Utama Bilik (64) Syamail Muhammadiyyah Hadis 64: Kesan Positif Pengulangan Hadis Dalam Sebuah Kitab

Hadis 64: Kesan Positif Pengulangan Hadis Dalam Sebuah Kitab

263
0
Iklan

Panel: Ustaz ADÖULINÉ Lacharouphe

64- حَدَّثَنَا عَلِيُّ بْنُ خَشْرَمٍ، قَالَ: حَدَّثَنَا عِيسَى بْنُ يُونُسَ، عَنْ إِسْرَائِيلَ، عَنْ أَبِي إِسْحَاقَ، عَنِ الْبَرَاءِ بْنِ عَازِبٍ، قَالَ: مَا رَأَيْتُ أَحَدًا مِنَ النَّاسِ أَحْسَنَ فِي حُلَّةٍ حَمْرَاءَ مِنْ رَسُولِ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ، إِنْ كَانَتْ جُمَّتُهُ لَتَضْرِبُ قَرِيبًا مِنْ مَنْكِبَيْهِ.

64- Telah bercerita kepada kami `Aliy bin Khaysram, dia berkata: Telah bercerita kepada kami `Isa bin Yunus, daripada Isra’il, daripada Abi Ishaq, daripada Al-Bara’ bin `Azib, dia berkata:

Saya tidak pernah melihat seorang pun daripada manusia yang lebih elok dalam sepasang merah daripada Rasuli Llah. Ketika itu, rambutnya sungguh mencecah hampir daripada dua bahunya.

Syarah Adou_Fr:

Hadis ini adalah ulangan sebahagiannya daripada beberapa hadis sebelum ini, seperti hadis ketiga: (عَظِيمَ الْجُمَّةِ إِلَى شَحْمَةِ أُذُنَيْهِ الْيُسْرَى، عَلَيْهِ حُلَّةٌ حَمْرَاءُ، مَا رَأَيْتُ شَيْئًا قَطُّ أَحْسَنَ مِنْهُ) “lebat rambutnya ke cuping dua telinganya yang kiri. Dia memakai sepasang merah. Saya tidak pernah pun melihat orang yang lebih elok daripadanya”, dan hadis keempat: (مَا رَأَيْتُ مِنْ ذِي لِمَّةٍ فِي حُلَّةٍ حَمْرَاءَ أَحْسَنَ مِنْ رَسُولِ اللَّهِ، لَهُ شَعْرٌ يَضْرِبُ مَنْكِبَيْهِ) “Saya tidak pernah melihat orang yang rambutnya mencecah bahu, dalam sepasang merah yang lebih elok daripada Rasuli Llah. Dia mempunyaï rambut yang mencecah dua bahunya”, dan hadis kedua puluh enam: (وَكَانَتْ جُمَّتُهُ تَضْرِبُ شَحْمَةَ أُذُنَيْهِ) “dan rambutnya menyentuh cuping dua telinganya”. Ketiga-tiga hadis tersebut turut diriwayatkan oleh Al-Bara’ bin `Azib. Begitu juga dengan hadis kesepuluh riwayat Jabir bin Samurah: (وَعَلَيْهِ حُلَّةٌ حَمْرَاءُ) “dan dia memakai sepasang merah”, dan hadis keenam puluh tiga riwayat Abi Juhayfah: (رَأَيْتُ النَّبِيَّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ وَعَلَيْهِ حُلَّةٌ حَمْرَاءُ) “Saya telah melihat Nabi dan dia memakai sepasang merah”.

Daripada hadis ini, dapatlah kita ketahuï bahawa sesuatu hadis itu biasanya berulang-ulang, dan setiap pengulangan itu memberikan gambaran yang lebih jelas dan lebih menyeluruh serta memberikan kefahaman terhadap hadis tersebut.

Ramai antara kita yang membaca hadis secara tidak bersistem, justeru, kita kehilangan gambaran menyeluruh atau pandangan semesta terhadap hadis itu. Tidak salah membaca hadis di dalam kitab fiqh, atau buku agama, atau di mana-mana, kerana membaca hadis itu adalah satu kemuliaan dan membawa kita selangkah lebih dekat dengan kekasih kita, Muhammad. Walau bagaimanapun, ketika membaca itu, kita sebagai penuntut ilmu tidak boleh menjadikan satu-satu hadis itu sebagai pandangan semesta atau pandangan muktamad dalam sesuatu perkara.

