Utama Bilik (123) Tafsir, Tadabbur dan Tazakkur Tafsir Surah Fussilat – Tafsir Ayat Ke-39 hingga Ke-41

Tafsir Surah Fussilat – Tafsir Ayat Ke-39 hingga Ke-41

740
0
Iklan

Tafsir Surah Fussilat

Tafsir Ayat Ke-39

Ini adalah bahagian kedua dari surah Fussilat ini. Ini adalah Dalil Aqli kepada Qudrat Allah SWT.

وَمِن آياتِهِ أَنَّكَ تَرَى الأَرضَ خاشِعَةً فَإِذا أَنزَلنا عَلَيهَا الماءَ اهتَزَّت وَرَبَت ۚ إِنَّ الَّذي أَحياها لَمُحيِي المَوتىٰ ۚ إِنَّهُ عَلىٰ كُلِّ شَيءٍ قَديرٌ

“Dan di antara tanda-tanda kekuasaan-Nya, engkau melihat bumi kosong sepi (dalam keadaan kering dan tandus), maka apabila Kami menurunkan hujan menimpanya, bergeraklah tanahnya serta suburlah tanamannya. Sesungguhnya Allah SWT yang menghidupkannya sudah tentu berkuasa menghidupkan makhluk-makhluk yang telah mati; sesungguhnya Ia Maha Kuasa atas tiap-tiap sesuatu.”

وَمِنْ آيَاتِهِ

Dan di antara dalil bukti lain,

Ada lagi tanda-tanda dalam alam yang boleh menunjukkan kepada kita tentang kewujudan dan kemuliaan Allah SWT. Allah SWT beri satu persatu bukti kepada kita supaya kita tidak ada alasan lagi untuk keliru. Kita kenalah lihat tanda-tanda itu.

أَنَّكَ تَرَى الْأَرْضَ خَاشِعَةً

Kamu boleh tengok bumi yang sudah gersang;

Iaitu bumi yang kering kontang kerana kemarau. Senyap tidak buat apa-apa, tidak jadi apa-apa. Macam orang yang ‘khusyuk’, duduk diam, lemah dan tunduk sahaja di hadapan Allah SWT dalam solat.

فَإِذَا أَنْزَلْنَا عَلَيْهَا الْمَاءَ

Maka apabila Kami turunkan air ke atasnya

Pernah anda melihat bagaimana keadaan tumbuh-tumbuhan dalam musim kemarau? Semuanya layu dan lesu. Nampak pudar sahaja. Tetapi lihatlah apabila Allah SWT turunkan air hujan ke tanah yang gersang itu. Perubahan yang ketara akan berlaku.

اهْتَزَّتْ

bergerak-gerak tumbuh;

Bumi yang gersang itu tumbuh apabila Allah SWT berikan air hujan kepada tanah itu. Kadang-kadang tidak banyak pun hujan yang turun. Kalau turun sepuluh minit pun sudah cukup. Kita boleh lihat bezanya dengan keadaan sebelum itu.

Allah SWT kata bumi itu atau tanaman itu bergerak-gerak. Memang tidak nampak dengan mata kasar kita, tetapi kita yang selalu melihat rancangan tv, boleh bayangkan bagaimana tanaman itu sebenarnya bergerak sikit-sikit.

وَرَبَتْ

dan subur

Apabila sudah ada air, tanaman itu pun bergerak, mula menyerap air dari tanah dan bergerak subur.

إِنَّ الَّذِي أَحْيَاهَا

Sesungguhnya Dzat yang menghidupkan bumi yang kering tadi

Allah SWT menunjukkan bagaimana Allah SWT boleh menghidupkan sesuatu yang mati. Dia beri contoh bumi yang ‘mati’ boleh dihidupkan.

مُحْيِي الْمَوْتَىٰ

tentulah boleh hidupkan yang sudah mati.

Dengan satu jenis air sahaja, semua jenis tumbuhan boleh hidup. Allah SWT menunjukkan contoh bagaimana Allah SWT boleh menghidupkan tanah yang mati.

