Utama Bilik (08) Riyadhus Solihin Hadis 94: Ali R.A. Bersegera Kepada Kebaikan Seperti Yang Dipinta Rasulullah

Hadis 94: Ali R.A. Bersegera Kepada Kebaikan Seperti Yang Dipinta Rasulullah

211
0
Iklan

94. Kelapan: Dari Abu Hurairah r.a. pula bahawasanya Rasulullah s.a.w. bersabda pada hari perang Khaibar:

“Nescayalah bendera ini akan kuberikan kepada seseorang lelaki yang mencintai Allah dan RasulNya, Allah akan membebaskan – beberapa benteng musuh – atas kedua tangannya.”

Umar r.a. berkata: “Saya tidak menginginkan keimarahan -kepemimpinan di medan perang – melainkan pada hari itu belaka kemudian saya bersikap untuk menonjolkan diri pada Nabi s.a.w. dengan harapan agar saya dipanggil untuk memegang bendera itu.

Tiba-tiba Rasulullah s.a.w. memanggil Ali bin Abu Thalib r.a., lalu memberikan bendera tadi padanya dan beliau s.a.w. bersabda:

“Berjalanlah dan jangan menoleh-noleh lagi sehingga Allah akan membebaskan – benteng-benteng musuh – atasmu.”

Ali berjalan beberapa langkah kemudian berhenti dan tidak menoleh, kemudian berteriak:

“Ya Rasulullah, atas dasar apakah saya akan memerangi para manusia?” Rasulullah s.a.w. menjawab:
“Perangilah mereka sehingga mereka suka menyaksikan bahawa tiada Tuhan melainkan Allah dan bahawasanya Muhammad adalah pesuruh Allah. Apabila orang itu telah berbuat demikian, maka tercegahlah mereka itu daripadamu, baik darah dan harta mereka, melainkan dengan haknya, sedang hisab mereka itu adalah tergantung pada Allah.”  (Riwayat Muslim)

Fatasaawartu, dengan sin muhmalah (yakni sin tak bertitik dan bukan syin yang bertitik tiga di atas), ertinya: “Saya melompat ke muka untuk menampakkan diri.”

Keterangan:

Maksud dari Hadis di atas itu ialah bahawa yang diperintahkan oleh Rasulullah s.a.w. kepada Ali r.a. dan seluruh pasukannya ialah memerangi manusia-manusia musyrik yakni yang menyembah selain Allah atau yang tidak mempercayai adanya Allah serta keesaanNya dan tidak pula mempercayai tentang diutusnya Nabi Muhammad s.a.w. Tetapi apabila mereka suka mengikuti seruan agama Islam yang benar, sama sekali tidak boleh diganggu, baik keselamatan jiwa atau pun harta mereka.

Namun demikian, manakala hak atau ketentuan agama Islam menghendaki, boleh saja seseorang itu dibunuh, seperti orang yang sengaja membunuh orang lain. Jadi sekalipun sudah masuk Islam wajib pula dibunuh sebagai qishash atau balasan pembunuhannya. Demikian pula seperti dipotong tangan kerana mencuri yang sudah mencapai batas untuk bolehnya dipotong atau pun diberi hukuman pukul (didera) serta direjam, menurut ketentuannya sendiri-sendiri, jika melakukan perzinaan dan lain-lain lagi. Inilah yang dimaksudkan dengan sabda Nabi s.a.w.

“Kecuali dengan haknya.”

Mengenai hisab atau perhitungan amal perbuatan mereka adalah menjadi urusan Allah Ta’ala sendiri.

Perlu dimaklumi bahawa golongan Ahlulkitab yakni kaum yang beragama Nasrani atau Yahudi, tidak boleh secara langsung diperangi. Mereka diperbolehkan memilih salah satu di antara dua hal yakni membayar pajak. Ini adalah pilihan yang pertama. Jika mereka suka melaksanakan itu, mereka pun wajib dilindungi keselamatan diri dan hartanya. Tetapi jikalau enggan, maka pilihan kedua boleh dilaksanakan, iaitu boleh diperangi.

Komen dan Soalan