Utama Bilik (64) Syamail Muhammadiyyah Hadith ke – 40 (Uban yang lebih kurang 20 helai)

Hadith ke – 40 (Uban yang lebih kurang 20 helai)

227
0
Iklan

Hadis ke 40

40- حَدَّثَنَا مُحَمَّدُ بْنُ عُمَرَ بْنِ الْوَلِيدِ الْكِنْدِيُّ الْكُوفِيُّ، قَالَ: حَدَّثَنَا يَحْيَى بْنُ آدَمَ، عَنْ شَرِيكٍ، عَنْ عُبَيْدِ الله بْنِ عُمَرَ، عَنْ نَافِعٍ، عَنْ عَبْدِ الله بْنِ عُمَرَ، قَالَ: إِنَّمَا كَانَ شَيْبُ رَسُولِ الله صَلَّى الله عَلَيْهِ وَسَلَّمَ نَحْوًا مِنْ عِشْرِينَ شَعْرَةً بَيْضَاءَ.

40- Telah bercerita kepada kami Muhammad bin Umar bin Al-Walid Al-Kindiy Al-Kufiy, dia berkata: Telah bercerita kepada kami Yahya bin Adam, daripada Syarik, daripada `Ubaydi Llah bin `Umar, daripada Nafi, daripada `Abdi Llah bin `Umar, dia berkata: Sesungguhnya uban Rasuli Llah lebih kurang dua puluh helai yang putih.

Syarah Adou_Fr:

Hadis ini sekali lagi menyebut bahawa uban Nabi berjumlah dua puluh, tetapi dinyatakan dalam bentuk anggaran (نَحْوًا) “lebih kurang”. Ia menyamaï hadis pertama dalam kitab Asy-Syama’il ini, yang diriwayatkan oleh Anas bin Malik: (وَلَيْسَ فِي رَأْسِهِ وَلِحْيَتِهِ عِشْرُونَ شَعْرَةً بَيْضَاءَ) Dan tiada pada kepalanya dan janggutnya (melainkan) dua puluh rambut yang putih.

Sebagaimana telah dijelaskan, ia bukanlah suatu bilangan yang diskret – atau haqiqi – melainkan suatu penghampiran yang menunjukkan ia adalah sedikit. Hadis ini dibawakan bagi menyokong bahawa uban Nabi adalah sedikit sebagaimana hadis-hadis sebelumnya.

Hadis ini sebenarnya turut diriwayatkan oleh Ibnu Majah di dalam kitab Sunannya. Lafaz oleh Ibni Majah ialah seperti berikut:

حَدَّثَنَا مُحَمَّدُ بْنُ عُمَرَ بْنِ الْوَلِيدِ الْكِنْدِيُّ، حَدَّثَنَا يَحْيَى بْنُ آدَمَ، عَنْ شَرِيكٍ، عَنْ عُبَيْدِ الله، عَنْ نَافِعٍ، عَنِ ابْنِ عُمَرَ، قَالَ: كَانَ شَيْبُ رَسُولِ الله صَلَّى الله عَلَيْهِ وَسَلَّمَ نَحْوَ عِشْرِينَ شَعْرَةً.

Telah bercerita kepada kami Muhammad bin Umar bin Al-Walid Al-Kindiy: Telah bercerita kepada kami Yahya bin Adam, daripada Syarik daripada `Ubaydi Llah, daripada Nafi, daripada Ibni `Umar, dia berkata: Uban Rasuli Llah lebih kurang dua puluh helai. [Ibnu Majah/ 3630]

Membandingkan dua hadis ini, dapat diketahuï bahawa Muhammad bin `Umar bin Al-Walid Al-Kindiy ialah guru bagi Imam At-Tirmizi dan Imam Ibni Majah. Oleh kerana gurunya sama, maka hadis yang diriwayatkan juga sama, iaitu sama isnadnya – rantaian perawinya – iaitu:

Muhammad bin Umar bin Al-Walid Al-Kindiy (Al-Kufiy) > Yahya bin Adam > Syarik > `Ubaydi Llah (bin `Umar) > Nafi > (`Abdi Llah) bin `Umar

Kita dapat membandingkan sebutan lafaz isnad yang berbeza antara Imam At-Tirmizi dalam kitab ini dengan Imam Ibni Majah dalam Sunannya seperti yang diletakkan di dalam kurungan di atas.

