Utama Bilik (03) Ilmu Hadis Rezeki Tidak Disangka-sangka Dengan Istighfar

Rezeki Tidak Disangka-sangka Dengan Istighfar

895
0
Iklan

Salam. 

Saya ingat-ingat lupa hadith Tarmidzi “Barangsiapa perbanyakkan beristighfar maka Allah memberinya rezeki dari arah yang tidak sangka-sangka”…boleh carikan matannya..ingatan reput

 

Carikan

 

Jawapan:

dalam suatu hadis:

مَنْ لَزِمَ الِاسْتِغْفَارَ، جَعَلَ اللَّهُ لَهُ مِنْ كُلِّ ضِيقٍ مَخْرَجًا، وَمِنْ كُلِّ هَمٍّ فَرَجًا، وَرَزَقَهُ مِنْ حَيْثُ لَا يَحْتَسِبُ

“Sesiapa yang sentiasa beristighfar, maka Allah menjadikan untuknya dari setiap kesedihan ada kegembiraan, bagi setiap kesempitan ada jalan keluar, dan memberinya rezeki yang tidak disangka-sangka.”

(Hadis Riwayat Ahmad dan Abu Daud. Dinilai sahih sanadnya oleh Ahmad Syakir, tetapi dinilai dhaif oleh al-Albani dan Syu’aib al-Arnauth).” (Tafsir Ibnu Katsir, 4/329)

 

Diperkuatkan lagi dengan:

  • 1. Nuh ‘alaihis Salam pernah berkata kepada kaumnya sebagaimana dikatakan oleh Allah dalam al-Qur’an:

فَقُل فَقُلْتُ اسْتَغْفِرُوا رَبَّكُمْ إِنَّهُ كَانَ غَفَّارًا (١٠) يُرْسِلِ السَّمَاءَ عَلَيْكُمْ مِدْرَارًا (١١) وَيُمْدِدْكُمْ بِأَمْوَالٍ وَبَنِينَ وَيَجْعَلْ لَكُمْ جَنَّاتٍ وَيَجْعَلْ لَكُمْ أَنْهَارًا

“Maka aku katakan kepada mereka, “Beristighfarlah kepada Rabb-mu, sesungguhnya Dia adalah Maha Pengampun, nescaya Dia akan mengirimkan hujan kepadamu dengan lebat dan melengkapkan harta dan anak-anakmu, dan mengadakan untukmu kebun-kebun, dan mengadakan pula di dalamnya sungai-sungai.” (Surah Nuh, 71: 10-12)

 

Al-Hafiz Ibnu Katsir rahimahullah (Wafat: 774H)menjelaskan ayat ini dalam tafsir:

 

أي: إذا تبتم إلى الله واستغفرتموه وأطعتموه، كثر الرزق عليكم، وأسقاكم من بركات السماء، وأنبت لكم من بركات الأرض، وأنبت لكم الزرع، وَأَدَرَّ لكم الضرع، وأمدكم بأموال وبنين، أي: أعطاكم الأموال والأولاد، وجعل لكم جنات فيها أنواع الثمار، وخللها بالأنهار الجارية بينها

“Maksudnya apabila kamu semua bertaubat kepada Allah, beristighfar (memohon ampun) kepada-Nya dan kamu sentiasa mentaati-Nya, nescaya Dia akan memperbanyakkan rezeki ke atas kamu, menurunkan kepada kamu hujan yang barakah, mengeluarkan untuk kamu keberkahan dari bumi, menumbuhkan untuk kamu tumbuh-tumbuhan, mengalirkan (melimpahkan) untuk kamu susu-susu perahan, dan melengkapkan untuk kamu harta dan anak-anak. Maksudnya Dia akan memberi kamu dengan harta kekayaan dan anak-anak serta memberi kepada kamu kebun-kebun yang di dalamnya terdapat pelbagai jenis buah-buahan yang di dalamnya mengalir sungai-sungai.” (Tafsir Ibnu Katsir, 8/233)

 

  • 2. Imam al-Qurthubi dan Al-Hafiz Ibnu Hajar al-‘Asqalani rahimahumallah menyebutkan sebuah atsar dari al-Hasan al-Bashri rahimahullah:

 

 ان رجلا شكى إليه الجدب فقال استغفر الله وشكى إليه آخر الفقر فقال استغفر الله وشكى إليه آخر جفاف بستانه فقال استغفر الله وشكى إليه آخر عدم الولد فقال استغفر الله ثم تلا عليهم هذه الآية

 

“Bahawasanya seorang lelaki mengadu kepadanya tentang musim kemarau yang sedang terjadi. Maka al-Hasan al-Bashri pun mengatakan, “Beristighfarlah (mohon ampunlah) kepada Allah.”