Di sinilah pentingnya membaca kitab hadis dari kulit ke kulit, mengikut urutannya dari awal hingga ke akhir, iaitu membaca keseluruhan sesebuah kitab hadis. Lebih baik, bagi yang mampu, dia hendaklah mengikuti majlis sama` hadis, iaitu mengkhatamkan pembacaan sesebuah kitab hadis. Tradisi ini penting, agar seseorang penuntut ilmu itu dapat membina satu pandangan semesta, atau gambaran am yang lebih baik bagi sesebuah hadis, atau lebih tepat, bagi sunnah secara umum.

Bagi kitab hadis yang disusun bab-bab fiqh, ada banyak hadis yang akan berulang dalam bab yang berlainan. Ini kerana sesuatu matan hadis, ia boleh jadi panjang dan pendek. Apabila matan itu panjang, ia mungkin menyentuh beberapa aspek atau bab yang berlainan. Contohnya, hadis keenam puluh empat ini dan hadis keenam puluh tiga adalah dalam bab berkenaan pakaian Rasuli Llah. Hadis ketiga, keempat dan kesepuluh di atas adalah dalam bab berkenaan perwatakan Rasuli Llah. Hadis kedua puluh enam adalah dalam bab berkenaan rambut Rasuli Llah.

Justeru, jika seseorang penuntut ilmu hanya membaca satu hadis – seperti hadis ini – di dalam bab ini – iaitu bab berkenaan pakaian Rasuli Llah – sahaja, dia akan kehilangan maklumat penting dalam bab-bab yang lain (seperti bab berkenaan perwatakan Rasuli Llah dan bab berkenaan rambut Rasuli Llah).

Dan ini membuka satu lagi perbincangan yang sering ditanya oleh penuntut ilmu iaitu tentang cara mempelajari hadis, bagaimanakah harus ia bermula? Adakah perlu membaca satu hadis, kemudian membaca sebanyak mungkin syarahnya sehingga faham, atau mengkhatamkan kitab hadis, walaupun tidak memahaminya?

Jawabannya adalah mudah, seseorang perlu mengkhatamkan sesebuah kitab hadis, dari hadis pertama sehingga hadis terakhir, sebuah kitab demi sebuah kitab hadis, dan setelah itu, barulah dia mendalami syarah hadis dan ilmu berkaitan `ulum hadis.

Ini bagi membolehkan seseorang itu mendapatkan gambaran am atau pandangan semesta tentang hadis dan sunnah di dalam sesebuah kitab hadis, dan apabila dia meneruskan dengan kitab hadis yang berikutnya, dia akan dapat meluaskan lagi pandangan semestanya. Ini kerana hadis-hadis di dalam kitab hadis adalah berulang-ulang, cuma mungkin ia disampaikan dalam bentuk yang mempunyaï kelainan, dari satu hadis ke satu hadis, dari satu bab ke satu bab, dari satu kitab ke satu kitab.

Setelah mengkhatamkan sekurang-kurangnya satu kitab hadis, sama ada Muwatta’ Malik, Sahih Al-Bukhariy, Sahih Muslim, Sunan At-Tirmizi, Sunan Abi Dawud, Sunan An-Nasa’iy, atau Sunan Ibnu Majah, barulah seseorang itu meneruskan perjalanan ilmunya dengan mendalami syarah hadis. Jika dia mahu, dia boleh meneruskan dengan kitab hadis yang lain seperti Musnad Ahmad, Sunan Ad-Darimiy dan lain-lain.

Walau bagaimanapun, bagi yang tidak mampu, seperti bagi orang yang mula belajar agama setelah umur pencennya, atau bagi orang yang mahu belajar agama tetapi sibuk dengan pekerjaannya, dia boleh memilih untuk mendalami apa-apa hadis yang dia mahu atau sempat untuk mempelajarinya, walaupun tidak mengikut saranan mengkhatamkan sekurang-kurangnya sebuah kitab hadis ini.

Apabila kita mencintaï Nabi kita Muhammad, sudah tentu kita seboleh-bolehnya mahu mengetahuï sebanyak dan selengkap mungkin tentang kekasih kita. Justeru, perjalanan mempelajari ilmu hadis, ia adalah satu langkah bagi kita mengenali insan agung bernama Muhammad.
*******
*******
*******

.

Komen dan Soalan