Utama Bilik (123) Tafsir, Tadabbur dan Tazakkur Tafsir Surah Al-Humazah – Tafsir Ayat Ke-7 hingga Ke-9

Tafsir Surah Al-Humazah – Tafsir Ayat Ke-7 hingga Ke-9

626
0
Iklan

Tafsir Surah Al-Humazah

Pada perbincangan yang lepas, kita telah membincangkan :

1. Perihal rendah dan hinanya maruah mereka yang melakukan dosa-dosa yang tersebut di awal surah ini.

2. Sifat manusia yang rapuh dengan prinsip keimanan menyebabkan mereka akhirnya terjebak dengan dosa-dosa tersebut.

3. Betapa Allah SWT sangat membenci dan memberikan hukuman yang berat kepada mereka yang melakukan dosa-dosa tersebut dengan menyalakan sendiri api dalam neraka Hothumah.

Maka, seterusnya Allah SWT berfirman mengenai api tersebut. Api yang akan membakar hati yang berbuat dosa-dosa yang dibincangkan di awal surah.

Tafsir Ayat Ke-7:

الَّتي تَطَّلِعُ عَلَى الأَفئِدَةِ

Yang naik (membakar) sampai ke hati.

تَطَّلِعُ

Dari katadasar ط ل ع yang bermaksud : menaik / terbit.

Kalimah

تَطَّلِعُ

Bermaksud seperti “menaiki dengan susah”, yang juga biasa digunakan dengan matahari terbit.

Dalam ayat ini, Allah SWT ingin memberi gambaran mengenai api yang telah disebut dalam ayat sebelum ini, iaitu api tersebut akan menaiki dari “bawah ke atas”.

Dan ia akan berulang-ulang berlaku (seperti mana boleh difahami keadaan terdapat syaddah pada huruf ط itu).

Maka kesakitan itu akan berterusan. Ini seperti yang Allah sebut dalam Surah [ A’la (87): 13 ]

لا يَموتُ فيها وَلا يَحيىٰ

Dia tidak akan mati di dalamnya dan tidak (pula) hidup.

Cara api tersebut membakar / azab hati seperti tempurung kelapa terbakar sedikit demi sedikit. Memang sesuai gambaran bakar begini kepada benda yang keras, yang mana Allah maksudkan di sini ialah “hati yang keras”.

Kalimah

الأَفئِدَةِ

Dari kata dasar ف أ د yang bermaksud hati “merasai”.

Segala dosa dan kesalahan yang dilakukan di bahagian awal surah ini seperti هُمَزَةٍ dan لُمَزَةٍ itu adalah kerana masalah hati yang telah rosak.

Oleh kerana itu, الحُطَمَةُ yang dalam bentuk api itu akan menghancurkan daging, tulang dan akan memakan tubuh badan si pendosa itu, dan akan naik membakar hingga ke hati (الأَفئِدَةِ) orang itu.

Keadaan yang Allah SWT mahu gambarkan di sini ialah, balasan di sini khusus untuk memberi “sakit” kepada hati-hati yang rosak.

Sebagaimana kita maklum di atas dunia ini, kadang-kadang sakit di hati itu lebih parah berbanding sakit luaran.

“Sakit luaran kemudian masuk hospital, dapat pelawat dan rasa terhibur tetapi sakit hati, semua orang lari”.

Begitulah Allah SWT memberi isyarat, bahagian yang menyebabkan kekufuran dan dosa itulah yang akan dikenakan dengan seksaan yang teruk dari Allah SWT.

Tafsir Ayat Ke-8:

إِنَّها عَلَيهِم مُؤصَدَةٌ

Sesungguhnya api itu ditutup rapat atas mereka,

Kalimah

عَلَيهِم

Diletakkan di awal, memberi isyarat bahawa azab yang dikenakan dalam ayat ini adalah khusus kepada mereka.

Ini kerana susunan yang biasa dalam bahasa Arab, ia sepatutnya begini :

إِنَّها مُؤصَدَةٌ عَلَيهِم

Bermakna, Allah SWT menyediakan azab yang khusus kepada mereka yang khusus melakukan dosa spesifik seperti yang telah disebut dalam ayat pertama hingga ke-3.

مُؤصَدَةٌ

Dari kalimah و ص د yang bermakna tempat tertutup. Oleh itu, مُؤصَدَةٌ adalah tempat di mana kurungan / sangkar binatang.

Ia adalah sebuah tempat yang tinggi supaya binatang itu tidak dapat lari keluar. Begitulah yang dikenakan kepada penghuni neraka nanti.

Ini seperti yang disebut juga dalam Surah [ Al-Hajj (22): 22 ].

كُلَّما أَرادوا أَن يَخرُجوا مِنها مِن غَمٍّ أُعيدوا فيها

Setiap kali mereka hendak keluar dari neraka lantaran kesengsaraan mereka, nescaya mereka dikembalikan ke dalamnya.

Tambahan penjelasan mengenai azab ini, mereka diikat pada tiang yang sangat panjang dalam neraka.

Tafsir Ayat Ke-9:

في عَمَدٍ مُمَدَّدَةٍ

(Sedang mereka itu) diikat pada tiang-tiang yang panjang.

عَمَدٍ

Bermaksud tiang-tiang.

Jika kita meneliti kitab-kitab tafsir, dapat temui beberapa gambaran mengenai “tiang dalam neraka” ini.

1. Sebagai alat untuk menambahkan lagi azab. Besi akan jadi panas kerana terkesan dengan api neraka itu. Lalu mereka pula berada dekat dengan tiang itu.

Jadi bayangkan betapa bahangnya suasana dalam neraka itu.

2. Ada juga yang berpendapat, mereka itu diikat pada tiang-tiang itu. Seolah-olah akan dipanggang kerana berada pula atas api neraka.

3. Ada juga berpendapat, tiang yang dimaksudkan itu adalah palang kunci yang menahan pintu-pintu neraka itu.

Sebagaimana dalam ayat sebelum ini, mengatakan pintu neraka tersebut tertutup rapat.

Ibrah dan Kesimpulan :

Pertama :

Pembuat dosa ini (mengumpat, menghina, mengumpul harta tidak berkesudahan) sebenarnya mempunyai hati yang tidak tenang. Maka sesuai dengan balasan azab Allah SWT, tepat ke hati mereka.

Kedua :

Jika kita tidak mahu sakit hati, maka jangan buat orang lain sakit hati. Begitu juga jika hati kita disakiti, perlu bertenang kerana sebenarnya tiada apa yang perlu dirisaukan, sebalik patut sedar bahawa orang cuba menyakiti kita itulah yang sedang bermasalah.

Ketiga :

Balasan yang dahsyat menanti mereka yang melakukan dosa-dosa yang telah dibincangkan, iaitu seolah-olah dipanggang di dalam neraka, manakala api tersebut pula tepat ke hati. Betapa pedih zahir dan batin apabila dikenakan azab begini.

Allahu a’lam.

Komen dan Soalan