Utama Bilik (64) Syamail Muhammadiyyah Hadis 15: Sifat Gigi Rasulullah

Hadis 15: Sifat Gigi Rasulullah

2609
0
Iklan

شرح الديارية

لأحاديث الشمائل المحمدية

للإمام أبي عيسى محمد بن عيسى بن سورة

(المتوفي سنة 279 هجرية)

Syarhu d-Diyariyyah

Li’ahadis Asy-Syama’il Al-Muhammadiyyah

Lil-Imam Abi `Isa Muhammad bin `Isa bin Sawrah

Hadis 15

15- حَدَّثَنَا عَبْدُ اللَّهِ بْنُ عَبْدِ الرَّحْمَنِ، قَالَ: حَدَّثَنَا إِبْرَاهِيمُ بْنُ الْمُنْذِرِ الْحِزَامِيُّ، قَالَ: حَدَّثَنَا عَبْدُ الْعَزِيزِ بْنُ أَبِي ثَابِتٍ الزُّهْرِيُّ، قَالَ: حَدَّثَنِي إِسْمَاعِيلُ بْنُ إِبْرَاهِيمَ ابْنُ أَخِي مُوسَى بْنِ عُقْبَةَ، عَنْ مُوسَى بْنِ عُقْبَةَ، عَنْ كُرَيْبٍ، عَنِ ابْنِ عَبَّاسٍ، قَالَ: كَانَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ أَفْلَجَ الثَّنِيَّتَيْنِ، إِذَا تَكَلَّمَ رُئِيَ كَالنُّورِ يَخْرُجُ مِنْ بَيْنِ ثَنَايَاهُ.

15- Telah bercerita kepada kami `Abdu Llah bin `Abdi r-Rahman, dia berkata: Telah bercerita kepada kami Ibrahim bin Al-Munzir Al-Hizamiy, dia berkata: Telah bercerita kepada kami `Abdu l-`Aziz bin Abi Sabit Az-Zuhriy, dia berkata: Telah bercerita kepada saya Isma`il bin Ibrahim, anak lelaki saudara saya Musa bin `Uqbah, daripada Musa bin `Uqbah, daripada Kurayb, daripada Ibni `Abbas, dia berkata: Rasulu Llah jarang antara dua gigi kacip. Apabila dia berkata-kata, kelihatan seperti cahaya yang keluar dari antara gigi-gigi kacipnya.

 

Syarah Adou_Fr:

 

Hadis ini diriwayatkan oleh `Abdi Llah bin `Abbas, yang lebih dikenali sebagai Ibni `Abbas. Dia dilahirkan tiga tahun sebelum tahun hijrah, dan ketika Nabi mati, Ibnu `Abbas hanya berumur sepuluh tahun – iaitu setelah dibundarkan –. Riwayat lain menyebut umurnya lima belas tahun ketika Nabi mati.

 

Dalam keadaan usia Ibni `Abbas yang masih muda, dia sudah memiliki kebijaksanaan dan kepandaian yang mengatasi umurnya. Nabi telah mendoakan kepadanya:

 

اللَّهُمَّ فَقِّهْهُ فِي الدِّينِ وَعَلِّمْهُ التَّأْوِيلَ

«Ya Allah, faqihkanlah dia dalam agama, dan ajarlah dia ta’wil» [Ibnu Hibban/ 7055].

 

Lihatlah bagaimana Ibnu `Abbas, dalam usia tidak lebih lima belas tahun, dia memiliki daya pemerhatian yang sangat tajam, dan dapat memerhatikan perwatakan Rasula Llah dengan baik. Perhatikan juga bagaimana Ibnu `Abbas mengisi masa mudanya dengan Qur’an dan hadis, sehingga dia menjadi antara perawi hadis yang banyak, iaitu sebanyak 1660 hadis. Ibnu `Abbas diatasi oleh Abi Hurayrah, `Abdi Llah bin `Umar, Anas, serta `A’isyah dalam bilangan hadis yang diriwayatkan.

 

Renungkan sejenak wahai para muslimin, betapa berbezanya Ibnu `Abbas dengan anak-anak kita yang berusia lima belas tahun sekarang – dalam kematangan, dalam ilmu dan dalam keimanan – sehingga anak-anak kita seolah-olah seperti seorang bayi dalam tubuh badannya itu.

 

Renungkan betapa cintanya Ibnu `Abbas – dalam keadaan dia yang masih muda itu – kepada ilmu, berbanding anak-anak kita di sekolah yang sentiasa mencari peluang agar tidak perlu ke sekolah, agar tidak perlu masuk kelas, agar tidak perlu belajar apa-apa! Ketika Ibnu `Abbas disibukkan dengan ilmu, anak-anak kita pula seolah-olah ‘membenci’ ilmu, atau sering mengabaikan ilmu.

 

Tanyakan kepada guru-guru di sekolah, masih adakah pelajar yang menyedari kepentingan ilmu dan bersungguh-sungguh menggunakan ruang di sekolah untuk belajar? Berapa ramaikah yang membaca buku apabila disuruh? Berapa ramaikah yang menyiapkan latihan yang diberikan? Berapa ramaikan yang datang bertanya kepada guru apabila tidak memahami sesuatu pelajaran? Berapa ramaikah pula yang hanya belajar kerana ada peperiksaan, dan apabila tiada peperiksaan, mereka langsung tidak menyentuh buku atau membuat ulangkaji?

