Utama Bilik (40) Asas Ilmu Hadits HADITS YANG PADANYA TERDAPAT PERIWAYAT MAJHUL (مجهول) & MUBHAM (مبهم) – Bhg....

HADITS YANG PADANYA TERDAPAT PERIWAYAT MAJHUL (مجهول) & MUBHAM (مبهم) – Bhg. 01

4365
0
Iklan

Panel: BroSyarief
asSalaamu ‘alaikum. Nota seterusnya dah siap. Lupa saya nak maklumkan bagi peserta bilik yang baru, disebabkan bilik ini Asas Ilmu Hadits, jadi saya hanya mampu sentuh apa yang bersifat asas.

Bagi mereka yang telah mempunyai asas, malah barangkali telah menguasai ilmu ini, sangat digalakkan untuk menyertai bilik lain berkait ilmu hadits secara umum di Bilik (03) – Link: https://telegram.me/joinchat/A0jOFDvr9Du81gVFGQqP3A

Di dalam Bilik tersebut, terdapat asatizah yang jauh lebih memahami bidang ini, dan ruang juga lebih terbuka untuk berkongsi pandangan.

Terima kasih. BaarakalLaahu fiikum.

#221216 Bilik (40) Asas Ilmu Hadits

02.12.02 Hadits al-Mardud (المردود) Kategori Kritikan pada Periwayat (الطعن في الراوي)

#NotaBroSyarief #AsasIlmuHadits #UiTOBilik40

Susunan: BroSyarief

HADITS YANG PADANYA TERDAPAT PERIWAYAT MAJHUL (مجهول) & MUBHAM (مبهم) – Bhg. 01

A. Definisi Majhul (مجهول):

Dari sudut bahasa, perkataan Majhul (مجهول) berasal dari perkataan al-Jahalah (الجهالة), yang bermaksud: Kejahilan, atau tiada pengetahuan (mengenainya). Jadi, perkataan Majhul bermaksud: sesuatu/seseorang yang tidak dikenali atau tidak diketahui.

Adapun dari sudut istilah: Ia adalah mana-mana hadits yang pada sanadnya terdapat periwayat yang tidak dikenali langsung walau namanya, atau namanya diketahui tetapi keadaan periwayat tersebut tidak diketahui.

Terdapat dua jenis periwayat yang majhul:

1. Majhul al-‘Ain (مجهول العين)

Ia merujuk kepada periwayat yang namanya disebutkan di dalam sanad, dan didapati tidak ada periwayat lain yang meriwayatkan dari dia kecuali seorang sahaja.

Status hadits ini adalah Dha’if (ضعيف), kecuali jika hadits tersebut diriwayatkan dengan sanad lain yang lebih baik nilai sanadnya, maka ia boleh dinaik taraf ke martabat Hasan li Ghayrihi (حسن لغيره).

2. Majhul al-Hal (مجهول الحال) atau nama lainnya al-Mastur (المستور)

Ia merujuk kepada periwayat yang mana terdapat dua atau lebih periwayat lain yang meriwayatkannya tetapi dia tidak dinilai tsiqah (لم يوثق).

Status hadits ini juga adalah Dha’if (ضعيف), kecuali jika hadits tersebut diriwayatkan dengan sanad lain yang lebih baik nilai sanadnya, maka ia boleh dinaik taraf ke martabat Hasan li Ghayrihi (حسن لغيره).

B. Definisi Mubham (مبهم)

Dari sudut bahasa, ia berasal dari perkataan al-Ibham (الإبهام), yang bermaksud yang tersorok dan tersembunyi.

Adapun dari sudut istilah, ia merujuk kepada periwayat yang tidak jelas namanya disebutkan; ataupun namanya disebutkan dengan nisbah, atau kun-yah, atau laqab yang tidak dikenali (secara masyhur) dinisbahkan kepada periwayat tersebut.

Contohnya, apabila seorang periwayat menyebutkan: حَدَّثَنِي رَجُلٌ (Seorang lelaki telah menyebutkan kepadaku), atau حَدَّثَنِي فُلَانٌ (Si fulan telah menyebutkan kepadaku), dan yang seumpamanya.

Status hadits ini juga adalah Dha’if (ضعيف), tidak diterima; tetapi jika hadits tersebut diriwayatkan dengan sanad lain yang lebih baik nilai sanadnya, maka ia boleh dinaik taraf ke martabat Hasan li Ghayrihi (حسن لغيره).

Adapun jika seorang imam mujtahid seperti Imam Malik, asy-Syafi’e dan selain mereka menyebutkan: حَدَّثَنِي الثِّقَةُ (Seseorang yang terpercaya telah menyebutkan kepadaku), maka ianya memadai diterima berkaitan perbincangan di dalam mazhab.

(bersambung..)

Ruj: Ulum Al-Hadits Asiluha wa Mu’asiruha, karangan Prof Dr Abullayts KhairAbaadi.
__
#صحح_لي_إن_كنت_مخطئاً
#BroSyariefShares

أبو ريان جَفْرِي الكَرَامِيّ:
Apakah terjemahan dari segi bahasa bagi
حسن لغيره

Boleh ker macam ni:
Ianya hasan dengan (sebab/hadis) lain??

BroSyarief:
Istilah-istilah khusus ni susah nak berikan terjemahan yang baik, dibimbang nanti ia lebih mengelirukan; kecuali jika diyakini terjemahan itu tepat, ringkas dan tidak mengelirukan.

Komen dan Soalan