Utama Bilik (22) Hadith Al-Sakandary Kelas #9 | Ulum Hadith

Kelas #9 | Ulum Hadith

359
0
Iklan

Bismillah, Alhamdulillah, wa ba’d.

Syukur kepada Allah yang telah memberi kita masa luang untuk menyambung kelas ulum hadith kita pada malam ini.

Pada kelas yang lalu, kita telah berdiskusi berkenaan sighah sarihah dalam tahammul dan adaa. InsyaAllah pada malam ini kita akan melihat pula sighah ghair sarih, disebut sighah muhtamilah atau sebahagian menyebut muhtamalah.

Berbeza dengan sighah sarihah yang memberi indikasi awal bahawa sanad itu bersambung (namun ada pengecualian seperti perawi berdusta, perawi menggunakannya bukan dengan maksud sama’, kesilapan manuskrip dan lainnya maka ia putus), sighah muhtamilah pula adalah tidak pasti, ia boleh bersambung atau pun tidak.

Sighah muhtamilah ini banyak, yang masyhur antaranya ialah: “ عن فلان – dari fulan”, “قال – berkata”, “ذكر – menyebut”, “حكى – menyampai”, atau “حدث – menyebut”.

Ungkapan sighah muhtamilah yang disebut ini banyak digunakan sama ada bagi menunjukkan sama’ ataupun tidak, dan kebiasaannya ia menunjukkan tiada sama’, iaitu sanadnya putus.

Bahkan boleh jadi terdapat sela zaman yang amat panjang antara orang yang menyebut itu dengan fulan yang disebut, ini sebagaimana amalan kita pada zaman moden ini, kita biasa berkata “qala Rasul – berkata Rasul”, sedangkan kita tidak bertemu Rasul dan sela zaman kita antara Rasul amatlah jauh!

Berkenaan sighah muhtamilah “ عن ‘an – daripada” walaupun ia dimasukkan sebagai sighah muhtamilah, namun ia sebenarnya bukanlah termasuk dalam jenis sighah adaa, tetapi ia adalah sebutan yang menggantikan sighah adaa.

Perkataan ‘an ini boleh jadi perkataan perawi itu sendiri misalnya berkata al-‘Amash : “daripada Ibrahim..” dan semisal, namun kebiasaannya ia bukanlah perkataan perawi itu sendiri, sebaliknya ia adalah perkataan muridnya atau murid kepada muridnya, inilah yang majoriti.

Ini kerana bukan menjadi kebiasaan seseorang rawi meriwayatkan hadith dengan menyebut “ ‘an”, sebaliknya mereka akan menyebut nama guru mereka secara terus, inilah amalan ramai para perawi terutamanya jika ia majlis imla’, sekiranya mereka tidak menyebut nama guru mereka secara terus maka mereka akan menyebut dengan sighah adaa seperti haddathani atau akhbarani, mereka tidak menyebut “ ‘an”!!

Boleh jadi juga si guru hanya menyebut matan hadith dalam majlis, dan muridnya yang kanan (murid besar, disebut ashab) yang menyebut sanad itu jika sanad gurunya sememangnya masyhur, dan murid itu menggunakan “ ‘an”, ataupun sebaliknya si guru hanya menyebut sanad hadith saja, kemudian murid iaitu ashabnya menyebut matan hadith kepada hadirin.

Misalnya sebagaimana yang dijelaskan oleh Jarir kepada murid-muridnya: “hadith-hadith yang daku sebutkan kepada kamu semua dari al-‘Amash ini, bukanlah aku mendengarnya seperti yang daku sebutkan kepada kamu semua, ini kerana adalah al-‘Amash hanya menyebut sanad, kemudian berkata ashabnya “khabar ini dan ini”, dan kami pun menulis matan bagi sanad itu dari mereka (ashab beliau), ada juga al-‘Amash hanya menyebut matan bagi khabar, kemudian berkata ashabnya “isnad ini dan ini” dan kami pun menulis isnad itu dari mereka (ashab beliau)”. [Rujuk: al-Kifayah: 71].

Juga boleh jadi si guru itu ketika menyebut hadith, beliau menyebut dengan sighah atau siyagh adaa baik sarih seperti حدثنا ataupun tidak sarih seperti قال atau ذكر namun apabila muridnya ingin meriwayatkan hadith itu kepada muridnya pula, dia menyebut ‘an untuk memendekkan sanad, dan khawatir ia panjang.

Kerana khawatir ia menjadi panjang

Baik.

Baik, maka telah jelas kita bahawa siyagh adaa atau sighah adaa adalah amat penting sebagai indikasi awal bagi seseorang pengkaji melihat sama ada sanad itu bersambung atau tidak.

Sekiranya perawi menggunakan siyagh sarih maka umumnya sanad hadith itu bersambung, kecuali untuk beberapa kes, seperti:

  • Perawi berdusta
  • Menggunakan siyagh sarih bukan dengan maksud sama’
  • Perawi tersilap menyebut dengan siyagh sarih
  • Kesilapan pada manuskrip
  • Kesilapan pada cetakan

 

Manakala jika parawi itu menggunakan siyagh ghair sarih ataupun muhatamilah, maka umumnya sanad hadith itu putus.

Kecuali beberapa pengecualian, misalnya si guru menyebut dengan siyagh sarih namun muridnya menyebut ‘an apabila ingin meriwayatkan kepada muridnya pula.

