Utama Bilik (22) Hadith Al-Sakandary Kelas #15 | Ulum Hadith

Kelas #15 | Ulum Hadith

334
0
Iklan

Bismillah, Alhamdulillah. Segala puji kepada Allah Rabb sekalian alam, kepadaNya kita memohon perlindungan, petunjuk serta pengampunan, selawat serta salam kepada baginda Muhammad SAW penutup segala Nabi dan Rasul, serta kepada para Sahabat baginda serta keluarga baginda dan kepada mereka yang teguh atas manhaj baginda hingga kini. Wa ba’d

Kita berdoa agar ditetapkan atas manhaj salaf, mengikuti tauladan para salaf. Manhaj salaf adalah bagi semua yang mengikut tauladan para Salaf. Moga kita dijauhkan dari sifat perasan diri mengikuti salaf serta memberi cop kepada orang lain sebagai tidak mengikut salaf hanya kerana orang itu tidak mengikut pendapat gurunya atau tidak mengekor pendapat syaikh yang disanjungnya.

Syukur kepada Allah yang telah memberikan kita rezqi untuk meneruskan kelas ulum hadith kita pada malam ini insyaAllah. Pada kelas yang lalu kita telah berbincang berkenaan al-Thiqah, telah kita lihat dua komponen yang membentuk thiqah ialah ‘adil dan dhabit. Juga kita telah berdiskusi berkenaan penggunaan istilah thiqah selain maksud istilah (iaitu ‘adil dan dhabit secara bersama).

InsyaAllah pada malam ini saya akan menyambung sedikit lagi berkenaan thiqah, dan kemudian insyaAllah kita akan masuk tajuk baru iaitu syaz dan munkar.

Baik.

Sebagaimana yang telah dijelaskan dalam kelas yang lalu, dhabit ialah kekuatan hafazan seseorang rawi, baik hafazannya dengan ingatan di minda ataupun bergantung kepada cacatan hadith dalam kitabnya. Tahukah kita bagaimana para nuqqad mengenal sama ada seseorang rawi itu dhabit ataupun tidak?. Para nuqqad mengenal sama ada perawi itu dhabit atau tidak dengan melihat riwayat-riwayat hadithnya.

Dengan membentangkan riwayat/riwayat seseorang rawi dan dibandingkan riwayatnya dengan riwayat-riwayat para thiqaat yang sememangnya telah dikenal akan hifz dan itqan mereka. Sekiranya riwayat-riwayat perawi itu banyak menepati riwayat para thiqaat lainnya (walaupun dari segi makna) maka digolongkan perawi tersebut dalam golongan yang dhabit dan thiqah semisal mereka juga.

Sekiranya riwayat perawi itu menyelisihi riwayat para thiqaat, jika yang menyelisihi itu sedikit makan jadilah perawi itu seorang dhabit namun lemah dhabitnya. Dan sekiranya riwayat-riwayat perawi itu banyak menyelisihi riwayat para thiqat, banyak silap banyak salah, banyak sangat tidak sama, maka perawi itu dikira Dhaif fan tidak dhabit dan tidak thiqah. Jika terlalu banyak dan terlalu banyak sangat menyelisihi riwayat thiqaat, dan terlau banyak silapnya maka perawi itu dikira Munkarul Hadith.

Kerana itu jika kita meneliti buku-buku tarjamah & jarh ta’dil, kita akan menemui para rawi sendiri datang bertemu para nuqqad dan bertanya mereka bagaimanakah kedudukan diri mereka, thiqah atau tidak? Dhabit atau tidak.

Misalnya, berkata al-Imam Yahya bin Ma’in “suatu hari telah datang dan bertanya Ismail bin Ulayyah kepadaku “bagaimana hadithku?”, daku (Yahya Ibn Ma’in) menjawab “kamu mustaqim al-hadith (iaitu dhabit, thiqah)”, dia bertanya lagi “bagaimana kamu mengetahui hal itu?”, maka daku (Ibn Ma’in) katakan kepadanya “aku menghamparkan hadith-hadith kamu ke atas hadith-hadith manusia (iaitu para perawi hadith lainnya yang dikenal thiqaat) dan daku dapati hadith-hadith kamu menepati hadith mereka”, mendengar jawapan ini maka berkata Ismail bin Ulayyah “alhamdulillah alhamdulillah alhamdulillah”. Lihatlah bagaimana al-Imam Ibn Ma’in mengenal sama ada Ismail bin Ulayyah itu thiqah atau tidak dengan membandingkan hadith-hadithnya dengan hadith-hadith para parawi yang dikenal thiqaat.