 

Kemudian datang pula orang lain mengadu kepada beliau tentang kefaqirannya. Maka al-Hasan al-Bashri pun mengatakan, “Beristighfarlah kepada Allah.”

 

Kemudian datang lagi yang lain pula mengadu kepada beliau tentang kekeringan tanamannya. Maka al-Hasan al-Bashri pun mengatakan, “Beristigfarlah kepada Allah.”

 

Kemudian datang lagi yang lain mengadu kepada beliau kerana masih tidak memiliki anak. Maka al-Hasan al-Bashri pun mengatakan, “Beristighfarlah kepada Allah.” Kemudian al-Hasan al-Bashri pun membacakan surah ini (Surah Nuh, 71: 11-12) kepada mereka.” (Tafsir al-Qurthubi, 18/302-303. Fathul Bari Syarah Shahih al-Bukhari, 11/98)

 

 

  • 3. Allah Subhanahu wa Ta’ala berfirman:

 

وَيَقَوْمِ اسْتَغْفِرُوا رَبَّكُمْ ثُمَّ تُوبُوا إِلَيْهِ يُرْسِلِ السَّمَاءَ عَلَيْكُمْ مِدْرَارًا وَيَزِدْكُمْ قُوَّةً إِلَى قُوَّتِكُمْ وَلا تَتَوَلَّوْا مُجْرِمِينَ

“(Hud berkata): “Wahai kaumku, beristighfarlah kepada Rabb-mu kemudian bertaubatlah kepada-Nya, nescaya Dia akan menurunkan hujan yang lebat ke atas kamu dan Dia akan menambahkan kekuatan pada kekuatanmu dan janganlah kamu berpaling dengan melakukan dosa.” (Surah Huud, 11: 52)

 

Al-Hafiz Ibnu Katsir rahimahullah mengatakan:

ثم أمرهم بالاستغفار الذي فيه تكفير الذنوب السالفة، وبالتوبة عما يستقبلون ومن اتصف بهذه الصفة يسر الله عليه رزقه، وسهل عليه أمره وحفظ شأنه؛ ولهذا قال: يُرْسِلِ السَّمَاءَ عَلَيْكُمْ مِدْرَارًا

“Kemudian dia (Huud) menyuruh mereka beristighfar yang dengannya dapat menghapuskan dosa yang telah lalu, juga dengan bertaubat dari apa yang sedang mereka hadapi. Dan sesiapa yang memiliki sifat ini, Allah memudahkan rezeki ke atasnya dan memudahkan ke atasnya urusannya dan memelihara keadaannya. Dan untuk itulah Allah berfirman: “…nescaya Dia akan menurunkan hujan yang lebat ke atas kamu.”

 

 

  • 4. Dalam ayat yang lain, Allah Ta’ala berfirman:

وَأَنِ اسْتَغْفِرُوا رَبَّكُمْ ثُمَّ تُوبُوا إِلَيْهِ يُمَتِّعْكُمْ مَتَاعًا حَسَنًا إِلَى أَجَلٍ مُسَمًّى وَيُؤْتِ كُلَّ ذِي فَضْلٍ فَضْلَهُ وَإِنْ تَوَلَّوْا فَإِنِّي أَخَافُ عَلَيْكُمْ عَذَابَ يَوْمٍ كَبِيرٍ

 

“Dan beristighfarlah kepada Rabb-mu, kemudian bertaubatlah kepada-Nya. Nescaya Dia akan memberi kepada kamu kenikmatan yang baik sehingga waktu yang ditentukan, dan Dia memberi kepada setiap yang memiliki keutamaan, keutamaannya. Jika kamu berpaling, maka sesungguhnya aku takut kamu akan ditimpa azab di hari yang besar (Kiamat).” (Surah Huud, 11: 3)

 

Imam al-Qurthubi rahimahullah (Wafat: 671H) menjelaskan:

 

هَذِهِ ثَمَرَةُ الِاسْتِغْفَارِ وَالتَّوْبَةِ، أَيْ يُمَتِّعُكُمْ بِالْمَنَافِعِ من سَعَةِ الرِّزْقِ وَرَغَدِ الْعَيْشِ، وَلَا يَسْتَأْصِلُكُمْ بِالْعَذَابِ كَمَا فَعَلَ بِمَنْ أَهْلَكَ قَبْلَكُمْ

“Inilah buah hasil istighfar dan taubat. Iaitu Allah memberi kenikmatan kepada kamu dengan manfaat-manfaat berupa rezeki yang banyak dan hidup yang sejahtera, serta Dia tidak akan mengazab kamu sebagaimana yang dilakukan-Nya ke atas orang-orang sebelum kamu.” (Tafsir al-Qurthubi, 9/3)

 

 

Jawapan dipetik dari http://fiqh-sunnah.blogspot.com/2012/06/190-menjemput-rezeki-dengan-istighfar.html?m=1

Komen dan Soalan