Utama Bilik (64) Syamail Muhammadiyyah Hadis 23: Fesyen Rida’ Sebenar Dan Cop Kenabian

Hadis 23: Fesyen Rida’ Sebenar Dan Cop Kenabian

1173
0
Iklan

Hadis 23, Dari Saitama, Jepun

23- حَدَّثَنَا أَحْمَدُ بْنُ الْمِقْدَامِ أَبُو الْأَشْعَثِ الْعِجْلِيُّ الْبَصْرِيُّ، قَالَ: أَخْبَرَنَا حَمَّادُ بْنُ زَيْدٍ، عَنْ عَاصِمٍ الْأَحْوَلِ، عَنْ عَبْدِ اللَّهِ بْنِ سَرْجِسَ، قَالَ: أَتَيْتُ رَسُولَ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ وَهُوَ فِي نَاسٍ مِنْ أَصْحَابِهِ، فَدُرْتُ هَكَذَا مِنْ خَلْفِهِ، فَعَرَفَ الَّذِي أُرِيدُ، فَأَلْقَى الرِّدَاءَ عَنْ ظَهْرِهِ، فَرَأَيْتُ مَوْضِعَ الْخَاتَمِ عَلَى كَتِفَيْهِ مِثْلَ الْجُمْعِ حَوْلَهَا خِيلَانٌ كَأَنَّهَا ثَآلِيلُ، فَرَجَعْتُ حَتَّى اسْتَقْبَلْتُهُ، فَقُلْتُ: غَفَرَ اللَّهُ لَكَ، يَا رَسُولَ اللَّهِ، فَقَالَ: «وَلَكَ». فَقَالَ الْقَوْمُ: أَسْتَغْفَرَ لَكَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ؟ فَقَالَ: نَعَمْ، وَلَكُمْ، ثُمَّ تَلَا هَذِهِ الْآيَةَ {وَاسْتَغْفِرْ لِذَنْبِكَ وَلِلْمُؤْمِنِينَ وَالْمُؤْمِنَاتِ} [محمد: 19].

23- Telah bercerita kepada kami Ahmad bin Al-Miqdam Abu l-Asy`as Al-`Ijliy Al-Basriy, dia berkata: Telah memberitahu kami Hammad bin Zayd, daripada `Asim Al-Ahwal, daripada `Abdi Llah bin Sarjis, dia berkata: Saya telah mendatangi Rasula Llah ketika dia sedang dalam sekumpulan daripada sahabat-sahabatnya. Maka saya telah berpusing begini dari belakangnya, dan dia mengetahuï apa yang saya mahu. Maka dia telah menanggalkan rida’ daripada belakangnya, dan saya telah melihat tempat cop di atas dua bahunya seperti penumbuk, di sekelilingnya terdapat tahi-tahi lalat seolah-olah ia ketuat-ketuat. Kemudian, saya beralih hingga saya berdepan dengannya. Dan saya berkata: Allah mengampunkan untuk kamu, ya Rasula Llah. Maka dia berkata: «Dan untuk kamu». Maka berkatalah satu kelompok: Rasulu Llah memohon ampun untuk kamu? Maka dia berkata: Ya, dan untuk kamu. Kemudian dia membaca ayat ini: «Dan mohonlah ampun untuk dosa kamu, dan untuk orang-orang mu’min dan mu’minat» [Muhammad: 19].

Syarah Adou_Fr:

Hadis ini menceritakan tentang kisah seorang sahabiy, iaitu `Abdu Llah bin Sarjis Al-Muzaniy, yang datang berjumpa dengan Rasulu Llah untuk memastikan cop kenabian. Disebabkan tanda kenabian itu sudah disebut di dalam kitab-kitab terdahulu, justeru, ramailah antara para penduduk Madinah yang datang berjumpa dengan Nabi untuk melihat tanda kenabian itu.

