Utama Bilik (123) Tafsir, Tadabbur dan Tazakkur Tafsir Surah Al-Bayyinah – Ayat Ke-2

Tafsir Surah Al-Bayyinah – Ayat Ke-2

497
0
Iklan

Tafsir Surah Al-Bayyinah

Pada perbincangan yang lepas, kita telah membincangkan:

  1. Kesombongan orang Kafir dari kalangan ahli kitab untuk menerima seruan Nabi SAW meskipun telah didatangkan bukti yang nyata.
  2. Maksud Al-Bayyinah iaitu dalil yang jelas dengan Al-Quran serta Nabi SAW sebagai penyampai.
  3. Sifat pendakwah mestilah jelas dalam menyampaikan mesej / peringatan Al-Quran kepada sasaran serta memperbanyakkan perbaiki diri.

Tafsir Ayat Ke-2:

البَيِّنَةُ

Ayat ini menjelaskan lagi bagi kita dua perkara yang disebutkan merangkumi البَيِّنَةُ itu.

رَسولٌ مِنَ اللَّهِ يَتلو صُحُفًا مُطَهَّرَةً

( Iaitu ) seorang Rasul dari Allah ( Muhammad ) yang membacakan lembaran-lembaran yang disucikan (Al Quran),

Yang pertama disebut, البَيِّنَةُ itu adalah Nabi Muhammad SAW. Seterusnya apa yang baginda bacakan, iaitu Kitab Suci Al-Quran.

Yang boleh difahami ( maksud Al Bayyinah ) :

Pertama : Al-Quran

[ Menceritakan kandungan agama ].

Kedua : Rasulullah SAW

[ Baginda sebagai “penterjemah” bagaimana agama itu untuk kita ikuti seperti yang telah disebut dalam wahyu ].

Ayat ini sebenarnya mengikat hubungan antara Al-Quran dan Sunnah Nabi SAW. Bermakna kita tidak boleh meninggalkan salah satu darinya.

Atau penjelasan dalam ayat yang lain [An-Nahl: 64]

وَمَا أَنزَلْنَا عَلَيْكَ الْكِتَابَ إِلَّا لِتُبَيِّنَ لَهُمُ الَّذِي اخْتَلَفُوا فِيهِ وَهُدًى وَرَحْمَةً لِّقَوْمٍ يُؤْمِنُونَ

“Dan Kami tidak menurunkan kepadamu Al-Kitab (Al Quran) ini, melainkan agar kamu dapat menjelaskan kepada mereka apa yang mereka perselisihkan itu dan menjadi petunjuk dan rahmat bagi kaum yang beriman”.

Nabi SAW dikurniakan Kitab ini, juga fungsinya sebagai penjelasan.

Dan bukanlah tugas Baginda SAW untuk menentukan hidayah agar seseorang menurut Al-Quran, tetapi hanya sebagai penyampai yang bijaksana ( Hikmah ).

Rujuk [ Al-Baqarah: 269 ]

يُؤْتِي الْحِكْمَةَ مَن يَشَاءُ وَمَن يُؤْتَ الْحِكْمَةَ فَقَدْ أُوتِيَ خَيْرًا كَثِيرًا وَمَا يَذَّكَّرُ إِلَّا أُولُو الْأَلْبَابِ

“Allah memberikan Hikmat kebijaksanaan (ilmu yang berguna) kepada sesiapa yang dikehendaki-Nya (menurut aturan yang ditentukan-Nya). Dan sesiapa yang diberikan hikmat itu maka sesungguhnya ia telah diberikan kebaikan yang banyak. Dan tiadalah yang dapat mengambil pengajaran (dan peringatan) melainkan orang-orang yang menggunakan akal fikirannya”.

Meskipun Al-Quran itu kitab utama, namun keperluan terhadap Sunnah itu juga penting. Kerana dari situ kita dapat mengetahui “bagaimana” untuk beramal dengan Al-Quran, seterusnya mampu menjadi hamba Allah SWT yang baik.

Firman Allah dalam Surah [ Ali-Imran: 31 ]

قُلْ إِن كُنتُمْ تُحِبُّونَ اللَّهَ فَاتَّبِعُونِي يُحْبِبْكُمُ اللَّهُ وَيَغْفِرْ لَكُمْ ذُنُوبَكُمْ وَاللَّهُ غَفُورٌ رَّحِيمٌ

“Katakanlah (wahai Muhammad): “Jika benar kamu mengasihi Allah maka ikutilah daku, nescaya Allah mengasihi kamu serta mengampunkan dosa-dosa kamu. Dan (ingatlah), Allah Maha Pengampun, lagi Maha Mengasihani”.

Juga dalam ayat yang lain, firman Allah dalam Surah [ An-Nisa: 80 ]

مَّن يُطِعِ الرَّسُولَ فَقَدْ أَطَاعَ اللَّهَ وَمَن تَوَلَّىٰ فَمَا أَرْسَلْنَاكَ عَلَيْهِمْ حَفِيظًا

“Sesiapa yang taat kepada Rasulullah, maka sesungguhnya ia telah taat kepada Allah; dan sesiapa yang berpaling ingkar, maka (janganlah engkau berdukacita wahai Muhammad), kerana Kami tidak mengutusmu untuk menjadi pengawal (yang memelihara mereka dari melakukan kesalahan)”.

