Utama Bilik (123) Tafsir, Tadabbur dan Tazakkur Istilah Tafsir Al-Quran – Takhwif

Istilah Tafsir Al-Quran – Takhwif

1799
0
Iklan

Usul Tafsir/Istilah Tafsir – Takhwif

Kita telah belajar dua istilah tafsir sebelum ini:

  1. Dakwa – pertama utama dalam sesuatu surah
  2. Dalil – hujah yang Allah berikan untuk sokong Dakwa.

Maka hari ini kita masuk ke istilah yang ke-3 dan ke- 4 pula.

3. Takhwif Ukhrawi – تخويف أخرو

‘Takhwif’ dari perkataan ‘خوف’ iaitu ‘takut’. Ia adalah ayat-ayat penakutan dengan keadaan dan kejadian yang akan berlaku di akhirat. Itulah ancaman seksa yang Allah SWT berikan kepada manusia. Manusia memang kena diberi rasa takut atau amaran, seperti speed-trap di jalan raya kita, jika tiada amaran, manusia tidak takut. Memang manusia jenis begitu dan Allah SWT memang kenal dengan makhluk yang dijadikan-Nya. Oleh itu, diberikan ayat-ayat sebegitu supaya kita takut dan beringat. Sepatutnya, apabila kita baca ayat-ayat Quran berkenaan akhirat, kita sudah takut, lebih takut kepada akhirat daripada kita takut kepada manusia atau makhluk lain.

Akhirat itu bermula bagi setiap orang dari sakaratul maut seorang makhluk sampai ke dalam neraka. Itulah permulaan akhirat bagi orang itu. Jadi banyak jenis-jenis ayat yang sebegini yang disebut dalam Al-Quran.

Ayat takhwif didatangkan oleh Allah SWT supaya orang yang masih enggan menerima Dakwa dari wahyu itu merasa takut serta bimbang terhadap masa depan mereka, lalu melalui Takhwif Ukhrawi ini akan mendorong mereka untuk mengakui serta menerima Dakwa yang terdapat dalam Al-Quran. Ayat-ayat Al-Quran ini adalah mukjizat, ianya membuka hati manusia untuk mendengar dan menerima kebenaran. Kadang-kadang ada yang tidak mahu terima kebenaran, tetapi setelah dibacakan ayat-ayat Takhwif Ukhrawi ini, ada yang lembut hati mereka kerana mereka ada juga perasaan takut kalau-kalau mereka dikenakan dengan azab di akhirat. Al-Quran itu pandai pujuk manusia.

Contoh ayat Takhwif Ukhrawi adalah,

‎وَنَسُوقُ الْمُجْرِمِينَ إِلَى جَهَنَّمَ وِرْدًا

“Dan Kami akan menghalau orang-orang yang bersalah ke neraka Jahanam, dalam keadaan dahaga”. [Maryam: 86]

Oleh itu, mereka teringatkan betapa susahnya kalau dahaga semasa di dunia. Waktu puasa pun sudah susah jika tidak minum seharian, apatah lagi kalau keadaan di akhirat kelak. Untuk ahli neraka, mereka dahaga dan lapar dari mula akhirat sampai bila-bila! Mereka tidak dapat menghilangkan kedahagaan mereka itu. Disebabkan terlalu dahaga, di dalam neraka nanti mereka sanggup minum air nanah yang menggelegak sebab tidak tahan sangat dengan dahaga yang lama!

Maka, siapa yang ada akal, akan congak-congaklah juga: “Agak-agak aku tahan tidak dahaga macam itu?”. Jika tidak tahan, maka ubahlah sikap. Ambil tahulah tentang agama ini. Marilah belajar tafsir Al-Quran ini.

4. Takhwif Duniawi – تخويف دنيوي

Ia adalah penakutan dengan keadaan yang akan berlaku di dunia. Ayat-ayat sebegini memberitahu kita, yang kalau kita tolak agama, dalam dunia lagi sudah diazab. Allah SWT tidak perlu tunggu akhirat hendak kenakan azab kepada manusia. Ketahuilah yang ancaman seksa itu boleh dikenakan semasa kita hidup di dunia lagi. Tidak perlu tunggu di akhirat, di dunia lagi telah diazab. Azab yang dikenakan oleh Allah SWT tidak akan mampu diselamatkan oleh sesiapa pun.

Dalam Bahasa Arab, sebagai contoh, dinamakan ايام الله ayyaamillah (Hari-hari Allah SWT) di mana Allah SWT menceritakan bagaimana kaum-kaum yang terdahulu telah diberikan dengan azab mereka di dunia lagi seperti kaum Aad, Tsamud, Firaun dan sebagainya. Selain dari azab yang besar-besar, Allah SWT juga ada menakutkan kita dengan ancaman kehidupan yang susah di dunia kepada mereka yang degil. Sebagai contoh, Allah SWT sebut ‘kehidupan yang sempit’.

Contoh Takhwif Duniawi adalah:

‎وَكَمْ أَهْلَكْنَا قَبْلَهُمْ مِنْ قَرْنٍ

“Dan amatlah banyaknya kaum-kaum kafir yang Kami telah binasakan sebelum mereka”. [Maryam: 98].

Sakit dan susah kita di dunia ini adalah ‘hikmah’ sebenarnya. Kita boleh bayangkan kalau kita kena musibah yang kecil pun sudah susah, apatah lagi kalau musibah yang besar. Maka, musibah yang kita dapat akan memberi peringatan kepada kita.

Begitulah, orang Arab jika dapat musibah, mereka akan sebut: ‘alhamdulillah, alhamdulillah’, kerana musibah itu rahmah sebenarnya.

 

Allahu a’lam.

Komen dan Soalan