu.

Oleh sebab Malaysia ialah sebuah negara yang aman, dan kita juga memiliki iklim dan persekitaran yang berbeza dengan keadaan semasa zaman Nabi atau keadaan di negara `Arab. Justeru, banyak hukum hakam dan ilmu agama yang tidak didedahkan kepada kita, seperti berwudhu’ dengan berkasut seperti hadis ini, dan seterusnya bersalat dengan memakai kasut. Namun, hukum hakam ini kekal dan mungkin akan berguna, kerana ramai juga rakyat Malaysia yang mengembara dan pergi ke luar negara.

Mempelajari hukum hakam seperti ini adalah perkara asas fardhu `ayn, iaitu ia bersifat individu. Setiap orang perlu mempelajarinya dan mengetahuï tentangnya. Mula-mula, ia dipelajari sebagai ilmu. Kemudian, apabila sampai kepada masa dan keadaan yang sesuai, barulah ia dapat digunakan tanpa rasa ragu, atau terikat kepada kebiasaan sahaja.

Contoh mudah, ialah seseorang yang melancong ke negara kafir. Apabila dia berjalan-jalan sama ada membeli-belah, melawat tempat-tempat menarik, mengikuti rombongan, atau untuk apa-apa tujuan, dan ketika itu sudah masuk waktu salat, dia boleh sahaja berwudhu’ dengan menyapu di atas kasut, dan bersalat dengan berkasut di mana-mana tempat yang sesuai. Dia tidak perlu membuka kasut untuk berwudhu’, dan dia juga tidak perlu membuka kasut untuk bersalat. Inilah kemudahan yang ada dalam Islam, dan keindahan Islam yang tidak menyusahkan ummah.

Bayangkan jika ilmu ini tidak dipelajari, maka orang itu pasti akan kesusahan terpaksa mengambil masa yang panjang untuk membuka kasutnya, dan kemudian bersalat, dan memakai semula kasutnya itu. Dia akan menyangka bahawa dia sudah melaksanakan agamanya, sedangkan dia jahil dengan satu hukum agama yang ada.

Bayangkan juga jika ilmu ini tidak dipelajari, apa akan berlaku jika dia melihat seseorang yang bersalat tetapi memakai kasut? Adakah dia akan menyalahkan – atau mungkin menyesatkan – orang yang sebenarnya sedang mengamalkan sunnah agama?

Justeru, al-hamdu liLlah, apabila kita membaca hadis Syama’il ini, walaupun ia bukan sebuah kitab fiqh, tetapi apabila kita menjumpaï hadis ini, kita mendalami kefahaman hadis dan hukum hakam yang terkandung di dalamnya. Semoga Allah terus melapangkan kita dalam memahami agama dan menghilangkan kejahilan diri ini, amin.

Komen dan Soalan