Utama Bilik (05) Fiqhud Dalil 53. Rukhsah Untuk Berbuka Puasa: Musafir

53. Rukhsah Untuk Berbuka Puasa: Musafir

604
0
Who am i ?
Iklan

Susunan Ustaz Adli Khalim
Ringkasan Fiqh Ramadhan:

53. Rukhsah untuk berbuka puasa: Musafir.

وَمَنْ كَانَ مَرِيضًا أَوْ عَلَى سَفَرٍ فَعِدَّةٌ مِنْ أَيَّامٍ أُخَرَ

“Dan sesiapa yang sakit atau bermusafir, hendaklah menggantikannya pada hari-hari lain.” – Surah Al-Baqarah, ayat 184.

أن حمزةَ بنَ عمرٍو الأسلميَّ، قال للنبيِّ صلى الله عليه وسلم: أأصومُ في السفرِ ؟. وكان كثيرَ الصيامِ، فقال: إن شئتَ فصم، وإن شئتَ فأفْطِر.
الراوي : عائشة أم المؤمنين | المحدث : البخاري | المصدر : صحيح البخاري
الصفحة أو الرقم: 1943 | خلاصة حكم المحدث : [صحيح]

Hamzah bin `Amr Al-Aslami bertanya pada Nabi ﷺ: “Adakah aku boleh berpuasa ketika musafir? Ramai orang yang turut berpuasa.” Jawab baginda: “Sekiranya engkau mahu, engkau boleh berpuasa. Sekiranya engkau mahu, engkau boleh berbuka.” – Shahih Al-Bukhari, no. 1943.

كان رسولُ اللهِ صلى الله عليه وسلم في سفرٍ ، فرأى زِحامًا ورجلاً قد ظُلِّلَ عليه ، فقال: ما هذا. فقالوا: صائمٌ, فقال: ليس من البرِّ الصومُ في السفرِ.
الراوي : جابر بن عبدالله | المحدث : البخاري | المصدر : صحيح البخاري
الصفحة أو الرقم: 1946 | خلاصة حكم المحدث : [صحيح]

Rasulullah ﷺ bermusafir, lalu baginda melihat orang ramai berdesak-desakan dan seorang lelaki diteduhi. Lalu baginda bertanya: “Apakah semua ini?” Orang ramai menjawab: “Ini adalah orang yang sedang berpuasa.” Lalu baginda berkata: “Bukanlah suatu kebaikan seseorang berpuasa ketika bermusafir.” – Shahih Al-Bukhari, no. 1946.

كنا نُسافرُ معَ النبيِّ صلَّى اللهُ عليه وسلَّم، فلم يَعِبِ الصائِمُ علَى المُفْطِرِ، ولا المُفْطِرُ علَى الصائِمِ
الراوي : أنس بن مالك | المحدث : البخاري | المصدر : صحيح البخاري
الصفحة أو الرقم: 1947 | خلاصة حكم المحدث : [صحيح]

Kami bermusafir bersama Nabi ﷺ. Orang yang berpuasa tidak mencela orang yang berbuka, dan orang yang berbuka tidak mencela orang yang berpuasa. – Shahih Al-Bukhari, no. 1947.

= = = = = = = = = =

Penjelasan:

1. Menurut At-Tirmidzi, para `ulama’ berbeza pendapat tentang berpuasa ketika bermusafir:

(a) Sebahagian ahli ilmu daripada kalangan sahabat Nabi ﷺ dan selain mereka berpendapat berbuka puasa adalah lebih utama (afdhal) bagi orang yang bermusafir, sehinggakan ada yang berpendapat orang bermusafir yang berpuasa hendaklah menggantikan puasanya pada hari lain.

(b) Sebahagian yang lain pula berpendapat sekiranya orang yang bermusafir itu cukup kuat untuk berpuasa, itu adalah baik, bahkan inilah yang lebih afdhal. Sekiranya dia memilih untuk berbuka, itu juga baik.

2. Bahkan, kedua-dua pilihan ini sebenarnya baik. Malah, berdasarkan hadits Anas, kita dapati bahawa orang yang bermusafir bersama baginda ada yang tetap berpuasa dan ada yang berbuka, dan mereka tidak saling mencela antara satu sama lain.

3. Oleh itu, sesiapa yang bermusafir dalam keadaan yang tiada kesulitan, misalnya menaiki kapal terbang yang sudah pasti dilengkapi dengan penyaman udara, tiba di negara lain hanya dalam tempoh waktu beberapa jam sahaja, dia boleh memilih untuk berpuasa sekiranya dia mahu, namun keringanan untuk berbuka masih lagi berlaku kepada dirinya berdasarkan keumuman ayat 185 surah Al-Baqarah.

4. Namun, bagi orang yang bermusafir dalam tempoh yang lama, misalnya memandu kereta atau menunggang motor, sekiranya mampu mereka boleh berpuasa. Namun, sekiranya menahan lapar dan dahaga akan menyebabkan mereka hilang konsentrasi ketika memandu, berbuka puasa adalah lebih utama bagi mereka. Apatah lagi bagi pemandu-pemandu bas yang membawa penumpang yang ramai, menjaga keselamatan dan nyawa penumpang adalah lebih utama bagi mereka.

= = = = = = = = = =

Hashtag: #fiqhpuasa

Komen dan Soalan