Utama Bilik (21) Aqidah Salaf Adakah ad-Dahr (masa) termasuk salah satu nama Allah SWT atau makhluk

Adakah ad-Dahr (masa) termasuk salah satu nama Allah SWT atau makhluk

414
0
Iklan

UiTO Bilik (21) Akidah Salaf

Susunan: Bro Benjamin Syazwan

بِسْمِ اللهِ الرَّحْمٰنِ الرَّحِيْمِ
السلام عليكم ورحمة الله وبركاته

Tajuk: Adakah ad-Dahr (masa) termasuk salah satu nama Allah SWT

Imam al-Baihaqi menyebutkan dengan sanadnya daripada asy-Syafi’i, dia berkata: “Allah Ta’ala berfirman;
Dan mereka berkata: “Tiadalah hidup yang lain selain daripada hidup kita di dunia ini. Kita mati dan kita hidup (silih berganti); dan tiadalah yang membinasakan kita melainkan edaran masa”. Pada hal mereka tidak mempunyai sebarang pengetahuan tentang hal itu; mereka hanyalah menurut sangkaan semata-mata.
(Al-Jaathiyah 45:24)

Sabda Nabi s.a.w: “Janganlah kamu mencaci maki masa, sesungguhnya Allah, Dialah masa.” (HR Muslim)

Asy-Syafi’i berkata: “Maksudnya-wallahua’alam-bahawa adat masyarakat Arab dahulu gemar mencela masa dan mencaci makinya tatkala terjadi musibah yang menimpa mereka, baik berupa kematian, kebinasaan, hilang harta benda dan selainnya.

Mereka mencaci waktu malam dan siang seraya berkata; ‘Mereka ditimpa bencana masa, mereka dibinasakan oleh masa, mereka dirosakkan oleh masa.’ Jadi mereka menganggap pergantian siang dan malam yang menyebabkan semua itu terjadi.

Kerana itu Rasulullah s.a.w. bersabda: ‘Janganlah kamu mencaci maki masa’ dengan alasan bahawa masa yang telah melakukan segala sesuatu ke atas kamu kerana jika kamu mencaci maki pelaku segala sesuatu itu beerti kamu telah mencaci maki Allah Ta’ala. Ini kerana Dialah penyebab semua itu terjadi.”
Manaqib al-Baihaqi (I/336)

Jadi, masa (ad-Dahr) bukan termasuk salah satu antara nama-nama Allah SWT. Sesungguhnya alasan Nabi s.a.w melarang mencaci maki dan mencela masa adalah kerana masa memang tiada kaitan dengan pengendalian sebarang urusan. Manakala mereka yang mencelanya kerana musibah-musibah yang terjadi, maka celaan itu tidak lain jatuh kepada Yang Maha Kuasa dan Yang Maha Mengkehendaki semua itu terjadi iaitu Allah SWT. Justeru, Nabi s.a.w melarang perbuatan tersebut.

Hal ini dijelaskan oleh satu riwayat dalam Sahih Muslim, daripada Abu Hurairah rah. bahawa Nabi s.a.w bersabda;
“Allah berfirman: ‘Anak Adam menyakiti-Ku, dia berkata ‘Ya Khaibatud Dahr (alangkah celakanya masa ini! Alangkah jeleknya masa ini!).
Maka janganlah seseorang di antara kalian mengucapkan ‘Ya, Khaibatud Dahr’ kerana sesungguhnya Akulah pengatur masa itu. Akulah yang menjadikan silih bergantinya malam dan siang, dan jika Aku mahu nescaya Aku akan menahannya.” (HR Muslim)
(IV/1762)

Melalui hadis ini jelas bahawa masa memnag tidak memiliki kekuasaan atau autoriti serta bukanlah urusannya dalam mengendalikan semua perkara.
Masa hanyalah makhluk yang menjadi hamba Allah seperti makhluk-makhluk yang lainnya. Segala urusan dan pengendalian sesuatu perkara itu adalah milik mutlak Allah SWT.

Wallahua’alam
Semoga bermanfaat

Komen dan Soalan