Utama Bilik (08) Riyadhus Solihin AKIBAT MENYERANG KAABAH

AKIBAT MENYERANG KAABAH

460
0
Iklan

Dibawakan Oleh: Cikgu Rahim

[SIRI KISAH AJAIB DALAM RIYADUS SALIHIN]

AKIBAT MENYERANG KAABAH

وعن أم المؤمنين أم عبد الله عائشة رضي الله عنها قالت : قال رسول الله صلى الله عليه وسلم :” يَغْزُو جَيْشٌ الْكَعْبَةَ، فَإِذَا كَانُوا بِبَيْدَاءَ مِنَ الأَرْضِ يُخْسَفُ بِأَوَّلِهِمْ وَآخِرِهِمْ “ . قَالَتْ قُلْتُ يَا رَسُولَ اللَّهِ كَيْفَ يُخْسَفُ بِأَوَّلِهِمْ وَآخِرِهِمْ، وَفِيهِمْ أَسْوَاقُهُمْ وَمَنْ لَيْسَ مِنْهُمْ . قَالَ ” يُخْسَفُ بِأَوَّلِهِمْ وَآخِرِهِمْ ، ثُمَّ يُبْعَثُونَ عَلَى نِيَّاتِهِمْ “ . (متفق عليه، هذا لفظ البخاري)

Terjemahan:

Daripada Ummu al-Mukminin Ummu ‘Abdillah ‘Aisyah r.ha., katanya Rasulullah s.a.w. bersabda: “Ada sepasukan tentera hendak menghancurkan Kaabah, kemudian apabila mereka tiba di suatu tanah lapang, mereka dibenamkan ke dalam tanah, dari barisan pertama sampai barisan yang terakhir.”

Aku bertanya, “Wahai Rasulullah, bagaimana pula semuanya dibenamkan, dari barisan yang pertama sampai yang terakhir, bukankah dalam kumpulan itu terdapat para pedagang dan mereka yang tidak termasuk golongan itu?”

Nabi Muhammad menjawab, “Ya, semuanya dibenamkan, dari barisan yang pertama sampai barisan yang terakhir. Nanti mereka akan dibangkitkan dari kubur masing-masing. Mereka menerima balasan mengikut niat masing-masing.”

Takhrij hadith:

Hadith ini hadith no. 2 dalam Riyadus Salihin daripada riwayat Imam al-Bukhari (IV/338, Fath al-Bari) dan Imam Muslim (no. 2884)

Intipati dan pengajaran kisah:

1. Pengajaran agar kita menjauhi orang-orang yang suka melakukan kezaliman sekali gus peringatan agar tidak bergaul dengan mereka apatah lagi bergabung dengan kumpulan orang jahat dan seumpamanya. Ini adalah kerana bagi memastikan kita tidak terlibat sama dengan azab yang dikenakan kepada mereka.

2. Sesiapa sahaja yang secara sukarela bergabung dengan satu kaum yang melakukan maksiat, maka mereka juga akan berhadapan dengan balasan dan seksaan daripada Allah.

3. Ganjaran setiap amalan dan perbuatan adalah bergantung kepada niatnya.

4. Rasulullah s.a.w. diberitahu berita yang ghaib oleh Allah, kebenarannya mesti diimani dan diyakini oleh umat Islam.

5. Wajib menerima khabar al-wahid al-sahih (hadith sahih yang berstatus ahad), kerana riwayat dengan status itu adalah hujjah yakni dalil dalam urusan aqidah dan hukum-hakam syariat. Tidak ada perbezaan antara hadith ahad mahupun mutawatir dalam urusan tersebut.

6. Ada situasi menarik digambarkan dalam hadith ini iaitu Sayidatina ‘Aisyah tidak memahami mengapa mereka yang selain daripada tentera (yang di depan dan belakang) juga menerima balasan azab (tenggelam dalam tanah) sedangkan mereka tidak termasuk tentera yang berniat menyerang Kaabah. Ada beberapa pandangan dalam merungkaikan isu tersebut:

a) Balasan itu ditimpakan secara umum kerana ajal mereka sudah mereka, namun mereka akan dibangkitkan kelak berdasarkan niat masing-masing. Maksudnya jika niat mereka ingin melakukan kemungkaran maka dibangkitkan dengan niat tersebut, manakala kalau niat mereka sekadar ingin ke pasar dan seumpama maka begitulah dibangkitkan kelak.

b) Menurut Shaykh Salim ‘Ied al-Hilali, seksaan tersebut ditimpakan kepada semua mereka secara umum meskipun bersama mereka orang yang hendak berbelanja di pasar dan musafir. Ini adalah kerana mereka tidak takut kepada fitnah yang akan menimpa orang zalim secara khusus, akan tetapi akan menyebabkan mereka turut terseret sama.

Ini sesuai dengan firman Allah:

“Maka mengapa tidak ada dari umat-umat yang sebelum kamu orang-orang yang mempunyai keutamaan yang melarang daripada (mengerjakan) kerosakan di muka bumi, kecuali sebahagian kecil di antara orang-orang yang telah Kami selamatkan antara mereka, dan orang-orang yang zalim hanya mementingkan kenikmatan yang mewah yang ada pada mereka, dan mereka adalah orang-orang yang berdosa. Dan Tuhanmu sekali-kali tidak akan membinasakan negeri-negeri secara zalim, sedang penduduknya orang-orang yang berbuat kebaikan.”

(Surah Hud, 116-117)

?Dari facebook Ustaz ZZ (Zahiruddin Zabidi)

Komen dan Soalan