Utama Bilik (64) Syamail Muhammadiyyah Hadis 27 dan Manfaat Hadis Syamail Muhammadiyyah

Hadis 27 dan Manfaat Hadis Syamail Muhammadiyyah

309
0
Iklan

Hadis 27, Dari Osaka, Jepun

27- حَدَّثَنَا مُحَمَّدُ بْنُ بَشَّارٍ، قَالَ: حَدَّثَنَا وَهْبُ بْنُ جَرِيرِ بْنِ حَازِمٍ، قَالَ: حَدَّثَنِي أَبِي، عَنْ قَتَادَةَ، قَالَ: قُلْتُ لِأَنَسٍ: كَيْفَ كَانَ شَعْرُ رَسُولِ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ؟ قَالَ: لَمْ يَكُنْ بِالْجَعْدِ وَلَا بِالسَّبْطِ، كَانَ يَبْلُغُ شَعْرُهُ شَحْمَةَ أُذُنَيْهِ.

27- Telah bercerita kepada kami Muhammad bin Basysyar, dia berkata: Telah bercerita kepada kami Wahb bin Jarir bin Hazim, dia berkata: Telah bercerita kepada saya bapa saya, daripada Qatadah, dia berkata:

Saya telah berkata kepada Anas: Bagaimanakah rambut Rasuli Llah? Dia berkata: Ia tidak keriting dan tidak lurus. Rambutnya sampai ke cuping dua telinganya.

Syarah Adou_Fr:

Hadis ini ialah ulangan untuk hadis pertama, kedua, ketiga, ketujuh, kelapan, kedua puluh empat, dan kedua puluh enam yang lalu.

Di dalam hadis ini, Qatadah yang merupakan seorang tabi`iy, dia bertanya tentang rambut Rasulu Llah kepada Anas bin Malik, yang mempunyaï taraf sahabiy. Tabi`iy ialah orang yang tidak pernah berjumpa dengan Nabi, justeru, dia bertanya perihal sifat Nabi, sebagai untuk memenuhi sifat ingin tahu yang ada pada dirinya.

Sebenarnya soalan ini tidak memberi sebarang faedah kepada dirinya, kerana ia bukan untuk diamalkan, dan bukan juga sebahagian syari`at daripada agama. Namun, atas rasa cinta, dia ingin mengenali siapakah itu Muhammad, dan ciri-cirinya.

Sebelum zaman fotografi, atau internet, wajah seseorang atau paras rupanya hanya boleh digambarkan melaluï kata-kata. Daripada kata-kata itu, seseorang akan berpuas hati, walaupun dia tidak dapat menggambarkan atau membayangkan dengan tepat apa yang disebutkan itu. Justeru, walaupun semua sifat-sifat Nabi dikumpulkan dan dikaji, ia tidak wajar digunakan untuk melukis potret atau dijadikan satu imej fotografi. Maka kerana itu, wujudnya larangan untuk melakonkan watak Nabi di dalam filem, atau menggambarkan Nabi melaluï apa-apa medium sama ada kartun, animasi, dan sebagainya.

Tidak salah ingin tahu tentang paras rupa Nabi, atau paras rupa orang yang dicintaï, tetapi, kata-kata yang digunakan untuk meriwayatkan paras rupa itu, pastinya tidak akan serupa dengan orang sebenar. Tiada kata yang akan cukup untuk menggambarkan sebuah potret atau wajah manusia, dan hal ini perlu diketahuï dengan jelas agar kita tidak terpesong dalam mempelajari syama’il Nabi.

Manusia bersifat ingin tahu, dan sifat ini tidak dilarang dalam Islam. Namun, apakah tindakan yang diambil ekoran daripada sifat ingin tahu itulah yang akan dinilai dan dihisab, kerana ia perlu berpandukan kepada ajaran Al-Qur’an dan Sunnah.

