Utama Bilik (123) Tafsir, Tadabbur dan Tazakkur Tafsir Surah Ghafir – Tafsir Ayat Ke-60

Tafsir Surah Ghafir – Tafsir Ayat Ke-60

15009
1
Iklan

Tafsir Surah Ghafir

Tafsir Ayat Ke-60:

I’adah iaitu diulangi semula Dakwa Surah. Allah SWT hendak ingatkan maksud surah ini, iaitu doa hanya kepada Allah SWT.

قالَ رَبُّكُمُ ادعوني أَستَجِب لَكُم ۚ إِنَّ الَّذينَ يَستَكبِرونَ عَن عِبادَتي سَيَدخُلونَ جَهَنَّمَ داخِرينَ

“Dan Tuhan kamu berfirman: “Berdoalah kamu kepada-Ku nescaya Aku perkenankan doa permohonan kamu. Sesungguhnya orang-orang yang sombong takbur daripada beribadat dan berdoa kepada-Ku, akan masuk neraka Jahanam dalam keadaan hina”.

وَقَالَ رَبُّكُمُ ادْعُونِي

Dan berkata Tuhan kamu: Doalah kepada Aku sahaja.

Tidak boleh doa kepada Allah SWT bersama kepada doa kepada makhluk. Tidak boleh minta kepada selain dari Allah SWT. Jangan terkejut kalau kita katakan ada juga orang Islam yang buat kesalahan ini. Sebagai contoh, ada bekas penganut Syiah kata kepada saya, semasa dia Syiah dulu, memang dia minta terus kepada Hussain.

Bukan sahaja tidak boleh minta kepada selain Allah SWT, tetapi tidak boleh juga kita minta kepada roh lain, sebagai perantaraan untuk sampaikan doa kita – inilah yang dinamakan ‘tawassul’.

Ayat ini adalah anjuran untuk memperbanyakkan doa. Allah SWT dengan sifat segala kemurahan-Nya, suruh kita berdoa kepada Dia. Dia buka pintu doa kepada kita, untuk minta apa sahaja yang kita hendak (asalkan dalam bentuk syariat).

Allah SWT amat suka kalau kita minta kepada-Nya. Kalau manusia, pemurah mana pun dia, kalau selalu sangat minta, akhirnya dia akan menyampah juga, bukan? Hal yang semakna telah disebutkan di dalam syair yang mengatakan:

اللهُ يَغْضبُ إِنْ تركْتَ سُؤَالهُ … وَبُنيُّ آدمَ حِينَ يُسألُ يَغْضَبُ …

Allah SWT murka bila engkau tidak meminta kepada-Nya, sedangkan Bani Adam marah manakala diminta.

Seperti yang kita selalu sebut, doa itu juga adalah ibadah. Jadi, apabila kita berdoa, kita sebenarnya sedang melakukan ibadah. Alangkah pemurahnya Allah SWT, minta kepada Dia pun dikira sebagai ibadah. Diriwayatkan dari Abû Dâud dan Al-Tirmidzî

الدّعاء هو العبادة

Ertinya: “Doa itu adalah lbadah.

Jadi, ini adalah galakan untuk berdoa. Dan berdoa memang ada dalam setiap amal ibadah pun. Dari Anas bin Malik dari Nabi SAW yang bersabda:

الدُّعَاءُ مُخُّ الْعِبَادَةِ

Doa adalah inti ibadah

Maksudnya, dalam setiap ibadah, doa adalah elemen penting dalam ibadah itu. Contohnya, dalam solat juga ada doa, dalam mengerjakan Haji juga ada doa, dalam bayar zakat ada doa. Adakah amal ibadat yang tidak ada doa setahu anda?