Kalau Allah SWT boleh menghidupkan tanah itu, tidakkah Allah SWT juga boleh menghidupkan kamu kembali selepas kamu mati? Jadi kenapa kamu hairan sangat kalau kamu akan hidup sesudah mati nanti?

Orang Musyrikin Mekah tidak dapat menerima yang mereka akan hidup setelah mati nanti, dan kerana itu mereka menentang ajaran tauhid dari Nabi Muhammad SAW.

إِنَّهُ عَلَىٰ كُلِّ شَيْءٍ قَدِيرٌ

Sesungguhnya Allah SWT Taala ke atas segala sesuatu Maha Berkuasa sungguh

Ini adalah Jumlah Ta’liliyah – Allah SWT boleh buat apa sahaja yang Dia hendak kerana Dia Maha Berkuasa atas segala sesuatu.

Dalam ayat ini, Allah SWT memberitahu bagaimana Dia yang hidupkan tanah yang mati dengan air. Sebenarnya, Allah SWT tidak perlukan pun air itu. Itu hanya sebagai asbab sahaja. Allah SWT boleh hidupkan dengan sendiri.

Allah SWT boleh buat apa-apa sahaja yang Dia hendak. Bukan tentang tumbuhan sahaja tetapi dalam segala hal termasuk memasukkan mereka ke dalam neraka atau syurga.

Tafsir Ayat Ke-40

Takhwif Ukhrawi. Ini adalah tentang mereka yang melakukan ilhad. Ilhad bermaksud takwil ayat Al-Quran dengan makna yang salah.

Sebagai contoh, ada yang kata ayat Al-Quran ada khadam, maka mereka reka amalan-amalan untuk panggil khadam-khadam itu. Itu adalah bohong kerana tidak ada dalil langsung tentangnya.

Mereka adalah contoh orang yang menggunakan akal sahaja untuk sampai kepada sesuatu kefahaman. Ramai yang jenis tidak mengaji yang percaya kepada benda-benda sebegini.

Ada lagi yang takwil Al-Quran ikut nafsu mereka sampai ada jadi syirik.

Ada yang kerana tidak belajar dengan betul, mereka salah faham tentang sesuatu ayat. Sebagai contoh, tentang ayat ‘wasilah’, perantaraan dalam doa.

Memang ada ayat wasilah dalam Al-Quran dan dalam kitab-kitab tafsir kata, wasilah itu adalah dalam bentuk ibadat. Tetapi ada pula guru yang mengatakan wasilah itu adalah wali. Maka ramailah yang jahil yang menggunakan wali yang sudah mati sebagai wasilah mereka dalam ibadat dan dalam doa.

Ini amat menyimpang dari makna asal. Ini adalah natijah dari tidak belajar tafsir Al-Quran secara menyeluruh tetapi tebuk ayat-ayat tertentu sahaja.

Lebih teruk lagi adalah mereka yang tahu kebenaran, tetapi mereka mengubah pemahaman ayat-ayat Allah SWT. Mereka ambil ayat-ayat Allah SWT, tetapi mereka pusingkan maknanya untuk menyokong kehendak nafsu mereka. Mereka ambil hukum dari ayat Allah SWT, tetapi mereka ubah ikut kefahaman mereka.

إِنَّ الَّذينَ يُلحِدونَ في آياتِنا لا يَخفَونَ عَلَينا ۗ أَفَمَن يُلقىٰ فِي النّارِ خَيرٌ أَم مَن يَأتي آمِنًا يَومَ القِيامَةِ ۚ اعمَلوا ما شِئتُم ۖ إِنَّهُ بِما تَعمَلونَ بَصيرٌ

“Sebenarnya orang-orang yang menyeleweng dari jalan yang benar mengenai ayat-ayat keterangan Kami, tidak terselindung keadaan mereka dari Kami. Maka adakah orang yang dihumbankan ke dalam neraka lebih baik, atau orang yang datang dalam keadaan aman dan selamat pada hari kiamat? (Katakanlah kepada orang-orang yang menyeleweng itu): “Buatlah apa yang kamu suka, sesungguhnya Allah SWT Maha Melihat akan apa yang kamu lakukan”.

