Utama Bilik (64) Syamail Muhammadiyyah Hadis 54: Al-Qamis Menjadi Kesukaan Nabi

Hadis 54: Al-Qamis Menjadi Kesukaan Nabi

425
0
Iklan

Panel: Ustaz ADÖULINÉ Lacharouphe

بَابُ مَا جَاءَ فِي لِبَاسِ رَسُولِ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ

Bab Apa yang datang berkenaan pakaian Rasuli Llah

54- حَدَّثَنَا مُحَمَّدُ بْنُ حُمَيْدٍ الرَّازِيُّ، قَالَ: حَدَّثَنَا الْفَضْلُ بْنُ مُوسَى وَأَبُو تُمَيْلَةَ وَزَيْدُ بْنُ حُبَابٍ، عَنْ عَبْدِ الْمُؤْمِنِ بْنِ خَالِدٍ، عَنْ عَبْدِ اللَّهِ بْنِ بُرَيْدَةَ، عَنْ أُمِّ سَلَمَةَ، قَالَتْ: كَانَ أَحَبَّ الثِّيَابِ إِلَى رَسُولِ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ الْقَمِيصُ.

54- Telah bercerita kepada kami Muhammad bin Humayd, dia berkata: Telah bercerita kepada kami Al-Fadhl bin Musa dan Abu Tumaylah dan Zayd bin Hubab, daripada `Abdi l-Mu’min bin Khalid, daripada `Abdi Llah bin Buraydah, daripada Ummi Salamah, dia berkata: Pakaian yang paling disukaï Rasulu Llah ialah al-qamis.

Syarah Adou_Fr:

Hadis ini menyebutkan tentang pakaian yang paling disukaï oleh Nabi, dan Ummi Salamah iaitu isteri Nabi menyebut bahawa ia ialah (الْقَمِيصُ) al-qamis. Dalam istilah moden, al-qamis, ialah sejenis jubah, yang dipakai di atas pakaian lain di dalamnya. Al-Qamis ini mempunyaï lengan yang panjangnya sehingga ke pergelangan tangan, dan labuhnya sehingga ke atas sedikit daripada buku lali. Al-Qamis ini mempunyaï poket dan butang.

Terdapat banyak huraian mengapa al-qamis menjadi kesukaan Nabi, antaranya ialah kerana ia dapat menutup `awrat seseorang dengan paling sempurna, sekali gus menampilkan perwatakan yang paling segak bagi pemakainya. Hendaklah diketahuï bahawa setiap bayi dilahirkan dalam keadaan bogel, tanpa pakaian atau penutup. Kemudian, manusia menggunakan pakaian untuk menutupi tubuhnya untuk beberapa sebab, iaitu untuk menutup bahagian `awrat, untuk mengelakkan hawa yang terlalu panas atau sejuk, dan untuk berhias sebagai identiti atau imej diri. Namun, bagi orang-orang yang beriman, faktor utama dalam pemilihan pakaian ialah untuk menutup `awrat.

Menutup `awrat bermaksud apabila seseorang mahu menjahit pakaian atau membelinya di kedai, tujuan utama adalah agar pakaian itu dapat melindungi anggota tubuhnya daripada dilihat atau ditontonkan kepada orang lain. Justeru, atas faktor pertama ini, terdapat sebahagian pakaian yang harus dijauhi oleh orang-orang yang beriman, iaitu pakaian yang menampakkan anggota tubuh.

Bagi lelaki, seluar pendek, atau seluar sekerat, ia hendaklah dijauhi kerana ia akan menampakkan `awrat di bahagian lutut dan di paha.

Bagi wanita, t-shirt ketat, pakaian singkat, baju yang berlubang di bahagian dada atau belakang, atau kain yang terbelah, ia hendaklah dijauhi kerana ia akan mendedahkan tubuh mereka yang diharamkan Tuhan daripada dipertunjukkan kepada umum.

Walau bagaimanapun, pakaian yang menjadi pakaian dalam, maka itu tidaklah menjadi masalah untuk membeli atau memakainya, tanpa mengira bagaimana hal keadaannya. Sebagai contoh, antara sependa dan boxer, walaupun ia berbeza ciri-cirinya, ia tiada masalah untuk dibeli atau dipakai, atas keperluan untuk menggunakannya. Sungguhpun demikian, ia hendaklah dipakai di bahagian dalam, sama ada di dalam kain atau seluar, dan bukan ditunjukkan kepada orang lain dan bukan juga untuk dipakai tanpa pakaian lain.

Justeru, adalah salah apabila terdapat sebilangan lelaki yang memakai sependa, atau boxer, contohnya di dalam bilik asrama yang mempunyaï banyak mata lain yang melihat. Begitu juga adalah salah bagi sebilangan lelaki yang memakai sependa, atau boxer ketika mandi di laut atau sungai, kerana fungsi sependa dan boxer itu ialah sebagai pakaian dalam, bukan pakaian yang ditunjukkan.

Bagi wanita juga, tiada masalah untuk membeli dan memakai pakaian dalamnya, selagi ia dipakai di bahagian dalam, dan ia tidak dipakai tanpa pakaian lain.

Sehubungan itu, hadis ini harus menjadi panduan kepada kita semua apabila kita merancang tentang pakaian kita. Mulakan dengan memilih pakaian yang paling melindungi dan menutupi `awrat kita semua, kerana pakaian yang paling sempurna menutup `awrat itulah yang paling disukaï Nabi.

*******
*******
*******

.

Komen dan Soalan