Utama Bilik (05) Fiqhud Dalil 26. Memperbanyakkan Tilawah Al-Qur’an.

26. Memperbanyakkan Tilawah Al-Qur’an.

262
0
Iklan

Susunan Ustaz Adli Khalim
Ringkasan Fiqh Ramadhan:

26. Perkara yang dianjurkan sepanjang bulan Ramadhan: Memperbanyakkan tilawah Al-Qur’an.

كان النبيُّ صلَّى اللهُ عليهِ وسلَّمَ أجودَ الناسِ بالخيرِ ، وكان أجودَ ما يكونُ في رمضانَ ، حينَ يلقاهُ جبريلُ ، وكان جبريلُ عليهِ السلامُ يلقاهُ كلَ ليلةٍ في رمضانَ حتى يَنْسَلِخَ ، يعرِضُ عليهِ النبيُّ صلى اللهُ عليهِ وسلَّمَ القرآنَ : فإذا لَقِيَهُ جبريلُ عليهِ السلامُ ، كانَ أجودَ بالخيرِ من الريحِ المرسلةِ .
الراوي : عبدالله بن عباس | المحدث : البخاري | المصدر : صحيح البخاري
الصفحة أو الرقم: 1902 | خلاصة حكم المحدث : [صحيح]

Nabi ﷺ merupakan orang yang paling pemurah dengan kebaikan. Baginda menjadi lebih pemurah dalam bulan Ramadhan apabila bertemu dengan malaikat Jibril. Malaikat Jibril akan berjumpa baginda setiap malam di bulan Ramadhan sehingga tamatnya Ramadhan. Nabi ﷺ akan membaca Al-Qur’an kepada malaikat Jibril. Apabila Jibril bertemu baginda, baginda menjadi lebih pemurah daripada angin yang bertiup. – Shahih Al-Bukhari, no. 1902.

لم يَفقَهْ من قرأ القرآنَ في أقَلَّ من ثلاثٍ
الراوي : عبدالله بن عمرو | المحدث : الترمذي | المصدر : سنن الترمذي
الصفحة أو الرقم: 2949 | خلاصة حكم المحدث : حسن صحيح

“Seseorang tidak akan memahami Al-Qur’an sekiranya dia membacanya kurang daripada 3 hari.” – Sunan At-Tirmidzi, no. 2949. Kata At-Tirmidzi: Hasan shahih.

= = = = = = = = = =

Penjelasan:

1. Kaum salaf menumpukan kepada tilawah Al-Qur’an sepanjang Ramadhan:

(a) Al-Aswad bin Yazid mengkhatamkan Al-Qur’an setiap 2 malam dalam bulan Ramadhan.

(b) An-Nakha`i mengkhatamkan Al-Qur’an setiap 2 malam hanya pada 10 hari terakhir Ramadhan, sedangkan pada selainnya beliau mengkhatamkan Al-Qur’an dalam tempoh 3 hari.

(c) Qatadah biasanya mengkhatam Al-Qur’an setiap 7 hari, namun pada bulan Ramadhan beliau mengkhatamkannya setiap 3 hari, dan pada 10 hari terakhir Ramadhan beliau mengkhatamkannya pada setiap malam.

(d) Abu Hanifah dan Asy-Syafi`i mengkhatamkan Al-Qur’an sebanyak 60 kali di bulan Ramadhan di luar solat.

(e) Kata Az-Zuhri apabila masuknya bulan Ramadhan: “Sesungguhnya bulan ini adalah bulan tilawah Al-Qur’an dan bulan memberi makan.”

(f) Apabila masuknya Ramadhan, Malik akan meninggalkan majlis bacaan hadits dan majlis-majlis `ulama’, dan beliau akan memfokuskan kepada tilawah Al-Qur’an dengan melihat mushaf.

(g) Apabila masuknya Ramadhan, Sufyan Ats-Tsauri akan meninggalkan ibadah yang lain, dan memfokuskan kepada membaca Al-Qur’an.

(h) Kata Ibn Rajab selepas menyebutkan riwayat-riwayat di atas (dalam kitabnya, Latha’if Al-Ma`arif): “Telah diriwayatkan tentang larangan mengkhatamkan Al-Qur’an kurang daripada 3 hari, ini sekiranya dilakukan secara terus menerus. Adapun pada waktu-waktu yang utama seperti bulan Ramadhan, lebih-lebih lagi pada malam yang dinantikan iaitu Lailat Al-Qadr, atau pada tempat-tempat yang utama seperti Makkah bagi orang yang memasukinya, dan bukan daripada penduduk Makkah, maka disunnahkan untuk memperbanyakkan tilawah Al-Qur’an, untuk memanfaatkan pahala melimpah pada waktu dan tempat.”

= = = = = = = = = =

Hashtag: #fiqhpuasa

Komen dan Soalan