أَسْتَجِبْ لَكُمْ

Aku akan makbulkan doa bagi kamu

Allah SWT berjanji sekiranya kita berdoa kepada-Nya, Dia akan jawab doa itu. Rasulullah SAW bersabda:

مَا مِنْ أَحَدٍ يَدْعُو بِدُعَاءٍ إِلاَّ آتَاهُ اللَّهُ مَا سَأَلَ أَوْ كَفَّ عَنْهُ مِنَ السُّوءِ مِثْلَهُ، مَا لَمْ يَدْعُ بِإِثْمٍ أَوْ قَطِيعَةِ رَحِمٍ.

“Tidak ada seorang pun yang berdoa dengan sebuah doa kecuali Allah SWT akan mengabulkan apa yang dimintanya atau memalingkannya dari keburukan yang semisalnya, selama dia tidak berdoa yang mengandung dosa atau pemutusan silaturahmi.” HR At-Tirmidzi no. 3381. Dihasankan oleh Syaikh Al-Albani.

Ada muqaddar dalam ayat ini – ‘sekiranya Allah SWT kehendaki.’ Sama ada doa itu dimakbulkan atau tidak, ia mengikut iradah (kehendak) Allah SWT. Jangan kita sangka semua doa kita akan dimakbulkan kerana ramai yang marah, mereka telah banyak berdoa, tetapi Allah SWT tidak perkenankan lagi. Maka, mereka rasa, buat apa hendak doa kepada Allah SWT?

Itu adalah fahaman yang salah. Siapa kita yang Allah SWT kena ikut cakap dan kehendak kita? Ingatlah siapa kita ini. Kita ini hamba sahaja, janganlah rasa lebih lagi dari itu. Kita bukan order pizza ini, tetapi sedang meminta belas ihsan dari Allah SWT untuk mengabulkan doa kita.

Kena ingat satu perkara: Kita WAJIB doa kepada Allah SWT; tetapi Allah SWT HARUS sahaja untuk memakbulkannya. Terpulang kepada Allah SWT sama ada hendak beri apa kita hendak atau tidak.

Allah SWT boleh makbulkan, atau Allah SWT boleh berikan benda lain dari apa yang kita minta. Mungkin kita minta satu perkara dan Allah SWT tahu ada perkara lain yang kita lebih memerlukan. Allah SWT lebih tahu apa yang kita perlukan;

Atau Allah SWT boleh sahaja tidak berikan apa-apa kepada kita dalam dunia ini dan Allah SWT akan ganti permintaan kita itu dengan balasan di akhirat kelak. Dan balasan itu tentunya lebih baik berkali ganda kalau dibandingkan dengan apa yang kita minta di dunia dahulu. Sampaikan ahli syurga berkata: alangkah baik kalau semua doa mereka tidak dimakbulkan di dunia dahulu, supaya mereka boleh dapat balasannya di akhirat sahaja.

Dalam ayat ini, adab dalam berdoa: kena YAKIN yang Allah SWT akan balas doa itu.

Keduanya: kena DOA terus kepada Allah SWT.

Ketiganya: ambil peluang untuk berdoa DALAM IBADAT kita.

إِنَّ الَّذِينَ يَسْتَكْبِرُونَ عَنْ عِبَادَتِي

Sesungguhnya orang-orang yang sombong dalam ibadat dia kepada-Ku

Lafaz ‘ibadat’ dalam ayat ini adalah ‘doa’ kerana surah ini adalah tentang tauhid dalam berdoa.

Allah SWT menyentuh tentang mereka yang ‘sombong’ untuk berdoa kepada Dia sahaja. Mereka ada juga doa kepada Allah SWT, tetapi dalam masa yang sama, mereka doa juga kepada Nabi, wali, malaikat atau jin. Allah SWT kata mereka ‘sombong’.

‘Sombong’ itu maksudnya dia hendak pakai perantara (wasilah) juga dalam berdoa. Kalau mereka doa sendiri, mereka akan gunakan Nabi, wali atau malaikat dalam doa mereka. Jika mereka tidak doa sendiri, mereka akan minta orang lain yang doakan – sama ada ahli surau atau masjid, tok imam, tok guru dan sebagainya. Sedangkan, yang sebaiknya adalah doa sendiri sahaja.

