Utama Bilik (05) Fiqhud Dalil 57. Rukhsah : Wanita Hamil Dan Susukan Anak

57. Rukhsah : Wanita Hamil Dan Susukan Anak

180
0
Iklan

Susunan Ustaz Adli Khalim
Ringkasan Fiqh Ramadhan:

57. Rukhsah untuk berbuka puasa: Wanita hamil dan menyusukan anak.

أغارت علينا خيلُ رسولِ اللهِ صلَّى اللهُ عليه وسلَّم فأتيتُ رسولَ اللهِ صلَّى اللهُ عليه وسلَّم فوجدتُه يتَغَدَّى، فقال : ( ادنُ فكُلْ )، فقُلْتُ : إني صائمٌ، فقال : ( ادنُ أحدِّثْك عن الصومِ – أو الصيامِ – : إن اللهَ وضع عن المسافرِ الصوم وشطرَ الصلاةِ، وعن الحاملِ – أو المرضعِ – الصومَ – أو الصيامَ – ) واللهِ لقد قالهما النبيُّ صلَّى اللهُ عليه وسلَّم كليهما أو أحدَهما، فيا لَهفَ نفسي ! أن لا أكونَ طَعِمتُ من طعامِ النبيِّ صلى اللهُ عليه وسلَّم
الراوي : أنس بن مالك الكعبي القشيري | المحدث : الترمذي | المصدر : سنن الترمذي
الصفحة أو الرقم: 715 | خلاصة حكم المحدث : حسن

Pasukan Rasulullah ﷺ menyerbu kami, aku (iaitu Anas bin Malik Al-Ka`bi) datang bertemu Rasulullah ﷺ ketika baginda sedang makan. Lalu baginda berkata: “Datanglah dekat, dan makanlah.” Lalu aku menjawab: “Aku berpuasa.” Baginda berkata: “Datanglah dekat, aku akan ceritakan kepadamu tentang puasa. Sesungguhnya Allah Ta`ala telah menggugurkan puasa kepada musafir dan separuh solat, dan menggugurkan puasa daripada wanita hamil dan wanita yang menyusukan anaknya.” Demi Allah! Nabi ﷺ telah menyebutkan kedua-duanya atau salah satu daripada kedua-duanya. Sangat sayang sekiranya aku tidak makan makan Nabi ﷺ. – Sunan At-Tirmidzi, no. 715. Kata At-Tirmidzi: Hasan.

عن ابن عبًاس ( وعلى الذين يطيقونه فدية طعام مسكين ) قال كانت رخصة للشيخ الكبير والمرأة الكبيرة وهما يطيقان الصيام أن يفطرا ويطعما مكان كل يوم مسكينا والحبلى والمرضع إذا خافتا
الراوي : سعيد بن جبير | المحدث : أبو داود | المصدر : سنن أبي داود
الصفحة أو الرقم: 2318 | خلاصة حكم المحدث : سكت عنه

Daripada Ibnu `Abbas: “Dan wajib bagi orang yang berat mengerjakannya untuk membayar fidyah, (iaitu) memberi makan seorang miskin.” Kata Ibn `Abbas: “Ayat ini memberikan keringanan kepada lelaki dan wanita yang sudah tua, mereka berasa berat untuk berpuasa, maka mereka dibolehkan untuk tidak berpuasa. Namun, mereka harus memberi makan setiap hari satu orang miskin sebagai ganti tidak berpuasa. Ini juga berlaku untuk wanita hamil dan wanita yang menyusukan anak, sekiranya kedua-duanya bimbang (keselamatan anaknya).” – Sunan Abi Dawud, no. 2318.
* shahih menurut Syu`aib Al-Arna’uth.

= = = = = = = = = =

Penjelasan:

1. Dalam bab wanita hamil dan menyusukan anak, terdapat beberapa pendapat yang masyhur tentang cara menggantikan puasanya:

(a) Perlu qadha’, tidak perlu fidyah. Inilah pendapat Al-Auza`i, Ats-Tsauri, Abu Hanifah, dan selain mereka. Antara hujahnya:

(i) Hukum asal kepada orang yang berbuka puasa adalah qadha’.

(ii) Hadits Anas bin Malik Al-Ka`bi, yang mana Nabi ﷺ menggandingkan musafir dengan wanita hamil dan menyusu. Ini bererti hukum wanita hamil dan menyusu adalah sama seperti orang musafir, iaitu mengqadha’ puasanya sebanyak hari yang ditinggalkan.

(b) Perlu fidyah, tidak perlu qadha’. Inilah pendapat Ishaq. Antara hujahnya adalah penafsiran Ibn `Abbas terhadap ayat 184 surah Al-Baqarah.

(c) Perlu qadha’, dan perlu fidyah. Inilah pendapat Sufyan, Malik, Asy-Syafi`i, dan Ahmad. Namun tidak diketahui dasar pendapat ini daripada Al-Qur’an dan As-Sunnah.

(d) Tidak perlu qadha’, dan tidak perlu fidyah. Inilah pendapat Ibn Hazm. Antara hujahnya adalah:

(i) Tiada dalil yang mewajibkan qadha’ atau fidyah.

(ii) Tiada kesepakatan `ulama’ sama ada perlu qadha’ atau fidyah.

2. Pendapat yang paling tepat – wallahu a`lam – adalah:

(a) Sekiranya wanita tersebut mampu untuk berpuasa, dan telah berbincang dengan doktor tentang keadaan dan risiko untuk berpuasa, maka dia boleh berpuasa.

(b) Sekiranya dia tidak mampu, atau tidak diizinkan oleh doktor (puasanya akan berisiko terhadap janin atau bayinya), maka dia hendaklah berbuka puasa, dan mengqadha’ puasanya apabila dia mampu di kemudian hari.

(c) Sekiranya dia tidak mampu untuk mengqadha’nya (sama ada kerana berisiko kepada janin atau bayinya, atau kerana terlalu banyak hari yang ditinggalkannya, atau kerana tubuhnya tidak mampu untuk berpuasa), maka dia boleh memilih untuk membayar fidyah.

= = = = = = = = = =

Hashtag: #fiqhpuasa

Komen dan Soalan