Utama UiTO Bicara THTL Isu Kedua: Mengapakah Rasulullah SAW Tidak Menetapkan Satu Sistem Politik Secara Terperinci?

Isu Kedua: Mengapakah Rasulullah SAW Tidak Menetapkan Satu Sistem Politik Secara Terperinci?

22
0
Iklan

Isu Kedua: Mengapakah Rasulullah SAW Tidak Menetapkan Satu Sistem Politik Secara Terperinci?

Antara persoalan besar dalam fiqh politik ialah mengapakah Rasulullah SAW tidak menetapkan secara terperinci sistem politik atau kaedah pelantikan ketua negara selepas kewafatan Baginda. Baginda SAW tidak meninggalkan suatu mekanisme yang khusus tentang cara memilih pengganti sebagai ketua pemerintahan umat Islam.

Menurut Yusuf al-Qaradawi, keadaan ini merupakan petunjuk bahawa urusan politik termasuk dalam ruang lingkup muamalat Islam yang terbuka kepada ijtihad mengikut perubahan masa, tempat dan keadaan. Dengan kata lain, politik bukanlah sebahagian daripada usul akidah yang ketetapannya bersifat tetap dan tidak berubah.

Selepas kewafatan Rasulullah SAW, para sahabat tidak menemui wasiat yang jelas mengenai pelantikan pemimpin. Namun demikian, mereka memahami bahawa kewujudan seorang ketua negara merupakan suatu keperluan yang sangat penting. Atas sebab itu, para sahabat terlebih dahulu bermesyuarat bagi melantik pengganti Rasulullah SAW sebelum urusan pengebumian Baginda disempurnakan tiga hari kemudian (pada hari Rabu).

Peristiwa ini menunjukkan bahawa urusan pemerintahan dan kepimpinan merupakan tuntutan yang besar dalam syariat Islam.
Dalam sejarah pemikiran Islam, antara kelompok yang mempunyai pandangan berbeza mengenai isu ini ialah Syiah. Mereka berpendapat bahawa kepimpinan umat merupakan kesinambungan yang telah ditentukan kepada Ahli Bait secara wahyu dan kemaksuman (melalui konsep imamah). Pandangan ini berbeza daripada pegangan Ahli Sunnah wal Jamaah yang melihat pelantikan pemimpin sebagai urusan ijtihad umat, bukan melalui nas yang menetapkan individu tertentu. Ini adalah firqah pertama yang sesat kerana mengaitkan politik dengan akidah dan nubuwwah.

Selain itu, Khawarij muncul sebagai kelompok kedua yang sesat (mempunyai pendekatan tersendiri dalam politik). Mereka terkenal dengan pendirian yang sangat tegas terhadap pemerintah dan mudah menjatuhkan hukum terhadap pihak yang tidak sehaluan dengan mereka. Oleh sebab itu, para ulama Ahlus Sunnah menjadikan kedua-dua aliran ini sebagai contoh penyimpangan dalam memahami fiqh politik, walaupun bentuk penyimpangan yang berlaku adalah berbeza. Aliran khawarij dihidupkan oleh Hizbu Tahrir.

Kewafatan Nabi tanpa wasiat dan sistem politik. Pelantikan Abu Bakr sebagai khalifah pertama menjadi asas kepada sistem politik Islam yang dikenali sebagai sistem khalifah. Seorang khalifah berperanan sebagai pengganti Rasulullah SAW dalam urusan pemerintahan dan pentadbiran negara, bukan sebagai penerima wahyu. Pelantikan beliau dilakukan melalui persetujuan dan baiah umat seratus peratus, manakala kelayakan peribadi menjadi asas utama pemilihannya.

Selepas itu, Umar ibn al-Khattab dilantik berdasarkan pencalonan sebagai ‘Putera Mahkota’ oleh Abu Bakar RA secara lantikan terus. Ini juga satu cara politik Islam. Kemudian, Uthman ibn Affan dipilih melalui syura yang melibatkan sebuah majlis panel pemilih dan mereka mengundi secara rahsia. Adapun pelantikan Ali ibn Abi Talib berlaku dalam suasana politik yang lebih mencabar selepas terbunuhnya Uthman RA. Agak kontroversi, dimana beliau mengambil alih kepimpinan berdasarkan ijtihad dirinya sendiri. Ini juga satu metod dalam politik Islam.

Kesemua kaedah ini menunjukkan bahawa mekanisme pelantikan pemimpin dalam Islam boleh berbeza mengikut ijtihad dan maslahah semasa.

Keempat-empat Khulafa’ al-Rasyidin telah memperlihatkan beberapa bentuk pelantikan pemimpin yang berbeza. Hal ini menjadi dalil bahawa Islam tidak mengikat umat kepada hanya satu mekanisme politik yang khusus, sebaliknya memberikan ruang kepada ijtihad selagi prinsip-prinsip syariah dipelihara.

Apabila pemerintahan beralih kepada Muawiyah ibn Abi Sufyan, sistem pelantikan khalifah berubah kepada bentuk pemerintahan dinasti. Amir Muawiyah memutuskan cara pemerintahan sebelumnya tidak stabil. Menurut pertimbangan politik pada ketika itu, pendekatan sistem dinasti dilihat lebih mampu menjamin kestabilan negara yang sedang berhadapan dengan pelbagai konflik dalaman.

Sehubungan itu, Shah Waliullah Dehlawi berpendapat bahawa model pemerintahan Khulafa’ al-Rasyidin merupakan suatu zaman yang istimewa dan sukar diulangi. Ianya ada ciri divine atau kewalian. Antara keistimewaannya ialah keempat-empat khalifah tersebut mempunyai hubungan yang sangat rapat dengan Rasulullah SAW melalui kekeluargaan dan perkahwinan, dimana Abu Bakar dan Umar ada pertalian bapa mertua Rasulullah SAW. Uthman, menantu Nabi kepada dua puterinya, manakala Khalifah Ali juga adalah menantu. Hubungan melalui perkahwinan itu menjadi empat khalifah ni tidak lagi dapat wujud sampai bila-bila. Di samping itu, mereka memiliki tahap keilmuan, ketakwaan dan kewibawaan yang luar biasa. Oleh sebab itu, beliau berpandangan bahawa model tersebut mempunyai keistimewaan tersendiri yang tidak mudah diulang dalam sejarah Islam.

Komen dan Soalan