`Abdu Llah bin Sarjis datang dan ketika itu Nabi sedang bersama dengan sekumpulan sahabatnya. Agar tidak mengganggu majlis Nabi, `Abdu Llah bin Sarjis pun bergerak ke belakang Nabi, dan Nabi – dengan sifat rahmat-Nya – mengetahuï kehendak `Abdi Llah bin Sarjis iaitu dia datang untuk menyaksikan cop kenabian. Justeru, Nabi pun menanggalkan rida’ daripada belakangnya sehingga cop di belakang badannya dapat dilihat dengan jelas.

Hadis ini dengan jelas mensifatkan rida’ Nabi, dan ia adalah berbeza dengan pakaian yang dipakai oleh sesetengah golongan pada zaman ini. Ramai pada zaman ini, yang cuba untuk meniru apa yang mereka nisbahkan sebagai “pakaian Nabi”, sedangkan ia tiada kaitan dengan dakwaan mereka itu. Malah, ia menunjukkan kejahilan dan kesalahfahaman mereka terhadap apakah sunnah Nabi yang seharusnya diikuti dan dilaksanakan sebagaimana petunjuk Nabi.

Dalam hadis ini, disebutkan bahawa apabila rida’ itu ditanggalkan, maka cop kenabian dapat dilihat. Dan diketahuï bahawa cop itu berada pada tubuh Nabi. Justeru, rida’ ialah sehelai kain, yang menutup bahagian atas tubuh. Rida’ bukanlah pakaian yang dipakai di atas baju atau jubah, sebaliknya ia ialah kain tambahan, yang apabila tidak dipakai, tubuh badan akan terdedah. Ia sama seperti kain ihram pada hari ini yang digunakan untuk menutup bahagian atas tubuh, dengan panjangnya hampir tiga meter.

Hendaklah diketahuï bahawa pada zaman Nabi, tidak semua orang memakai baju, malah ada sahabat yang hanya mempunyaï sehelai kain sahaja. Kain yang sehelai itu, dalam budaya Melayu, ia seperti kain batik lepas – atau kain ihram – yang dipakai di bahagian bawah badan – yang sekarang menjadi kain batik atau kain pelikat – dan dengan sehelai kain itu, seseorang lelaki sudah dapat menutup `awratnya.

Sebahagian yang lain pula, mereka memakai dua helai kain, iaitu sehelai lagi kain dibelitkan di bahagian atas leher atau bahu – sama seperti seseorang yang sedang berihram –. Kain di atas inilah yang dipanggil rida’, bukan seperti yang didakwa oleh mereka yang memakai baju atau jubah, kemudian meletakkan sehelai kain di bahu mereka. Walau bagaimanapun, oleh kerana pada zaman ini, kita semua sudah berbaju – sehingga tidak berbaju itu menjadi pelik –, maka rida’ ini tidak lagi kelihatan kecuali ketika ihram.

Apabila `Abdi Llah bin Sarjis datang kepada Nabi, dia telah bergerak ke belakang Nabi, dan Nabi mengetahuï kehendak `Abdi Llah bin Sarjis. Ini menunjukkan bahawa Nabi dapat memahami kehendak seseorang melaluï isyarat yang dilihatnya. Walaupun tidak diriwayatkan bahawa `Abda Llah bin Sarjis menyatakan dan memberitahu bahawa dia ingin melihat cop kenabian, tetapi Nabi – sama ada melaluï wahyu, atau kerana sikapnya yang begitu prihatin –, dia dapat memahami isyarat tersebut.

Ramai orang pada hari ini, mereka hilang ilmu tentang isyarat, dan kerana itu, begitu banyak khazanah ilmu hilang bersama kejahilan mereka. Nas Al-Qur’an turun dengan banyak isyarat, yang mana isyarat itu apabila diketahuï dan difahami, keagungan mu`jizat Al-Qur’an akan dapat dirasaï dengan lebih penghayatan. Pemilihan kata dalam Al-Qur’an, susunan lafaz, kesemuanya mempunyaï isyarat – atau seseorang orang menyebutnya sebagai hikmah – yang hanya dapat diketahuï dengan mempelajarinya, atau mentadabbur Al-Qur’an, atau seseorang yang mempunyaï ilmu tentang isyarat.

