Utama Bilik (22) Hadith Al-Sakandary Kelas #11 | Ulum Hadith

Kelas #11 | Ulum Hadith

160
0
Iklan

Bismillah, Alhamdulillah. Segala puji dan syukur kepada Allah Jalla wa ‘Ala yang telah memberi kita masa luang untuk meneruskan kelas ulum hadith kita, selawat serta salam kepada Muhammad SAW penutup sekelian Nabi dan Rasul. Wa ba’d.

InsyaAllah malam ini kita akan meneruskan bab al-Ittisal, iaitu bersambungnya sanad. Ya kita masih berbincang berkenaan syarat pertama hadith Sahih.

 

Bab: Periwayatan dari fulan, atau periwayatan berkenaan kisah fulan.

Satu perkara yang penting dalam menentukan al-Ittisal ialah memastikan benar perawi itu meriwayat dari seorang rawi lain (gurunya) dan bukannya meriwayat akan kisah berkenaan rawi itu. Ini penting kerana yang pertama bersambung manakala kedua putus, yang pertama ia termasuk sanad manakala yang kedua ia sudah dikira matan.

Bagaimana kita mengetahui hal ini?.

Baik.

Kita mengetahui hal ini dengan melihat sighah (gaya sebutan) perawi itu ketika meriwayat. Hal ini terbahagi kepada dua, iaitu:

1. Pertamanya ialah sighah zahir atau jelas bahawa beliau meriwayat kisah seseorang dan bukannya dari seseorang.

Misalnya berkata perawi Said bin Musayyib “telah datang Abu Bakar kepada Nabi”, ayat sebegini jelas menunjukkan bahawa Said meriwayatkan kisah Abu Bakar bertemu Nabi, dia mendapat kisah itu dari orang lain, iaitu dia menghikayatkan kisah itu dari orang lain, bukan dia sendiri melihat Abu Bakar bertemu Nabi. Maka di sini sanad antara Said dan Abu Bakar putus.

Jika dia berkata “daku melihat Abu Bakar bertemu Nabi” atau “aku pergi ke sekian tempat dan Abu Bakar tiba dan dia pergi bertemu Nabi”, maka ini barulah dia meriwayat dari Abu Bakar, dan ia bersambung, atau dia berkata “aku mendengar Abu Bakar berkata bahawa dia pergi bertemu Nabi”, dan lainnya sighah yang jelas menunjukkan bersambung.

2. Keduanya pula ialah sighah yang tidak zahir iaitu sighah atau gaya sebutan yang boleh menunjukkan riwayat dari perawi dan boleh juga menunjukkan ia hanya riwayat berkenaan kisah perawi, iaitu ayat “نأ – anna – adalah” .

Sekiranya “anna” bersambung dengan perkataan “qala” maka ia adalah riwayat dari perawi, misalnya berkata al-‘Araj “adalah (anna) Abu Hurairah berkata (qala), bahawa Nabi berkata…”, ini menunjukkan al-‘Araj meriwayat dari Abu Hurairah dan ia bersambung.

Namun sekiranya al-‘Araj berkata misalnya “adalah (anna) Abu Hurairah memberi salam kepada Nabi…”, ini adalah riwayat hikayat berkenaan kisah Abu Hurairah memberi salam kepada Nabi, bukannya riwayat dari Abu Hurairah, maka ia putus.

Satu lagi ialah sighah “نع – ‘an – dari”. Sighah ‘an boleh menunjukkan seseorang meriwayat dari seseorang, ataupun hanya meriwayat kisah berkenaan seseorang.

Terdapat 2 kaedah bagi mengenal sama ada sighah ‘an menunjukkan seseorang meriwayat dari seseorang, atau hanya meriwayat hikayat kisah berkenaan seseorang.

1. Pertama: dengan melihat kepada matan riwayat itu.

Dengan melihat matan riwayat itu, kita dapat mengenal sama ada ia adalah riwayat dari fulan, atau hanya hikayat berkenaan kisah fulan. Perawi adakalanya memberitahu.

2. Kedua: dengan menghimpunkan jalur-jalur periwayatan bagi riwayat itu.

Terdapat kes di mana seorang rawi meriwayatkan dengan sighah yang berbeza untuk riwayat yang sama. Pada satu jalur dari muridnya menunjukkan dia meriwayat dengan sighah yang menunjukkan ia adalah riwayat dari fulan, manakala dalam jalur lain dari muridnya yang lain menunjukkan dia menggunakan sighah yang menunjukkan ia adalah riwayat hikayat kisah fulan.

Maka ini menunjukkan bahawa ia sebenarnya adalah riwayat berkenaan kisah fulan, dan bukannya riwayat dari fulan.

Apatah lagi jika murid yang meriwayatkan darinya yang menggunakan sighah bahawa ia adalah riwayat hikayat fulan adalah muridnya yang jitu dalam meriwayatkan darinya secara khusus.