إِنَّ الَّذِينَ يُلْحِدُونَ فِي آيَاتِنَا

Sesungguhnya orang yang menyelewengkan ayat-ayat Kami

Perkataan يُلْحِدُونَ berasal dari kata ‘lahad’ seperti liang lahad kubur. Penggali kubur sepatutnya menggali kubur dengan elok, ikut saiz dan ikut bentuk, tetapi mereka akan buat satu ‘liang’ tempat simpan mayat. Kiranya buat ruang lain.

Jadi, ‘mulhid’ adalah orang yang menyeleweng. Jadi, maksud yang hendak disampaikan dalam ayat ini adalah mereka yang menyelewengkan ayat-ayat Allah SWT.

Maksud ‘menyelewengkan’ ayat-ayat Allah SWT adalah dengan memberi tafsiran yang salah dari yang sepatutnya. Antaranya seleweng ayat tentang tauhid.

Ayat-ayat Al-Quran mengajar dan mengajak kepada tauhid, tetapi ada yang takwil membawa maksud lain. Allah SWT beritahu tidak boleh tawassul, tetapi ustaz yang mengajar kata boleh buat tawassul pula. Ini sudah seleweng. Mereka seleweng sampaikan ayat tentang tauhid mereka jadikan ayat mengajak buat syirik.

Tafsir itu pula tidak ada dalam kitab-kitab tafsir muktabar. Mereka sahaja yang pandai reka sendiri. Atau mereka ambil dari kitab tafsir yang tidak muktabar.

لَا يَخْفَوْنَ عَلَيْنَا

Tidaklah tersembunyi dari Kami

Tidak tersembunyi dosa yang mereka lakukan, tidak akan tersembunyi sedikit pun dari Allah SWT. Sama ada kecil atau besar. Semuanya Allah SWT nampak dan Allah SWT ambil kira.

Jangan kita sangka Allah SWT nampak dosa yang besar-besar sahaja, yang kecil pun Allah SWT nampak. Apabila Allah SWT tahu tentang segala sesuatu, ini bermaksud Allah SWT akan hukum mereka nanti sebagai balasan dari perbuatan mereka itu.

أَفَمَنْ يُلْقَىٰ فِي النَّارِ خَيْرٌ

Apakah satu orang yang dicampak ke dalam neraka lebih baik,

Bermakna, orang yang menyeleweng ayat Al-Quran akan dicampak ke dalam neraka. Adakah kamu rasa mereka itu telah mendapat kebaikan? Mereka dicampakkan ke dalam neraka kerana mereka itu adalah ‘zindiq’. Apakah maksud ‘zindiq’.

Maksud zindiq adalah murtad tetapi mereka mendakwa diri mereka Muslim. Maksudnya, mereka tidak mengatakan mereka hendak keluar Islam pun. Mereka sangka mereka itu Muslim tetapi sebenarnya mereka sudah terkeluar dari Islam tanpa mereka sedari.

أَمْ مَنْ يَأْتِي آمِنًا يَوْمَ الْقِيَامَةِ

atau seorang yang datang kepada Allah SWT dengan tenteram pada hari kiamat?;

Iaitu mereka yang tenang aman kerana mereka tahu mereka tidak melakukan kesalahan semasa di dunia?

Mana yang lebih baik? Tentulah yang beriman.

اعْمَلُوا مَا شِئْتُمْ

Buatlah apa yang kamu nak buat.

Inilah kata-kata Allah SWT kepada mereka. Buatlah apa yang kamu hendak buat.

Ini bukanlah hendak beri kebenaran kepada mereka untuk berbuat sesuka hati mereka. Ini juga bukan suruhan. Ini dinamakan khitab tahdidi – ugutan. Kalau tidak mahu dengar juga, maka Allah SWT ugut mereka. Maksudnya ini adalah suruhan dengan ugutan.

Sebagai contoh, seorang ayah suruh anaknya buat kerja rumah. Tetapi anak itu buat benda lain. Ayah dia kata: “buatlah apa yang kamu hendak buat.” Bukanlah ayah dia suruh dia buat apa yang dia hendak buat sesuka hati dia, tetapi ayah dia hendak cakap bahawa dia akan kena hukum sekejap lagi.