Contoh lain, berkata Ibn al-Junaid, daku bertanya kepada Yahya ibn Ma’in “Muhammad bin Kathir al-Kufi, dia bagaimana?”, maka jawab Ibn Ma’in “dia tidak mengapa (diterima, thiqah)”, maka daku berkata kepadanya “sesungguhnya dia meriwayatkan hadith-hadith munkar!”, maka berkata Ibn Ma’in “hadith mana?”, maka daku menjawab “dia meriwayat dari Ismail bin Abi Khalid dari al-Sya’bi dari al-Nu’man bin Basyir secara marfu’ hadith (moga Allah mencerahkan wajah mereka yang mendengar hadith-hadith ku dan menyampaikannya)…maka berkata Ibn Ma’in “sekiranya memang benar si syaikh (iaitu Muhammad bin Kathir al-Kufi) meriwayatkan ini maka dia kazzab pendusta!”.

Lihatlah al-Imam Yahya Ibn Ma’in, pada mulanya beliau menilai Muhammad bin Kathir al-Kufi sebagai thiqah kerana sepengetahuannya hadith-hadith yang beliau riwayatkan betul tiada salah menepati riwayat para manusia, namun apabila diberitahu kepadanya riwayat munkar (iaitu silap) yang diriwayatkan al-Kufi maka dia menilainya Dhaif bahkan menilainya sebagai Pendusta! Walaupun munkar di sini iaitu silapnya di sini adalah dari segi sanad bukannya matan hadith, kerana matan hadith yang di beritahu itu sememangnya Sahih.

Maka dapat kita ketahui daripada contoh-contoh ini, para nuqqad mengenal sama ada perawi itu thiqah dengan membentangkan hadith-hadith mereka dan membandingkannya dengan hadith-hadith para manusia (para thiqaat). Sekiranya banyak betul maka dia dikira thiqah, dan sekiranya banyak silap dia dikira Dhaif. Maka mudahnya, apakah itu perawi thiqah? Perawi thiqah ialah perawi yang sedikit silapnya dalam periwayatan hadith-hadithnya, bukan bermakna thiqah itu tiada silap langsung. Manakala perawi Dhaif ialah mereka yang banyak silapnya dalam periwayatan hadith-hadithnya, bukan bermaksud tiada yang betul langsung.

Sebagaimana yang telah saya jelaskan dalam kelas yang lalu, para thiqaat ini bertingkat-tingkat, bukan semua mereka sama darjat kekuatan dhabit mereka. Ada yang kuat dan ada yang rendah sedikit. Maratib (tingkatan) ta’dil (penilaian thiqah):

  1. Yang atas semisal “awsaq al-naas”, “athbat al-naas”, “ilaihi al-muntaha fi al-tathabbut”.
  2. Dibawahnya pula semisal “thiqah thiqah”, “thiqah thabt”, “thiqah hafiz”, “hafiz mutqin”, “thiqah hafiz mutqin”.
  3. Dibawahnya lagi semisal “yarwi hadithuhu” dan lainnya.

Begitu juga dengan perawi Dhaif, ada tahap-tahapnya, ada yang tersangat Dhaif dan ada yang Dhaif tetapi tidak teruk sangat. Maratib (tingkatan) tajrih (dhaif, kritik):

  1. Paling teruk ialah misalnya “akzab al-naas – manussia yang paling melampau dustanya”, “ruknun min arkanil kazib”
  2. Dibawahnya pula “kazzab – pendusta”, “widha – mendustakan hadith”, “dajjal”
  3. Dibawahnya lagi pula semisal “laisa bil qawi – tidak kuat”, “laisa bi qawi”, “laisa bi umdah”, “laisa bi zaak”, “layyin”, “sayyiul hifz”, “fihi maqal” dan semisal.

Sebahagian menyatakan darjat “laisa bi qawi” lebih teruk dhaifnya dari “laisa bil qawi”, namun yang benar kata guru saya al-Syaikh Dr. Khaled al-Hayek keduanya tiada perbezaan, ia sama.

Alhamdulillah, saya kira kita sudah cukup lengkap secara asasnya berbicara berkenaan syarat kedua dan ketiga hadith Sahih iaitu “‘adil dan dhabit”, iaitu thiqah. Waktu telah lewat, saya kira kita tidak akan masuk perbincangan untuk syarat seterusnya iaitu “bebas daripada syaz/munkar”. InsyaAllah kita akan bincang bab ini dalam kelas mendatang. Jam saya sudah 23:00, kita akhiri kelas kita dengan tasbih kafarah. Dan saya berpesan kepada semua penuntut ilmu hadith sebagaimana pesan guru saya al-Syaikh Mahir Yasin al-Fahl agar jangan lupa menela’ah al-Quran.

 


 

Soalan yang ditanya ketika sesi kuliah:

S: Bagaimana cara para nuqqad membandingkan hadith-hadith. Buka buku atau tanya berdepan?

J: Para nuqqad adalah para kibar huffaz, mereka membandingkan hadith fulan dengan hadith para manusia dalam minda mereka! Mereka sedia tahu hadith para perawi lainnya dengan rinci dan ia terpahat dalam minda mereka. Bayangkan mereka bagai superkomputer bergerak, semua dalam otak mereka dan tidak lupa.

 

Komen dan Soalan