Justeru, apabila seseorang penuntut ilmu hadis membaca kitab-kitab hadis – satu demi satu –, dia akan dapat mengetahuï siapakah rawi yang disebutkan atau yang dimaksudkan di dalam isnad dengan merujuk silang riwayat daripada kitab atau hadis yang lain.

Hal ini memerlukan kerajinan dan iltizam daripada penuntut ilmu, untuk terus membaca kitab-kitab hadis dan mempelajari tentang isnad dan para perawi, di samping kepekaan dan deria untuk mengesan persamaan dan perbezaan, serta corak atau bentuk.

Apabila seseorang penuntut ilmu membaca kitab Ibni Majah, dia hanya akan membaca nama Muhammad bin `Umar bin Al-Walid Al-Kindiy. Apabila dia membaca hadis yang sama di dalam Asy-Syama’il ini, dia akan dapat mengetahuï bahawa ada tambahan nisbah pada nama itu iaitu Al-Kufiy. Justeru, nama rawi itu akan menjadi Muhammad bin `Umar bin Al-Walid Al-Kindiy Al-Kufiy.

Begitu juga apabila dia membaca kitab Ibni Majah, dia hanya akan membaca nama `Ubaydi Llah. Apabila dia membaca hadis yang sama di dalam Asy-Syama’il ini, dia akan dapat mengetahuï bahawa rawi ini ialah `Ubaydi Llah bin `Umar.

Sesetengah rawi mempunyaï nama dan panggilan yang berbeza-beza. Justeru, semasa meriwayatkan hadis, ada yang cenderung menyebut satu nama panggilan daripada nama yang lain.

Contohnya, sahabiy bernama `Abdu Llah bin `Umar, dia juga dikenal sebagai Ibnu `Umar. Ada rawi yang menyebutnya sebagai `Abdu Llah, ada juga yang menyebut nama penuhnya `Abdu Llah bin `Umar, dan ada yang cenderung menyebutnya sebagai Ibnu `Umar kerana ayahnya ialah `Umar bin Al-Khattab.

Seterusnya pada hadis ini, kita dapat melihat perbezaan matan hadis antara dua orang Imam, walaupun ia daripada guru yang sama, dengan isnad yang sama.

Sebahagian rawi, mereka cenderung untuk meriwayatkan sesuatu hadis dengan makna, manakala sebahagian lebih ketat iaitu mereka meriwayatkan sebiji sebiji seperti yang didengar.

Dua kategori periwayatan hadis ini sebenarnya memudahkan penuntut ilmu untuk lebih memahami konteks sesuatu hadis, walaupun terdapat perbahasan panjang tentang boleh atau tidak meriwayatkan hadis dengan makna dan syarat-syaratnya.

Misalnya, daripada dua riwayat di atas, diketahuï bahawa uban itu berwarna putih (بَيْضَاءَ). Sila lihat semula lafaz oleh Ibni Majah yang tidak menyebut perkataan putih di hujungnya. Perkataan putih ini, ia – walaupun sudah diketahuï bahawa uban memang putih – adalah satu tambahan sifat yang sedia maklum. Justeru, ada atau tidak lafaz putih ini sebenarnya tidak menjejaskan makna yang disampaikan.

Bagi penuntut ilmu hadis, membaca hadis – satu demi satu, sebuah kitab demi sebuah kitab – adalah satu kewajiban, terutamanya untuk membentuk satu pemikiran atau gambaran semesta tentang hadis-hadis yang dibaca.

Membaca satu hadis, ia akan memberikan kefahaman terhadap satu – atau lebih – hadis yang lain, dan setiap hadis saling menampung hadis yang lain. Maka rugilah penuntut ilmu hadis yang tidak membaca hadis, dan rugilah penuntut ilmu hadis yang tidak mengkhatamkan kitab-kitab hadis dari kulit ke kulit, dan rugilah penuntut ilmu hadis yang hanya membaca hadis secara terpilih, rawak, atau tebuk-tebuk sahaja.

Ruginya mereka kerana mereka kehilangan atau ketiadaan kefahaman atau gambaran semesta tentang hadis dan tentang sunnah secara keseluruhannya.

 

Komen dan Soalan