إِنَّهُ بِمَا تَعْمَلُونَ بَصِيرٌ

Sesungguhnya Dia Maha Melihat terhadap apa yang kamu lakukan.

Tidak ada had kepada Allah SWT untuk melihat. Allah SWT melihat segalanya. Kita juga boleh melihat, tetapi penglihatan kita terhad. Kalau kita dapat merasai Allah SWT melihat setiap perbuatan kita, maka kita tentunya akan berhati-hati dalam setiap perbuatan kita.

Allah SWT bukan hendak beritahu yang Dia melihat sahaja. Tetapi Dia hendak memberitahu yang Dia akan hukum nanti di atas kesalahan mereka.

Apakah maksud takwil? Menilai ke?

Ibn Abbas faham maksud ‘takwil’ sebagai tafsir. Namun ulama mutaakhirin, faham ‘takwil’ sebagai ‘tukar perkataan’. Seperti istawa tukar kepada istawla; yadun (tangan) kepada ‘kuasa’.

Tafsir Ayat Ke-41

Dalam ayat ke-43 nanti adalah ayat Syikayah. Ini adalah muqaddimah kepada ayat syikayah itu.

Dalam ayat sebelum ini telah disebut mereka yang melakukan ilhad akan dibalas dengan balasan yang buruk. Sekarang diberikan penjelasan yang lebih lagi tentangnya. Siapakah yang buat ilhad itu?

إِنَّ الَّذينَ كَفَروا بِالذِّكرِ لَمّا جاءَهُم ۖ وَإِنَّهُ لَكِتابٌ عَزيزٌ

“Sesungguhnya orang-orang yang kufur ingkar terhadap Al-Quran ketika sampainya kepada mereka, (akan ditimpa azab seksa yang tidak terperi); sedang Al-Quran itu, demi sesungguhnya sebuah Kitab Suci yang tidak dapat ditandingi,”

إِنَّ الَّذِينَ كَفَرُوا بِالذِّكْرِ

Sesungguhnya orang-orang yang ingkar kufur dengan Al-Quran

Lafaz الذِّكْرِ yang dimaksudkan dalam ayat ini adalah ‘Al-Quran’;

Kenapakah Al-Quran digelar sebagai الذِّكْرِ – peringatan? Kerana Al-Quran mengingatkan manusia tentang perkara yang sebenarnya mereka telah tahu. Bukanlah benda baru yang diingatkan kepada mereka. Kita sebenarnya telah tahu tentang Allah SWT, tentang tugas kita dalam dunia ini apabila kita dilahirkan ke dunia ini – Al-Quran cuma mengingatkan sahaja. Ia telah ada dalam fitrah kita.

‘Ingkar’ di sini bukan maknanya orang kafir yang kufur dengan Allah SWT, tetapi ingkar dengan Al-Quran. Kadang-kadang orang Islam pun ada yang ingkar dengan ayat-ayat Al-Quran juga. Itu adalah kerana mereka degil tidak mahu belajar Al-Quran. Mereka tidak teringin hendak tahu tentang ayat-ayat Allah SWT.

Mereka tidak terasa hendak tahu apakah yang Allah SWT hendak dari mereka. Maka, mereka itu juga dikira ‘ingkar’ juga. Masalahnya, apabila mereka tidak belajar dan tidak tahu, mereka akan buat perkara yang salah. Syaitan akan sesatkan mereka kerana apabila mereka tidak tahu tentang Al-Quran dan apakah makna ayat-ayat dalam Al-Quran itu, mereka tidak tahu pun apa yang syaitan beritahu itu adalah salah.

لَمَّا جَاءَهُمْ

tatkala datang kepada mereka

Mereka tidak ingkar dengan ayat-ayat Al-Quran apabila ayat-ayat itu mereka baca, atau dibacakan kepada mereka. Tetapi apabila dibacakan dan diberitahu pula apakah maksudnya, barulah mereka tolak.

Orang-orang Islam memang sayang kepada Al-Quran dan selalu baca Al-Quran. Tetapi yang selalu terjadi, mereka tolak ‘maksud’ dari ayat-ayat Al-Quran itu. Ini adalah kerana ramai yang tidak belajar tafsir Al-Quran.