 

Betapa sayangnya kita mensia-siakan peluang yang diberikan untuk ilmu, sedangkan jelas di hadapan kita, apabila kita membaca dan mempelajari ilmu hadis, bagaimanakah contoh kecintaan para sahabat dan para salafu s-salih terhadap ilmu! Tidak kira pelajar sekolah, atau mahasiswa universiti, atau seorang graduan yang telah bekerja, setiap kita wajib mengisi hayat kita dengan ilmu, bukan setakat mencari rezeki dan menunggu mati.

 

Dalam hadis ini, Ibnu `Abbas mensifatkan Nabi pada mukanya, iaitu pada bahagian mulutnya. Dia menyebut Nabi sebagai jarang antara dua gigi kacip. Gigi kacip ialah gigi seri iaitu dua gigi di hadapan mulut. Ibnu `Abbas mensifatkan gigi kacip Nabi sebagai jarang, iaitu mempunyaï jarak atau celah antara kedua-duanya. Ini ialah sifat yang mulia dalam kalangan orang

`Arab kerana ia menyebabkan kesempurnaan atau fasahah dalam tutur kata kerana luasnya gigi apabila berkata-kata.

 

Seterusnya Ibnu `Abbas menyebutkan bahawa apabila Nabi berkata-kata, seolah-olah kata-kata Nabi itu kelihatan seperti cahaya yang keluar dari antara gigi-gigi kacipnya. Ini menunjukkan kemuliaan kata-kata Nabi sama ada Al-Qur’an atau hadisnya, yang fasih dan berisi hidayah petunjuk.

 

Bandingkan pula dengan sesetengah daripada kita yang apabila berkata-kata, disifatkan oleh rakan-rakannya sebagai “mulut berbau longkang”, disebabkan busuknya apa yang keluar dari mulut itu. Hal ini mencanggahi apa yang disifatkan oleh Ibnu `Abbas terhadap Nabi, kerana yang keluar dari mulut Nabi adalah cahaya yang menerangi, bukan bau longkang yang busuk. Maka hendaklah setiap umat Muhammad mencontohi lisan dan lidah Nabinya, dengan menjaga tutur kata dan setiap kalam yang keluar dari mulut masing-masing. Berbicaralah dengan fasih – iaitu dengan bahasa yang baik dan sempurna – serta pilihkan perkataan yang baik dan elok. Jauhilah kata-kata cacian, atau makian, atau umpatan, atau fitnah, atau melaga-lagakan manusia, malah jauhilah daripada sering merungut dan mengeluh. Bercakaplah dengan akal dan ilmu, bukan dengan hawa nafsu dan perasaan amarah.

 

Dalam isnad hadis ini, terdapat seorang rawi bernama `Abdu l-`Aziz bin Abi Sabit Az-Zuhriy. Disebut di dalam kitab Al-Mughni Fi dh-Dhu`afa’, bahawa `Abdu l-`Aziz bin Abi Sabit, dia ialah Ibnu `Imran. Ini bermakna, namanya ialah `Abdu l-`Aziz bin `Imran. Imam At-Tirmizi – pengarang kitab Syama’il ini – dalam kitabnya Sunan At-Tirmizi, menyebut: (وَعَبْدُ الْعَزِيزِ بْنُ عِمْرَانَ ضَعِيفٌ فِي الحَدِيثِ) Dan `Abdu l-`Aziz bin `Imran adalah dha`if dalam hadis [At-Tirmizi/ 870].

 

Sangat mena`jubkan, apabila Imam At-Tirmizi, dia meriwayatkan hadis oleh perawi ini – yang telah didha`ifkan olehnya sendiri – dalam kitab Asy-Syama’il ini. Imam At-Tirmizi ialah Imam, Al-Hafiz, dan dia menulis kitab `ilal berkenaan kecacatan hadis dan perawinya. Selain itu, guru Imam At-Tirmizi, iaitu Imam Al-Bukhariy, apabila mengulas tentang perawi bernama `Abdu l-`Aziz ini, dia berkata: (منكر الحديث) munkaru l-hadis. Malah Imam An-Nasa’iy menyebut: (متروك الحديث) matruku l-hadis.

 

Munkaru l-hadis bermakna perawi itu banyak meriwayatkan hadis yang munkar atau cacat, dan banyak antara hadis-hadisnya yang bertentangan dengan hadis yang diriwayatkan oleh para huffaz yang siqah. Matruku l-hadis bermakna dia ditinggalkan dalam periwayatan hadis, iaitu tidak ditulis atau diambil hadis daripadanya.

 

Justeru, hendaklah disimpulkan bahawa Imam At-Tirmizi sengaja memasukkan hadis oleh perawi yang didha`ifkan olehnya sendiri, dalam kitab Asy-Syama’il ini. Bukanlah menjadi tujuan Imam At-Tirmizi untuk mengumpulkan hadis-hadis sahih sahaja di dalam kitab ini. Justeru, tersilaplah orang-orang yang cuba membelah buku-buku para Imam sehingga diasingkan menjadi dua, satu yang sahih dan satu yang dha`if.

 

Sebagai penuntut ilmu, kita hendaklah mengkaji apakah keperluan dan tujuan hadis ini dimasukkan. Jika belum berjumpa, maka hendaklah dibiarkan seperti asalnya. Jika tidak tahu, maka hendaklah berguru dan belajar. Setiap Imam – atau sekurang-kurangnya setiap penulis buku – dia mengetahuï apakah yang ingin ditulisnya, dan dia lebih arif tentang rahsia penulisannya.

Komen dan Soalan