Kenapa dikatakan orang itu ‘sombong’? Kenapa digunakan perkataan itu? Untuk memahaminya, mungkin boleh kita gunakan satu analogi. Katakanlah, kita ingin derma duit kepada orang kampung. Kita pun beri makluman kepada orang kampung: datang sahaja ke rumah kita, kita akan beri duit. Syaratnya, kena datang sendiri. Semua orang datang, tetapi ada seorang yang tidak datang sebaliknya dia hantar ‘wakil’ untuk ambilkan duit itu. Apa kata kita kepada orang itu? (Wah! sombongnya, datang sendiri ambil duit pun tidak mahu!).

Harap analogi ini dapat memberi faham kepada pembaca. Begitulah perumpamaan mereka yang ‘sombong’ hendak minta sendiri kepada Allah SWT. Mereka meminta kepada Allah SWT melalui perantaraan, melalui ‘broker’.

Kenapa ramai yang tidak doa sendiri? Bila ditanya, mereka akan kata mereka telah berdoa sendiri, tetapi orang-orang masjid itu lebih ‘hampir’ dengan Tuhan dan doa mereka ‘lebih makbul’ kerana mereka selalu ke masjid. Ini adalah fahaman yang salah yang berlawanan dengan makna ayat ini. Ingatlah yang ayat ini adalah ayat umum kepada semua umat Islam. Bukan kepada ahli masjid dan surau sahaja.

Masalah sebenarnya adalah mereka takut mereka dahulu telah banyak buat salah. Tidak berapa pandai agama dan tidak pandai baca Al-Quran. [Adakah orang macam kita ini Tuhan akan perkenan kan doa kita?] Begitulah sangkaan mereka. Perasaan itu berlawanan dengan ayat ini dan ayat-ayat lain. Allah SWT tidak pernah kata Dia pilih kasih dalam menerima doa daripada hamba-Nya.

Lihatlah kepada agama lain macam agama Hindu. Penganut Hindu pun jika mereka ada hajat, mereka akan minta sami mereka doakan untuk mereka. Kenapa orang Hindu tidak berdoa sendiri kepada tuhan dia? Kerana pada mereka, sami itu lebih hampir kepada tuhan, tidak berkahwin, tidak makan makanan daging dan sebagainya.

Jadi fahaman mereka sama sahaja macam fahaman kebanyakan dari kita kerana orang kita pun kata orang-orang masjid itu ‘lebih hampir’ dengan Allah SWT. Dan semasa sami angkat doa, orang yang berhajat itu pun ada sekali – sama juga dengan orang kita. Dan selepas sami itu selesai membacakan doa, dia akan beri duit kepada sami tu. Kita, selepas tok imam selesai doa Solat Hajat, yang ada hajat itu akan beri sampul duit berisi wang kepada tok imam itu dan orang yang tolong doakan dalam majlis itu, akan dijamu dengan makanan. Jadi, sama sahajalah kita dan mereka kalau kita pun buat perkara yang sama.

Tanya pula orang cina yang minta tolong doa kepada Tok Cha. Yang mereka sembah dalam gambar itu adalah ‘wali’ mereka. Tok Cha akan doa kepada wali (gambar) dan sampaikan kepada tuhan juga. Lepas itu mereka akan beri duit kepada Tok Cha itu.

Tanya kepada Kristian pula. Mereka akan kata yang Jesus bukan tuhan tetapi ‘anak tuhan’. Tuhan bagi kuasa kepada Jesus untuk menyelesaikan masalah yang kecil-kecil. Kalau yang besar-besar, terus kena minta kepada ‘Tuhan Bapa’. Tetapi kenapa tidak doa terus kepada Tuhan Bapa? Sebab mereka banyak dosa. Mereka sampaikan kepada paderi, paderi akan sampaikan kepada Jesus dan Jesus akan sampaikan kepada Tuhan Bapa. Lepas itu mereka pun akan beri duit juga kepada paderi itu.

