Utama Bilik (40) Asas Ilmu Hadits 02.08.01#040615 : AL-MAWDHU’ (الموضوع) – Bhg 01

02.08.01#040615 : AL-MAWDHU’ (الموضوع) – Bhg 01

127
0

Bilik (40) Asas Ilmu Hadits

Nota 02.08.01 Hadits al-Mardud (المردود) Kategori Kritikan pada Periwayat (الطعن في الراوي)

Susunan: BroSyarief

Kritikan terhadap periwayat merujuk kepada permasalahan pada kredibiliti personalitinya (العدالة), atau kredibiliti inteleknya (الضبط), atau kedua-duanya sekali.

Sebab-sebab kritikan terhadap periwayat terdapat sepuluh sebab keseluruhannya, 5 daripadanya berkait dengan al-‘Adalah dan 5 lagi berkait dengan al-Dhobt.

Dan ianya boleh dilihat kembali pada nota 02.06.01.

AL-MAWDHU’ (الموضوع) – Bhg 01

Secara bahasa ia bermaksud meletakkan atau melekatkan.

Adapun secara istilah, ia merujuk kepada apa yang direka di atas nama Nabi sallalLaahu ‘alaihi wa sallam atau selain baginda sallalLaahu ‘alaihi wa sallam, dalam bentuk perkataan, perbuatan, perakuan atau sifat-sifat secara bohong dan keji.

Dan ianya tetap disebutkan hadits kerana sama ada disebabkan hukuman terhadap hadits itu bersifat sangkaan yang kuat pada penilaian ulama hadits, atau disebabkan kerana secara umumnya ia menepati definisi hadits secara umum iaitu apa yang disandarkan kepada Nabi sallalLaahu ‘alaihi wa sallam.

Kedudukannya adalah yang terburuk di antara hadits-hadits Dha’if. (Rujuk penjelasan pada Nota 02.06.02)

Dilarang sama sekali meriwayatkan atau menceritakan bagi sesiapa yang mengetahui ianya palsu, kecuali dengan penjelasan bahawa ianya palsu.

Ini seperti mana disebutkan dalam hadits yang diriwayatkan oleh Imam Muslim secara Marfu’:

مَنْ حَدَّثَ عَنِّي بِحَدِيثٍ يُرَى أَنَّهُ كَذِبٌ فَهُوَ أَحَدُ الْكَاذِبَيْنِ

“Barang siapa menceritakan dariku dengan suatu hadits yang diketahui ianya palsu, maka dia adalah salah seorang dari para pembohong”

[Muqaddimah Sahih Muslim]

Hukuman terhadap pembohongan di atas nama Nabi sallalLaahu ‘alaihi wa sallam sangat berat.

Beberapa imam-imam memfatwakan hukuman Ta’zir kepada mereka yang melakukannya.

Abu al-‘Abbas as-Sarraj berkata: “Aku bertemu Muhammad ibn Isma’il al-Bukhari. Ditunjukkan kepadanya satu kitab dari Muhammad ibn Karram. Diapun bertanya tentang kedudukan hadits-hadits di dalamnya, antaranya riwayat Sufyan, dari az-Zuhri, dari Saalim, dari ayahnya, secara marfu (menyebutkan): ‘Iman itu naik dan tidak turun’. Kemudian, beliau menulis di belakang kitab itu, ‘Sesiapa yang meriwayatkan dari kitab ini, wajib baginya dipukul dengan kuat dan dipenjara lama!’

[Fathul Mugits]

WalLaahu a’lam

Ruj: Ulum Al-Hadits Asiluha wa Mu’asiruha, karangan Prof Dr Abullayts KhairAbaadi.

#BroSyariefShares

Komen dan Soalan