Juga sighah ‘an, ia bukanlah termasuk sighah adaa namun sebagai pengganti sighah adaa, boleh jadi ia perkataan perawi itu sendiri, namun umum biasanya ia adalah perkataan muridnya atau murid kepada muridnya.

Sebagaimana yang telah kita bincangkan tadi.

Baik.

Sebahagian ahli ilmu menolak riwayat yang tidak menyebut siyagh sarih dalam sanad, iaitu tidak menyebut haddathani atau akhbarani atau semisal. Bagi mereka semua sanad yang tiada siyagh sarih maka ia putus!

Ini adalah mazhab sebahagian mutaakhkhirin serta fuqaha’, mereka berpegang kepada ungkapan al-Imam Syu’bah bahawa semua hadith yang tiada haddathana atau akhbarana maka ia putus, tidak dipakai.

Berkata Syu’bah:

كل حديث ليس فيه حدثنا او اخبرنا فهو خل و بقل

 

Terjemahan: semua hadith yang tiada baginya haddathana atau akhbarana maka ia kurang (tidak dipakai).

Sebenarnya yang dimaksudkan oleh Syu’bah ialah kebanyakan, majoriti saja, bukanlah semua. Iaitu majoriti biasanya hadith-hadith yang tiada dalam sanadnya sighah sarih seperti haddathana atau akhbarana atau sami’tu atau semisal, maka ia putus.

Namun telah silap faham sebahagian mutaakhkhirin serta sebahagian fuqaha zahiriah bahawa semua hadith yang tiada siyagh sarih maka ia putus secara mutlak. Ini adalah salah, ini adalah salah.

Ini kerana sebagaimana yang telah saya sebutkan sebelum ini, para rawi biasa menyebut ‘an dalam sanad bertujuan bagi memendekkan sanad dan khawatir ia panjang, sedangkan sanad yang asal adalah dengan siyagh sarih.

Pandapat yang menolak secara mutlak riwayat yang tiada sighah sarih ini, dan terus menghukumnya sebagai putus telah dibantah oleh ramai ahli hadith.

Tidak dinafikan metod itu berkemungkinan sebagai berjaga-jaga dalam memelihara sunnah, iaitu syadid dengannya, namun sekiranya ia diterima maka akan terbuang banyak riwayat yang sahih namun tiada sighah sarih.

Baik.

Selain melihat kepada siyagh adaa bagi menentukan sama ada sanad itu bersambung atau tidak, kita juga melihat kepada faktor atau qarain lain.

Antaranya dengan melihat “طول الصحبة – thuuli al-suhbah” serta “الملازمة لشيخه – mulazamati li syaikhihi” iaitu panjangnya perguruan serta lamanya perdampingan seseorang murid itu dengan gurunya.

Ini adalah khas bagi murid-murid yang dianggap sebagai ashab seseorang syaikh atau guru itu. Murid yang ashab adalah murid yang berguru lama dengan seseorang guru itu, dan dia selalu sentiasa ada bersama guru itu, sentiasa berdamping dengan guru itu. Dalam semua majlis guru itu pasti dia ada.

Misalnya adalah:

  1. Nafi’ serta ‘Abdillah bin Dinar, bersama guru mereka ‘Abdillah bin ‘Umar
  2. ‘Urwah bin al-Zubair serta al-Qasim bin Muhammad serta ‘Amrah binti ‘Abdirrahman, bersama guru mereka ‘Aishah
  3. Said bin al-Musayyib serta ‘Abdirrahman bin Hurmuz al-‘Araj serta Abi Salamah bin ‘Abdirrahman bin ‘Auf, bersama guru mereka Abi Hurairah
  4. ‘Amr bin Dinar serta Muhammad bin al-Munkadir serta ‘Athaa bin Abi Rabah, bersama guru mereka Jabir bin ‘Abdillah
  5. Thabit bin Aslam al-Bunani serta Ishaq bin ‘Abdillah bin Abi Thalhah serta ‘Abdul ‘Aziz bin Suhaib, bersama guru mereka Anas bin Malik
  6. ‘Alqamah bin Qays serta Masruq serta Syaqiq bin Salamah, bersama guru mereka ‘Abdillah bin Mas’ud.
  7. Mujahid serta Ikrimah serta Said bin Jubair, bersama guru mereka ‘Abdillah bin ‘Abbas
  8. Rib-iyyi bin Hirash Wazir bin Hubaish serta Wasilah bin Zufar, bersama guru mereka Huzaifah bin al-Yaman

 

Dan ribuan lagi contoh-contoh lain.

Bagi para ashab yang panjang perguruan serta panjang perdampingan mereka dengan guru mereka yang telah saya sebutkan contohnya di atas, riwayat-riwayat mereka dari guru mereka adalah dikira bersambung walaupun tidak menyebut siyagh sarih atau tahdis.

Selain melihat siyagh adaa serta thuuli suhbah wa mulazamah ini, terdapat lagi beberapa perkara yang perlu dilihat bagi menentukan sama ada sanad itu bersambung atau putus.

InsyaAllah kita akan berbincang perkara-perkara tersebut pada kelas yang akan datang insyaAllah.

Dan saya berpesan dengan pesan yang dipesan oleh guru saya al-Syaikh Maher Yasin al-Fahl kepada semua penuntut ilmu hadith: “usah lupa menela’ah dan membaca al-Qur’an”.

 

Komen dan Soalan