Begitu juga dengan lafaz doa, sama ada ia lafaz Al-Qur’an atau hadis, ia mempunyaï isyarat, sehingga Nabi melarang menukar walaupun satu lafaz, seperti dalam hadis Al-Bara’ bin `Azib, apabila dia mengubah lafaz doa yang diajar oleh Nabi. Lafaz asal ialah (بِنَبِيِّكَ) binabiyyika telah dibaca sebagai (بِرَسُولِكَ) birasulika, dan Nabi menegur dan menyuruh membaca dengan lafaz (بِنَبِيِّكَ) binabiyyika. Teguran Nabi dalam hadis ini, menunjukkan walaupun lafaz itu nampak sama, tetapi ia mempunyaï isyarat yang berlainan antara ‘binabiyyika’ dengan ‘birasulika’.

Maka satu cabaran terbesar bagi penuntut ilmu ialah untuk memahami isyarat yang terdapat di sekeliling mereka, bermula daripada isyarat yang digunakan dalam Al-Qur’an, dalam hadis Nabi, seterusnya isyarat yang terpancar pada diri manusia. Seseorang yang tidak memahami isyarat ini, dia hanya mampu menghafaz, tetapi dia tidak mampu menyesuaikan hafazannya menjadi ilmu yang berguna mengikut kesesuaian zaman, masa dan keadaan.

Kehilangan ilmu tentang isyarat – atau hikmah – ini adalah musibah terhadap diri seseorang. Dia mungkin tidak memahami hidayah Tuhan kepadanya, hingga hidupnya berada di landasan yang bengkok. Dia mungkin tidak memahami keperluan isteri atau anak-anaknya, hingga akhirnya dia menyesal terhadap apa yang berlaku kepada isteri atau anak-anaknya. Dia mungkin tidak memahami bahawa dirinya melakukan kesilapan, hingga apabila apa yang dilakukan olehnya itu menikam dirinya atau menyebabkannya menjadi rugi.

Lihatlah seseorang yang melakukan kejahatan atau maksiat, dia akan kehilangan ilmu tentang isyarat ini, hingga apabila ada sesiapa yang menegurnya, dia akan mengetepikan teguran itu, atau memarahi semula orang yang menegurnya. Hanya apabila dia ditangkap, atau ditimpa musibah, barulah dia tersedar, dan mengingati bahawa pernah ada seseorang yang cuba mengingatkannya dahulu.

Begitu juga pelajar yang membenci guru disiplin, apabila pelajar itu ditangkap atau dihukum. Dia akan berterusan membenci guru disiplin itu – kerana dia telah kehilangan ilmu tentang isyarat – hingga apabila usianya meningkat, barulah dia menyedari bahawa guru itulah yang telah berjasa menjaga dan mengambil berat tentang dirinya.

Nabi, dalam kesempurnaan sifatnya, memiliki ilmu isyarat ini, sehingga dia menyedari apa yang diingini oleh para sahabat. Maka janganlah dibiarkan ilmu ini hilang bersama matinya pemiliknya.

`Abdu Llah bin Sarjis, dalam hadis ini menceritakan tentang cop di belakang Nabi. Tiadalah dalam penceritaan `Abdi Llah bin Sarjis ini, apa-apa yang pelik atau `ajaib tentang cop tersebut. Maka batallah segala dakwaan kelebihan atau fadhilat cop yang disebarkan oleh golongan yang terpesong.

