Utama Bilik (123) Tafsir, Tadabbur dan Tazakkur Tafsir Surah Al-Fiil – Tafsir Ayat Ke-2

Tafsir Surah Al-Fiil – Tafsir Ayat Ke-2

764
0
Iklan

Tafsir Surah Al-Fiil

Pada perbincangan yang lepas, kita telah membincangkan :

1. Sejarah dan tujuan Abrahah yang datang ke Mekah untuk meruntuhkan Ka’bah.

2. Pedoman agar tidak mula mencari pasal atau terlibat dalam provokasi agama lain.

3. Sifat kebinatangan menurut Al-Quran yang tidak hanya kepada orang yang zalim, tetapi turut tertakluk orang yang tidak endahkan Al-Quran.

Seterusnya kita masih lagi membincangkan mengenai kisah tentera bergajah ini.

Tafsir Ayat Ke-2:

أَلَم يَجعَل كَيدَهُم في تَضليلٍ

Bukankah Dia telah menjadikan tipu daya mereka (untuk menghancurkan Ka’bah) itu sia-sia?

Ini adalah kali kedua kalimah ini digunakan dalam surah Al-Fiil :

أَلَم

tidakkah?

Seperti kita telah sebut sebelum ini, kalimah ini bukanlah soalan sebenar, tetapi ia adalah soalan untuk membangkitkan rasa manusia untuk berfikir. Seperti mana Allah SWT hendak mengingatkan perkara yang telah dilakukan-Nya.

Kalimah

يَجعَل

menjadikan

Menariknya kaedah firman Allah SWT ini menggunakan kalimah dalam bentuk akan berlaku (present tense). Sedangkan kisah ini telah lama berlaku.

Ini kerana di dalam kaedah :

Apabila “present tense” digunakan untuk perkara yang telah berlaku, ia memberi isyarat bahawa perkara itu akan terus berlaku iaitu, bukan Tentera Abrahah sahaja yang Allah SWT telah sia-siakan usaha mereka, akan tetapi Allah SWT akan / mampu melakukannya kepada orang-orang lain di masa hadapan.

يَجعَل

juga TIDAK SAMA dengan kalimah

فَعَلَ

yang digunakan dalam ayat pertama.

(جعل)

Bermaksud mengambil sesuatu yang telah ada, kemudian hanya mengubahnya menjadi sesuatu yang lain.

[Bermakna : Allah SWT membiarkan mereka membuat rancangan, persediaan, latihan, kemudian perjalanan yang jauh. Tetapi Allah SWT mengubah rancangan mereka itu menjadi perkara yang sia-sia].

Begitulah perumpamaan perbuatan Allah SWT terhadap orang yang jahat. Allah SWT membiarkan mereka untuk berbuat apa sahaja. Seolah-olah yakin akan menang, kerana tidak jauh lagi dari matlamat jahat.

Akan tetapi pada saat tersebut Allah SWT memberikan kekalahan. Menyebabkan mereka kerugian besar. Inilah satu penghinaan yang amat besar.

Allah SWT membiarkan sahaja tentera Abrahah tiba ke Mekah hingga berada di depan Ka’bah. Saat itu barulah mereka dimusnahkan.

[Pada pandangan saya, jika Allah SWT hendak hancurkan Amerika, Yahudi atau lain-lain, tidak susah mana pun. Bahkan ia pasti berlaku, kerana tiap balasan buruk pasti dibalas. Namun, Allah SWT melewatkannya kerana :

 1. Hendak rugikan dan hina betul-betul.

2. Ujian kepada Muslim untuk fokus beriman.]

Ini seperti yang telah difirmankan Allah SWT di dalam surah [ Al-Baqarah: 15 ]:

اللَّهُ يَستَهزِئُ بِهِم وَيَمُدُّهُم في طُغيانِهِم يَعمَهونَ

Allah SWT akan (membalas) olok-olokan mereka dan membiarkan mereka terombang-ambing dalam kesesatan mereka.

Kalimah

كَيدَ

Rancangan mereka

Kalimah ini digunakan untuk rancangan yang sulit, seperti rancangan perang yang tidak dikongsi kepada orang ramai dan dilakukan secara sembunyi supaya rahsia tidak pecah.

Perkara sulit ini boleh dikategorikan seperti berikut :

1. Dikatakan sulit itu ialah niat dalam hati mereka (terlalu benci kepada penduduk Mekah sehingga ingin memusnahkan Ka’bah yang mereka muliakan.

2. Abrahah berselindung di sebalik semangat keagamaan untuk membangkitkan semangat rakyat dan tenteranya untuk menyerang. Akan tetapi sebenarnya, kita telah dapati pada pengenalan surah ini, tujuan sebenar Abrahah adalah kerana kuasa dan ekonomi.

Kalimah

تَضليلٍ

Dari ضلال yang bermaksud : musnah, sia-sia. ( sesuatu yang rosak / tidak boleh digunakan lagi ).

Kalimah ini adalah di dalam wazan :

تَفْعِيْل

Yang memberi isyarat pengulangan di dalamnya (Bermakna : Berulang kali Allah SWT menjadikan rancangan orang kafir itu sia-sia):

1. Abrahah membina al-Qullays supaya ramai orang datang ziarah, tetapi tidak menjadi.

2. Qullays itu pula telah dikotori oleh orang Mekah.

3. Mereka bergerak ke Mekah untuk memusnahkan Ka’bah, tetapi rancangan mereka digagalkan.

Ibrah dan Kesimpulan :

Pertama :

Antara perkara iman yang hilang dari hati manusia hari ini ialah meyakini akan kuasa Allah SWT dalam menjaga dan memberi balasan kepada musuh Islam. Ini dapat dilihat dari respons Muslim apabila mendapat musibah dari musuh Islam, mereka lebih utamakan emosi berbanding mengawal diri dengan meningkatkan diri menjadi hamba yang lebih bertaqwa.

Kedua :

Setiap musuh Allah SWT pasti akan menerima balasan. Akan tetapi pada masa dan ketika yang paling menghinakan. Maka jadilah orang yang bersabar dan terus meningkatkan kualiti sebagai Muslim terbaik (tidak perlu soal “kerja” Allah SWT).

Ketiga :

Jangan sesekali kita merasakan selamat apabila masih lagi tidak mendirikan tuntutan Allah SWT. Ini kerana boleh jadi, Allah SWT sengaja melewatkan balasan kepada kita. Oleh itu segerakan utk melakukan tuntutan Allah SWT tersebut agar mudah-mudahan tidak dihinakan Allah SWT di kemudian hari (terutama akhirat).

 

Allahu a’lam.

Komen dan Soalan