Utama Bilik (64) Syamail Muhammadiyyah Hadis 60: Pakaian Baru Rasulullah Dan Hikmah Doa Pakaian Baru

Hadis 60: Pakaian Baru Rasulullah Dan Hikmah Doa Pakaian Baru

1800
0
Iklan

Panel: Ustaz ADÖULINÉ Lacharouphe
*******
*******
*******

60- حَدَّثَنَا سُوَيْدُ بْنُ نَصْرٍ، قَالَ: حَدَّثَنَا عَبْدُ اللَّهِ بْنُ الْمُبَارَكِ، عَنْ سَعِيدِ بْنِ إِيَاسٍ الْجُرَيْرِيِّ، عَنْ أَبِي نَضْرَةَ، عَنْ أَبِي سَعِيدٍ الْخُدْرِيِّ، قَالَ: كَانَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ إِذَا اسْتَجَدَّ ثَوْبًا سَمَّاهُ بِاسْمِهِ عِمَامَةً أَوْ قَمِيصًا أَوْ رِدَاءً، ثُمَّ يَقُولُ: «اللَّهُمَّ لَكَ الْحَمْدُ كَمَا كَسَوْتَنِيهِ، أَسْأَلُكَ خَيْرَهُ وَخَيْرَ مَا صُنِعَ لَهُ، وَأَعُوذُ بِكَ مِنْ شَرِّهِ وَشَرِّ مَا صُنِعَ لَهُ».

60- Telah bercerita kepada kami Suwayd bin Nasr, dia berkata: Telah bercerita kepada kami `Abdu Llah bin Al-Mubarak, daripada Sa`id bin Iyas Al-Jurairiy, daripada Abi Nadhrah, daripada Abi Sa`id Al-Khudriy, dia berkata: Rasulu Llah, apabila dia mengganti baru pakaian, dia menamakannya dengan namanya, sama ada serban, atau qamis, atau rida’. Kemudian dia berkata:

«(اللَّهُمَّ لَكَ الْحَمْدُ كَمَا كَسَوْتَنِيهِ، أَسْأَلُكَ خَيْرَهُ وَخَيْرَ مَا صُنِعَ لَهُ، وَأَعُوذُ بِكَ مِنْ شَرِّهِ وَشَرِّ مَا صُنِعَ لَهُ)

Allahumma laka l-hamdu kama kasawtanih, as’aluka khayrahu wakhayra ma suni`a lah, wa’a`uzu bika min syarrihi wasyarri ma suni`a lah. Ya Allah, bagi-Mu pujian sebagaimana Kamu memakaikan saya dengannya. Saya memohon kebaikannya dan kebaikan yang diciptakan baginya. Dan saya berlindung dengan-Mu daripada kejahatannya dan kejahatan yang diciptakan baginya».

Syarah Adou_Fr:

Hadis ini menunjukkan bahawa Rasulu Llah, ada masa-masa tertentu, dia akan memakai pakaian baru. Ketika memakai pakaian baru itu, Nabi akan menyebut nama pakaian itu contohnya, “Ini rida’”, “Ini qamis”, atau “Allah telah memberi saya serban”. Setelah itu, Nabi akan membaca doa.

Menamakan pakaian dengan namanya itu adalah satu adab dan sunnah yang hampir pupus dalam budaya Melayu kita. Barangkali yang menghampiri sunnah ini ialah apabila seorang isteri memakai tudung baru, dia akan menunjukkan kepada suaminya sambil bertanya, “Abang, cantik tak tudung baru saya?”. Dalam dialog itu, si isteri telah menamakan pakaian barunya itu sebagai “tudung”.

Penamaan ini adalah penting sebagai label, yang sangat dititikberatkan dalam bidang saintifik dan pengurusan. Setiap stok yang baru sampai akan dilabel apakah item tersebut, beserta dengan bilangannya dan butiran yang berkaitan. Cuma, pada zaman Nabi, pelabelan dengan menggunakan tulisan, kertas, atau pelekat belum diguna pakai, justeru yang ditunjukkan oleh Nabi ialah pelabelan dengan lisan.

Menamakan atau melabel item baru ialah satu sunnah Nabi. Ia menyebabkan kita mensyukuri apa ni`mat yang diterima, dan menjadikan seseorang itu bersyukur. Lebih-lebih lagi, apabila barang itu diterima dan disedari bahawa ia adalah “anugerah” Tuhan, atau sebagai satu “kurniaan” Tuhan.

Namun, pelabelan itu cukuplah untuk diri sendiri, dan bukan ditunjuk-tunjuk seperti apa yang dilakukan oleh seorang isteri terhadap suaminya, atau oleh seorang wanita terhadap rakan-rakannya, yang akhirnya menjadikan seseorang itu sombong atau lupa diri.

Nabi melabelkan pakaiannya dengan nama pakaian itu, baju dilabel atau disebut baju, serban disebut serban, dan sebagainya. Setelah itu, Nabi akan memohon kepada Tuhan kebaikan daripada ni`mat yang diterima itu.

