Utama Bilik (40) Asas Ilmu Hadits 01.11.01 #310315: MENGENAL SAHABAT (الصحابي) Bhg. 01

01.11.01 #310315: MENGENAL SAHABAT (الصحابي) Bhg. 01

140
0
Iklan

 

Nota 01.11.01 Mengenal Sahabat & Tabi’in   

 

Susunan: BroSyarief 

 

SAHABAT (الصحابي) Bhg. 01 

 

Definisi sahabat secara teknikal telah kita sebutkan sebelum ini, iaitu, ’Sesiapa yang bertemu dengan Nabi sallalLahu ‘alaihi wa sallam dalam keadaan Islam, kemudian mati dalam keadaan Islam, walaupun pernah murtad’.

 

Mengenal sahabat merupakan satu topik penting untuk difahami, apa lagi untuk membezakan antara mereka dengan generasi-generasi selepas mereka, khususnya Tabi’in. Kerana ia akan mengelakkan seseorang dari tersalah ketika menghukum ke atas hadits.

 

Bagaimana para sahabat dikenal-pasti sebagai sahabat Nabi sallalLaahu ‘alaihi wa sallam:

 

1. Mutawatirnya sumber yang menyebut tentang sahabat tersebut, seperti Khulafa ar-Rasyidin, 10 sahabat yang dijanjikan syurga, dan ramai lagi.

2. Populariti sahabat tersebut yang mana ianya tak sampai tahap mutawatir.

3. Makluman sahabat Nabi sallalLaahu ‘alaihi wa sallam sendiri yang fulan adalah sahabat.

4. Makluman dari Tabi’in yang tsiqah yang mengatakan fulan adalah sahabat.

5. Periwayatan fulan dari Nabi dengan jelas terbukti dia mendengarkan secara langsung.

 

Kredibiliti personaliti (العدالة) para sahabat disepakati oleh para ulama, menyebabkan mereka tidak dikomentari oleh ulama hadits untuk memberi pengaruh kepada penilaian sanad.

 

Ini kerana mereka telah diiktiraf oleh Allah sendiri sebagaimana disebutkan di dalam al-Quran,

“Allah redha kepada mereka, dan mereka turut redha kepadaNya”

(at-Taubah:100),

“Sungguh Allah telah redha kepada orang-orang yang beriman itu, saat mereka berbaiah kepadamu di bawah pohon itu”

(al-Fath:18)

dan banyak lagi ayat-ayat yang lain.

 

Adapun dalil dari hadits-hadits Nabi sallalLaahu ‘alaihi wa sallam juga turut banyak, seperti,

“Sebaik-baik kurun adalah kurunku (bersama para sahabat), dan kemudian yang mengikuti mereka (yakni, tabi’in), dan kemudian yang seterusnya (yakni, tabi’ taabi’in)” [HR al-Bukhari & Muslim],

juga hadits ini,

“Jangan kalian mencaci sahabatku. Demi Yang jiwaku di tanganNya, seandainya salah seorang dari kalian bersedekah emas sebesar Uhud, tak akan pernah menyamai satu bekas infaq mereka, bahkan tidak separuhnya”

[HR al-Bukhari & Muslim]. 

 

Dan secara rasionalpun, kita katakan, jika para sahabat tidak diiktiraf kredibiliti mereka, ini bercanggah dengan sifat agama yang dikatakan rahmat seluruh alam. Sedangkan yang berada di sekeliling Nabi sallallaahu ‘alaihi wa sallam adalah mereka. Dan hanya merekalah faktor penyambung utama kepada tersebarnya kefahaman agama sehingga kita dan generasi seterusnya dapat menikmati agama ini.

 

(bersambung)

 

WalLaahu a’lam

 

Ruj: Ulum Al-Hadits Asiluha wa Mu’asiruha, karangan Prof Dr Abullayts KhairAbaadi.

 

#BroSyariefShares

Komen dan Soalan