Boleh jadi juga muridnya yang jitu meriwayat darinya dengan sighah bahawa dia meriwayat dari fulan, bukannya hikayat kisah fulan, maka dalam kes ini ia dikira riwayat dari fulan.

Perkara ini penting ya, penting. Amat penting untuk kita bezakan antara riwayat fulan dari fulan, ataupun riwayat fulan berkenaan kisah fulan. Yang pertama bersambung, yang kedua putus.

Beza antara riwayat fulan dari fulan, dan riwayat fulan berkenaan kisah fulan.

Contoh moden, kita berkata “berkata Fathi bahawa Mahathir Mohamed telah datang ke Mesir bertemu Morsi”. Adakah antara fathi dan mahathir bersambung? Atau putus? Adakah Fathi meriwayat dari Mahathir, atau hanya meriwayat kisah Mahathir.

Jawabnya Fathi hanya meriwayat kisah bahawa Mahathir pergi bertemu Morsi. Bukannya Fathi meriwayat dari Mahathir bahawa Mahathir memberitahu Fathi bahawa dia pergi bertemu Morsi.

Maka antara Fathi dan Mahathir putus sanad. Putus.

Melainkan Fathi berkata “aku mendengar Mahathir berkata bahawa dia bertemu Morsi” atau Fathi berkata “aku melihat Mahathir datang bertemu Morsi”. Maka ini bersambung.

 

Bab: Kaedah mengenal sama ada seseorang rawi mendengar dari fulan yang dia riwayatkan ataupun tidak.

Perkara ini telah kita bincangkan pada minggu lepas secara ringkas, insyaAllah pada malam ini kita akan pergi mendalam sedikit.

Bagaimana hendak kita memastikan bahawa fulan benar mendengar dari fulan? Dan sanad itu bersambung. Terdapat sekurangnya 5 kaedah dalam ini.

1. Pertama: dengan melihat sighah adaa.

Ini telah kita bincangkan secara panjang lebar pada kelas-kelas yang lalu. Perlu diketahui bahawa kaedah pertama ini adalah secara umum saja.

2. Kedua: dengan melihat panjangnya perguruan serta perdampingan seseorang murid dengan gurunya.

Ini juga telah kita bincangkan secara panjang lepas pada kelas-kelas terdahulu.

3. Ketiga: dengan melihat tarjamah kedua perawi yang terlibat.

Kita boleh mengetahui sama ada seseorang rawi benar mendengar dari fulan atau tidak dengan melihat tarjamah iaitu biodata perawi itu dalam buku-buku Jarh dan Ta’dil.

Dengan melihat buku Jarh dan Ta’dil, kebiasaanya akan direkod bahawa fulan mendengar dari fulan, atau fulan meriwayat dari fulan. Maka secara asasnya riwayat itu bersambung.

Antara buku yang popular ialah Tahzib al-Kamal karya al-Mizzi yang merupakan pembaikan atau ringkasan buku al-Kamal karya ‘Abdul Ghani al-Maqdisi.

Perlu diberi perhatian, sebahagian mengambil apa yang terkandung dalam kitab tarjamah yang ringkas seperti Tahzib al-Kamal secara muktamad berkenaan sama’ atau tidak fulan dari fulan, iaitu dengan melihat al-Mizzi menyebut bahawa fulan meriwayat dari fulan, atau al-Mizzi tidak menyebut fulan meriwayat dari fulan.

Sekiranya ada maka dia menganggap bersambung, jika tiada maka dia menganggap putus. Ini adalah gopoh, ini adalah gopoh. Al-Mizzi hanya membuat ringkasan, dan sekiranya al-Mizzi tidak menyebut bahawa fulan tidak mendengar dari fulan, itu tidak mesti bermaksud putus, tidak mesti bermaksud putus.

Juga perkataan “روى عنه – meriwayatkan darinya” atau “روى عن – meriwayatkan dari” bukan mesti menunjukkan sama’ (mendengar) dan ia tidak mesti menunjukkan bersambung

Sebahagian salah faham hal ini. Salah faham hal ini akan menyebabkan kecelaruan yang besar.

Misalnya dia ingin melihat sama ada fulan A mendengar dari fulan B. Maka dia pun membuka kitab Tahzib al-Kamal atau kitab Jarh dan Ta’dil lainnya.

Maka dia menjumpai perkataan para nuqaad “fulan A meriwayat dari fulan B” dan menjumpai juga perkataan para nuqaad “meriwayatkan dari fulan B akan fulan A”.

Maka dia terus membuat kesimpulan bahawa fulan A mendengar dari fulan B, dan sanad itu bersambung!!! Ini salah, dan ini gopoh.

