Utama Bilik (40) Asas Ilmu Hadits 02.06.04#050515 : Hukum Beramal Dengan Hadits Dha’if

02.06.04#050515 : Hukum Beramal Dengan Hadits Dha’if

182
0
Iklan

Bilik (40) Asas Ilmu Hadits

Nota 02.06.04 Mengenal Hadits al-Mardud (المردود)

HADITS DHA’IF & PERBAHASANNYA (الضعيف ومسائله) Bhg. 03

Susunan: BroSyarief

Hukum Beramal Dengan Hadits Dha’if

Terdapat perbezaan pendapat berkaitan ini, yang mana ia terbahagi kepada 3 pendapat utama:

1. Pendapat Pertama : Tidak boleh beramal dengan hadits Dha’if secara mutlak, walaupun lemah yang paling ringan. Tidak dalam hukum-hakam, atau selainnya.

Ini adalah pendapat Ibn Ma’in, Ibnul ‘Arabi dan Ibn Hazm. Prof Dr Abullaits menambah: Dan bersama mereka ialah Ahmad Muhd Syakir dan al-Albani.

2. Pendapat Kedua : Boleh beramal dengannya secara mutlak. Dalam hukum-hakam Syara’, Fadhilah, dll.

Dengan syarat:

i) Tidak terlalu Dha’if
ii) Fokus pengajaran hadits tersebut tidak ditemui di tempat lain

Ini adalah pendapat Ahmad, Abu Dawud dan sebilangan ulama hadits yang lain. Ia juga pendapat Abu Hanifah dan Malik.

3. Boleh diamalkan pada bab Fadhail (Kelebihan), Galakan dan Ancaman SAHAJA, dan BUKAN pada urusan halal haram, apa lagi bab akidah.

Ini adalah pendapat JUMHUR, dan mereka menyebutkan beramal dengan hadits Dha’if ada SYARAT-SYARATNYA yang perlu dipenuhi, iaitu:

a) Dha’if yang ringan, tidak kuat. Seperti sekadar kurangnya hafalan salah satu perawi. Akan disebutkan contoh-contohnya kemudian dengan butiran mendalam.

b) Fokus hadits berkaitan kelebihan beramal, ganjaran beramal, ancaman amalan, yang mana amalan-amalan tersebut mempunyai asal pangkal yang disyariatkan dari alQuran dan/atau alHadits yang Maqbul.

c) Hadits tersebut tidak merangkumi hal-hal yang mengkhususkan, membutirkan, menetapkan sebagai tambahan terhadap apa yang tsabit dari Hadits yang Maqbul.

d) al-‘Izz ibn Abdis Salam menambah: Hadits tersebut tidak popular di kalangan ramai, supaya tidak menyebabkan manusia beramal dengan hadits Dha’if tersebut dan kemudian mereka menetapkan apa yang tidak ditetapkan oleh agama. Atau dianggap oleh sebahagian yang jahil bahawa ianya benar-benar Sunnah yang Sahih.

e) Ibn Daqiq menambah: Tidak meyakini dengan teguh ketika mengamalkannya, supaya tak menisbahkan kepada Nabi sallalLaahu ‘alaihi wa sallam apa yang tidak diucap/dibuatnya.

f) Ia tidak bercanggah atau bertentangan dengan dalil-dalil lain yang lebih kuat darinya, kerana jika terdapat pertembungan, hendaklah beramal dengan dalil yang lebih kuat.

WalLaahu a’lam

Ruj: Ulum Al-Hadits Asiluha wa Mu’asiruha, karangan Prof Dr Abullayts KhairAbaadi.

#BroSyariefShares

Komen dan Soalan