Utama Bilik (40) Asas Ilmu Hadits 02.08.05#250815 SEBAB-SEBAB PEMALSUAN HADITS YANG DISENGAJAKAN (Bhg. 02)

02.08.05#250815 SEBAB-SEBAB PEMALSUAN HADITS YANG DISENGAJAKAN (Bhg. 02)

230
0
Iklan

Bilik (40) Asas Ilmu Hadits

Nota 02.08.05 Hadits al-Mardud (المردود) Kategori Kritikan pada Periwayat (الطعن في الراوي)

Susunan: BroSyarief

SEBAB-SEBAB PEMALSUAN HADITS YANG DISENGAJAKAN (Bhg. 02)

02. Memenangkan Kelompok dan Kecenderungan Politik

Hasil dari perselisihan yang besar di antara pendokong ‘Ali dan pendokong Mu’awiyah, timbul kecenderungan untuk konon-kononnya membantu tokoh pihak masing-masing.

Mereka pun mencipta hadits-hadits berkaitan kelebihan tokoh mereka dan hadits-hadits mencela musuh mereka, kemudiannya menyebarkannya.

Sebagaimana juga sebahagian orang jahil di kalangan ahlus sunnah, mereka pula mencipta hadits-hadits kelebihan empat-empat khalifah kesemuanya bertujuan untuk membaiki perpecahan antara ahlus sunnah dan syi’ah pada waktu itu. (Syiah pada zaman ini hanya satu kumpulan yang cenderung kepada Ali dari perspektif politik, bukan satu akidah seperti yang timbul kemudiannya)

Puak Syiah mula mencipta lebih banyak hadits-hadits yang dijadikan bukti keistimewaan dan keunggulan ‘Ali, pada dia yang terawal masuk Islam, dan ketetapan imannya sebelum sahabat-sahabat yang lain.

Dan mereka mereka hadits mengatakan ‘Ali adalah manusia terbaik secara mutlak dan mengkafirkan sesiapa yang mengingkari, dan mengancam mereka yang tak menyukai
‘Ali, apa lagi kepada yang membenci ‘Ali.

Malah, ditulis buku-buku akan keburukan dan ‘aib Abu Bakr dan ‘Umar yang mana jika kita menjumpainya, dengan mudah didapati ianya adalah dari puak Syi’ah.

Mereka juga membuat hadits palsu mengutuk Mu’awiyah di atas nama RasululLahu sallalLaahu ‘alaihi wa sallam, mengatakan arahan membunuhnya, dan mendoakan keburukan kepadanya dan Amr ibn al-‘As, supaya dibalas dan diletakkan dalam neraka.

Tak cukup dengan itu, mereka malah meneruskan perbuatan itu terhadap bani Umayyah keseluruhannya, dan mereka berbohong di atas nama Nabi sallalLaahu ‘alaihi wa sallam menyebutkan:

إن الله عناهم بقوله: وَالشَّجَرَةَ الْمَلْعُونَةَ فِي الْقُرْآنِ

“Sungguh Allah telah menghina mereka dengan firmanNya: ‘dan (demikian juga Kami jadikan) pokok yang dilaknat di dalam Al-Quran’ “

[al-Isra(17):60]

Sehingga sebahagian ulama hadits mengatakan, seperti mana yang diadukan oleh al-Khalili,

تأملت ما وضعه أهل الكوفة في فضائل علي ، و أهل بيته فزاد على : ثلاثمائة ألف

“Aku telah telusuri setiap apa yang dipalsukan oleh ahli Kufah pada bab kelebihan ‘Ali dan ahli keluarganya dan mereka menambah-nambahnya sehingga mencapai hampir 300, 000 hadits”

[al-Irsyad]

Ibn al-Qayyim pula menyebutkan:

ولا تستبعد هذا فإنك لو تتبعت ما عندهم من ذلك لوجدت الأمر كذلك

“Dan engkau tak perlu cari lebih jauh. Jika engkau cermati setiap periwayatan dari sisi mereka, engkau akan temui memang jumlahnya sebanyak yang dia sebutkan”

[al-Manar al-Munif]

Di pihak yang sebelah pula, sebahagian para jahil melakukan kejahatan yang serupa, mereka membuat hadits palsu tentang kelebihan Abu Bakr, Umar dan Utsman sebagai menyokong mereke, sedangkan mereka tidak memerlukannya.

Mereka juga mencipta hadits-hadits tentang kelebihan khalifah yang empat kesemuanya untuk meleraikan permusuhan di kalangan ahli sunnah dan syiah.

Dan banyak lagi hadits-hadits yang direka pula tentang kelebihan para sahabat secara umum untuk membalas serangan pemikiran dan politik di antara kumpulan-kumpulan yang pelbagai, sama ada untuk mendokong kelompok mereka dan pendapat mereka, ataupun kerana semangat untuk meleraikan perselisihan di antara manusia yang saling bermusuhan.

WalLaahu a’lam

Ruj: Ulum Al-Hadits Asiluha wa Mu’asiruha, karangan Prof Dr Abullayts KhairAbaadi.

#BroSyariefShares

Komen dan Soalan