يَتلو صُحُفًا

“membacakan lembaran-lembaran..”

Sesungguhnya Nabi SAW menyampaikan Al-Quran kepada umatnya. Oleh itu umat Baginda memahami Al-Quran, kemudian mencontohi amalan Baginda SAW dalam mengamalkan Al-Quran.

Hadis daripada Abi Dzar r.a. bahawa beliau telah bertanya Rasulullah SAW:

“Berapakah jumlah kitab yang telah diturunkan oleh Allah?”

Sabda Nabi SAW: “Seratus empat belas buah semuanya. Di antaranya ialah sepuluh suhuf yang diturunkan kepada Nabi Adam, lima puluh suhuf kepada Nabi Seth, tiga puluh suhuf kepada Nabi Idris, sepuluh suhuf kepada Nabi Ibrahim, sepuluh suhuf kepada Nabi Musa sebelum diturunkan Taurat. Dan Allah SWT menurunkan kitab Taurat, Injil, Zabur dan Al-Quran”.

Oleh itu, kita dapat mengetahui bahawa akhlak Baginda SAW ialah Al-Quran. Sebagaimana hadis dari Aisyah ra apabila ditanya oleh para sahabat:

فَإِنَّ خُلُقَ نَبِيِّ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيهِ وَسَلَّمَ كَانَ القُرآنَ

“Maka sesungguhnya akhlak Nabi SAW ialah Al-Quran”.

Tetapi inilah masalah muslim, iaitu kebanyakan dari orang Islam sendiri tidak memahami kandungan Al-Quran. Lalu bagaimana hendak mengamalkan Islam itu sendiri. Boleh jadi mereka tidak tahu pun apa yang patut diamalkan kerana tidak mendekati Al-Quran. Kebanyakan dari kita banyak mempelajari / baca buku lain, sedangkan Al-Quran kita tidak usaha untuk belajar / fahami.

Mungkin kerana mudah terpesona dengan pelbagai ilmu atau lain perkara, kita lupa untuk mengambil iktibar dari Al-Quran. Sedangkan dalam ayat ( ayat kedua ini ), Nabi SAW membacakan suhuf ( lembaran ) yang suci bersih dari kebatilan.

مُطَهَّرَةً

“yang disucikan (Al Quran)…”

Dalam ayat yang lain, Allah SWT menjelaskan sifat Al-Quran :

Seperti firman-Nya di dalam Surah [A’basa: 13 – 16]

فِي صُحُفٍ مُكَرَّمَةٍ / مَرْفُوعَةٍ مُطَهَّرَةٍ / بِأَيْدِي سَفَرَةٍ / كِرامٍ بَرَرَةٍ

“Di dalam kitab-kitab yang dimuliakan, yang ditinggikan lagi disucikan, di tangan para penulis (malaikat), yang mulia lagi berbakti”.

Atau boleh difahami, sifat lembaran yang disucikan itu :

– Mukrramah : dimuliakan

– Marfu’ah : ditinggikan

– Mutohharah : disucikan

– Kiramim bararah : mulia lagi memberi faedah

Jika itu adalah sifat Al-Quran, maka itulah juga yang boleh berlaku kepada “pembawa” Al-Quran ( si pembaca, apatah lagi yang mengamalkan ).

Ibrah dan kesimpulan:

  1. Pada dalil ini kita telah jelas bahawa Allah SWT telah memberikan Al-Bayyinah ( bukti yang nyata ) yang terkandung dalamnya Al-Quran berserta Nabi SAW yang menerangkan kepada kita bagaimana untuk berinteraksi bersama Al-Quran dengan benar.
  2. Boleh jadi masalah Muslim tidak beramal dengan Al-Quran pada hari ini ialah:

– Telah baca, tetapi tidak memahami kandungan Al-Quran,

– Tidak beramal dengan Al-Quran sebagaimana yang ditunjukkan oleh Nabi SAW,

– Tidak beramal dengan Al-Quran mengikut turutan yang betul ( perlu Al-Quran dahulu, baru Sunnah).

  1. Kitab Al-Quran sahaja satu kitab yang disucikan oleh Allah SWT. Oleh itu dengan kembalinya kita beramal dengan Al-Quran, tidak mustahil Allah SWT akan memberikan kemuliaan dan mengangkat seseorang Muslim itu dengan kebaikan.

Sebab itu perbincangan Al-Quran bukan suatu yang kecil, tetapi itulah yang membawa umat Islam ke arah tamadun dan kemuliaan sebenar.

Apatah lagi akhir zaman ni, kita kena fokus dalam usaha kita dalam membangunkan diri dengan Al-Quran.

Generasi akan datang, fitnah dan cabaran lebih besar. Maka didiklah mereka / bekalkan ilmu dari Al- Quran walau ke mana bidang yang mereka akan pergi selepas itu.

 

Allahu a’lam.

Komen dan Soalan