Utama UiTO Bicara THTL Sahkah solat seorang perokok?

Sahkah solat seorang perokok?

2338
0
Iklan

SOALAN

Sahkah solat seorang perokok?

JAWAPAN

Solat sah sebab rokok tidak termasuk di dalam perkara yang membatalkan solat. Ini hukum asal. Solat yang tidak diterima ialah yang dinyatakan oleh syariat, antaranya meminum arak, solat tidak diterima selama 40 hari.

 

SOALAN

Mengapa berkaitan dengan isu merokok, ada segelintir lelaki suka mengambil pandangan makruh dan khilaf?

JAWAPAN

Ini kerana rokok diharamkan bukan dengan Al-Quran dan sunnah. Ia muhdath atau baru muncul pada abad ke 10 hijrah selepas era salaf.  Makruh adalah hukum di zaman mazhab dahulu kerana pada masa tu ia belum ada data dari kajian klinikal.

Ia jelas haram dengan ijtihad di zaman sekarang sahaja dan belum lagi dikuatkuasa sebagai perundangan atau syariat. Buat masa ini ia masih khilaf antara makruh dan haram, kecuali kerajaan atau penguasa memilih haram dan mengazetkan sebagai syariat yang baru.

 

SOALAN

Solat seorang perokok adalah sah tetapi adakah doa tidak dimaqbulkan dan bolehkah dikaitkan dengan hadith dibawah?

Ada hadith dari riwayat Imam Muslim rahimahuLlah berkenaan seorang lelaki dengan pakaian lusuh yang berdoa tetapi makanan, minuman dan pakaiannya dari sumber yang haram.

JAWAPAN

Itulah namanya akhta’ al mushallin, kesalahan-kesalahan pesolat, dengan makanan dan pakaian yang haram, berpakaian ketat dan nipis.

 

SOALAN

Saya pernah membaca, bahawa hadith dari riwayat Imam Muslim rahimahuLlah itu tidak ada kaitannya dengan ketidak maqbulan doa dari siperokok kerana hadith itu hanya menyebut, pakaian, makanan dan minuman yang haram hasil dari sumber yang haram seperti mencuri atau menipu. Sedangkan rokok tidak termasuk di dalam kategori makanan.

JAWAPAN

Fatwa ulama besar Arab Saudi:

أرى أنه قول لا أصل له ، بل هو شرب ، وهم يقولون : إنه يشرب الدخان ، ويسمونه شرباً

“Menurutku, ini adalah perkataan yang tidak ada usulnya sama sekali. Bahkan sebenarnya rokok termasuk minum (syurbun). (ahli bahasa) mengungkapkan “ menghisap rokok”syariba ad-dukhan” (meminum rokok). Kemudian asap rokok –tanpa diragukan lagi- masuk sehingga di dalam lambung atau perut. “
Beliau mengatakan rokok adalah sejenis minuman.
Qadhi Unaizah, Nejd, Syaikh Muhammad bin Saleh al Uthaimin al Tamiimi al Nejdi.

 

SOALAN

Bukankah asap rokok memasuki ke paru-paru bukan lambung (perut)?

JAWAPAN

Jika rokok bukan makanan atau minuman, maka orang yang berpuasa boleh menghisap rokok disiang hari. Maksudnya, segala sesuatu yang masuk ke dalam tubuh melalui jalan mulut dengan sengaja.

 

SOALAN

Adakah bermaksud dalil dari Imam Muslim rahimahullah itu boleh diterima kerana memang ada ulama mengguna hujah dari hadith itu?

JAWAPAN

Memang boleh diterima.
kalau kita mengatakan rokok tidak membatalkan puasa, maka ia tidaklah haram sebab ia bukan makanan dan minuman. Ia sama dengan menyedut asap kenderaan dan asap jerebu, tidak membatalkan puasa dan tidak haram.

 

SOALAN

Mengapa tidak difatwa sahaja rokok adalah haram?

JAWAPAN

Sememangnya semua rumah fatwa sudah memfatwakan rokok adalah haram, cuma saya sudah berulang kali mengatakan, ia belum diluluskan oleh Parlimen atau Majlis Raja-Raja Melayu.

Sama sahaja keadaannya di Arab Saudi. Lajnah fatwa Arab Saudi sudah memfatwakan rokok adalah haram, akan tetapi belum diluluskan di dalam Majlis Syura Arab Saudi sebagai enakmen kesalahan jenayah syariah.

 

SOALAN

Maksudnya kalau sudah termaktub sebagai enakmen kesalahan jenayah syariah, perokok boleh ditangkap didenda dan dihukum?

JAWAPAN

Ya, baru PDRM boleh membuat tangkapan. Ia sama dalam kategori ketum dan dadah. Kerajaan Malaysia termasuk Arab Saudi tidak mengazetkan lagi rokok kerana cukai rokok yang tinggi.

 

SOALAN

Bolehkah saya memilih pendapat yang agak syadid dalam beberapa isu seperti muzik dan rokok?

JAWAPAN

Boleh memilih pendapat yang syadid tetapi untuk diri sendiri sahaja. Untuk masyarakat awam , masih pertengahan atau wasithiyah.

Contoh:
Ibnu Umar ra menitiskan air ke dalam mata ketika berwuduk.

 

SOALAN

Maaf, saya belum pernah mendengar lagi hal berkaitan Ibnu Umar ra menitiskan air ke dalam mata. Boleh sertakan sebarang hadith atau athar?

JAWAPAN

Itulah yang dimaksudkan dengan syadid semasa berwuduk. Pendapat wasithiyah, tidak perlu menitiskan air ke dalam mata, tetapi Ibnu Umar ra lakukan.

Petunjuk ini diriwayatkan oleh Imam Malik (wafat pada 179 H) di dalam kitab al-Muwaththa’ halaman 404 dari Imam Nafi‘ (wafat pada 117 H)bahawa Ibnu Umar ra,

كَانَ إِذَا اغْتَسَلَ مِنَ الجَنَابَةِ يَتَوَضَّأُ فَيَغْسِلُ وَجْهَهُ وَيَنْضَحُ فِي عَينَيهِ

“Ketika mandi dari janabat (mandi besar) berwuduk lalu membasuh wajah dan menitiskan air ke dalam dua matanya.”

Ianya athar bukan hadith, tetapi ianya sahih. Ini adalah contoh. Jika kita memilih untuk pendapat yang syadid, ianya untuk diri kita sahaja, jangan sehingga menyusahkan ramai orang.

 

SOALAN

Adakah perbuatan Ibnu Umar ra ini mendapat teguran atau larangan dari Nabi saw?

JAWAPAN

Perbuatan Ibnu Umar ra ini tidak mendapat larangan dari Nabi saw.

ⓑⓘⓒⓐⓡⓐⓣⓗⓣⓛ

Komen dan Soalan