Utama Bilik (40) Asas Ilmu Hadits SEBAB-SEBAB PEMALSUAN HADITS YANG TIDAK DISENGAJAKAN (Bhg. 03)

SEBAB-SEBAB PEMALSUAN HADITS YANG TIDAK DISENGAJAKAN (Bhg. 03)

642
0
Iklan

Susunan: BroSyarief
asSalaamu ‘alaikum semua.

Maaf kerana saya mengambil masa yang terlalu lama untuk cuba hidupkan kembali perkongsian di dalam group. In Sya Allah, saya akan usahakan kembali perkongsian di dalam group-group di UiTO bersempena dengan Ramadhan ini.

Walaupun biasanya kita mendengarkan kisah-kisah atau kebiasaan asatizah atau para ulama yang ‘bercuti’ dari perkongsian ilmu ketika Ramadhan, tetapi saya baru-baru ini terbaca sebuah artikel bertajuk

هل ثبت عن السلف أنهم كانوا يتركون مجالس العلم في رمضان؟

yang bermaksud: “ِAdakah tsabit dari amalan para Salaf bahawa mereka dahulunya meninggalkan majlis-majlis ilmu di dalam bulan Ramadhan?”*

Artikel ini merungkaikan kelemahan beberapa nukilan yang sering disandarkan kepada sebahagian ulama tentang kenyataan di atas. Benar mereka memberikan perhatian tinggi terhadap al-Quran dan ibadah di bulan Ramadhan, tetapi ia tak bermaksud mereka meninggalkan majlis-majlis ilmu secara mutlak.

Oleh itu, berkadaran dengan kemampuan saya, saya akan mulakan kembali perkongsian di Bilik-bilik UiTO khususnya Ulum Quran, Asas Ilmu Hadits dan Forty Hadits.

Semoga kita diberi kesempatan menemui Ramadhan yang berbaki kurang dari seminggu dan semoga Allah menerima dari kita segala usaha dalam mencari redhaNya walau sekecil apapun ia.

BaarakalLaahu fiikum.

#BroSyariefShares
__
* Bagi penuntut ilmu dan asatizah yang boleh membaca bahasa arab, bolehlah membaca artikel tersebut di http://www.saaid.net/Doat/alkulify/32.htm

Merujuk kembali kepada susunan perkongsian berdasarkan rujukan pada kitab Ulum al-Hadits karangan Prof Abullayts, ianya masih lagi di bawah topik Hadits Palsu. Kita terhenti pada membincangkan sebab-sebab yang tidak disengajakan yang menyumbang kepada timbul dan berkembangnya hadits-hadits palsu.

Sebelum itu saya cuba ringkaskan dahulu perbincangan tentang sebab-sebab berlakunya pemalsuan hadits. Ianya terbahagi kepada dua:

1. Sebab-sebab yang disengajakan (Intended Causes). Terdapat 8 sebab-sebab kesemuanya yang telah dikongsikan dalam Nota 02.08.04 sehingga Nota 02.08.11

2. Sebab-sebab yang tak disengajakan (Unintended Causes). Kita sempat bincangkan dua sebab, dan kita akan bincangkan sebab yang ke-3. Dan berbaki 2 lagi sebab.

Menarik untuk diberi perhatian bahawa Prof Abullays memberikan fokus luar biasa pada perbincangan berkaitan hadits palsu, kerana ianya antara watak utama perosak dan pemusnah sunnah dalam kehidupan umat Islam.

Dari halaman 184 sehingga halaman 219, sebanyak 35 muka surat, fokus diberikan pada perbincangan berkait hadits palsu. Dari definisi, punca sehinggalah kepada usaha-usaha membasmi hadits-hadits palsu serta penulisan-penulisan mengenainya.

#010616 Nota 02.09.03 Hadits al-Mardud (المردود) Kategori Kritikan pada Periwayat (الطعن في الراوي) – Persoalan Hadits Palsu

Susunan: BroSyarief

SEBAB-SEBAB PEMALSUAN HADITS YANG TIDAK DISENGAJAKAN (Bhg. 03)

03 Sikap Ambil Mudah Segelintir Khalifah Terhadap Para Pemalsu (Hadits)

Di antara sebab-sebab yang mendorong berlakunya pemalsuan hadits, khususnya ketika pemerintahan ‘Abbasiyyah seperti mana yang disebutkan oleh Syaikh as-Siba’ie:

“Terdapat khalifah-khalifah dan pemimpin-pemimpin yang bermudah-mudah dalam menguruskan para pemalsu hadits.

Sekiranya mereka bertegas dan menghukum ketua-ketua mereka sebagaimana Allah menghukumi pada urusan-urusan sebegini, nescaya tidak akan tersebar pemalsuan sedemikian rupa.

Malah kami melihat adanya khalifah seperti al-Mahdi, yang mana walaupun dia mengetahui pembohongan yang dilakukan oleh Ghiyats ibn Ibrahim, dilepaskan dengan 1000 dirham.

Begitu juga apa yang berlaku kepada Muqatil ibn Sulayman al-Balkhiy, dia pernah menyebutkan kepada al-Mahdi:

إِنْ شِئْتََ وَضَعْتُ لَكَ أَحَادِيثَ فِي العَبَّاسِ وَبَنِيهِ

“Seandainya engkau menginginkan, aku boleh reka hadits-hadits untukmu tentang kelebihan al-‘Abbas dan anak-anaknya”

al-Mahdi pun menjawab: “Tiada keperluan untuk aku pada urusan sedemikian itu..”

Kemudian al-Mahdi tidak melakukan apa-apa kepadanya.

Malah sebahagian dari pemalsu hadits yang meriwayatkan dari Khalifah ar-Rasyid, melalui Abu al-Bakhatariy, seorang pembohong pemalsu hadits yang menyebutkan hadits palsu bahawa,

أن النَّبِيَّ كَانَ يُطَيِّرُ الحَمَامَ

“Dahulu Nabi suka bermain burung merpati”

Apabila ar-Rasyid mengetahui kes pembohongan ini, dia berkata kepada Abu al-Bakhtariy,

أُخْرُجْ عَنِّي، لَوْلاَ أَنَّكَ مِنْ قُرَيْشٍ لَعَزَلْتُكَ

“Keluar dari sini! Kalaulah bukan kerana engkau dari Quraisy, pasti aku hukum engkau dibuang daerah”

Pembohong itu rupanya adalah salah seorang Qadhi lantikan ar-Rasyid.

Kisah-kisah di atas adalah antara apa yang akan dinilai Allah di akhirat nanti, jika sahih nukilan riwayatnya.

Kalaulah bukan kerana Allah sediakan untuk agama ini para ulama yang teguh memelihara di setiap pelusuk dunia, nescaya musibah ini akan benar-benar merosakkan.

Mereka mempertahankan agama ini dari diubah suai, dan mereka bersihkan sunnah RasululLah dari bercampur dengan kekotoran rekaan.”

[as-Sunnah wa Makaanatuha fi at-Tasyri’ al-Islaamiy]

WalLaahu a’lam

Ruj: Ulum Al-Hadits Asiluha wa Mu’asiruha, karangan Prof Dr Abullayts KhairAbaadi.

#BroSyariefShares

Komen dan Soalan