Tidakkah kita melihat di dalam filem, bahawa orang yang bercinta pada zaman dahulu, apabila ditanya tentang kekasihnya, dia akan menceritakan dengan penuh kasih tentang orang yang dicintaïnya? Dan orang yang mendengar akan mendengar dan meriwayatkan cerita itu secara bulat-bulat, walaupun dia sendiri tidak dapat membayangkan watak tersebut!

Justeru, apabila kita membaca hadis syama’il serta sifat-sifat Nabi, yang paling penting ialah kita membacanya dengan hati yang penuh kasih, dan dengan penuh rasa cinta terhadap Nabi, sambil lisan kita tidak putus-putus bersalawat kepada Nabi. Kita hendaklah membacanya seolah-olah kita menceritakan tentang kekasih kita sendiri, yang kita sayangi, yang kita rinduï, yang kita sangat-sangat ingin untuk bertemu dengannya. Maka tersilaplah orang-orang yang gopoh dalam membaca syama’il Nabi, atau yang membacanya sederas shinkansen – kereta api laju di Jepun –, atau yang membacanya dengan hati yang kosong.

Di dalam hadis ini, disebutkan bahawa rawi bernama Wahb bin Jarir telah meriwayatkan hadis ini daripada bapanya iaitu Jarir bin Hazim. Ini satu contoh yang harus menjadi teladan dalam keluarga muslim, iaitu seorang bapa menyampaikan agama dan rasa cinta terhadap Allah dan rasul-Nya kepada anaknya.

Ramai antara bapa zaman ini hanya melihat wang ringgit dan kehidupan material. Justeru, mereka keluar bekerja, dan kemudian melonggokkan wang di hadapan isteri dan anak-anak semata-mata, tanpa ada hubungan ilmu dalam keluarga. Seharusnya seorang bapa mengambil tanggungjawab untuk menyebarkan ilmu kepada isteri dan anak-anaknya.

Bapa – iaitu seorang lelaki –, dia seharusnya bersalat jama`ah di masjid. Kemudian, dia seharusnya mendengar khutbah Juma`at setiap minggu. Tidakkah perginya dia ke masjid itu seharusnya menjadi satu sumber ilmu buat dirinya dan keluarganya? Betapa ruginya kita pada zaman ini, apabila masjid tidak lagi menjadi sumber ilmu, sebaliknya hanya menjadi tempat gelak ketawa, nyanyian, atau bersembang sahaja!

Ketahuïlah bahawa Islam telah menyediakan ruangan untuk penyebaran ilmu melaluï masjid, antaranya selepas salat jama`ah – sekali sekala – dan khutbah Juma`at – seminggu sekali –. Para imam, para khatib, hendaklah sedar hal ini, dan mereka hendaklah menggunakan ruang berharga tersebut untuk mendidik umat Islam tentang agama dan kehidupan mereka. Para bapa pula, setelah mendengar itu, dia hendaklah balik dan berkongsi ilmu tersebut dengan isteri dan anak-anak, agar setiap umat Islam menjadi umat berilmu, dan tidak jahil tentang agama mereka.

Tugas bapa bukan sahaja memberikan makanan dan minuman kepada si anak, tetapi si bapa harus juga mengisi dada anak dengan ilmu agama. Justeru, si bapa hendaklah meluangkan masa agar dia dapat bersama dengan anak-anaknya, dan pada saat itu, dia bercerita kepada si anak dan mengajar anaknya. Tersilaplah si bapa yang menyerahkan si anak bulat-bulat kepada pihak lain untuk mendidik, dan tersilap juga si bapa yang menyerahkan pendidikan si anak bulat-bulat kepada pihak sekolah. Didiklah anak dengan acuan dan ilmu anda, sementara sekolah cuma menyambung asas yang telah ada.

Jadikanlah para salaf – antaranya para perawi hadis – sebagai rujukan dalam akhlaq dan didikan, semoga Tuhan merahmati kehidupan kita semua.

Komen dan Soalan