Utama Bilik (04) Rahiqum Makhtum Hadith 43: Peluasan Ka`bah dan pembinaan pintu baru baginya

Hadith 43: Peluasan Ka`bah dan pembinaan pintu baru baginya

577
0
Iklan

#SilsilahShahihah: Hadits 43:

Peluasan Ka`bah dan pembinaan pintu baru baginya

Wahai `A’isyah! Seandainya kaummu bukan orang-orang yang baru sahaja berlalu daripada kemusyrikan, [dan aku tidak memiliki dana untuk pembangunannya], [pasti aku akan infakkan simpanan Ka`bah ke jalan Allah], pasti aku akan merobohkan Ka`bah dan meratakannya dengan tanah. [Kemudian akan aku bangunkannya di atas tapak Ibrahim]. Aku akan jadikan dua pintu baginya, satu pintu di sebelah timur [sebagai pintu masuk orang ramai] dan satu pintu di sebelah barat [sebagai pintu keluar orang ramai]. Aku akan tambah luasnya enam hasta lagi dari Hijr Isma`il. (Pada riwayat yang lain: Pasti aku akan masukkan Hijr ke dalamnya). Sesungguhnya orang Quraisy telah membatasinya ketika mereka membangunkan Ka`bah. [Sekiranya kaummu membangunkannya selepas kewafatnku, maka ke marilah. Aku akan tunjukkan kepadamu apa yang mereka tinggalkan (lupakan). Aku melihat bangunannya lebih kurang tujuh hasta].

يا عائشة! لو لا أن قومك حديثو عهد بشرك، [وليس عندي من النفقة ما يقوي على بنائه]، [لأنفقت كنز الكعبة في سبيل الله]، ولهدمت الكعبة، فألزقتها بالأرض، [ثم لبنيتها على أساس إبراهيم]، وجعلت لها بابين، بابا شرقيا [يدخل الناس منه] وبابا غربيا [يخرجون منه]، وزدت فيها ستة أذرع من الحجر (وفي رواية: ولأدخلت فيها الحجر) فإن قريشا اقتصرتها حيث بنت الكعبة، [فإن بدا لقومك من بعدي أن يبنوه فهلمي لأريك ما تركوه منه، فأراها قريبا من سبعة أذرع].

Dalam riwayat yang lain daripada `A’isyah, katanya: Aku pernah bertanya kepada Rasulullah ﷺ tentang dinding (yakni Hijr), adakah ia termasuk dalam Baitullah? Jawab baginda: Ya. Aku bertanya lagi: Kenapa mereka tidak memasukkannya ke dalam Baitullah? Jawab baginda: Sesungguhnya kaummu kekurangan dana. Aku bertanya lagi: Kenapa pintunya tinggi? Baginda menjawab: Kaummu meninggikannya supaya mereka boleh membawa masuk sesiapa yang mereka kehendaki dan menghalang sesiapa yang mereka kehendaki. (Dalam sebahagian riwayat: Mereka lakukan kerana mereka berbangga kerana mereka boleh memasukkan sesiapa yang mereka kehendaki. Sekiranya seorang lelaki ingin memasukinya, mereka akan mempersilakannya untuk menaikinya, sehinggalah lelaki tersebut hampir masuk, mereka akan menariknya sehingga terjatuh). Seandainya kaummu bukan orang-orang yang baru sahaja berlalu daripada zaman jahiliyyah, dan aku bimbangi qalbu mereka akan mengingkariku, pasti aku akan berpandangan supaya mereka memasukkan Hijr ke dalam Baitullah dan meratakan pintu ke tanah.

وفي رواية عنها قالت: سألت رسول الله ﷺ عن الجدر (أي الحجر)، أمن البيت هو؟ قال: نعم، قلت: فلم لم يدخلوه في البيت؟ قال: إن قومك قصرت بهم النفقة، قلت: فما شأن بابه مرتفعا؟ قال: فعل ذلك قومك ليدخلوا من شاءوا ويمنعوا من شاءوا، (وفي رواية: تعززا أن لا يدخلها إلا من أرادوا، فكان الرجل إذا أراد أن يدخلها يدعونه يرتقي حتى إذا كاد أن يدخل دفعوه فسقط)، ولو لا أن قومك حديث عهدهم في الجاهلية، فأخاف أن تنكر قلوبهم، لنظرت أن أدخل الجدر في البيت وأن ألزق بابه بالأرض.

[Ketika Ibn Az-Zubair memegang kekuasaan, beliau merombaknya, dan menjadikan bagi Ka`bah dua pintu]. (Dalam sebahagian riwayat: Itulah yang menyebabkan Ibn Az-Zubair merobohkannya. Kata Yazid bin Ruman: Aku benar-benar melihat Ibn Az-Zubair merobohkannya dan membangunkannya semula dan memasukkan Hijr ke dalamnya. Aku telah melihat tapak Ibrahim `alaihi as-salam terdiri daripada batu yang dirapikan seperti belakang unta).

[فلما ملك ابن الزبير، هدمها وجعل لها بابين]، (وفي رواية: فذلك الذي حمل ابن الزبير على هدمه، قال يزيد بن رومان: وقد شهدت ابن الزبير حين هدمه وبناه وأدخل فيه الحجر، وقد رأيت أساس إبراهيم عليه السلام حجارة متلاحمة كأسنمة الإبل متلاحكة).

Diriwayatkan oleh Al-Bukhari, Muslim, At-Tirmidzi, Ibn Majah.

= = = = = = = = = =

Ulasan:

1. Antara kaedah penting daripada kisah ini adalah: “Menghindari kerosakan sebelum menarik kemaslahatan.” Rasulullah ﷺ mempunyai beberapa cadangan untuk penambahbaikan Ka`bah, namun baginda menangguhkannya kerana bimbang kaum Quraisy yang baru memeluk Islam tidak akan bersetuju.

2. Penambahbaikan tersebut telah berjaya dijalankan pada zaman pemerintahan Ibn Az-Zubair, namun dirobohkan kembali kerana isu politik.

Komen dan Soalan