Ini kerana perbuatan seseorang meriwayat dari seseorang yang lain, bukan mesti menunjukkan bahawa fulan itu benar mendengar dari fulan yang dia riwayatkan.

Semata-mata meriwayat tidak memastikan bahawa sama’ (mendengar) telah berlaku.

Contohnya, telah bertanya Ibn Abi Hatim kepada al-Imam Abu Zur’ah yang merupakan nuqaad hadith, berkata Ibn Abi Hatim “daku bertanya Abu Zur’ah berkenaan ‘Anbasah bin Said, dia ada meriwayat dari Ikrimah” maka jawab Abu Zur’ah “dia (‘Anbasah) tidak pernah sama sekali mendengar dari Ikrimah”.

Memang ada ‘Anbasah menyebut hadith dari Ikrimah, iaitu dia riwayat dari Ikrimah, namun dia tidak pernah mendengar dari Ikrimah, maka ia putus. Ia putus.

Contoh lain, berkata al-Imam Yahya Ibn Ma’in berkenaan ‘Amr bin Ma’ruf : “dia meriwayat dari Ikrimah, dan dia tidak pernah mendengar langsung dari Ikrimah”.

Contoh lain lagi, berkata al-Imam ‘Ali ibn al-Madini berkenaan Qays bin Abi Hazim: “meriwayat akan Qays bin Abu Hazim dari Bilal, dan dia tidak pernah bertemu Bilal”.

Maka jelas di sini bahawa ungkapan para nuqaad bahawa “fulan meriwayat dari fulan” atau “meriwayat dari fulan akan fulan”, ini tidak mesti menunjukkan bahawa fulan telah mendengar dari fulan. Perbuatan seseorang meriwayat dari fulan, bukan jaminan bahawa seseorang itu benar mendengar dari fulan yang dia riwayatkan, ia ia boleh jadi putus dan tidak bersambung.

Maka kita perlu teliti dengan benar, bahawa fulan mendengar dari fulan. Sekiranya hanya disebut dalam buku Jarh dan Ta’dil bahawa fulan meriwayat dari fulan, ia tidak mesti menunjukkkan sama’ berlaku. Melainkan jika disebut “fulan mendengar dari fulan”. Maka ia telah terjamin berlakunya sama’.

4. Keempat: dengan melihat kalam para nuqaad.

Kita perlu sentiasa memberi perhatian dan mengambil faedah dari kalam para huffaz nuqaad berkenaan sama’ atau tidaknya seseorang rawi dari seseorang rawi lain.

Sama ada para nuqaad memberi ithbat (penetapan berlaku) atau memberi nafi (menolakan berlaku) sama’ antara fulan dan fulan.

Misalnya, berkata al-Imam Yahya Ibn Ma’in ketika beliau ditanya berkenaan rawi bernama Muhammad bin Ibrahim bin al-Harith, adakah dia bertemu salah seorang para Sahabat atau tidak? Maka jawab Ibn Ma’in “tidak, dia tidak mendengar”, maka berpandukan kalam Ibn Ma’in ini, maka kesemua riwayat Muhammad al-Harith dari Sahabat, maka ia putus, maka ia putus.

Melihat kalam para nuqaad tidak mengira di mana, baik dalam kitab jarh dan ta’dil atau lainnya. Pencarian perlu meluas.

Baik, sekiranya kita mencari kalam para nuqaad untuk perawi itu sama ada dia mendengar dari fulan atau tidak, tapi tidak bertemu, apa yang perlu kita buat?

Apa yang perlu kita buat?

Abaikan saja, dan tinggalkan kajian, dan menyerah kalah atau apa?

Dr Fathi: Sesiapa ada idea? Minta seorang saja jawab. Tiada yang mahu cuba menjawab? Salah tidak mengapa.

Pelajar: Teruskan kajian.

Dr Fathi: Teruskan kajian, bagus. Kajian bagaimana itu? Cari dan cari lagi kah? Baik, kita cari lagi. Dah 1 minggu cari tak jumpa juga. Apa nak buat?

Pelajar: Cari periwatan daripada jalan yg lain

Pelajar: Mencari kitab rujukan yg lain?

Pelajar: Rasanya kita perlu mengetahui sirah sahabat juga.

Dr Fathi: Cari periwayatan daripada jalur lain, bagus. Tapi kita lihat semua jalur akan bertemu kepada sanad yang sama iaitu A dari B, semua 30 sanad yang ada berlegar sekitar fulan A dari fulan B. Apa hendak buat? Tak guna banyak sanad pun, tapi semuanya sama sebab madar (pusat berlegar)nya adalah sekitar fulan A dari B.

Baik.

Jawabnya kita tidak perlu terlalu sempit otak ketika mencari kalam para nuqaad. Jangan harap semua hendak disuap dari mereka, semua hendak ayat bulat-bulat sebut “fulan A mendengar dari fulan B”.