Ayat ini seperti tergantung. Tidak disebutkan apa yang akan terjadi kepada mereka. Ini adalah kerana balasan kepada mereka itu adalah amat berat sekali, hingga tidak boleh disebut pun. Bagaimana mungkin mereka tidak diberikan dengan azab yang pedih, sedangkan peringatan telah berkali-kali diberikan kepada mereka.

Oleh itu, Allah SWT tidak perlu cakap pun apakah yang akan dikenakan kepada mereka. Kita tahu yang mereka akan dikenakan azab dan mereka akan tahu apabila mereka mendapat azab itu. Dan tentunya azab itu amat teruk dan pedih sekali.

Kemudian Allah SWT teruskan dengan menyebut sifat-sifat Al-Quran itu.

وَإِنَّهُ لَكِتَابٌ عَزِيزٌ

Sesungguhnya Al-Quran itu suatu kitab yang hebat, tidak ada tandingannya.

Tidak ada sesiapa pun yang dapat membawakan semisal Al-Quran itu. Allah SWT telah beri cabaran demi cabaran untuk manusia mendatangkan ayat-ayat yang sama dengan Al-Quran tetapi tidak dapat dibawa oleh manusia yang hendak menentang Al-Quran.

Kalau mereka kata ia bukan dari Tuhan tetapi dari karangan dan tulisan tangan manusia, tentunya mereka pun boleh buat ayat-ayat Al-Quran yang seperti itu juga, bukan? Namun, walaupun Allah SWT telah berikan cabaran itu sudah lebih dari seribu tahun, musuh-musuh Islam masih tidak dapat lagi membuat surah mahu pun ayat yang menyerupai kehebatan Al-Quran. Memang ramai yang mencuba, tetapi tidak sama langsung.

Kitab Al-Quran ini tidak dapat dikalahkan. Ia akan tetap begitu. Kalau ada yang hendak tukar ayat-ayat Al-Quran, tidak akan berjaya. Dari dulu sampai sekarang, sama sahaja ayat-ayat itu. Di mana-mana pun sama sahaja. Di Malaysia, di China, sama sahaja. Padahal, ia dicetak di berbagai-bagai tempat. Bukan ada satu tempat sahaja yang mencetaknya.

Entah berapa ramai yang cuba hendak mengubah ayat Al-Quran namun tidak berjaya. Mereka tidak berjaya kerana kalau ada satu sahaja kesalahan dalam mana-mana ayat Al-Quran, ia akan dapat dikesan oleh mereka yang menghafal ayat-ayat Al-Quran.

Al-Quran tidak perlu dilindungi kerana Al-Quran lah yang memberi perlindungan kepada kita kerana Allah SWT sendiri telah berjanji untuk melindungi Al-Quran.

Oleh kerana begini hebatnya Al-Quran ini, kalau ada yang tidak mahu beriman dan mempelajarinya, itu adalah kerana degil sahaja.

Terdapat di kalangan mereka yang berpandangan belajar (tafsir) Al-Quran itu tidak wajib sebab itu ramai yang tidak bersungguh untuk belajar tafsir Al-Quran. Disebabkan salah faham begini lah yang menyebabkan salah faham agama dalam masyarakat kita. Maka hendaklah beritahu kepada keluarga dan rakan-rakan bahawa belajar tafsir Al-Quran ini adalah wajib.

Kita belajar tajwid dan hafal Al-Quran adalah untuk memahami Al-Quran bukan semata-mata hendak baca dengan baik dan hafal sahaja. Tujuan asalnya adalah balik untuk memahami Al-Quran. Maka, amatlah rugi sekali jika telah hafal Al-Quran tetapi tidak memahami maksudnya. Jika buat dosa syirik mereka pun akan masuk neraka juga, tidak terlepas, tidak terkecuali.

Jangan ikut akidah jabbariah, semuanya dalam takluk Allah SWT, semuanya hendak salahkan Allah SWT jika sesuatu terjadi. Contoh: “kenapa fail exam ni?”….. “nak buat cemana… Allah SWT dah takdirkan…”. Ini adalah fahaman salah. Padahal dia tidak ‘study’ pun.

Allahu a’lam.

Komen dan Soalan