Utama Bilik (40) Asas Ilmu Hadits 02.02.03#080415 Al-Marfu’, Mawquf Dan Al-Maqthu’

02.02.03#080415 Al-Marfu’, Mawquf Dan Al-Maqthu’

255
0

#080415 Bilik (40) Asas Ilmu Hadits

Nota 02.02.03 Kategori-kategori Perspektif Sumber Asal (المصدر)

Susunan: BroSyarief

AL-MARFU’ (المرفوع)
Secara bahasa, istilah ini berasal dari perkataan al-Raf’ (الرفع), yang bermaksud angkat.

Secara istilah, ia merujuk kepada apa sahaja yang disandarkan kepada Nabi sallalLaahu ‘alaihi wa sallam, sama ada bersambung atau terputus sanadnya.

Secara mudahnya, apa sahaja hadits yang menyebutkan Nabi sebagai pembicara atau pembuat, maka ianya Marfu’.

Dari sudut hukum, bergantung kepada penilaian sanad dan matan, ia boleh menjadi sahih, hasan, lemah dan malah boleh jadi palsu.

AL-MAWQUF (الموقوف)
Secara bahasa, istilah ini berasal dari perkataan al-Waqf (الوقف), yang bermaksud berhenti.

Secara istilah, ia merujuk kepada apa sahaja yang disandarkan kepada sahabat radhiyalLaahu ‘anhu.

Secara mudahnya, apa sahaja yang menyebutkan sahabat sebagai pembicara atau pembuat, maka ianya Mawquf.

LAFAZ MAWQUF DENGAN HUKUM MARFU’
Akan ada beberapa bentuk periwayatan yang Mawquf, tetapi dinilai statusnya sebagai Marfu’:

01. Sahabat menceritakan sesuatu yang tidak ada ruang untuk mereka berijtihad padanya, seperti persoalan akhirat, hal-hal ghaib, dosa tertentu, dan seumpamanya.

02. Sahabat melakukan sesuatu yang mustahil mereka melakukannya hasil ijtihad sendiri, seperti Ali solat Kusuf dan ruku’ lebih dari dua kali dalam setiap rakaat.

03. Sahabat menyebutkan perkataan seperti Kunna (كنا) dan seumpamanya, seperti: ‘Kami dahulunya melakukan ini..’, ‘Kami tidak melihat apa-apa masalah dengan ini’, mengisyaratkan perbuatan itu telah dibuat di zaman Nabi sallalLaahu ‘alaihi wa sallam.

04. Sahabat menyebutkan perkataan seperti “أُمِرْنَا بِكَذَ” (Kami diperintahkan dengan ini..) atau “نُهِينَا بِكَذَ” (Kami dilarang dengan ini..), di mana suruhan dan larangan ini tidak mungkin hadir kecuali dari Nabi sallalLaahu ‘alaihi wa sallam.

05. Sahabat menceritakan tentang Asbab an-Nuzul tentang sesuatu ayat.

06. Periwayat menyebutkan, selepas nama sahabat, beberapa jenis istilah seperti Yarfa’uh (يرفعه), Yunmih (ينميه), Yablughu bih (يبلغ به), dan seumpamanya, yang menggambarkan maksud bahawa ianya dari Nabi sallalLaahu ‘alaihi wa sallam.

Dari sudut hukum, bergantung kepada penilaian sanad dan matan, ia boleh menjadi sahih, hasan, lemah dan malah boleh jadi palsu.

Di antara penulisan berkaitan al-Mawquf:

01. al-Wuquf ‘ala al-Mawquf, karangan Abu Hafs al-Musili (w.623H)

02. Ijmal al-Isobah fi Aqwal al-Sahabah, karangan al-‘Allaie (w.761H)

03. al-Wuquf ‘ala ma fi Sahih Muslim min al-Mawquf, karangan Ibn Hajar (w.852H)

Dan banyak lagi.

AL-MAQTHU’ (المقطوع)
Secara bahasa, istilah ini berasal dari perkataan al-Qath’ (القطع), yang bermaksud putus atau terpotong.

Secara istilah, ia merujuk kepada apa sahaja yang disandarkan kepada tabi’i atau tabi’ tabi’in atau selainnya.

Secara mudahnya, apa sahaja yang menyebutkan selain Allah, Nabi dan sahabat sebagai pembicara atau pembuat, maka ianya Maqthu’.

Dari sudut hukum, bergantung kepada penilaian sanad dan matan, ia boleh menjadi sahih, hasan, lemah dan malah boleh jadi palsu.

WalLaahu a’lam

Ruj: Ulum Al-Hadits Asiluha wa Mu’asiruha, karangan Prof Dr Abullayts KhairAbaadi.

#BroSyariefShares

Komen dan Soalan