Perlu luaskan otak dan minda, kalam para nuqaad tidak mesti secara terus dan “direct”. Banyak kali mereka beri petunjuk saja.

Kita lihat kalam para nuqaad berkenaan tarikh lahir dan tarikh wafat perawi A dan perawi B. Jika misalnya rawi B mati sebelum rawi A lahir, maka sudah tentu ia putus! Mana mungkin yang hidup mendengar dari yang mati.

Itu kalau kita jumpa kes yang mudah begini.
Jika kita cari tarikh wafat, kita jumpa tarikh lahir dan tarikh wafat fulan A, tapi tak jumpa pula tarikh wafat fulan B. Bagaimana hendak buat?

Silap. Hmm.. Betul. Baik, macam ni. Kes rumit sedikit ya. Abaikan soalan saya yang tadi.

Apa yang saya hendak beritahu ialah kaedah, jika seseorang rawi A tidak mendengar dari seseorang rawi B, maka rawi A juga tidak mendengar dari rawi yang mati sebelum B.

Kaedah penting, jika seseorang rawi A tidak mendengar dari seseorang rawi B, maka rawi A juga tidak mendengar dari rawi yang mati sebelum B.

Contohnya, pernah ditanya kepada al-Imam Abu Thalib Ahmad berkenaan mendengarnya Muhammad bin ‘Ali dari Ummu Salamah, maka jawab Abu Thalib “dia tidak mendengar dari Ummu Salamah”, kemudian ditanya lagi “adalah dia mendengar dari ‘Aishah?” Maka jawab Abu Thalib “tidak mendengar, kerana ‘Aishah wafat dulu sebelum Ummu Salamah”.

Muhammad bin ‘Ali tidak mendengar dari Ummu Salamah, maka dia juga tidak mendengar dari ‘Aishah kerana ‘Aishah wafat dulu sebelum Ummu Salamah.

Kaedah satu lagi pula terbalik.

Kaedah satu lagi pula ialah, sekiranya seseorang rawi tidak bertemu seorang rawi, maka rawi yang lebih rendah tabaqahnya juga tidak bertemu rawi itu.

Contohnya, berkata Syu’bah : adalah Abu Ishaq lebih besar (lebih senior) daripada Abu al-Bakhtari, tidaklah bertemu Abu al-Bakhtari akan ‘Ali. Yang ingin dimaksudkan Syu’bah ialah, Abu al-Bakhtari tidak pernah bertemu ‘Ali berpandukan petunjuk (qarain) Abu Ishaq yang lebih senior dari beliau tidak pernah bertemu ‘Ali’

Baik, seterusnya

5. Kelima: melihat kepada petunjuk-petunjuk thabitnya sama’ ataupun tidak.

Apabila kita tidak bertemu kalam para huffaz dan nuqaad yang jelas memberitahu bahawa fulan mendengar atau tidak dari fulan. Maka kita melihat kepada petunjuk-petunjuk dan qarain semisal tarikh lahir dan tarikh wafat, lihat seperti yang telah kita bincang sebelum ini.

Selain itu kita juga perlu melihat petunjuk lain, iaitu biografi perjalanannya, di mana dia pergi rehlah mengambil hadith, bila dia pergi dan bila dia balik, bila dia masuk negeri A dan bila dia keluar.

Kita ingin menyemak sama ada fulan A mendengar dari fulan B, kita pun melihat kepada tarikh lahir dan wafat, dan kita mendapati tiada masalah. Maka kita lihat pula catatan rehlah pengembaraan dia mengambil hadith, jika fulan A meriwayat dari fulan B, sedangkan fulan A tidak pernah pergi ke negeri fulan B dan fulan B juga tidak pernah pergi ke negeri fulan A, dan mereka juga tidak pernah turun ke sesebuah negeri pada tempoh waktu yang sama, maka dapatlah kita simpulkan bahawa fulan A tidak mendengar dari fulan B, maka sanad itu putus!

Maka mudahnya lima kaedah iatu ialah:

  1. Melihat siyagh adaa.
  2. Melihat panjangnya perguruan serta mulazamah.
  3. Melihat buku jarh dan tadil.
  4. Melihat kalam para nuqaad sama ada fulan mendengar dari fulan atau tidak, tanpa mengira dalam apa juga buku, dalam atau luar buku jarh dan ta’dil.
  5. Melihat petunjuk lain, semisal tarikh lahir dan wafat, rehlah pengembaraan rawi itu mencari hadith dan sebagainya.

 

Baik, setakat ini dulu kelas kita pada malam ini. Moga dapat faham dan moga bermanfaat. Kita sambung pada lain kali, tarikh akan diberitahu kemudian.Kita tutup kelas dengan tasbih kaffarah. Dan saya berpesan kepada semua agar usah lupa menela’ah al- Quran.

 

Komen dan Soalan