Nabi berdoa:

اللَّهُمَّ لَكَ الْحَمْدُ كَمَا كَسَوْتَنِيهِ، أَسْأَلُكَ خَيْرَهُ وَخَيْرَ مَا صُنِعَ لَهُ، وَأَعُوذُ بِكَ مِنْ شَرِّهِ وَشَرِّ مَا صُنِعَ لَهُ

Allahumma laka l-hamdu kama kasawtanih, as’aluka khayrahu wakhayra ma suni`a lah, wa’a`uzu bika min syarrihi wasyarri ma suni`a lah.
Ya Allah, bagi-Mu pujian sebagaimana Kamu memakaikan saya dengannya. Saya memohon kebaikannya dan kebaikan yang diciptakan baginya. Dan saya berlindung dengan-Mu daripada kejahatannya dan kejahatan yang diciptakan baginya.

Lihatlah bahawa Nabi mendahulukan dengan memuji Tuhan, sebagai isyarat bahawa setiap ni`mat itu adalah disebabkan kurniaan Tuhan. Justeru, setiap hamba yang mendapat ni`mat daripada Tuhan, hendaklah memuji Tuhan dengan ucapan (الْحَمْدُ لِلَّهِ) al-hamdu liLlah, pujian bagi Allah, atau (اللَّهُمَّ لَكَ الْحَمْدُ) Allahumma laka l-hamd, Ya Allah bagi-Mu pujian.

Seterusnya, Nabi menyambung pujian itu dengan “sebagaimana Kamu memakaikan saya dengannya”, iaitu sebagaimana Tuhan mengurniakan pakaian itu dan memakaikannya ke tubuhnya. Ini ialah satu pengi`tirafan bahawa pakaian yang dipakai itu ialah pakaian yang dipakaikan oleh Tuhan kepadanya, bukan kerana kehebatan atau kekayaan diri sendiri.

Nabi meneruskan dengan memohon kebaikan daripada pakaian itu, dan kebaikan yang diciptakan untuk pakaian itu. Contoh kebaikan daripada pakaian ialah faedah pakaian tersebut sama ada melindungi daripada panas, menjadikan penampilan diri lebih menarik, dan mengurangkan bahagian yang terdedah kepada serangga. Contoh kebaikan yang diciptakan untuk pakaian ialah seperti pelajar yang memakai pakaian yang kemas akan dipuji, atau lulus temuduga kerana pakaian yang segak, atau mendapat kawan baru kerana penampilan yang menarik disebabkan pakaian.

Seterusnya, Nabi memohon perlindungan dengan Tuhan daripada kejahatan atau keburukan pakaian itu. Apabila seseorang berlindung, dia hendaklah berlindung dengan Tuhan, kerana Tuhan sahajalah yang dapat melindungi. Tidak boleh seseorang berlindung dengan azimat, atau tangkal, atau isim, atau rajah, atau wafaq, atau apa-apa selain daripada Tuhan. Justeru, kita selalu membaca:

أَعُوذُ بِاللَّهِ

A`uzu biLlah
Saya berlindung dengan Allah

Kejahatan pakaian, contohnya alahan terhadap jenis kain, atau kulit menjadi gatal apabila memakai pakaian itu. Kejahatan yang diciptakan untuk pakaian contohnya, dilanggar kenderaan apabila memakai baju hitam kerana pemandu itu menyangka bahawa itu ialah jalan tar, atau terkena tahi burung yang terbang di langit di pakaian, atau dimarahi majikan kerana pakaian yang warnanya tidak sesuai.

Lihatlah adab seorang hamba, seorang Nabi, apabila menerima sesuatu kurniaan, sentiasa dia memohon kebaikan benda itu, dan memohon perlindungan daripada kejahatan benda itu. Justeru, adalah baik jika kita juga melazimkan lidah kita untuk melakukan hal ini: memohon kebaikan sesuatu benda, dan memohon perlindungan daripada kejahatan benda itu.

Contoh lain yang lebih mudah difahami, ialah berdoa apabila membeli telefon pintar. Kebaikannya ialah ia memudahkan urusan, dan kebaikan yang diciptakan baginya ialah kerana ada telefon pintar, boleh berhubung dengan keluarga di perantauan.

Kejahatannya pula ialah melalaikan daripada berzikir atau mengulang kaji pelajaran, dan kejahatan yang diciptakan baginya ialah bahan lucah yang boleh dicapai dengan mudah melaluï telefon pintar.

Justeru, kita memohon kebaikan telefon itu, dan kebaikan yang diciptakan bagi telefon itu, dan berlindung dengan Tuhan daripada kejahatan telefon itu dan kejahatan yang diciptakan bagi telefon itu.

Dan yang paling penting, ini ialah doa, yang sentiasa dilazimkan di lidah. Berdoalah, dan sentiasalah berdoa untuk kebaikan dalam setiap keadaan.

*******
*******
*******

.

Komen dan Soalan