Yang paling indah dalam hadis ini, ialah `Abdu Llah bin Sarjis tidak mencium atau memuliakan cop kenabian tersebut, dan yang dia utamakan ialah berdiri di hadapan Nabi. Dalam kesyukuran kerana dia telah dapat melihat cop kenabian, dia menyebut (غَفَرَ اللَّهُ لَكَ، يَا رَسُولَ اللَّهِ) Allah mengampunkan untuk kamu, ya Rasula Llah, dan ini ialah bentuk kesyukuran tertinggi daripada seorang hamba yang berada di hadapan Nabi-Nya. Nabi pula mendoakan keampunan bagi `Abdi Llah bin Sarjis, dengan menyebut (وَلَكَ) «Dan untuk kamu».

Orang yang mempunyaï akal yang sihat dan waras, akan segera terlintas di fikirannya, “Apakah yang lebih besar daripada didoakan pengampunan oleh Nabi?”, dan itulah yang patut dikejar oleh seseorang muslim, iaitu keredhaan Nabi terhadapnya.

Adakah orang-orang yang mereka-reka amalan dan `ibadah, mereka ini akan mendapat keredhaan Nabi? Atau mereka sebenarnya merendahkan Nabi dan menghina Nabi, seolah-olah Nabi telah gagal menyampaikan cara untuk beramal dan ber`ibadah kepada Allah?

Adakah orang-orang yang sibuk menyanyi dan menari, mereka ini akan mendapat keredhaan Nabi? Atau mereka ini sebenarnya disesatkan oleh syaytan daripada ajaran Nabi yang sebenar yang telah mengajar agar membaca Al-Qur’an, bersalawat, menuntut ilmu dan beramal salih?

`Abdu Llah bin Sarjis, walaupun dia mengetahuï bahawa dia telah didoakan keampunan oleh Nabi, dia masih merendah diri dan menyebut satu ilmu, iaitu Nabi diperintahkan untuk memohon ampun untuk dosanya dan untuk orang-orang mu’min dan mu’minat. Semoga kita termasuk dalam golongan yang didoakan keampunan oleh Nabi, amin.

Lihatlah amalan sahabiy yang didoakan pengampunan oleh Nabi ini, adakah ada dia mengamalkan apa yang didakwa oleh sesetengah orang sebagai ‘untuk mencintaï Rasul’? Tiada. Lihatlah `Abda Llah bin Sarjis ini, adakah dia menjanjikan syurga untuk sesiapa? Tiada.

Lihatlah hadis-hadis riwayat `Abdi Llah, ia adalah tentang doa musafir, tentang cop kenabian, tentang `Umar dan Hajari l-Aswad, dan tentang mandi. Tiada tentang menyanyi, tiada tentang menari, tiada tentang kemuliaan apa-apa barangan tinggalan Nabi, tiada tentang tabarruk dengan itu dan ini.

Siapakah yang lebih awla diikuti, sahabat yang didoakan keampunan oleh Nabi, atau orang yang mendakwa sebagai pemimpin agama, tetapi menyalahi sunnah Nabi-Nya?

Bertarikh: 14/06/2015 14:56:04

PENAFIAN:
Ini ialah projek terjemahan dan syarah yang diusahakan melaluï Kumpulan Telegram Bilik (44) dan (64) Syamail Muhammadiyah bermula tahun 2015, yang kemudian ditukar nama kepada Universiti Islam Telegram Online (UiTO) bermula Jun 2015.

Laman web UiTO boleh dilayari di https://www.uito.org/

Naskhah ini sentiasa disemak dan dibaiki sama ada terjemahan atau syarahnya. Apabila terdapat pertikaian, maka edisi yang paling baru hendaklah dirujuk.

Jika anda menjumpaï sebarang kesilapan dalam naskhah ini, maka menjadi kewajiban anda untuk menunjukkan di mana kesalahan itu kepada penulis, dan menyatakan kebenarannya.

Semua ilmu yang ada di dalam naskah ini ialah waqaf untuk Islam dan umat Islam.

Komen dan Soalan