Utama Bilik (40) Asas Ilmu Hadits 02.07.01#070515: Kategori Gugur Periwayat dari Sanad

02.07.01#070515: Kategori Gugur Periwayat dari Sanad

1035
0
Iklan

Bilik (40) Asas Ilmu Hadits

Nota 02.07.01 Hadits al-Mardud (المردود)

Kategori Gugur Periwayat dari Sanad (السقط من الإسناد)

Susunan: BroSyarief

Merujuk kepada Nota 02.06.01, gambaran umum telah diberi bahawa Hadits Mardud terbahagi kepada 2 kategori umum, iaitu:

1) السقط من الإسناد – Gugur Periwayat pada Sanad
2) الطعن في الراوي – Kritikan Terhadap Periwayat

Jadi kita akan mula mendalami butiran pembahagian untuk kategori yang pertama, iaitu Gugur Periwayat dari Sanad.

Apa yang dimaksudkan dengan gugur periwayat dari sanad ialah terputusnya sambungan sanad dengan hilangnya seorang atau lebih periwayat, sama ada secara sengaja ataupun tidak, oleh sebahagian periwayat, dari awal atau hujung atau di tengah-tengah sanad, dan sama ada secara zahir atau tersembunyi.

Perbincangan kategori ini juga akan melihat dari dua perspektif, iaitu

01. Gugur secara Jelas (سقط ظاهر) – merangkumi 4 jenis: Mu’allaq, Mursal, Mu’dhal dan Munqati’
02. Gugur secara Tersembunyi (سقط خفي) – merangkumi 2 jenis: Mudallas dan Mursal Khafi

Di bawah kategori gugurnya periwayat dari sanad secara zahir dan jelas, kita menyentuh jenis yang pertama iaitu Mua’llaq.

HADITS MU’ALLAQ (المعلق)

Secara bahasa, ia bermaksud tergantung, bagaikan buaian, dll.

Adapun secara teknikal, ia merujuk kepada hadits yang mana pada sanadnya, hilang atau dipadam nama periwayat, bermula dari awal sanad (periwayat pertama yang didengar daripadanya penulis kitab hadits) sama ada seorang atau lebih atau keseluruhannya. (Lihat Rajah Contoh Hadits Mua’allaq)

Habits Mu’allaq adalah tertolak, kerana gugurnya periwayat menunjukkan periwayat tidak mengetahui siapa periwayat dan hal ehwalnya sama ada dia tsiqah ataupun dha’if.

Oleh itu, untuk berhati-hati dalam bab agama, hadits ini tidak diterima, kecuali jika didapati adanya jalan sanad lain yang bersambung, sehingga taraf hadits tersebut naik ke taraf Hasan li Ghayrihi, berdasarkan ijtihad para ulama hadits.

Bagaimana diketahui terdapat periwayat yang gugur di dalam sanad? Para ‘ulama hadits akan melihat kepada sejarah perjalanan periwayat tersebut, melihat sama ada benar atau tidak periwayat tersebut benar-benar pernah berjumpa atau tidak, malah boleh dilihat pada tarikh lahir dan mati untuk dibandingkan dan komentar ulama jarh ta’dil yang mengatakan periwayat A tak pernah bertemu periwayat B, dan pelbagai lagi cara.

Di dalam Sahih al-Bukhari dan Sahih Muslim juga terdapat hadits-hadits Mu’allaq, namun ianya telah dikaji, sama ada dijumpai sanadnya yang bersambung di kedudukan lain dalam kitab yang sama ataupun dari kitab hadits yang lain. Dan ini mengekalkan kedua kitab Sahih ini sebagai kitab hadits yang paling sahih.

Adapun beberapa hadits yang berbaki yang diperselisihi ianya Dha’if ataupun tidak di dalam Sahih al-Bukhari dan Muslim, ianya membuktikan bahawa mereka juga manusia yang melakukan kesilapan dan ber’amal dengan hadits-hadits yang Dha’ifnya ringan adalah tidak mengapa dengan memenuhi persyaratan yang telah dibincangkan dalam Nota 02.06.04.

muallaq

WalLaahu a’lam

Ruj: Ulum Al-Hadits Asiluha wa Mu’asiruha, karangan Prof Dr Abullayts KhairAbaadi.

#BroSyariefShares

Komen dan Soalan