Itu semua adalah dinamakan ‘perantaraan’. Apa sahaja perantaraan yang digunakan adalah syirik kepada Allah SWT. Ingatlah bahawa tidak ada makhluk yang ada sifat Tuhan. Jadi kenapa kita seru wali, malaikat dan Nabi? Itu adalah syirik. Mereka itu memang makhluk yang mulia di sisi Allah SWT tetapi kita telah salah dalam menggunakan mereka.

سَيَدْخُلُونَ جَهَنَّمَ دَاخِرِينَ

Allah SWT akan masukkan dia ke dalam neraka jahanam hina dina.

Kerana salah faham tentang bab doa, ramai yang menyeru roh Nabi, wali dan malaikat yang mereka jadikan sebagai perantara dalam doa mereka. Ini adalah perbuatan syirik.

Maka janganlah kita melakukan amalan tawassul yang banyak diamalkan oleh manusia. Terus sahaja berdoa kepada Allah SWT tanpa minta tolong orang lain untuk mendoakan. Masalah yang dihadapi oleh kita itu, kita dan Allah SWT sahaja yang tahu. Maka permintaan kita lebih ikhlas lagi. Jangan berharap kepada orang lain doakan. Jangan bayar upah kepada sesiapa sahaja untuk doa bagi pihak kita. Kalau kita hendak orang lain doakan, maka ceritakan sahaja masalah kita kepadanya, dan kalau dia orang pandai, dia secara automatik akan doakan. Itu sebagai tambahan doa sahaja. Jangan kita letak pengharapan kepada doa mereka itu. Jangan kita salah sangka dengan Allah SWT, iaitu dalam hati kita berkata: [kalau aku doa sendiri, Allah SWT tidak dengar; tetapi kalau ustaz/tok imam/tok bilal ini doa, baru Allah SWT dengar.]

Masalahnya, orang kita tidak tahu cara berdoa. Sebenarnya, mudah sahaja hendak doa. Guna Bahasa Melayu sahaja pun boleh untuk kita berdoa kerana Tuhan kita tahu Bahasa Melayu bukan? Kadangkala ia lebih molek lagi kerana apabila kita faham apa yang kita sebutkan, itu lebih memberi erti kerana kita lebih khusyuk dalam doa jika kita tahu apakah yang kita sebut. Jika sebut dalam bahasa Arab, kita sendiri pun tidak faham apa yang kita bacakan.

Namun, malang sekali ramai yang menyampaikan doa mereka melalui perantaraan. Dan itulah yang syirik. Yang dibolehkan tawassul hanyalah kepada iman kita dan kepada ibadat kita, dan menggunakan nama-nama Allah SWT sebagai tawassul kita. Itu lagi senang. Jangan tawassul dengan orang, sama ada Nabi, wali atau malaikat sekalipun.

Jika kita ingin orang lain mendoakan kita, kita hanya kata begini: “ingatlah saya dalam doa anda” tanpa menceritakan apakah hajat kita.

Jika berkaitan dengan hal dunia, kita doa lah sendiri, tanpa minta orang lain tolong doakan. Paling tidak pun, kita cerita sahaja masalah kita kepada orang lain tetapi jangan suruh dia mendoakan untuk kita. Jika orang itu hendak mendoakan untuk kita, dia akan doa sendiri tanpa perlu kita minta.

Ingatlah, bahawa Allah SWT telah berjanji akan memakbulkan doa kita seperti ayat di atas. Itu adalah janji Allah SWT tersebut Doa kepada Dia sahaja. Kalau anak minta mak doa, tidak mengapa kerana ada hadis yang mengatakan doa ibu itu makbul.

 

Allahu a’lam.

1 KOMEN