Utama Bilik (40) Asas Ilmu Hadits 02.13.01 MUDRAJ Bhg. 01

02.13.01 MUDRAJ Bhg. 01

569
0
Iklan

Panel: BroSyarief
asSalaamu ‘alaikum, nota seterusnya telah siap mengenai topik hadits Mudraj, ia agak panjang, jadi akan dibahagikan kepada beberapa bahagian. Nota di bawah adalah bahagian pertama.

#050107 Bilik (40) Asas Ilmu Hadits

02.13.01 Hadits al-Mardud (المردود) Kategori Kritikan pada Periwayat (الطعن في الراوي) – Percanggahan Riwayat Tsiqah dan Jenis-jenisnya (مخالفة الثقات وأنواعها).

#NotaBroSyarief #AsasIlmuHadits #UiTOBilik40

Susunan: BroSyarief

MUDRAJ (المدرج) Bhg. 01

Dari sudut bahasa, ia berasal dari perkataan Idraj (الإدراج) yang bermaksud: Memasukkan. Maka perkataan Mudraj membawa maksud: Yang dimasukkan.

Adapun dari sudut istilah, ia merujuk kepada sesuatu sanad atau matan yang dimasukkan padanya sesuatu dari luar dengan cara yang menyebabkan timbul keraguan bahawa ianya benar-benar bahagian dari sanad atau matan tersebut.

Terdapat beberapa bentuk Idraj yang berlaku pada sanad dan matan.

A. Bentuk-bentuk Idraj pada Sanad:

1 – Bentuk pertama di mana sekumpulan periwayat meriwayatkan sesuatu hadits dengan sanad-sanad yang pelbagai dan berbeza, lalu seorang periwayat meriwayatkan hadits tersebut dari mereka semua dan dia kumpulkan semua sanad tersebut pada satu sanad, tanpa menjelaskan bahawa ianya adalah himpunan sanad-sanad yang berbeza-beza.

Contohnya seperti apa yang diriwayatkan dari ‘Abdur Rahman ibn Mahdi, dari Sufyan ats-Tsauriy, dari Waasil, Mansur dan al-A’masy, dari Abu Waa’il, dari ‘Amr ibn Syurahbil, dari ‘Abdullah ibn Mas’ud, katanya:

قُلْتُ يَا رَسُولَ اللَّهِ أَيُّ الذَّنْبِ أَعْظَمُ

Aku bertanya: ‘Wahai RasululLah, dosa apakah yang paling besar?’

قَالَ أَنْ تَجْعَلَ لِلَّهِ نِدًّا وَهُوَ خَلَقَكَ

Nabi sallalLaahu ‘alaihi wa sallam pun menjawab: “Engkau menjadikan bagi Allah itu, sekutu, sedangkan Dia yang telah menciptakan engkau.”

[HR Ahmad]

Hadits ini sebenarnya diriwayatkan oleh Sufyan melalui 2 jalan periwayatan seperti berikut:

a) Sufyan, dari Mansur dan al-A’masy, dari Abu Wa’il, dari ‘Amr ibn Syurahbil, dari ‘Abdullah

b) Sufyan, dari Waasil, dari Abu Waa’il, dari ‘Abdullah; tanpa menyebut ‘Amr ibn Syurahbil pada sanad ini.

Maka, apabila ‘Abdullah Ibn Mahdi mengumpulkan riwayat-riwayat dengan meletakkan nama ‘Amr ibn Syurahbil menyebabkan timbul keraguan bahawa dia juga periwayat bagi keseluruhan sanad, maka tambahan namanya disebut Idraj atau sanad itu Mudraj.

2 – Bentuk seterusnya, satu matan hadits yang diriwayatkan oleh seorang periwayat Z di mana telah disebutkan bahawa sebahagian dari matan itu dari sanad A, dan sebahagian lagi dari sanad yang lain, iaitu B; lalu seorang periwayat Y yang mengambil darinya riwayat tersebut secara penuh dan disandarkan hanya kepada sanad A.

Contohnya seperti apa yang telah diriwayatkan oleh Abu Daud (w.275H), dari jalan Zaidah dan Syuraik, dari ‘Aashim ibn Kulayb, dari ayahnya, dari Waail ibn Hujr, di mana dia menyebutkan tentang sifat solat Nabi sallalLahu ‘alaihi wa sallam, dan terdapat lafaz pada hadits tersebut yang menyebutkan:

ثُمَّ جِئْتُ بَعْدَ ذَلِكَ فِي زَمَانٍ فِيهِ بَرْدٌ شَدِيدٌ فَرَأَيْتُ النَّاسَ عَلَيْهِمْ جُلُّ الثِّيَابِ تَحَرَّكُ أَيْدِيهِمْ تَحْتَ الثِّيَابِ

“Kemudian aku datang selepas itu ketika keadaan sangat sejuk, dan aku melihat semua orang berada dalam pakaian yang tebal, sambil tangan-tangan mereka bergerak-gerak di bawah pakaian mereka (untuk memanaskan badan)”

[HR Abu Daud]

Bahagian matan di atas sebenarnya tidak diriwayatkan pada jalan sanad yang disebut di atas, ia ditambah (Idraj) pada sanad ini. Ia berasal dari jalan periwayatan ‘Ashim, dari ‘Abdul Jabbar ibn Waail, bukan dari ayahnya Kulayb.

[Tadrib ar-Rawi]

(Bersambung)

Ruj: Ulum Al-Hadits Asiluha wa Mu’asiruha, karangan Prof Dr Abullayts KhairAbaadi.

__
#صحح_لي_إن_كنت_مخطئاً
#BroSyariefShares

Komen dan Soalan